Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, April 7, 2008

SEMANGAT...Abdullah Ahmad Badawi mengangkat
tangan pada Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO
di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Najib Terharu Dinama Pengganti PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menghargai kepercayaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menamakan beliau sebagai penggantinya untuk jawatan Perdana Menteri.

"Saya berterima kasih dan terharu atas kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri kepada saya," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ulang Tahun ke-30 Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Najib berkata sebelum ini pendirian Perdana Menteri itu telahpun dizahirkan secara tertutup kepada beliau dan beberapa anggota kerajaan, tetapi semalam merupakan kali pertama perkara itu dihebahkan oleh Abdullah secara terbuka.

"Saya amat menghargai keyakinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya juga mengambil kira permintaan Perdana Menteri supaya saya terus memberi kerjasama kepada beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata permintaan itu bertujuan memantapkan pentadbiran kerajaan untuk menghadapi cabaran masa kini dan untuk melakukan perubahan seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri.

Khairy letak calon proksi.?

Kini tersebar berita bahawa naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak akan bertanding jawatan ketua Pemuda tetapi akan meletakkan calon proksinya bagi merebut jawatan tersebut.

khairy jamaluddin 061107Khairy sendiri tidak berani menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Malah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri terpaksa melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno kerana tindak-tanduk beliau serta kenyataannya yang dipercayai menjadi antara sebab kekalahan BN dan Umno.

hishammuddin hussein 01Ia termasuk isu Hishammuddin menghunus keris di perhimpunan agung Umno yang menyebabkan kalangan bukan Melayu, termasuk parti-parti komponen BN sendiri, merasa tidak senang.

Khairy pula mencetuskan kontroversi apabila beliau didakwa menyampaikan ucapan yang dikatakan memperlekeh sumbangan sayap-sayap Pemuda komponen lain BN.

ismail sabri yaakobCalon yang dijangka dicalonkan sebagai proksi Khairy ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang pernah aktif sebagai exco Pemuda Umno.

Perkara ini mula diperkatakan di kalangan ahli-ahli pergerakan tersebut sejak minggu lalu.

Tindakan Disiplin Perlu Saksama - Muhyiddin

Sebarang tindakan disiplin terhadap anggota Umno yang didapati mensabotaj parti pada pilihan raya umum 8 Mac lepas perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada dengan saksama, berasaskan fakta dan bukannya fitnah, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata parti perlu mengumpul bukti daripada bahagian terbabit sebelum ia dibawa kepada Lembaga Disiplin Umno untuk siasatan bagi dibuktikan sama ada bersalah atau tidak.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno berkata jika terbukti bersalah individu atau pihak terbabit perlu diberi peluang tunjuk sebab kenapa perkara itu berlaku sebelum keputusan muktamad diambil.

"Kalau ada bukti sabotaj, maka itu suatu yang terpaksa diambil tindakan kerana perbuatan mereka sebabkan kekalahan (Umno)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan syarikat Malaysia Productivity Corporation di Hotel Sheraton Subang dekat sini hari ini.

Semalam, Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataannya mahu tindakan disiplin diambil terhadap anggota Umno yang mensabotaj Barisan Nasional (BN) menyebabkannya kalah di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum itu diisytiharkan kawasan putih, dan kehilangan Kedah dan Perak pada pilihan raya umum lepas.

"Kita kena berhati-hati supaya tindakan yang kita akan ambil itu adil dan bijaksana," katanya merujuk kepada bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil termasuk memecat keahlian anggota yang disabit kesalahan.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata proses mengambil kenyataan terhadap pihak yang didakwa juga perlu dilakukan secara adil demi kepentingan parti.

"Lembaga disiplin kena main peranan supaya apa sahaja kenyataan yang dibuat perlu berdasarkan pertimbangan yang betul, saksama, bukan fitnah dan bukan tidak berasas. Mesti tersusun serta mengikut peraturan dan undang-undang," katanya.

Mengulas mengenai tindakan sabotaj itu, Muhyiddin berkata ia boleh disebabkan individu atau pelbagai perkara dan perlu ditafsir dengan teliti.

Ditanya apakah faktor berlakunya sabotaj, beliau berkata perkara itu masih dikaji dan tidak menolak ia ada hubungkait dengan anggota parti yang tidak puas hati dengan pencalonan.

"Mungkin sebab fakta calon sesetengah kawasan tak terima calon yang diletakkan kepimpinan dan dengan sebab itu tak puas hati. Biasanya apabila kepimpinan dah pilih calon, terima sajalah, kerana yang penting bukan calon tapi parti," katanya.

Cartoon Corner
Cerita Pakatan

Pemuda Umno Kedah Serah Pada Akar Umbi Buat Pemilihan Calon Ketua Pemuda

Pemuda Umno Kedah menyerahkan kepada akar umbi di semua bahagian di negeri ini untuk memilih dan mencalonkan individu bagi bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno yang bakal dilepaskan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid berkata pihaknya tidak akan mempengaruhi mana-mana cawangan dan bahagian untuk mencalonkan sesiapa yang difikirkan layak bertanding.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Hangat berkata pemilihan perlu dibuat oleh golongan akar umbi supaya individu yang dipilih kelak mendapat sokongan padu di peringkat bawah.

Katanya Pemuda Kedah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi menjelaskan perkembangan semasa parti.

Beliau berkata pegerakan tersebut akan terus menyokong Hishamuddin dalam sebarang jawatan yang beliau berhasrat untuk bertanding kelak.

Nik Aziz selar kenyataan Karpal Singh perlekeh usaha bangunkan Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh meminta agar PAS tidak memasang angan-angan untuk menunjangi Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menegakkan negara Islam, sebagai memperlecehkan usaha membangunkan Islam oleh kerajaan Kelantan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan PAS yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.

"Saya nak tahu apa tak kena Islam dan apa lagi yang dia (Karpal Singh) tak setuju Islam. Semua masyarakat bukan Islam gembira berada di bawah kami (PAS)," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di Kota Bharu Ahad.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata PAS wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh parti- parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.

Ahmad berkata, impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam yang sebenar, yang merupakan agama untuk semua umat manusia.

Nik Aziz menjemput Karpal Singh melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan di negeri itu yang dibangunkan mengikut acuan Islam.

"Saya tanggung kos penginapan hotel. Tak payah jumpa saya pun tidak apa, jumpalah masyarakat bukan Islam di Kelantan dan lepas itu beritahu apa yang tidak baik dengan Islam ini," katanya.

Nik Aziz berkata, sistem kewangan Islam yang diterapkan kerajaan Kelantan juga telah diikitraf oleh pakar-pakar ekonomi seluruh dunia dan sejak Kelantan di perintah PAS banyak penambahbaikan telah dilakukan termasuk penghapusan riba dan mewujudkan pajak gadai Islam.

"Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam juga diberi hak dengan dilantik sebagai penyelia masyarakat dan saya nak tanya di mana tidak baiknya apa yang kami buat ini," katanya.

Beliau berkata masyarakat bukan Islam juga tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam dan sejak penerapan nilai Islam oleh PAS itulah menyebabkan kaum lain merasa selesa di bawah pemerintahan PAS.

Mengulas kunjungan Masahiko itu, Nik Aziz berkata duta itu tertarik dengan kerajinan wanita Kelantan mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.

"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melawat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini," katanya.

Sabotaj punca BN kalah di Perak, Kedah

Sabotaj oleh ahli UMNO sendiri dikenal pasti sebagai antara penyumbang kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di Perak dan Kedah sehingga kedua-dua negeri itu terlepas ke tangan pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO berkata, analisis jentera parti menunjukkan 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikategorikan putih turut tewas gara-gara perbuatan sabotaj.

Dr Mahathir bagi syarat untuk berhenti bercakap

Sementara itu dalam satu majlis di Ampang dekat Kuala Lumpur sekitar waktu yang sama Majlis Penerangan UMNO berlangsung di PWTC,Tun Dr Mahathir menegaskan beliau tidak akan bercakap selagi pimpinan UMNO tidak berhenti melakukan apa yang didakwanya salah hingga menyebabkan UMNO berdepan dengan tsumani politik semasa pilihanraya umum baru ini.

Namun katanya beliau akan hanya bersuara apabila diundang menghadiri sesuatu majlis untuk berucap, dan "tidak akan menjalankan kempen bersendirian" untuk menyuarakan pendapatnya.


Bekas Perdana Menteri itu turut mempertahankan bahawa pada zamannya memerintah beliau tidak pernah menyekat sesiapa untuk menyuarakan pendapat mereka malah semasa beliau dicabar Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu pada tahun 1987, telah memberikan kebebasan kepada Tengku Razaleigh bersama pasukannya yang mencabar pelbagai jawatan dalam parti itu, termasuk Tun Musa Hitam yang pada masa itu mencabar timbalannya Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas menghadiri majlis "Fikir-Fikir bersama Mahathir" anjuran Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.

Kata Dr Mahathir beliau tidak ada niat hendak menjadi Presiden UMNO, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota UMNO dan sebagai rakyat Malaysia beliau berhak bersuara.


"Saya akan berhenti, Saya akan berhenti. Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan UMNO mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini."katanya.


Beliau juga berkata cadangannya supaya peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan dalam parti pada Disember depan dihapuskan adalah juga bagi mengelakkan politik wang dan tekanan daripada pihak tertentu.

"Kita nak calon tak beli undi sebab nak jadi calon (bagi merebut jawatan dalam UMNO). Sebab untuk jadi calon seseorang itu kena dapat 60 bahagian," katanya. - Agendadaily

Projek Ternak Babi RM100 Juta : Tahniah Buat Pas Dan MB Selangor

Oleh Kazman Kamal
Selayang - "Tahniah buat wakil-wakil rakyat Melayu khususnya Pas kerana bersama meluluskan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang".

Begitulah ungkapkan pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, YB Abdul Shukor Idrus apabila diminta memberi pandangan berkaitan kelulusan projek tersebut oleh kerajaan campuran Parti Keadilan, DAP dan Pas Selangor minggu lalu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor seterusnya berkata tahniah juga patut diberikan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana sifat prihatinnya terhadap keperluan ternakan babi besar-besaran di negeri ini.

"Mereka dah beri kelulusan untuk ternakan babi besar-besaran di Selangor, kita nak tanya mereka bila pula nak beri kelulusan untuk ternak lembu, kambing dan ayam buat orang Melayu di negeri ini", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Kelulusan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok yang mengesahkan keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu.

Namun Teresa enggan mengulas bila projek projek tersebut dimulakan.

Mengenai keputusan tersebut yang didedahkan Teresa bukan Menteri Besar Selangor sendiri, Shukor berkata ini menunjukkan Menteri Besar sekarang hanyalah boneka kepada DAP.

"Ini membuktikan Menteri Besar hanyalah boneka yang dicucuk hidung. Inilah sandiwara yang mereka mainkan.

"Rakyat boleh menilai wajah sebenar kepimpinan di negeri ini", ujarnya.

Teresa dalam blognya juga berkata Selangor berhasrat untuk menjadi contoh terbaik kepada kerajaan negeri lain dalam mengusahakan penternakan ladang babi secara moden.

"Saya rasa amat berbangga dengan keputusan kerajaan negeri meluluskan projek ini.

"Saya memaklumkan kepada semua Exco dalam mesyuarat itu bahawa biarlah ladang penternakan babi di Selangor menjadi contoh kepada negeri-negeri lain", katanya.

Senator…Datuk Seri Anwar Ibrahim ?

Setelah banyak teka-teki politik lain sudah terjawab, kini ramai yang nak tahu arah tuju Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 15 April ini apabila Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR) lepas dari tempoh edah hukuman penjaranya dan bebas berpolitik dalam ertikata sebenar.


Desas-desus yang paling hangat berlegar mengatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melepaskan kerusi parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bagi memberi laluan Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil untuk mendapat tiket masuk ke parlimen.

Ia berlegar seiring dengan jangkaan Khalid juga akan melepaskan jawatan Setiausaha Agung PKR kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang bakal berdepan asakan kuat daripada pemimpin BN negeri yang kini menjadi pembangkang.

Bagaimanapun Ahad, Menteri Besar Selangor itu menafikan khabar angin kononnya beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding,.

Katanya, adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang perkara berkenaan kerana penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya.

Menurut Khalid, sekiranya Anwar membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, beliau boleh bertanding di mana-mana 31 kawasan Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac.

Cerita Anwar nak bertanding dalam pilihanraya kecil bukanlah satu rekaan sesiapa tetapi itulah yang dicanang sendiri oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa berceramah di sana sini sebelum pilihanraya.


Itu cerita sebelum pilihanraya di mana Anwar sendiri tidak pernah bermimpi pembangkang akan berjaya tawan empat negeri lagi termasuk Selangor yang kini ditadbir oleh Menteri Besar dari PKR.

Jika ada pilihanraya kecil PKR juga sedar bahawa BN pastinya berjuang habis-habisan untuk menebus prestasinya yang teruk masa pilihanraya umum.

Kemenangan mahupun ketewasan Anwar akan memberi impak besar kepada BN, PKR juga kepada Pakatan Rakyat.

Daripada segi undang-undang, Anwar boleh kembali aktif dalam politik mulai 15 April ini, setelah berakhirnya tempoh larangan selama lima tahun bagi beliau untuk berbuat demikian berikutan pensabitan kesalahannya dalam kes rasuah.

Bagaimanapun peraturan suruhanjaya pilihan raya menetapkan bahawa pilihan raya kecil hanya boleh diadakan enam bulan selepas tarikh sesuatu pilihan raya sebelumnya.

Dalam pada mengelak ‘perang besar’ di pentas pilihanraya kecil, kini angin yang bertiup kuat mengatakan Anwar mungkin masuk ke Parlimen menerusi pintu jawatan Senator.
.

Tanpa perlu wang ringgit, tenaga jentera atau poster parti, lima negeri yang diterajui Pakatan Rakyat boleh mencadangkan Anwar dilantik senator bagi membolehkannya bersuara di Dewan Negara.

Selangor sendiri ada dua kuota Senator dan Khalid sebagai Menteri Besar serta wakil rakyat gabungannya pasti tiada masalah mencadang serta mencalonkan Anwar dilantik Senator.

Seorang Senator layak dilantik sebagai Menteri.Itu kalau senator berkenaan adalah dari parti pemerintah.

Namun, soalan yang lebih menarik sebenarnya, adakah Senator juga boleh dilantik Perdana Menteri?.

Ikut ceritanya ia pernah berlaku di Britian yang mana sistem di negara ini adalah dari acuan negara bekas penjajah itu.


Maka timbul cerita Anwar mengintai jawatan Perdana Menteri menerusi laluan mudah itu.

Ini semua dikaitkan dengan dakwaan yang sering diperbualkan di kalangan pemimpin PKR adanya sebilangan ahli parlimen BN yang nak lompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam bidang politik yang terkenal dengan ungkapan “ nothing is impossible ” andaian tentang semestinya tiada tanda titik.

Mengambil kira semua spekulasi itu mungkin Datuk Seri Hadi Awang Hadi Awang dan Lim Kit Siang boleh bayang-bayangkan bagaimana bentuk rupanya jawatan Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua yang kerap diperbualkan oleh pihak pembangkang tu. - Agendadaily

Kritikan terhadap kepimpinan UMNO tidak akan hancurkan parti - Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

“Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya,” katanya selepas majlis tahlil untuk allahyarham kakaknya Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut Padang Matsirat di sini malam semalam.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan beberapa menteri kabinet yang juga pemimpin Umno yang menegur beliau supaya jangan keterlaluan mengkritik kepimpinan parti ekoran pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lepas.

Antara mereka ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib.

Ketika berucap sebelum itu, Dr Mahathir meminta umat Islam Malaysia supaya bersyukur kerana rakyat dapat hidup aman damai tanpa berlaku perbalahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

Beliau yakin Malaysia akan terus aman yang membolehkan rakyat hidup bahagia tanpa sebarang gangguan.

Pemuda bergelora...Wanita tenang sahaja

Jika Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, kini hangat dengan isu siapa yang akan bertanding jawatan Ketua pergerakan itu, Wanita UMNO sebaliknya nampak tenang sahaja.

Nama-mana yang disebut-sebut berptonesi utnuk menduduki kerusi Ketua Wanita UMNO seperti penyandangnya, Datuk Seri Rafidah Aziz, bekas Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Azalina Othman serta Ahli Parlimen Tenggara yang juga Exco Wanita, Datuk Halimah Mohamed Sadique masing-masing memberikan kenyataan selamat, isu perebutan jawatan Wanita tidak timbul.

Bagi Rafidah, beliau telah membayangkan akan terus menerajui pergerakan itu sekiranya khidmat beliau masih diperlukan oleh ahli-ahli sayap parti berkenaan.

Manakala Azalina yang dikategorikan calon paling popular untuk merebut jawatan berkenaan sebaliknya menegaskan, bukan jawatan parti yang menjadi agenda keutamaannya kini tetapi usaha memulihkan sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti perlu didahulukan.

Dengan pendirian Azalina itu, ada desas-desus Halimah mungkin menjadi pilihan Wanita UMNO untuk diangkat menjadi ketua mereka. Namun jawapannya tetap sama iaitu beliau tidak berminat untuk bertanding atau merebut jawatan Ketua Pergerakan tersebut.

Malah, mengulas pendirian Azalina yang tidak menjadikan agenda pemilihan jawatan sebagai keutamaan, beliau secara jujur kagum dengan pendirian Menteri Pelancongan itu yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

''Kalau semua pemimpin generasi sekarang berpendirian atau berfikir seperti Azalina, saya yakin UMNO tidak akan porak-peranda,' ujarnya.

Sehubungan ini, Halimah menyeru para pemimpin UMNO di semua peringkat mencontohi kepimpinan Azalina bagi membolehkan orang Melayu menaruh keyakinan tinggi terhadap UMNO yang memperjuangkan nasib mereka sejak lebih 50 tahun lalu.

Kerajaan Azam Lakukan Perubahan Dan Rekayasa Politik, Pentadbiran Dan Dasar, Kata Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan berazam melakukan perubahan dan rekayasa dalam aspek politik, pentadbiran dan dasarnya bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan selepas ia mengalami kemerosotan sokongan pada pilihan raya umum bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mempunyai azam politik dan komited dalam melaksanakan hasrat itu kerana ia menerima keputusan pilihan raya itu secara terbuka.

"Suara rakyat adalah suara keramat dan yang tentukan segala-galanya dalam sistem demokrasi berparlimen," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, Isnin.

Najib berkata kerajaan bukan sekadar menyebut untuk bermuhasabah diri tetapi mendengar suara rakyat dengan perasaan ikhlas dan berani.

"Perubahan yang kita lakukan belum sampai ke tahap dengan apa yang rakyat kehendaki," katanya.

Najib berkata rakyat semakin peka dan berpendidikan tinggi, maka segala yang kerajaan janji mesti ditunaikan.

Kerajaan, katanya, komited memberi pertimbangan dan perkhidmatan kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Beliau mahukan anggota perkhidmatan awam memahami kecenderungan rakyat kerana mereka tidak menunjukkan perasaan melalui demonstrasi tetapi melalui pilihan raya.

Katanya lebih banyak projek berteraskan rakyat akan dilaksanakan termasuk Program Perumahan Rakyat Termiskin.

"Kerajaan akan menentukan usaha-usahanya adalah untuk menentukan kesejahteraan rakyat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedar pembangkang menggunakan pendekatan berdasarkan populariti manakala kerajaan menggunakan pendekatan yang betul dan pendekatan berhemah dalam pengurusan kewangan negara.

"Kita kena yakinkan rakyat pendekatan kita adalah terbaik untuk masa depan negara," katanya.

Dalam melaksanakan perubahan dan rekayasa itu, kerajaan perlu melihat keluhan kelompok rakyat yang tidak merasakan mereka menikmati hasil ekonomi negara yang berkembang antara 5.5 peratus dan 6 peratus.

"Begitu juga, kita berjaya menurunkan kadar kemiskinan dengan banyak tetapi di peringkat rakyat keadaannya tidak setimpal atau selaras dengan kadar itu," katanya.

Dalam masa terdekat ini, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan perubahan dalam bidang kehakiman turut dilaksanakan supaya rakyat yakin terhadap sistem kehakiman negara.

Beliau berkata kerajaan mengharapkan kerjasama semua anggota perkhidmatan awam dalam melaksanakan perubahan itu ke arah menjadikan Malaysia negara maju dengan pembabitan semua kaum. - Bernama

Amanat Abdullah Menjadi Panduan Proses Perubahan Pulih Keyakinan Rakyat Kepada Umno

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata amanat presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Umno akan menjadi penaung kepada proses perubahan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno.

Timbalan Perdana Menteri berkata amanat itu juga adalah ucapan ikhlas Abdullah yang juga Perdana Menteri kepada akar umbi.

"Satu ucapan begitu ikhlas untuk luahkan perasaan beliau sebagai presiden parti, dan ia telah memberikan panduan kepada kami bagaimana nak susun proses perubahan bagi kembalikan keyakinan rakyat.

"Jadi berbekal dengan amanat presiden itu, kami akan menggerakkan jentera parti ke arah proses pemulihan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan bersama Presiden Umno yang dihadiri oleh jentera penerangan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Najib berkata jawatankuasa pengurusan parti yang diketuainya, akan turun mulai Selasa ini berjumpa dengan kepimpinan bahagian dan negeri untuk mendapat maklum balas serta memberikan penerangan mengenai amanat yang disampaikan oleh Abdullah semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa itu akan turun ke negeri-negeri yang tidak dikuasai BN termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, sebelum ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ke negeri-negeri lain.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata penjelasan Presiden Umno mengenai punca pretasi merosot BN kali ini serta usaha untuk memulihkan parti disambut baik oleh lebih 1,000 pemimpin dari Bahagian Umno yang hadir.

"Ahli Umno sambut baik penjelasan dan punca-punca serta masalah yang dihadapi. Kami juga disuntik dengan semangat supaya BN lebih bersedia dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang," kata Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

Dewan itu penuh sesak hingga banyak yang terpaksa berdiri kerana tidak mendapat tempat duduk manakala ramai yang tidak dapat masuk, terus menunggu di luar dewan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed pula berkata ucapan penerangan Perdana Menteri selama lebih sejam itu membolehkan anggota parti mengetahui tindakan yang perlu diambil untuk memulihkan parti.

"Kami juga dinasihatkan supaya bersatu semula dan bukannya untuk berbalah sesama sendiri mengenai keputusan pilihan raya yang lalu," kata Mustapa yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata anggota Umno yang hadir hari ini menerima baik fakta sebenar yang dinyatakan oleh Abdullah dan kembali bersemangat untuk menguatkan Umno.

"Kami perlu mengorak langkah ke hadapan dan guna mandat yang diberikan rakyat untuk terus berkhidmat untuk rakyat, kami dah dapat mandat, tak perlu bersifat sebagai satu yang kalah.

"Kami kalah di beberapa negeri tetapi kami masih menang dan jadi pilihan rakyat di tempat yang lain," katanya.

Pengerusi Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula berharap semua anggota Umno akan merapatkan semula perpaduan dalam kalangan mereka dan menumpukan usaha untuk memperkukuhkan semula parti selepas penerangan diberikan presiden parti.

"Bagi Umno Perak, yang penting ialah ahli-ahli Umno sendiri perlu perkukuhkan parti bagi memastikan kemenangan yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata majlis hari ini berakhir tanpa sebarang soalan dikemukakan oleh para hadirin hadirin kepada presiden parti kerana mereka cukup berpuashati dengan penerangan dan amanat yang disampaikan oleh Abdullah mengenai pelbagai isu yang membelenggu parti sejak pilihan raya 8 Mac lepas yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan penguasaan lima negeri.

"Biasanya selepas majlis ini akan ada ucapan (soalan) tetapi semua kata tadi bahawa penerangan dan ucapan yang dibuat presiden sangat menyentuh perkara-perkara pokok dan hampir semua mendengar ucapan Pak Lah dari mula sampai habis.

"Dan mereka kata tak perlu soalan. Jadi kepada saya ini bermakna bahawa penerangan yang diberi Presiden Umno amat mereka terima dan amat mereka rasa bahawa itu jawapan dan penerangan yang tepat," katanya.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar berkata sikap ini menunjukkan keikhlasan anggota dan pemimpin Umno yang hadir bahawa mereka menerima segala penerangan presiden parti dengan cara yang baik mengenai sebab di sebalik kekalahan yang berlaku dan langkah mengatasi segala kepincangan yang wujud.

Bagi Ketua Bahagian Umno Marang Datuk Abdul Rahman Bakar berkata penjelasan yang diberikan Abdullah memang tepat pada masanya bagi mengelakkan kekeliruan dengan tohmahan beberapa pemimpin ke atas pucuk pimpinan parti.

Abdul Rahman berkata penerangan dan penjelasan perlu dibuat secara terus-menerus hanya oleh presiden parti serta anggota Majlis Tertinggi dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

"Saya percaya krisis, kemelut atau kecelaruan di kalangan anggota parti akan lenyap dan ia akan menjadi satu penawar serta hikmah bagi memperkukuhkan jentera dan parti secara keseluruhannya," katanya.

Kerajaan Perak Dicabar Perjelas Hadiah Geran Tanah Kepada 134 Buah Kampung Baru

Kerajaan negeri Perak hari ini dicabar agar tidak menipu rakyat dan membuktikan kewujudan 134 buah kampung baru dan tersusun yang kononnya tiada geran dan hanya memiliki status Lesen Menduduki Sementara.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Zainol Padzi Paharuddin berkata ini penting agar rakyat mengetahui secara jelas kelulusan 48,183 hektar hak milik yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

"Jangan menipu rakyat dan menafikan kelulusan 48,183 hektar hak milik yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini...rakyat berhak tahu secara jelas akan kedudukan sebenar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sunga Manik seterusnya berkata kerajaan negeri juga perlu menjelaskan bagaimana cara yang akan dilakukan untuk menyelesaikan masalah undang-undang dan teknikal mengikut undang-undang tanah negeri dan Persekutuan dalam pemberian geran hak milik kekal berkenaan.

Tegas beliau kerajaan negeri sekarang tidak sepatutnya hanya sedap cakap dan apabila gagal meletakkan kesalahan pada pihak lain.

Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaludin baru-baru ini mengumumkan pemberian geran hak milik kekal sebagai hadiah pilihan raya kepada penduduk kampung baru yang 85 peratusnya terdiri daripada orang Cina.

Bagaimanapun kata Menteri Besar itu pemberian geran berkenaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Tanah Negeri Perak dan Kanun Tanah Negara.

Zainol seterusnya berkata Pemuda UMNO Perak akan mengambil tindakan jika pendekatan yang diambil kerajaan negeri menggugat kepentingan orang Melayu serta meminggirkan mereka.

Katanya, dakwaan bahawa penduduk kampung baru selama ini berasa tidak selamat dengan keadaan status tanah adalah pembohongan kerana sejak penduduk tinggal di kampung baru, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memastikan prasarana dipertingkatkan dan belum pernah mereka ditindas atau dihalau keluar dari tanah masing-masing.

Pada masa yang sama tegas beliau lagi Pemuda UMNO Perak juga mencabar kerajaan negeri supaya mengumumkan pemberian 'hadiah' kepada orang Melayu di bandar yang tidak memiliki tanah sebagai susulan kepada hadiah geran hak milik kekal yang telah diberikan kepada penduduk di kampung baru.

Terpulang Agensi Berkaitan Buat Siasatan, Kata Abdullah

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata terpulang kepada agensi atau jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan sejawarnya terhadap dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara semasa beliau menjadi perdana menteri, jika dakwaan itu benar.

Perdana Menteri berkata setiap dakwaan ataupun tuduhan yang mempunyai bukti akan dipertimbangkan oleh agensi atau jabatan terbabit untuk disiasat dan diambil tindakan.

"Kalau terbukti...takkan kita nak pejam mata (dan) kata tak boleh (ambil tindakan). Kalau terbukti ia sampai (pada pengetahuan) maka perkara itu perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan, jabatan atau agensi-agensi terpenting dan kalau sekiranya terpaksa ambil tindakan menyiasat, tindakan sekeras mungkin perlu dilakukan. Ia adalah pendekatan yang kita ambil untuk semua," katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai gesaan Pengerusi DAP Karpal Singh supaya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan ke atas laporan yang dibuat terhadap Dr Mahathir kerana dakwaan campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara.

Terdahulu, Abdullah yang juga Presiden Umno menyampaikan amanat pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Karpal Singh dalam kenyataan akhbarnya pada Jumaat lepas mendakwa semasa perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Shafee Yahya ketika memberikan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka berkata Dr Mahathir telah mengarahkan beliau menutup satu fail dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan itu.

Menjawab satu soalan lain, Abdullah berkata bukan tugas beliau untuk membuka fail bagi sesuatu kes, dan tugas itu adalah tugas agensi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR). - Bernama