Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, April 6, 2008

Berfikir Sebelum Berkata

Tindakan Disiplin Akan Diambil Ke Atas Anggota Umno Yang Sabotaj BN Pada P/raya Umum Lepas

UALA LUMPUR, (Bernama) - Tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota Umno yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen yang gagal dipertahankan dan menafikan BN daripada memperolehi kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya umum lepas, kata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Ahad.

Perdana Menteri berkata berdasarkan analisis parti, beberapa kerusi itu merupakan kawasan putih atau selamat yang sepatutnya dimenangi dan sekali gus memberi kemenangan dua pertiga kepada BN.

Katanya BN juga mengalami kekalahan di negeri Kedah dan Perak di tangan gabungan parti pembangkang akibat sabotaj dalaman di 22 kawasan DUN yang dikenal pasti sebagai selamat.

"Jika tiada masalah ditimbulkan (oleh anggota Umno) di dalam negeri-negeri berkenaan, 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi DUN yang dikenal pasti selamat, kita sepatutnya menang lebih dua pertiga, tidak hilang Kedah dan Perak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari Ahad.

Abdullah ketika ditanya mengapa ada anggota sanggup mensabotaj calon daripada parti sendiri sehingga mengakibatkan BN gagal memperolehi kemenangan dua pertiga, enggan mengulas lanjut.

Abdullah berkata beliau tidak perlu menyatakan sebab-sebab anggota terbabit bertindak demikian pada masa ini, sebaliknya akan memberi maklumat yang diperlukan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Perbuatan mereka amat dikesali," kata beliau sambil menegaskan bahawa kemenangan BN pada pilihan raya umum lepas (dengan memperolehi 140 daripada 222 kerusi Parlimen) menunjukkan bahawa rakyat masih mahu beliau dan BN meneruskan usaha membangunkan negara.

Merujuk kepada prestasi BN pada keseluruhannya pada pilihan raya umum lepas Abdullah berkata beliau menganggapnya sebagai tanda rakyat mengingatkan kerajaan bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum mencukupi.

"Oleh demikian, kita akan memperkukuhkan semula parti dan memperbaiki lagi pemerintahan," kata beliau sambil mengulangi: "Saya tidak akan lari dari tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan."

Abdullah yang sebelum ini menegaskan bahawa beliau akan terus menerajui kerajaan dan Umno, berkata perkara itu merupakan antara intipati penerangan beliau kepada jentera penerangan parti pada majlis penerangan tersebut dan beliau mahu mereka menyampaikan mesej ini ke peringkat akar umbi parti.

Abdullah berkata beliau juga menimbulkan pada majlis itu, yang berlangsung lebih dua jam, pelbagai tuduhan terhadap kepimpinan beliau.

"Ada pihak mendakwa kononnya tiada kebebasan (dalam parti dan kerajaan) dan semua orang takut untuk menyuarakan pendapat dan pandangan. Tapi ada pula kata saya ini lembik, kenapa pula mereka takut (pada orang lembik)?" kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata tuduhan sesetengah pihak bahawa kononnya menantu lelaki beliau Khairy Jamaluddin merupakan orang yang "menentukan segala-galanya" dilakukan oleh mereka yang suka membuat tuduhan tanpa batasan dan bersikap "terus menghentam" sahaja.

Katanya, bagaimanapun beliau mendapati anggota-anggota Umno sudah mulai berani bersuara memberi pandangan terhadap pihak-pihak yang melemparkan tuduhan dan kritikan terhadap parti dan kepimpinan kerajaan.

Abdullah berkata rakyat sebenarnya tidak dapat menerima anggota Umno terus bersengketa sesama mereka dan mahu parti itu meneruskan usaha-usaha untuk menjayakan apa yang telah dijanjikan kepada mereka semasa pilihan raya secepat mungkin. - Bernama.

Pak Lah serang balik

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama ini mengambil sikap berdiam diri di atas serangan yang dibuat oleh bekas bosnya Tun Dr. Mahathir Mohamad hari Ahad pertama kali membuat kejutan dengan ‘menyerang’ balik Dr. Mahathir.

Katanya, beliau yang dikatakan terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak berani bersuara tetapi pada hakikatnya di zaman Dr. Mahathir pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan semua orang takut tapi depa kata saya lembik tapi orang takut kat si lembik seolah-olah dalam kabinet bodoh belaka khairy seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya

“Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaj. Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan tertentu… bila Dr. Mahahtir mengambil alih jawatan dari Tun Hussein saya tahu reporter semua dipanggil jangan beri berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein. Operasi lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu bukan saya tak tahu," katanya pada sidang media selepas majlis Penerangan Presiden di PWTC.

Menjawab satu soalan sama ada Perdana Menteri akan membuka fail dalam beberapa kes yang dibangkitkan berkaitan Dr. Mahathir semasa berkuasa dahulu, Abdullah berkata, beliau bukan jenis yang akan membuka fail tentang seseorang tetapi menyerahkan kepada agensi yang terbabit untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada kesalahan yang dilakukan.

Beliau menyentuh mengenai perkara itu sebagai jawapan kepada tuduhan Dr. Mahathir yang kononnya Abdullah menguasai media dan ‘terlalu berkuasa’ sehingga tidak ada pihak yang berani mengkritiknya.

Menurut beliau, adakah Dr. Mahathir beranggapan semua ahli kabinet bodoh sehingga takut dan tunduk kepada beliau.

Katanya, semasa zaman Dr. Mahahtir ada arahan agar orang tertentu jangan dipilih dan ini arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Namun jelasnya, kini ahli-ahli umno sudah berani keluar dan bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu semsa Dr. Mahathir masih berkuasa.

Abdullah turut menjelaskan, semasa Barisan Nasional (BN) menang besar pada tahun 2004, Dr. Mahathir berkata BN terlalu kuat dan ia perlu diimbangi dengan pembangkang.

“Bila pembangkang menang pada masa ini saya ingat dia nak celebrate tapi hemtan kita balik,” jelasnya.

Apa yang jelas menurut beliau, rakyat tidak dapat menerima UMNO bersengketa pada masa ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai perkara yang sama berkata, kritikan berterusan Dr. Mahathir boleh dianggap sebagai perbuatan mensabotaj parti.

Mahu ke mana Hadi dan Pas?

PERCAYA atau tidak, seorang penyokong Pas enggan mewalikan perkahwinan anak perempuannya dengan seorang teruna semata-mata kerana si teruna itu menyokong UMNO .

Menurut laporan akhbar beberapa hari yang lalu, peristiwa itu berlaku di Pangkalan Berangan, Marang, Terengganu. (lihat laporan Kosmo)

Jika berlaku pada awal 80-an, tidaklah terlalu menghairankan kerana ketika itu fenomena kafir mengkafir akibat perbezaan politik cukup kuat terutama di negeri Terengganu. Sembahyang dua imam, enggan sembahyangkan jenazah penduduk sekampung yang berlainan parti politik dan memulaukan kenduri sering berlaku.

Segalanya berlaku selepas dikeluarkan apa yang dikenali sebagai “Amanat Haji Hadi” terbitan Pas yang dikatakan mengkafirkan orang-orang UMNO . Bagaimanapun, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya menafikan beliau pernah mengatakan orang UMNO kafir. (lihat artikel berkaitan oleh Dato’ Shafei Daud). Selepas itu, kejadian pulau memulau mulai reda.

Setelah sekian lama kita tidak mendengar lagi kejadian seumpama, tiba-tiba muncul cerita bapa enggan mewalikan perkahwinan anak yang anehnya berlaku pada tahun 2008. Penulis berharap si bapa itu mempunyai alasan lain, bukannya kerana si teruna menyokong UMNO.

Jika beliau enggan mewalikan anaknya semata-mata kerana si teruna orang UMNO, maka beliau telah melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Agama yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. ini hanya melarang kita mengahwinkan anak dengan orang kafir. Apakah masih ada penyokong Pas yang menganggap orang UMNO kafir?

Jika masih ada ahli dan penyokong Pas yang berfikiran salah ini, wajiblah Hadi Awang membersihkan fahaman tersebut dari kalangan anak-anak buahnya. Lagipun Pas sekarang telah menyertai Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Tiada lagi perbezaan antara Pas dan UMNO. Malah jika diteliti suru-galur perjalanan politik kedua-dua parti, nyata UMNO sebuah parti yang tidak berdolak-dalik sejak dulu hingga sekarang. Sebaliknya Pas sering sahaja menukar warna perjuangan politiknya.

Suatu masa dulu perjuangan Pas berasaskan nasionalisme Melayu/Islam, kemudian bertukar kepada “Menegakkan pemerintahan Islam”, dan sekarang …perjuangannya hanyalah untuk berkuasa atas nama mewujudkan negara kebajikan. Bagi menghalalkan dasar barunya, para pemimpin Pas berhujah bahawa perjuangan menegakkan pemerintahan Islam tidak pernah dinyatakan dalam perlembagaan parti itu.

Inilah parti yang bernama Pas yang dipimpin oleh Hadi Awang. Sama-samalah kita tunggu apakah dasar perjuangan Pas ini akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Jika kita lihat kedudukan Hadi Awang semasa sidang media mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat tempoh hari, beliau duduk di kiri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap kepada media. Di sebelah kanan pemimpin de facto PKR itu ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Apakah ini sejajar dengan hirarki parti-parti komponen Pakatan Rakyat? Ertinya PKR komponen utama, diikuti DAP dan kemudian Pas.

Betul dalam politik tiada yang kekal dan tidak boleh berubah. Tapi dalam Islam hukum tidak berubah sepanjang zaman. Mahu ke mana Hadi Awang dan Pas? – malaysiaaktif.com

Johor tidak halang EGM -Ia dibenarkan dalam perlembagaan UMNO - Abdul Ghani

JOHOR BAHRU – UMNO Johor tidak akan menghalang mana-mana bahagian parti itu di negeri ini yang berhasrat mengadakan Persidangan Perwakilan Khas (EGM) bagi membincangkan hala tuju UMNO dan kaum Melayu selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, EGM boleh diadakan kerana langkah itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti. “Tetapi ada peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang perlu dipatuhi oleh bahagian yang menganjurkan persidangan khas itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat UMNO Bahagian Batu Pahat yang diketuai Dr. Mohd. Puad Zarkashi untuk mengadakan EGM pada 26 April ini. Ia dijangka diikuti oleh UMNO Bahagian Parit Sulong yang belum menetapkan tarikh EGM mereka.

Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor berkata, sehingga kini beliau tidak mengetahui jumlah sebenar bahagian UMNO di Johor yang berhasrat mengadakan EGM. Bagaimanapun, katanya, memandangkan mesyuarat agung peringkat cawangan dan bahagian akan diadakan tahun ini, maka lebih wajar masalah UMNO dibawa menerusi mesyuarat tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, UMNO Johor telah mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan pengundi ‘beralih’ kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu. “Antaranya ialah kenaikan harga barang, keselamatan, rasuah dan kesesuaian calon,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar isu berkenaan sudah wujud sejak dua hingga empat tahun lalu dan bukan disebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Beliau berkata, kira-kira 40 peratus undi yang beralih kepada pembangkang pula merupakan tindakan protes dan bukan menyokong penuh parti berkenaan.

Bezakan dana bantu usahawan

Semua institusi kewangan diingatkan membezakan wang yang digunakan untuk menjana keuntungan dengan dana yang disalurkan oleh kerajaan khusus untuk membantu usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, ia bertujuan untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan yang menyebabkan peruntukan itu tidak sampai atau lewat kepada golongan sasar.

''Kita kecewa apabila mendapat tahu masih ada dana yang gagal dihabiskan untuk membantu usahawan sedangkan kita (kerajaan) berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

''Kita sudah memberi dana itu, cuma dari segi pelaksanaannya, rakyat masih belum jelas dan kita akan memperbaikinya,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat dan Pelancaran Yayasan Bank Rakyat semalam.

Hadir sama Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim; Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad.

Noh memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian yang terlibat dalam pemberian dana untuk membantu usahawan termasuk Kementerian Belia dan Sukan bagi mengurangkan kerenah birokrasi agar ia sampai ke peringkat akar umbi.

Sebagai contoh, katanya, Tabung Pengangkutan Awam di bawah kementeriannya menyediakan dana sebanyak RM200 juta tetapi hanya RM65 juta digunakan manakala bakinya masih disimpan di beberapa bank tempatan termasuk Bank Rakyat.

Beliau juga meminta agar semua kakitangan dan agensi di bawah kementeriannya duduk bawah satu bumbung untuk membincangkan perkembangan usahawan di setiap daerah sebagai usaha ke arah menyelesaikan masalah di akar umbi.