Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 5, 2008

Anggota Umno Perlu Berani Nyatakan Perkara Benar - Muhyiddin

MUAR, (Bernama) - Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota parti perlu berani menyatakan perkara benar dan tidak hanya menyatakan sesuatu semata-mata untuk menyedapkan hati pemimpin, sedangkan ia adalah satu pembohongan.

Beliau berkata kalau terdapat sebarang kelemahan dalam parti, mereka harus terima dengan hati terbuka dan bersedia mengatasinya, bukan sekadar mendengar atau berdiam diri sahaja.

"Kalau ada kelemahan kita kena akui, tak boleh hanya dengar dan menyatakan semuanya baik sedangkan ia adalah satu pembohongan. Lebih baik beritahu yang benar, cakap yang betul walaupun ia pahit untuk ditelan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kesyukuran kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum lepas yang dihadiri kira-kira 3,000 jentera BN.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata zaman telah berubah dan Umno perlu berani melakukan perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan asal parti jika mahu terus relevan pada masa depan.

Terdahulu, beliau berkata Umno Johor yang bermesyuarat pagi ini bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah institut khas mengkaji dan menyelami perasaan pengundi sebagai usaha mengekalkan parti itu sebagai tunjang BN di negeri ini.

Beliau berkata institut itu hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar tertentu yang perlu digerakkan segera serta menjadi rangka pelan induk pengukuhan Umno Johor yang akhirnya boleh membantu Umno di negeri-negeri lain mengembalikan kekuatannya.

Berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata inisiatif itu perlu dimulakan supaya kuasa kerajaan BN yang masih ada tidak hilang selepas pilihan raya umum akan datang.

Khalid Nafi Khabar Angin Beri Laluan Kepada Anwar Di Bandar Tun Razak

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Katanya adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang perkara berkenaan kerana penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya dan sekiranya Anwar membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, beliau boleh bertanding di mana-mana 31 kawasan Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum bulan lepas.

Daripada segi undang-undang, Anwar boleh kembali aktif dalam politik mulai 15 April ini, setelah berakhirnya tempoh larangan selama lima tahun bagi beliau untuk berbuat demikian berikutan pensabitan kesalahannya dalam kes rasuah.

Bagaimanapun peraturan pilihan raya menetapkan bahawa pilihan raya kecil hanya boleh diadakan enam bulan selepas tarikh sesuatu pilihan raya sebelumnya.

"Adalah menjadi hak beliau untuk membuat keputusan bila dan di mana beliau hendak bertanding. Bagi (Parti) Keadilan (Rakyat), kami ada 31 kerusi.

"Bagaimanapun, sekarang saya tak mahu buat sebarang spekulasi kerana kami tak mahu menyusahkan sesiapa, termasuk penentang kami, supaya membuat persiapan yang tidak diperlukan," kata Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok, kepada pemberita apabila diminta mengulas spekulasi tentang perkara itu selepas menghadiri majlis jamuan bersama pengundi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak di sini.

Khalid berkata PKR sedang mengambil langkah cukup berhati-hati, termasuk menganalisis keadaan di peringkat akar umbi serta faktor masa sebelum mengambil tindakan yang boleh membawa kepada diadakan pilihan raya kecil.

"Kami amat berhati-hati tentang masa dan keperluannya. Kami mahu memastikan keperluan diadakan pilihan raya kecil dan kemampuan kami untuk memenanginya," kata beliau.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga isteri Anwar berkata suami beliau tidak tergesa-gesa untuk bertanding pada pilihan raya kecil.

KARIKATUR

Semua bahagian UMNO disaran wujud blog sendiri

Semua bahagian UMNO di negeri ini disaran mewujudkan blog masing-masing bagi mendekatkan mereka dengan golongan muda di peringkat akar umbi dan mengenal pasti masalah golongan itu supaya ia dapat ditangani dengan matang. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Ahmad Zahri Jamil berkata, rakyat khususnya golongan muda kini lebih berminat mendapatkan maklumat daripada blog berbanding akhbar arus perdana yang disifatkan mereka lebih banyak memaparkan retorik politik.

“Blog telah lama digunakan di luar negara tetapi di sini ia merupakan budaya baru namun keberkesanannya pada pilihan raya umum baru-baru ini terbukti berkesan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Kewartawanan Telekom Malaysia/Celcom/Institut Akhbar Malaysia di Hotel Puteri Pacific di sini hari ini.

Ditanya adakah kewujudan blog menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum baru-baru ini, Ahmad Zahri berkata: “Itu sukar untuk ditentukan. Namun tidak dapat dinafikan, rakyat mencari alternatif lain dalam mendapat dan menyalurkan maklumat.”

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya dimomokkan dengan kempen politik bersifat retorik, sebaliknya pandangan pihak akar umbi mesti diberi perhatian serius dan blog adalah medan paling sesuai bagi BN untuk mendengar permasalahan atau ketidakpuasan hati rakyat. Beliau berkata, pemimpin BN perlu bersikap proaktif dan tidak hanya bersikap tunggu dan lihat dalam mewujudkan blog masing-masing.

“Sepatutnya semua wakil rakyat sudah ada blog masing-masing memandangkan sebelum ini mereka telah pun dibekalkan komputer riba,” katanya.

Tambahnya, jurang antara generasi mungkin menyebabkan tidak ramai pemimpin BN memiliki blog, namun ia tidak patut dijadikan alasan oleh pemimpin yang telah berusia untuk tidak turut serta dalam perubahan baru itu.

Pulihkan survival politik UMNO

BAGAIMANAKAH orang Melayu hendak melangkah ke hadapan dengan suasana politik sekarang? Kejutan keputusan pilihan raya umum hampir sebulan lalu masih terasa. Senario kegagalan menangani keluhan rakyat akhirnya menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ada yang tidak malu-malu mendakwa pucuk pimpinan Melayu gagal memahami dan menganalisis suara orang bawah.

Namun, apa yang berlaku ibarat pergolakan dalam urusan rumah tangga. Misalnya apabila suami dan isteri bergaduh, mereka akan berbaik-baik semula semata-mata kerana mahu menjaga hati anak-anak atau tidak mahu rumah tangga runtuh. Oleh itu, suami dan isteri menyimpan perasaan masing-masing. Apabila sering berlaku pergaduhan, akhirnya apa yang dipendam selama bertahun-tahun akan meletup juga, sebab punca masalah keluarga tidak ditangani dengan baik.

Perkara ini juga berlaku dalam rumah tangga UMNO/BN. Sejak krisis kepimpinan UMNO 1987 yang kemudian melahirkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988. Setelah berpisah ia kemudian berbaik-baik dan S46 dibubarkan pada 1996 atas kepentingan dan perpaduan Melayu. Dua tahun kemudian, timbul pula isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemudian ramai ahli UMNO berpecah-pecah hingga lahir Parti Keadilan.

Sudah tentu, pergolakan demi pergolakan dalam rumah tangga UMNO menyebabkan semangat perjuangan ahli UMNO juga berkecamuk dan luntur. Jika dilihat pada orang Melayu pula, ramai sudah tidak merasa erti kemerdekaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apabila ramai tidak faham dan tidak ambil kisah, maka mereka berani lontar bantahan dan tidak peduli perjuangan UMNO/BN.

Ini yang sedang berlaku.

Menurut penganalisis politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar, hikmah kekalahan UMNO/BN pada 8 Mac lalu adalah “Allah mahu beri 50 peratus ujian kepada orang Melayu supaya kita renung dan ambil iktibar. “Tuhan boleh beri ujian 100 peratus tapi Allah seolah-olah masih sayangkan orang Melayu dan mahu uji 50 peratus sahaja iaitu lima negeri jatuh ke tangan parti pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. “BN masih memerintah dengan majoriti mudah 140 kerusi Parlimen dan pembangkang 82 kerusi,” jelas Abdul Razak.

Pada pendapat beliau, inilah masa orang Melayu patut buka mata. Tetapi persoalannya, adakah kita sedar tentang ujian Allah itu? UMNO kini berada di persimpangan jalan. Jika tidak, kuasa UMNO akan terhakis. Kajian atau pengamatan awal menunjukkan Melayu sekarang tidak peduli ketuanan Melayu lagi. Ramai yang tidak kisah hak Melayu dipinggirkan dan seolah-olah tidak peduli kedaulatan raja-raja Melayu.

Bagi Abdul Razak, Neo Malayan Union sedang muncul dalam arena politik tanah air. Malah kemunculan gabungan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat jika tidak ditangani boleh mendorong pembentukan sistem dua parti di negara ini seperti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat – siapa kuat dia yang memerintah. Persoalannya, sanggupkah orang Melayu menerima sistem ini wujud dengan akhirnya kuasa ketuanan Melayu boleh terlucut dan dirampas oleh bukan Melayu.

Melayu perlu fikirkan keadaan ekonomi mereka yang masih ketinggalan dalam pasaran terbuka. Sebab itu pemimpin Melayu yang tulen dan ikhlas memperjuangkan hak survival Melayu perlu keluar membetulkan dan memulihkan kepincangan dalam UMNO. Pemimpin tulen itu diharap dapat memimpin pemimpin di bawahnya supaya berkualiti dan senada dengan perjuangan agenda bangsa – bukan agenda diri.

Sanggup Ahli-ahli UMNO perlu cari pemimpin mereka yang sanggup bekerja tanpa ada agenda tersembunyi. Sebab itu pemimpin UMNO yang ada perlu berfikir di luar kotak untuk selesaikan masalah dalam rumah tangga UMNO sendiri.

Senario politik mutakhir menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih secara jelas menyatakan hasrat untuk mentadbir negara. Dalam konteks ini menurut Abdul Razak, jika pemimpin tertinggi UMNO yakin kepada Perdana Menteri boleh meneruskan kepimpinan negara, mereka perlu akur dan bersikap terbuka dan proaktif untuk membantu Pak Lah menyusun pentadbiran parti.

“Langkah utama ialah duduk semeja tanpa prejudis memikirkan bagaimana hendak menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan keyakinan rakyat dan ahli-ahli parti. “Langkah kedua, kepentingan diri di kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT) mesti ditolak ke tepi. Tidak ada guna memegang jawatan MT atau menteri jika kapal sudah hendak tenggelam,” kata Abdul Razak.

Oleh itu kata beliau, kesetiaan dan komitmen parti perlu diperkukuhkan. Pada tahap sekarang usaha menyusun langkah gagah dan menjenamakan semula parti juga perlu dilakukan. Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menyatakan keputusan segera diperlukan untuk menghindar kesangsian kalangan ahli UMNO.

Elemen mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh perlu dielak. Ahli-ahli UMNO yang ikhlas dalam parti perlu bersama pemimpin parti untuk menyelesaikan masalah dan bukan mengeruhkan lagi suasana. “UMNO perlu ditunjukkan kukuh supaya kesangsian ahli tidak bertambah bercelaru. Pak Lah mungkin menyedari kesilapan yang membawa kekalahan.

Oleh itu buang kelemahan dan pandang ke hadapan dengan bertindak lebih proaktif,” kata Abdul Razak. Tindakan menyalahkan satu sama lain atau menuding jari akan merugikan bangsa. Jika isu sekarang ialah survival Melayu, bagaimana ahli parti hendak bangsa Melayu survive dalam situasi politik yang tidak menentu sekarang.

Tindakan yang diambil oleh ahli UMNO mesti boleh membantu mewujudkan situasi memulihkan keyakinan ahli parti. Pemulihan boleh bermula dari cawangan dan bahagian UMNO untuk mencari pemimpin yang tulen, ikhlas, komited tanpa kepentingan diri.

Mukhriz beriya-iya...Khairy masih berkira-kira...Khir Toyo sudah sedia...Azimi pun nak cuba

Makin panas… Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia walaupun dijadualkan hujung tahun ini tetapi gendang perangnya semakin kuat dipalu ekoran keputusan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak akan mempertahakan jawatan tersebut.

Walaupun beberapa nama disebut sebagai berpotensi untuk bertanding merebut jawatan tersebut, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir paling tidak jika dilihat daripada kenyataannya amat bersungguh-sungguh menawarkan dirinya.

Terbaru, beliau menegaskan dirinya tidak akan berkompromi dengan sesiapa untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda sekiranya mendapat pencalonan yang mencukupi.

Berbeza dengan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga disebut-sebut potensi calon untuk jawatan berkenaan hanya membuat kenyataan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak.

Namun pendiriannya itu bercanggah dengan pendapat umum yang menilai Khairy akan berhadapan dengan laluan sukar sekiranya ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda berdasarkan sentimen politik semasa yang meletakkan Khairy sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.

Maka dengan sebab itu, Khairy yang kini menjawat Naib Ketua dalam kenyataanya memberi alasan, beliau tidak boleh mengenepikan institusi Pemuda semata-mata untuk membuat keputusan peribadi berhubung pertandingan jawatan Ketua Pemuda.

"Sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, saya mewakili sebuah institusi dan sebab itu saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru mengikut kehendak peribadi saya.

"Saya diajar oleh Datuk Seri Hishammuddin untuk menjaga institusi, maka saya kena kembali kepada institusi iaitu kepada akar umbi (ahli Pemuda UMNO cawangan dan bahagian) dan mendapatkan pandangan mereka dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat khidmat masyarakat Anggota Parlimen Rembau hari Jumaat.

Mukhriz yang juga Exco pergerakan itu dalam memperkuatkan hujahnya untuk bertanding berkata, beliau mengalu-alukan pertandingan dalam UMNO kerana ia merupakan satu proses yang boleh menyuburkan semula parti tersebut.

Justeru, katanya, adalah lebih baik jika ramai yang berminat untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan nombor satu pergerakan berkenaan.

''Dulu seingat saya jawatan ini pernah ada pertandingan sehingga enam penjuru dan ini tidak ada membawa sebarang masalah. Walaupun ada yang mengatakan jika ada pertandingan di peringkat tertinggi, ini mungkin akan memecah belahkan parti dan Pemuda UMNO, saya kira itu tidak semestinya berlaku kalau kita bertanding dan berkempen secara berhemah dan 'gentleman','' katanya.

Selain Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menawarkan diri untuk bertanding.

Beliau yang sebelum ini kata sedia memberi laluan kepada Mukhriz untuk bertanding jawatan tersebut sekiranya Mukhriz mendapat sokongan yang kuat daripada Pemuda Jumaat ubah fikiran.

Bercakap dalam sidang akhbar di Shah Alam Dr Khir berkata beliau hanya akan bertanding jawatan itu dan tidak Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan kali ini.

Katanya beliau yakin dapat membawa dimensi baru kepada kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO, memandangkan beliau baru berusia 43 tahun dan berpengalaman mentadbir negeri sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan ahli MT.

Dr Khir berharap pertandingan merebut jawatan itu berlaku secara sihat yang mampu mematangkan lagi anggota Pemuda UMNO menghadapi cabaran pada masa akan datang.

Sementara itu akhbar Utusan Malaysia melaporkan Ketua Penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim pun menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan itu.

Beliau berkata sekarang masa paling sesuai untuknya bertanding apatah lagi ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah pun mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

‘‘Saya sedia mempertimbangkan untuk bertanding Ketua Pemuda jika mendapat sokongan di peringkat bahagian,‘‘Lagipun saya telah lama berjuang dalam UMNO termasuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru begitu lama sebelum menjadi Ketua Penerangan Pemuda,”katanya.

Azimi yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Bharu mengimbas beliau pernah menawarkan diri untuk bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO pada 2004 tetapi menarik diri untuk memberi laluan kepada Khairy.

Debar menanti aksi-aksi menarik di sidang parlimen...bagaimana nanti bila Nurul Izzah berentap dengan Khairy

Pagi Khamis kebanyakan ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat iaitu PKR-DAP-PAS hadir untuk orientasi di bangunan parlimen.Suasananya seperti budak baru nak masuk universiti mendaftar diri, mengenali prosedur parlimen dan sebagainya.Dari 222 jumlah ahli parlimen kesemuanya kali ini 99 orang dari mereka adalah muka baru.Seperti biasa sewaktu di luar sidang Dewan Rakyat ahli parlimen kerajaan dan pembangkang boleh saling bertegur sapa dan melempar senyuman macam tak ada hal.Bagaimana agaknya nanti pada 30 April ini bila Dewan Rakyat hasil pilihanraya 8 Mac mula bersidang.

Pakatan Rakyat... Untuk apa.?

Dari Kaca Mata Mohd Ali Rustam

PAKATAN Rakyat yang dibentuk oleh PKR, DAP dan Pas hanyalah satu gimik politik untuk mengaburi mata rakyat kerana mereka cuba meniru konsep BN. Mereka sebenarnya tidak berkeupayaan untuk mentadbir negeri apatah lagi negara. Oleh itu rakyat jangan mudah terpengaruh dengan tipu helah permainan politik mereka.

Pembangkang dilihat terdesak untuk menunaikan janji-janji manis mereka ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu. Dengan ini jelas membuktikan pembangkang ketandusan idea untuk mentadbir dan memimpin rakyat dan negara.

Mereka juga seolah-olah tidak percaya dengan pakatan Barisan Alternatif yang dibentuk sebelum ini. Mereka juga tidak yakin dengan apa yang telah diputuskan masa lalu tentang BA.

Kalau betul-betul mereka sepakat, bentuklah dan daftarlah sebagai satu parti yang menggabungkan ketiga-tiga parti ini. Saya cabar mereka! Kita lihat sama ada mereka boleh bekerja sama atau tidak.

Mereka sebenarnya tidak berani untuk berterus terang tentang kerjasama mereka kerana mereka sebenarnya tidak sehaluan. Pas tetap mengatakan DAP sebagai seterunya dan DAP pula masih tidak senang dengan Pas yang memperjuangkan Islam dan hukum hudud. Tapi mereka mahu bekerjasama.

Bagi saya, saya tidak nampak mereka boleh sehaluan dalam jangka panjang. Pas perlu mencari jalan supaya ahli-ahlinya bersetuju untuk menggugurkan perkataan Islam di dalam slogan "Membangun Bersama Islam" dan DAP juga perlu menunggu sehingga ahli-ahlinya boleh menerima perjuangan Pas. Apakah mereka sanggup menggadai fahaman masing-masing demi pakatan ini? Saya rasa tidak mungkin.

Jadi pakatan tersebut hanyalah pakatan yang tidak akan membawa makna apa-apa kepada rakyat. Janganlah mudah tertipu.

30 YB Sarawak janji tak paling tadah

Abdullah menjawab soalan pemberita pada sidang
media selepas perjumpaan dengan pemimpin
Barisan Nasional Sarawak di Kuching, semalam.
Turut kelihatan Abdul Taib dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak,
Tan Sri Dr George Chan.

KUCHING: Semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sarawak memberi jaminan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, bahawa tiada seorangpun daripada mereka yang akan melompat parti untuk menyertai pembangkang, dalam apa keadaan sekalipun.

Mereka juga memberi jaminan tidak akan terpengaruh dengan cubaan pembangkang 'membeli' mereka, malah akan sentiasa berpegang kuat kepada prinsip menyokong penuh kepemimpinan Abdullah dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pada peringkat negeri.

"Semua mereka juga menyatakan pendirian akan tetap menyokong BN dan saya sebagai Perdana Menteri, selain memberi jaminan tiada seorangpun yang berniat atau tergamak untuk melompat parti.

"Mereka berjanji tetap menjadi ahli BN, wakil rakyat BN dan menyokong penuh kepemimpinan saya," kata Perdana Menteri selepas mengadakan perjumpaan dengan semua 30 Ahli Parlimen dan 62 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sarawak serta pemimpin empat parti komponen, di sini semalam.

Abdullah tiba di sini kira-kira jam 9.20 pagi untuk lawatan sehari ke Sarawak, khusus bagi mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin parti komponen dan wakil rakyat BN di negeri ini. Beliau turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Abdul Taib.

Difahamkan pada pertemuan tertutup dengan wakil rakyat itu, Abdul Taib turut memberi jaminan kepada Abdullah bahawa sokongan BN Sarawak tetap padu kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen di Sarawak juga bukan barang yang boleh dijual beli.

Malah, Perdana Menteri diminta supaya tidak mempercayai laporan, khususnya yang disiarkan menerusi internet mengenai Ahli Parlimen di Sarawak kononnya mahu berpaling tadah kerana itu semua tidak benar dan tidak akan berlaku, apa lagi ia bukan tradisi dalam BN di negeri itu.

Abdullah yang turut memperakui kekuatan parti komponen BN Sarawak apabila mendapat sokongan padu rakyat pada pilihan raya umum lalu berkata, dalam pertemuan

tertutup itu pemimpin terbabit juga menyatakan rasa bangga mereka dengan pencapaian pada pilihan raya lalu.

Ditanya apakah dengan sokongan kuat yang diberikan rakyat kepada BN di Sarawak, ada kemungkinan tambahan jawatan Menteri akan diberikan kepada Ahli Parlimen dari negeri itu selepas ini, Perdana Menteri berkata;

"Pada waktu ini... sekarang ini belum lagi. Kita kena tengok masa yang sesuai kalau ada jawatan sebab kini yang ada sudah pun diisi. Tetapi ada juga antara parti di Sarawak yang saya beri jawatan lebih daripada apa yang mereka peroleh dulu".

Kepada soalan bila beliau akan mengumumkan pelantikan tiga Timbalan Menteri baru yang masih kosong, Abdullah berkata semua calonnya sudah dikenal pasti daripada parti komponen BN yang sama dan nama mereka akan diumumkan minggu depan.

"Saya sudah kenal pasti calon sesuai dan mereka akan mengangkat sumpah minggu depan. Saya tidak akan umumkan dulu siapa mereka, tetapi mereka akan mewakili parti yang sama," katanya.

Tiga jawatan Timbalan Menteri itu kosong berikutan dua calon yang dipilih sebelum ini menolak pelantikan, manakala seorang lagi meletakkan jawatan pada 26 Mac lalu.

Dua yang menolak pelantikan ialah Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar sebagai Timbalan Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, pula meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mengenai pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker, Abdullah berkata, calon bagi kedua-dua jawatan itu juga sudah dikenal pasti dan kini beliau sedang dalam proses bertanya kepada mereka sama ada bersetuju menerimanya.

"Kita sudah kenal pasti dan sedang mendapatkan maklum balas mereka. Calon ini termasuk dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Usah musnahkan Umno

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek
berucap di majlis perhimpunan bulanan dan menyampaikan
amanat sulungnya kepada kakitangan Kementerian Penerangan
di Angkasapuri, di sini semalam.

Dr Mahathir sudah lama hancurkan parti: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Pelbagai masalah yang didakwa berlaku dalam Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga parti itu kini dikatakan seolah-olah berada di ambang kehancuran, sebenarnya berpunca daripada tindakan bekas Perdana Menteri itu sendiri ketika memimpinnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata di sebalik kritikan lantang Dr Mahathir, beliau sebenarnya ialah individu yang menghancurkan Umno kerana memperkenalkan pelbagai peraturan tidak demokratik, termasuk menghalang Presiden dan Timbalan Presiden dicabar.

Beliau berkata, Umno 'dicekik dan dilemaskan' sedikit demi sedikit ketika zaman Dr Mahathir menjadi Presiden sehingga menyebabkan parti itu diharamkan pada 1988.

"Ketika kepemimpinan Dr Mahathir, Umno mati, musnah, dibatalkan pendaftarannya dan terus mati lagi dalam bentuk yang lain... kita tidak mahu Umno yang menjadi parti keramat orang Melayu ini sekali lagi mati hanya kerana Dr Mahathir.

"Umno pernah diharamkan pada zaman beliau dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Dr Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin Umno.

"Saya sedih terpaksa bercakap perkara ini tetapi ingatlah bahawa keterbukaan Pak Lah (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) jangan diambil kesempatan.

"Di bawah Dr Mahathir, tak ada peluang RTM nak keluar berita cerca kerajaan dan kepemimpinan kerana Dr Mahathir tidak benarkan, tetapi zaman sekarang beliau sendiri menikmati segala-galanya (untuk mengkritik kerajaan)," katanya.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan dan menyampaikan amanat sulungnya kepada kakitangan Kementerian Penerangan di Angkasapuri, di sini semalam. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa Umno kini lemah dan menghadapi pelbagai masalah kerana ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu hanya menjadi pak turut dan tidak berani menasihatkan Presiden.

Ahmad Shabery berkata, persoalan mengenai siapa yang berani atau sebaliknya tidak harus timbul kerana sejarah sudah membuktikan bahawa paling ramai pemimpin Umno yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ialah ketika pemerintahan Dr Mahathir.

"Jadi, jika dikatakan Pak Lah bertindak terlalu keras, saya rasa perlu diimbau kembali sejarah. Saya juga masih ingat ahli MT tak boleh 'ditabal' pada peringkat bahagian masing-masing. Ketua bahagian di Kelantan tak boleh ditentang oleh lawan.

"Ini semua pada zaman Dr Mahathir dan pada waktu itu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, tetapi hari ini beliau menyatakan Umno sekarang tak demokratik, seolah-olah masa beliau demokratik sangat," katanya.

Ahmad Shabery berkata, Dr Mahathir juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa sekarang ahli peringkat akar umbi mulai marah kepada Umno kerana kononnya Bahagian Umno tidak mendengar pendapat ahli bawahan.

"Sebenarnya, masa pilihan raya umum baru-baru ini, masyarakat peringkat akar umbi tiada masalah, orang Felda gembira harga sawit naik, harga getah naik. Yang mungkin marah sikit ialah orang di Lembah Klang kerana harga minyak dan barang lain naik," katanya.

Beliau juga memberikan contoh pada Pilihan Raya Umum 1999, berlaku penolakan pengundi besar-besaran terhadap Dr Mahathir termasuk kira-kira 22 peratus undi dari Selangor berbanding Pilihan Raya Umum 1995 dengan dua negeri tumbang kepada pembangkang.

"Cuma pada waktu itu, Dr Mahathir diselamatkan oleh pengundi Cina. Namun, beliau tidak berhenti walaupun akar umbi marah. Memang benar orang Melayu marah, tetapi Dr Mahathir tidak berundur, malah menyarankan tiada pertandingan menentang beliau," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pula mendakwa tindak tanduk Dr Mahathir sendiri yang sebenarnya menjadi punca Umno semakin berpecah dan lemah sekarang, sama seperti ketika beliau mula menerajui parti itu pada awal 1980-an.

"Contohnya, pada awal 1980-an, Dr Mahathir selaku Presiden mahu Tun Musa Hitam menjadi timbalannya hingga mengetepikan kehendak ahli yang mahukan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga menyebabkan parti berpecah.

"Pada 1998 ketika Umno semakin pulih dan kuat, Dr Mahathir menghadapi masalah pula dengan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecatnya menyebabkan sekali lagi Umno berpecah.

"Sekarang, beliau sekali lagi campur tangan walaupun sudah bersara dengan menggesa Pak Lah meletak jawatan, malah mahu supaya pemilihan Presiden parti pada Disember ini tak perlu menggunakan sistem kuota sedangkan beliau sendiri yang perkenalkan.

"Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat bahawa Umno kuat, tetapi yang mencederakan parti itu ialah Tun Mahathir," katanya pada majlis penyampaian sumbangan bantuan untuk mangsa ribut di Parit Buntar, Perak, semalam.

Nazri berkata, Dr Mahathir mahu sistem kuota pemilihan Presiden yang diperkenalkannya selepas menang tipis, iaitu hanya 41 undi terhadap pencabarnya Tengku Razaleigh pada pemilihan 1987, dimansuhkan.

"Saya masih ingat apa yang Dr Mahathir mahu ketika itu kerana sekarang saya masih jadi Ahli Parlimen, Menteri dan Ahli MT. Bagaimanapun, ketika itu tiada sesiapa pun memintanya meletak jawatan malah parti terus memberi sokongan kepada beliau.

"Dulu Dr Mahathir berkata walau menang satu atau dua undi beliau tetap menang. Jadi macam mana bila Pak Lah menghadapi keadaan seperti sekarang, beliau mahu Pak Lah letak jawatan sedangkan mandat yang diperoleh cukup selesa. Inilah yang dikatakan Melayu mudah lupa," katanya.

Umno Paya Besar Mahu Semua Anggota MT Letak Jawatan

KUANTAN - Ketua Bahagian Umno Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman meminta semua anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno meletak jawatan berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya bercakap atas kapasiti sebagai Ketua Umno bahagian, bukannya sebagai Setiausaha Umno Negeri Pahang, Umno bahagian Paya Besar mahu semua ahli Majlis Tertinggi meletakkan jawatan," katanya malam semalam.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan Fasal 9.11 Perlembagaan Umno bahawa jika semua ahli MT meletakkan jawatan, maka Perhimpunan Agung Khas bagi menubuhkan semula MT perlu diadakan dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari.

Beliau berkata semua ahli MT perlu berbuat demikian bagi membolehkan perhimpunan Agung Khas itu diadakan.

Ahmad Tajuddin sebelum ini merupakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lepar. Beliau bagaimanapun tidak dipilih semula untuk bertanding di kawasan tersebut pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon BN Mohd Shohaimi Jusoh menewaskan calon PKR Khazizi Ahmad dengan majoriti 4,163 undi.

Analisis Di Lima Negeri Dikuasai BA

Keputusan pilihan raya umum 2008 sungguh menarik dan penuh tanda tanya. Menarik kerana dari lima negeri yang diperolehi oleh DAP-PKR-Pas, hanya tiga negeri yang kukuh.

Yang kukuh ialah Kelantan dan Kedah di bawah Pas dan Pulau Pinang di bawah DAP. Manakala di Perak dan Selangor ia bukan sahaja tidak kukuh malah akan menyaksikan konflik pemerintahan yang berterusan.

Di Perak, Pas sebagai parti paling sedikit menang kerusi dilantik menjadi Menteri Besar. Pas hanya menang 6 kerusi berbanding DAP (18) dan PKR (7). Jika mereka merupakan gabungan yang mantap seperti BN tentu ini bukan persoalan besar. Namun ikatan rapuh berasaskan kepentingan semasa sahaja pasti akan memberi banyak implikasi masa hadapan.

Mahu tidak mahu, Pas akan menjadi Menteri Besar yang akur kepada DAP sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam ikatan longgar ini. Mampukah penyokong tradisonal Pas dan orang Melayu yang menyokong Pas menerima pendirian baru Pas nanti?

Di Selangor lebih menarik, PKR mendapat 15 kerusi, DAP 13 kerusi, Pas 8 dan BN 21 kerusi. Jika salah satu parti sahaja menerik diri dari gabungan DAP-PKR-PAS, maka kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil.

PKR-DAP masih kekal jika Pas menarik diri. Namun jika DAp menarik diri maka ikatan ini akan runtuh terus. Justeru mahu tidak mahu Menteri Besar dari PKR perlu memenuhi segala tuntutan DAP.

Siaran langsung debat Parlimen

Kabinet telah meluluskan siaran langsung, tanpa tapisan, persidangan Dewan Rakyat bermula 30 April ini, kata menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam.

Siaran sesi soal jawab itu akan bermula jam 10 hingga 10.30 pagi.

"Tidak akan ada tapisan. Mereka yang berucap di Dewan Rakyat semuanya ahli parlimen," katanya, seperti dilaporkan laman web The Star Online.

"Apa yang mereka hendak katakan, itu di luar kawalan kita. Tetapi yang penting, rakyat telah memilih wakil-wakil mereka. Pastilah mereka mahu tahu apa yang berlaku di Parlimen."

Bercakap di sidang media di Angkasapuri, Ahmad Shabery berkata, "jika mereka bercakap kasar, atau mengetuk-ngetuk meja, itu di luar kawalan kita. Saya tidak fikir ahli parlimen kita akan bertindak begitu, kalau tidak mereka tidak akan dipilih sebagai anggota parlimen."

Kenyataan Media Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas

Hari ini, semua menerima hakikat bahawa UMNO yang menjadi tunjang kekuatan Melayu telah kalah teruk di dalam pilihanraya umum ke 12. Kekalahan ini pasti ada puncanya . Punca kekalahan inilah yang sepatutnya menjadi asas perdebatan dan perbincangan semua ahli UMNO , baik pemimpin mahupun ahli akar umbi demi memastikan usaha kearah mengangkat kembali maruah dan kekuatan UMNO. Daripada punca ini, kita usahakan jalan terbaik untuk penyelesaiannya.

Tetapi apa yang berlaku saat ini seperti mengarah kepada agenda peribadi. Ramai yang seakan-akan seperti menangguk di air keruh – hendak mengeruhkan lagi keadaan. Persoalan lebih tertumpu kepada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada pendapat yang mengatakan kekalahan ini kerana Pak Lah, kerana Khairy Jamaludin, kerana Tun Mahathir yang berterusan memberi kritikan kepada kerajaan dan galakan supaya lebih banyak pembangkang mengisi parlimen, kerana pengerusi perhubungan negeri, kerana ketua bahagian, kerana calon yang tak terpilih dan sebagainya. Akhirnya hari ini kita lebih memberi tumpuan kepada persoalan siapa yang bersalah. Kini timbul pula persoalan kuota pencalonan kepimpinan UMNO yang menjadi perdebatan utama. Apakah kekalahan UMNO disebabkan kuota ini?.

Semasa UMNO dan BN menang besar pada tahun 2004, sistem kuota ini telah diguna pakai. Kalau perlupun perubahan dalam persoalan kuota ini, bahagian UMNO boleh terus bawa sebagai usul dalam perhimpunan UMNO untuk dibincangkan semula. Janganlah kerana permasalahan peribadi, kita pesongkan permasalahan sebenar kepada perkara lain. Andai benar kekalahan ini atas kelemahan Pak Lah, Khairy, pengerusi perhubungan, ketua bahagian atau apa saja faktor, apakah jalan penyelesaiannnya dengan meletak jawatan?..

Bagi saya, itu tindakan yang tidak bertanggugjawab. Saya yakin bahawa atas apa sahaja faktor yang menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN di dalam pilihanraya yang baru lalu, Pak Lah bersama kepimpinan UMNO dan BN menerimanya sebagai satu kelemahan yang perlu diperbaiki. Bukan mengambil tindakan meletak jawatan dan melepaskan masalah ini kepada orang lain. Tentulah tindakan seperti ini, merupakan tindakan seorang pengecut. Marilah kita ahli UMNO sama-sama berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam keadaan yang memerlukan kita bangkit semula.

Usahlah kita mengambil kesempatan untuk melepaskan dendam dan mewujudkan keadaan yang lebih kritikal di dalam UMNO dalam situasi hari ini. Rasulullah bersama umat Islam menang dalam perang Badar dan kemudiannya kalah teruk dalam perang Uhud walaupun pada ketika itu kemenangan sepatutnya diperolehi. Namun kerana kekalahan itulah akhirnya umat Islam kembali bangkit dengan lebih hebat dan cemerlang. Oleh itu kita mohon semua ahli UMNO agar kembali bertaut dan berpadu bersama kepimpinan yang ada di bawah kepimpinan Pak Lah bagi memastikan UMNO kembali kuat demi maruah bangsa dan negara. Ketepikan persoalan peribadi dan dendam. Baik Tun Mahathir, Tengku Razaleigh atau siapa sahaja, kemukakanlah permasalahan secara telus dan berhikmah serta cadangkanlah penyelesaian terbaik. Saya yakin kekalahan kita bukan atas faktor individu tetapi atas faktor yang pelbagai.

Sama-samalah kita renung....apakah dengan pengunduran Dato’ Seri Khir Toyo di Selangor, segala masalah selesai dan menjamin UMNO kembali menang. Bagi saya Pak lah tetap pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memulih dan mengangkat kembali maruah UMNO. Berilah sokongan padu kepada Pak lah dan bantu beliau untuk sama mengembalikan kekuatan kita , kekuatan UMNO dan kekuatan Barisan Nasional. Sekian.

Yang benar,
(AHMAD BIN DARUS )
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas,