Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, April 8, 2008

Perak kembali ke tangan BN...?

BN mungkin akan berkuasa semula di Perak dalam tempoh beberapa bulan lagi tanpa perlu menunggu pilihan raya umum akan datang berdasarkan beberapa perkembangan dan faktor semasa termasuk kerapuhan kerjasama pakatan pembangkang yang memerintah Perak.

Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib semasa mengadakan pertemuan dengan Ketua UMNO Bahagian seluruh Perak dan pegawai-pegawai KEMAS negeri itu hari Ahad di Sungai Siput.

Menurut beliau, bagi mencapai tujuan itu apa yang perlu ialah seluruh rakyat negeri itu khususnya kalangan ahli UMNO bersatu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyentuh mengenai peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang katanya akan dirombak agar pendekatan serta operasinya sesuai dengan realiti semasa negara pasca pilihan raya umum yang menyaksikan beberapa negeri yang dahului dikuasai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kini jatuh ke tangan parti-parti pembangkang.

Menurut beliau, beberapa pembaharuan perlu dilakukan oleh KEMAS khususnya dalam aspek pembangunan masyarakat agar lebih berkualiti.

Beliau turut menjelaskan pentingnya masyarakat didedahkan dengan perkembangan teknologi maklumat ekoran penyebaran maklumat dan berita melalui media yang disiarkan melalui internet seperti laman berita dan blog.

Perkara-perkara tersebut dibangkitkan oleh beliau dalam pertemuannya dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan pegawai-pegawai KEMAS seluruh negeri Perak di Pusat Konvensyen Sungai Siput hari Selasa. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Menurut mereka yang hadir, Muhammad yang juag Ketua Penerangan UMNO Malaysia mahukan KEMAS sebagai agensi yang berada paling dekat dengan masyarakat luar bandar melihat semula peranan serta pendekatannya agar ia benar-benar dapat membantu masyarakat luar bandar.

Pembaharuan dan pendekatan baru ini begitu penting khususnya di Perak dan beberapa negeri yang jatuh ke tangan pembangkang bagi memastikan nasib masyarakat luar bandar terbela.

Semua perubahan tersebut menurut meraka ditekankan oleh Muhammad sesuai dengan persediaan negara memasuki fasa kedua kemerdekaan negara iaitu untuk 50 tahun akan datang.

Sebanyak 26 Kesatuan Perguruan Bantah PTD, Mahu Jumpa PM Dan Hishammuddin

Semua 26 kesatuan perguruan yang berdaftar di seluruh negara terus membantah tindakan penempatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Jabatan Pelajaran sejak tahun lalu atas sebab ia boleh menjejas pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata walaupun pada dasarnya PTD untuk membantu jabatan namun beberapa tindakan mereka dalam urusan dalam jabatan ini bercanggah dengan etika profesionalisme keguruan serta tidak mengambil kira faktor kemanusiaan.

"Semua 26 kesatuan dan persatuan guru di Malaysia tidak setuju dengan penempatan PTD ini dan kita (kesatuan dan persetuan) akan menyerahkan memorandum baru kepada Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin) untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad berkata satu mesyuarat antara kesatuan dan persatuan guru akan diadakan di Kuala Lumpur Ahad ini, yang antara lain membincangkan perkara berhubung kedudukan PTD.

Katanya KGBS mencadangkan agar Sektor Perkhidmatan Pengurusan dan Pembangunan (SKPP) dalam Jabatan Pelajaran diketuai oleh kalangan guru yang mempunyai latar belakang bidang pengurusan dalam gred DG yang setaraf dengan M52 dan M48.

Menurut Ahmad setakat ini terdapat enam PTD ditempatkan di Sarawak dan sejak berkhidmat di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak ada banyak kemajuan yang dicapai sebaliknya keadaan menjadi lebih teruk terutama dalam urusan perkhidmatan, perjawatan, kewangan dan perolehan.

Pada pertengahan tahun lalu, Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menangguhkan sementara penempatan PTD gred M52 dan M48 untuk menjawat jawatan kanan dalam JPN.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar pernah mengatakan bahawa hanya PTD gred M44 dan M41 ditempatkan di JPN untuk dinilai sebelum membenarkan kumpulan ini dalam gred M52 dan M48 berkhidmat di jabatan ini berikutan dengan perbincangan beliau dengan 26 kesatuan perguruan.

Cadangan Pertemuan Antara PM Dan Tun Dr Mahathir

Pelbagai pihak mahu agar pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diadakan segera bagi menjernihkan sebarang masalah antara kedua-dua pihak demi kepentingan parti dan negara.

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee mencadangkan agar perdana menteri mengetuai rombongan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menemui Dr Mahathir bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku antara kedua-dua belah pihak.

"Ini perlu kerana apa yang berlaku sekarang antara kepimpinan Umno dengan bekas perdana menteri itu sepertimana yang dilaporkan dalam media sejak akhir-akhir ini, tidak akan menguntungkan sesiapa, malahan akan menghancurkan parti.

"Tidak ada gunanya tuduh menuduh sesama sendiri kerana ada cara lain yang lebih baik bagi menangani masalah yang dihadapi. Saya percaya semua pihak mahu melakukan sesuatu yang terbaik untuk mengembalikan semula kekuatan parti yang agak terjejas selepas pilihan raya umum lepas," katanya kepada Bernama.

Syed Ali berkata sebagai presiden parti adalah wajar sekiranya Abdullah membawa kesemua anggota MT Umno menemui Dr Mahathir bagi menjernihkan keadaan selain mendapatkan pandangan serta nasihat ikhlas beliau terutama mengenai cara memulihkan kembali pengaruh serta kekuatan parti.

Katanya pertemuan tersebut hendaklah dilakukan dalam masa terdekat kerana sekiranya keadaan sekarang dibiarkan berlarutan dibimbangkan ia akan membuatkan kemelut yang melanda Umno bertambah parah dan akan membawa kepada kehancuran parti.

Veteran Umno dari Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa pula mahukan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) tampil menggunakan pengalaman mereka untuk membantu mencari pendekatan sesuai dan berkesan bagi memperkukuhkan Umno.

Beliau berkata orang tengah perlu dicari dan Mubarak dilihat mempunyai potensi untuk membantu menghentikan tindakan tuduh menuduh sesama anggota Umno yang sedang berlaku sekarang.

"Pemimpin-pemimpin besar ini, hentikanlah salah menyalah antara satu sama lain, kita bimbang kerana pepatah Melayu pernah menyebut "Antan Sama Lesung Berlaga, Ayam Yang Kenyang," katanya.

Dr Mahathir selama ini mengkritik kepimpinan Abdullah lebih-lebih lagi selepas pilihan raya umum Mac lepas, sehingga perdana menteri yang selama ini mengambil sikap mendiamkan diri, membuat kenyataan balas terhadap bekas perdana menteri itu kelmarin.

Abdul Aziz berkata pilihan raya umum telah sebulan berlalu, tetapi anggota Umno masih lagi menyalahkan antara satu sama lain di atas prestasi buruk Barisan Nasional.

"Sepatutnya kita pakat-pakat cari jalan untuk memperkuatkan parti," katanya.

BPR Mula Siasat Dakwaan Wakil DAP Ditawar Lompat Parti

Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang wakil rakyat DAP ditawarkan wang antara RM10 juta hingga RM65 juta oleh pihak tertentu supaya menyertai Barisan Nasional (BN).

Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran berkata beliau telah memberi keterangan kepada pegawai BPR semalam.

"Saya didatangi oleh pegawai BPR semalam selepas mereka dimaklumkan oleh polis berhubung kes tersebut dan saya memberi kerjasama sepenuhnya apabila disoal," katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Kulasegaran berkata polis juga telah mengambil keterangan daripada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V. Sivakumar semalam dan beliau akan memberi keterangan berhubung kes yang sama kepada BPR petang ini.

Isnin lepas, Sivakumar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa ditawarkan wang tunai RM10 juta hingga RM65 juta untuk menyertai BN.

Menurut beliau, tawaran melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu bermula sejak BN tewas di Perak pada pilihan raya umum lalu dan berlaku semakin kerap menyebabkan beliau tertekan dan membuat laporan polis.

Jurucakap BPR ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Seorang lagi wakil DAP, Adun Buntong, A. Sivasubramaniam sementara itu akan membuat laporan polis kerana mendakwa turut menerima tawaran yang sama.

Sivasubramaniam berkata cubaan memujuknya menyertai BN bermula sebaik sahaja beliau diumumkan memenangi kerusi Buntong pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya menerima banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak menyertai BN dengan tawaran wang tunai cukup lumayan iaitu sehingga RM80 juta," katanya.

Katanya beliau akan membuat laporan di Balai Polis Buntong esok.

'Shafee berdendam pada saya'

Bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berdendam kepada saya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini - menjawab keterangan Datuk Shafee Yahya lapan tahun lalu.

Dalam suratnya kepada The Sun, mantan perdana menteri berkata keterangan Shafee dalam perbicaraan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2000 "tidak terlalu banyak membantu Anwar. Tetapi ia memang memburukkan nama baik saya."

"Saya bukan pihak yang terbabit dalam perbicaraan (kes liwat) Anwar. Jika saya ingin dituduh, saya sepatutnya diizinkan berpeluang membela diri.

"Tetapi jelas sekali Shafee melihat perbicaraan Anwar sebagai satu peluang mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan nama baik saya.

"Shafee seorang lelaki pemarah dan apa yang dia sampaikan di mahkamah bersifat mengambil kesempatan dan nampaknya mencerminkan hasratnya untuk membalas dendam terhadap saya," suratnya dipetik.

Beliau menjawab desakan bekas pegawai khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswamy minggu lalu agar keterangan Shafee itu dijadikan asas siasatan.

Param, dan beberapa pihak lain termasuk pengerusi DAP LIm Kit Siang, pula membuat desakan itu susulan kenyataan awal Dr Mahathir - juga melalui sekeping surat kepada The Sun tanggal 28 Mac - yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan sebarang "kesalahan" selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

Kecuali ada penganiayaan, kata Dr Mahathir dua minggu lalu, tiada sebarang kesalahan yang dilakukannya sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menambah, rakyat "tidak yakin" dengan siasatan yang dijalankan oleh agensi dan jabatan kerajaan kerana mereka mendakwa berlaku campur tangan.

"Untuk membersihkan namanya, kerajaan perlu mendapatkan khidmat agensi asing yang berwibawa untuk menjalankan siasatan. Tentulah, mereka (agensi asing itu) mesti diberi akses sepenuhnya terhadap dokumen dan lain-lain," kata Dr Mahathir, mengulas isu peranan Raja-raja Melayu dalam pelantikan menteri besar dan juga gesaan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, agar kerajaan memohon maaf kepada hakim-hakim yang menjadi mangsa krisis 1988.

Dalam surat terbarunya, Dr Mahathir berkata: "Saya mengalu-alukan sebarang siasatan (terhadap saya) oleh pihak yang bebas tentang kebenaran atau sebaliknya yang terkandung dalam surat ini.

"Bagi Param Cumarawamy dan Karpal Singh, kebencian mereka terhadap saya memang sudah diketahui umum dan nyatalah tidak surut-surut walaupun setelah saya tidak lagi menjadi perdana menteri."

Katanya lagi, ramai peguam marah kepadanya kerana beliau pernah memetik Shakespeare di satu mesyuarat kabinet yang berbunyi, "pertama pertama yang kita akan lakukan, kita gantung semua peguam".

"Saya hanya bergurau tetapi mereka terdengar dan benar-benar percaya bahawa saya memang bermaksud begitu.

"Hakim-hakim juga rasa tidak senang terhadap saya. Tambahan pula, saya pernah mengkritik badan kehakiman kerana mengabaikan niat atau matlamat undang-undang yang digubal oleh badan legislatif tetapi menafsirkannya menurut perkataan yang digunakan," kata Dr Mahathir.

"Apakah yang telah melakukan satu jenayah apabila berkata sedemikian? Saya hanya menyatakan fakta. Tidak bolehkah seseorang mengulas badan kehakiman sama sekali ketika mereka membelakangkan kepentingan negara ini?

"Di banyak negara maju, menjadi perkara biasa orang ramai mengkritik badan kehakiman.

"Tentang Param pula, beliau kenyataan yang bersifat menfitnah terhadap seorang warga Malaysia ketika beliau menjadi pegawai khas di PBB.

"Beliau sepatutnya diseret ke mahkamah Malaysia tetapi beliau mendakwa kebal daripada tindakan perundangan kerana pelantikannya dibuat PBB." - Malaysiakini

Bina Semula Kekuatan Parti Usaha Bersama

2
KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa proses menerima, mendengar, membina semula dan melakukan perubahan parti mesti dibuat dalam bentuk usaha bersama di semua peringkat.

“Untuk melakukan apa jua rombakan dan perubahan parti, kita perlu ada kemahuan politik, desakan mendadak dan keperluan yang jelas,” ujar beliau.

“Keputusan pilihan raya umum baru-baru ini telah memberi kita peluang dan ruang kerana sekarang ini wujudnya ketiga-tiga perkara tersebut,” tambah beliau.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan perlu ada reformasi besar-besaran untuk menarik pengundi muda berdasarkan kepada perubahan geo politik negara ini dengan syarat terangkum di dalamnya ketiga-tiga faktor yang telah dinyatakan.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa cadangan calon-calon Pemuda dalam pilihan raya umum ke-12 adalah berdasarkan prosedur dan amalan yang biasa dilakukan dengan melakukan perbincangan dengan Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri.

“Saya sendiri kemudiannya berbincang dengan Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO Negeri nama-nama untuk dipertimbangkan,” kata beliau dalam mengulas dakwaan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa calon-calon Pemuda dipengaruhi orang tengah.

Tambahnya lagi, Pemuda tidak ada satu senarai khusus untuk calon-calon yang bakal bertanding kerana proses tapisan dan pemilihan calon dibuat bersama pemimpin di peringkat bahagian dan negeri.

Maka, jelas beliau lagi tidak timbul isu bahawa mana-mana calon Pemuda dipilih sama ada dari UMNO mahupun parti kompenan, yang tidak melalui saluran sedia ada atau tiada dalam pengetahuan beliau sebagai Pengerusi Pemuda Barisan Nasional.

Pakatan Rakyat, Pakatan Rapuh - Sampai Bila?

4
SATU April biasanya orang akan mengaitkan dengan ‘April Fool’ manakala pada hari yang sama juga pimpinan tertinggi parti-parti Pas, Dap dan Pkr seolah-olah ‘meraikan hari tersebut’ dengan mengumumkan hasrat untuk membentuk Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada tiga parti tersebut atas alasan memantapkan lagi kerjasama.

Adakah secara kebetulan atau memang tersemat di hati para pemimpin tersebut ingin memperbodoh-bodohkan rakyat bahawa pakatan mereka itu yang sudah pasti tidak akan menemui titik pertemuan disebabkan berlainan idealogi dan matlamat tetapi semata-mata kerana bersandarkan kuasa dan pangkat.

Sebelum ini, mereka gelarkan diri mereka sebagai Barisan Alternatif (BA) bagi menyaingi Barisan Nasional (BN) tetapi kesudahannya banyak meninggalkan kesan negatif kepada mereka sehingga perlu dibuat pakatan baru.

Pemimpin Pas dan Dap pula telah dimanipulasikan oleh Pkr dengan sebaik-baiknya sehingga sanggup menerima Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagi menjadi pengerusi pakatan tersebut di mana sedikit sebanyak pasti meninggalkan perasaan tidak puas hati kepada penyokong kedua-dua parti tersebut memandangkan usia Pkr yang tidak sampai 10 tahun dalam arena politik negara berbanding parti yang disokong oleh mereka yang telah berpuluh tahun memperjuangkan agenda masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pakatan tersebut akan goyang dan runtuh memandangkan ketiga-tiga parti itu khususnya Dap dan Pas tidak pernah sehaluan malah turut mencabar pembangkang supaya membentuk sebuah parti yang menggabungkan ketiga-tiganya sebagai parti komponen bagi membuktikan mereka mempunyai kesepakatan yang kukuh.

''Sebenarnya mereka tidak boleh sehaluan dalam tempoh yang panjang, apakah semua ahli Pas bersetuju untuk menggugurkan perkataan Islam semata-mata mahu bersepakat dengan Dap?

''Bolehkah ahli-ahli Dap menerima Pas yang memperjuangkan Islam dan mahu mengenakan hukum hudud," kata beliau.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, selama ini Dap sering menentang usaha Pas yang memperjuangkan Islam termasuk mahu melaksanakan hukum hudud, manakala Pas pula menganggap Dap sebagai orang kafir yang patut dimusuhi.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat yang diuar-uarkan oleh pembangkang itu juga cuba meniru konsep Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik selama 50 tahun.

''Mereka sebenarnya tidak berkeupayaan mentadbir negeri apatah lagi negara.
Oleh itu, mereka memerlukan pakatan seperti ini yang sebenarnya hanya tipu helah dan permainan politik mereka," katanya.

Dap merupakan parti serpihan Pap di Singapura bergerak di Malaysia atas nama semua kaum tetapi agendanya lebih kepada kepentingan satu kaum yang terlalu berbeza dengan selera dan kehendak Pas, manakala Pkr lahir atas simpati di mana perjuangannya berteraskan membela kepentingan peribadi seseorang, manakala Pas kononnya atas nama perjuangan Islam tetapi kini ketepikan segala fatwa ulama mereka sendiri demi pengkongsian kuasa bersama Dap.

PR anjuran Pas, Dap dan Pkr tidak mampu bertahan lama dan akan musnah di pertengahan jalan kerana sejarah telah memberitahu Pas tidak jujur kepada perjanjian bertulis.

Sebagai contoh, sebagaimana pernah terjadi dalam ikatan perjanjian antara Pas dan UMNO bagi membolehkan Pas menyertai BN pada Disember 1973 dan perjanjian itu kekal hanya lima tahun sahaja.

Ini kerana Pas mungkir janji dan membelakangkan kandungan yang ditandatangani apabila Pas mahu memecat dan mengadakan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, 1978 terhadap Allahyarham Datuk Haji Muhamad Nasir dengan mengetapikan hak-hak dalam perjanjian penyertaannya dalam BN.

Datuk Haji Muhamad Nasir dilantik memegang jawatan Menteri Besar Kelantan oleh Pengerusi BN pusat, Tun Abdul Razak Hussein atas semangat dan kepercayaan pakatan tetapi Pas mengetepikannya tanpa mengambil kira fakta apabila berdepan dengan hajatnya.

Krisis dalaman Pas 1977-1978 sepatutnya dirujuk kepada BN tetapi Pas membelakangkannya hingga menyebabkan krisis itu menjadi tegang dan runcing hingga tercetus bantahan rakyat Kelantan dan tercetusnya perintah berkurung dan Mageran.

Tidak ada satu asas yang kukuh bagi perjuangan politik pembangkang di Malaysia dan kemenangan pakatan tersebut di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor adalah kemenangan emosi, bukan dasar dan arah tuju perjuangan di bawah pakatan pembangkang.

Mana-mana kerajaan di dunia ini yang terbentuk melalui kemenangan menerusi kempen emosi tidak akan dapat bertahan lebih lama, lambat laun akan berlaku kepincangan.

Akan kedengaran suara-suara sumbang dari rakyatnya terhadap kerajaan berkenaan dan selepas itu berlaku kekecohan dan tidak lain tidak bukan kehancuran akan menanti pakatan tersebut dalam pilihan raya umum ke 13 kelak.

Dalam apa juga sekalipun dalam kehidupan ini, jika mendapatkan sesuatu melalui emosi nescaya tidak akan dapat bertahan lama.

Langkah kecil yang besar ertinya…

Langkah masuk ke bangunan utama Angkasapuri sekarang kita tak perlu risau lagi nak cari line untuk layari internet.Wartawan Agendadaily yang mengunjungi seorang rakan di situ Isnin terkejut bila diberitahu tidak perlu pakai kad wireless broadband Celcom yang dibawa bersamanya sewaktu membuka laptopnya untuk melayari internet. “ Seluruh bangunan ini sudah ada line wifi percuma,”kata rakan itu.

Ini adalah antara pembaruan segera yang dibuat oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabrey Cheek yang dikenali internet savvy sejurus masuk pejabat baru-baru ini.Itu baru fasa pertama dan lepas ini seluruh komplek Angkasapuri akan ada wifi percuma.

“Tidak lama lagi pergi mana ceruk sekalipun dalam komplek yang luas ini buka laptop terus boleh sambung dengan line wifi percuma tu,”katanya.

Bila siap nanti komplek Angkasapuri akan menjadi komplek pejabat kerajaan pertama ada kemudahan itu. - Agendadaily

Malam Kesenian Dan Kebudayaan Banjar Dari Kalimantan Selatan Indonesia
Di Dewan Dato' Hormat Tg. Karang, Selangor Anjuran Pertubuhan Banjar Malaysia

Pada : 16hb. April 2008 Masa : 8:00PM

Dirasmikan Oleh

Y.A.B TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
Menteri Besar Selangor Darul Ehsan

Apabila Wanita Besi Bersuara

Projek Ternakan Babi Di Sepang Perlu Dikaji Semula, Kata Zin

Projek ternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang perlu dikaji dan dipertimbangkan dengan lebih teliti sebelum kerajaan negeri Selangor memberi sebarang kelulusan mengenainya, kata Anggota Parlimen Sepang Datuk Ir Mohd Zin Mohamed.

Mohd Zin yang juga Menteri Kerja Raya berkata kerajaan negeri perlu mengkaji semula projek ternakan babi berskala besar itu memandangkan ia melibatkan sensitiviti dari segi sosio-budaya dan keagamaan.

"Projek berskala besar itu juga berkemungkinan mempunyai implikasi dari segi alam sekitar, kebersihan dan kesihatan, dan seharusnya dirujuk terlebih dahulu dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan pandangan dan nasihat agensi-agensi tertentu," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar mengenai kelulusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS Selangor bagi perlaksanaan projek mendirikan ladang penternakan babi secara moden di Sepang.

Mohd Zin berkata kerajaan negeri memang berhak dan berkuasa meluluskan projek itu, namun "sebarang keputusan yang mempunyai implikasi besar daripada segi alam sekitar dan sensitiviti budaya serta agama, tidak harus dibuat berdasarkan pendekatan populist."

Aktivis siswa UM disiasat polis

Seorang pelajar Universiti Malaya disiasat polis berhubung pembabitannya ketika kempen pilihanraya umum lalu di Rembau.

Azlan Zainal, presiden penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN), memberitahu Malaysiakini, seorang pegawai polis berpangkat asisten supritenden datang bertemunya di kampus universiti itu minggu lalu.

Pegawai polis daripada ibu pejabat polis Negeri Sembilan ingin mendapatkan maklumat peribadinya dan juga penjelasan lanjut berhubung kenyataan akhbarnya di Dataran Senawang pada 2 Mac lalu.

Menurut Azlan, pertemuan pegawai itu dengan beliau memakan masa dua jam pada Isnin lepas di pejabat ijazah dasar, Akademi Pengajian Islam - tempat beliau menuntut dalam jurusan bioteknologi dan agama di peringkat semester terakhir.

PMN, dalam kenyataan bulan lalu, menyatakan kesediaannya untuk bertemu dua calon generasi muda yang bersaing merebut kerusi parlimen Rembau - Khairy Jamaluddin yang mewakili BN dan Badrul Hisham Shaharin (PKR).

Kerusi itu dimenangi Khairy, yang juga naib ketua Pemuda Umno, pada 8 Mac.

Kenyataan itu mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mendakwa perdana menteri "memperalatkan mahasiswa untuk membantu kempen dan memperalatkan mereka untuk menyokong BN" seperti satu program di Putrajaya pada 1 Mac.

Parti itu cuba meletakkan calon di Kepala Batas untuk mencabar Abdullah.

Bagaimanapun, menurut parti yang baru memohon pendaftaran awal tahun ini, calonnya dihalang oleh polis untuk masuk ke dewan tempat pencalonan.

Azlan berkata polis atau pihak universiti tidak pernah menyiasat atau mengambil tindakan terhadap pembabitannya di Kepala Batas.

Setakat ini juga, katanya lagi, beberapa lagi pemimpin dan aktivis PMN tidak dikenakan sebarang tindakan.

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan mengambil tindakan tatatertib kepada seorang pelajar tahun akhir berhubung pembabitannya dalam kempen pilihanraya umum ke-12.

Meor Isfandi Meor Azizan, yang dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin universiti itu esok, telah digantung pengajiannya.

Beliau dihalang menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melarangnya mengambil keputusan penuh. - Malaysiakini

Umno Bkt Gelugor berniat adakan EGM

Umno bahagian Bukit Gelugor di Pulau Pinang, mungkin mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketuanya senator Datuk Omar Faudzar berkata, ia juga bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap isu kuota pencalonan bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan tertinggi parti.

"Ketika ini, 30 peratus daripada jawatankuasa bahagian itu telah mendesak supaya diadakan EGM.

"Saya serahkan kepada semua jawatankuasa tiga peringkat di bahagian untuk memutuskan kewajaran EGM," katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907Bukit Gelugor satu daripada 13 bahagian Umno di Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan pengerusi badan perhubungan Umno negeri tersebut.

Setakat ini, Umno bahagian Gua Musang telah mengadakan EGM Jumaat lalu, manakala Umno Cheras, dijadual mengadakannya pada 27 April depan.

Beberapa bahagian Umno di Johor juga dikatakan merancang untuk mengadakan EGM bagi membincangkan perkara yang sama.

Bernama juga memetik Omar sebagai berkata, kritikan terbuka bekas presiden parti Tun Dr Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini, seharusnya tidak dianggap negatif tetapi ia dibuat kerana beliau sayangkan parti dan tidak mahu melihat Umno hancur.

'Jangan melatah'

"Kita tidak boleh tinggalkan veteran parti yang telah banyak berjasa dan juga berpengalaman dan pemimpin sekarang jangan pula mudah melatah dan melompat bila ditegur.

"Tapi apa yang saya lihat sekarang, tuding-menuding kesalahan lalu, memburukkan imej parti," kata Omar lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Umno berhenti daripada saling menuding jari berhubung kemelut dalaman parti itu sekarang dan sebaliknya berbincang baik-baik untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kita tidak pernah bincang bagaimana hendak menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada menghentam satu sama lain. Jika pemimpin Umno sentiasa bergaduh, rakyat akan muak dan kepada siapa mereka hendak bergantung harapan," katanya.

Menurutnya, pemimpin tertinggi parti dan pemimpin veteran perlu duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi mengembalikan keyakinan ahli parti dan rakyat kepada Umno.

"Janganlah para pemimpin ini saling berbalah sesama sendiri kerana bukan sahaja ahli parti merasa gelisah dengan perkembangan ini, malahan ia membuka peluang kepada pembangkang untuk mengkritik kita," katanya.

Calon Ketua Pemuda : Jangat Bersikap "Meludah Ke Langit"

Calon-calon yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh memperlekehkan institusi Pemuda UMNO.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata perbuatan mengkritik institusi yang mana mereka adalah sebahagian daripadanya bukanlah bijak dan jika dinilai dari segi prinsipnya.

Malah kata beliau lagi mereka tidak layak menawarkan diri sebagai calon kerana mereka juga adalah sebahagian daripada masalah itu.

"Saya ingin mengingatkan calon-calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia supaya kritikan terhadap maruah Pemuda UMNO Malaysia janganlah digunakan sebagai modal berkempen.

"Selama 10 tahun, seluruh kepimpinan dan warga Pemuda UMNO bekerja kuat untuk memulihkan maruah ini yang telah tercalar dan pernah tidak dihormati akibat konflik dalaman UMNO 10 tahun dulu", katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda semalam.

Malah kata beliau lagi ada (calon Ketua Pemuda) yang boleh duduk semeja dengan ahli panel forum dan mendengar kritikan terhadap institusi Pemuda UMNO tanpa membela maruah institusi Pemuda.

"Janganlah di dalam keghairahan hendak menjadi Ketua Pemuda, mereka sama-sama ibarat meludah ke langit, terkena ke muka sendiri.

"Bagaimanakah orang begini mahu bergelar pejuang bangsa dan menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan berkata kononnya mahu mengubah hala tuju Pemuda UMNO", ujarnya.

Justeru beliau meminta supaya calon-calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkempen menawarkan diri dengan cara berhemah supaya perwakilan Pemuda UMNO dapat memilih calon yang terbaik, yang mempunyai wawasan untuk kebaikan Pemuda dan Parti Keramat UMNO sendiri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti Disember ini.

Berikutan itu, jawatan yang bakal kosong itu menjadi tumpuan perbualan pelbagai pihak di berbagai-bagai media.

Saya Tidak Pegang Jawatan Lama Daripada Yang Sepatutnya - Perdana Menteri

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri lebih lama daripada yang sepatutnya.

"Saya akan bersara satu hari nanti tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang. Saya akan bersara satu hari nanti, ini sudah pasti. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya.

"Tetapi ada beberapa perkara yang saya mahu lakukan sekarang. Saya tidak boleh berhenti pada ketika parti dalam keadaan begini. Saya tidak boleh berhenti pada ketika kami sedang menyiapkan pelaksanaan projek pembangunan. Kami telah pun berjanji kepada rakyat. Kami akan melakukannya.

"Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan para pemimpin Barisan Nasional Sabah semalam.

Perdana Menteri ditanya sama ada beliau ada memikirkan tarikh untuk bersara selepas menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Semalam, Abdullah berkata Najib adalah penggantinya sebagai presiden Umno dan tidak pernah ada masalah di antara mereka.

Ditanya keputusannya menamakan Najib sebagai penggantinya, Abdullah secara berseloroh berkata :" Sudah tentu. Adakah kamu meraguinya sehingga perlu bertanyakan saya sekali lagi?

"Datuk Seri Najib memahami saya lebih daripada kamu dapat memahami saya," katanya. Abdullah berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua dan Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) kerana muafakat yang wujud di dalam BN sehingga mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya lepas," katanya.

Para pemimpin dari lapan parti komponen BN negeri yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri juga telah menyatakan penghargaan mereka kepada Abdullah di atas kesudian beliau mendengar pandangan dan mempertimbangkan permintaan mereka serta menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Lapan parti itu ialah Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.