Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 4, 2008

Cartoon Corner
Putar

40 ahli MIC kempen untuk pembangkang dikenal pasti

MIC mengenal pasti 40 ahlinya telah berkempen untuk pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, kata Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat semalam sebulat suara memutuskan perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin MIC.

‘‘Kita tahu siapa mereka dan biarkan Jawatankuasa Disiplin MIC menyiasat dahulu sebelum tindakan diambil,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat CWC MIC itu semalam.

Pada perkembangan berasingan, Samy meminta kerajaan menyegerakan pengambilan masyarakat India yang berkelayakan ke dalam sektor awam memandangkan bilangan komuniti itu dalam sektor awam amat sedikit.

Berhubung desakannya supaya kerajaan membebaskan lima anggota pertubuhan haram Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Samy berkata, beliau akan terus dengan pendiriannya.

Siapa bakal Ketua Pemuda - KT- MM atau KJ ..?

Jika dahulu Hishamuddin menjadi teka teki samaada mahu melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO , kini telah terang dan nyata Hishamuddin akan melepaskan jawatan berkenaan kerana suka atau tidak beliau terpaksa melepaskan jawatan yang telah terlalu ranum buat beliau dan jika tidak melepaskan takut buah yang ranum akan gugur sendiri.

Kini timbul pula satu teka teki , siapa pula yang mengisi tempat yang dikosongkan. Jika mengikut cara yang sopan , tentulah Naib ketua pemuda UMNO, tetapi di dalam pemuda UMNO ianya tidak begitu . Jawatan ini terbuka untuk di pertandingkan.

Antara yang jelas membayangkan hasrat untuk merebut tempat ini ialah Menteri Besar Selangor yang pada mulanya mahu mencuba lebih jauh tetapi oleh kerana keadaan tidak mengizinkan beliau telah membuat keputusan untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO sahaja.

Khir Toyo sememangnya dikatakan sebagai calon favourite kerana Khir Toyo yang pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum ini dan beliau juga adalah mantan Menteri Besar Selangor yang perlu menangi satu kerusi dalam UMNO untuk melanjutkan perjuangan beliau dalam UMNO.

Mukhriz pula selaku pendatang baru dalam UMNO yang bergantung kekuatan Tun mungkin akan bertanding untuk merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO dan Mukhriz sendiri tahu beliau tidak akan boleh menandingi Khir Toyo dan kemungkinan besar akan ada satu persefahaman di mana Mukhriz mungkin akan memberikan laluan untuk bertanding sebagai Naib ketua Pemuda seperti yang pernah di sebut oleh Tun bahawa orang bertatih dahulu untuk sampai ke kemuncak di dalam UMNO ketika menghentam Khairy. Tidak mungkin Tun akan membiarkan anaknya terus menerjah ke kerusi Ketua Pemuda UMNO.

Tentu ramai yang tertunggu akan kedudukkan Khairy dan sehingga berita ini ditulis belum ada mana-mana pengakuan dan keyataan yang dibuat oleh Khairy untuk bertanding atau tidak bertanding kerusi Ketua Pemuda ini. Hanya ada keyataan yang di keluarkan oleh beberapa laman web dan juga akhbar cetak yang mengatakan bahawa Khairy tidak akan bertanding untuk merebut jawatan ketua pemuda UMNO ini tetapi tidak bila di sebut bila dan di mana Khairy membuat keyataan ini.

Khairy mempunyai dua cara yang boleh beliau lakukan , samaada beliau akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Pemuda atau bertanding ketua pemuda. Dalam politik , apa juga boleh berlaku. ramai yang tertunggu-tunggu apakah kejutan yang akan di buat oleh anak muda ini. Beliau kelihatan lebih bersabar dari calon-calon yang lain untuk mengumumkan pendirian masing-masing.

Khairy tidak perlu tergesa-gesa untuk mengumumkan pendirian beliau kerana senario politik akan seantiasa berubah dan Khairy tidak perlu memerangkap kan dirinya dengan perangkap-perangkap yang di buat oleh musuh politik beliau untuk menekan beliau mengumumkan pendirian beliau,.

Sememangnya perangkap sedang di buat agar Khairy terjerumus dalam perangkap berkenaan. nampaknya Khairy lebih matang kali ini dan tidak mengumumkan dan mendedahkan strategi beliau. Yang Pasti beliau akan mempertahankan jawatan naib Ketua Pemuda sekiranya beliau tidak mahu bertanding untuk merebut jawatan sebagai Ketua pemuda UMNO.

Lagi lama Khairy mendiamkan diri lagi resah mereka yang sedang memasang perangkap dan silap-silap pemasang perangkap berkenaan akan memasuki perangkap itu sendiri.Ada kemungkinan akan berlaku pakatan secara diam di mana Khairy mungkin memberikan laluan kepada Khir Toyo dan ada kemungkinan juga Khairy akan bertanding untuk merebut jawatan berkenaan.

Tidak semestinya Khir Toyo akan bekerjasama dengan Mukhriz dan tidak mustahil pula Khir Toyo akan bekerjasama dengan Khairy. Apa juga boleh terjadi yang pasti Khairy dan Mukhriz masing-masing sedang membuat percaturan sendiri dan siapa yang lebih bijak akan terselamat. Pastinya tidak akan ada pertandingan 3 penjuru antara mereka.

Bagi Khairy tiada sebab yang boleh menghalang beliau untuk bertanding sebagai Ketua pemuda UMNO Malaysia kerana inilah kayu pengukur untuk beliau mengetahui sejauh mana sokongan pemuda kepadanya. Khairy juga mempunyai ramai pengikut dalam pemuda dan sekiranya beliau memenangi pemilihan ini akan terus melenyapkan spekulasi bahawa Khairy tidak memunyai pengaruh dan pengikut dalam Pemuda UMNO dan ini juga mengesahkan penampilan politik beliau adalah kerana pengaruh beliau sendiri dan tidak lagi dibayang bapa mertuanya.

Dengan kemenangan beliau akan memadamkan desas desus bahawa beliau adalah ahli politik yang berpayung kepada bapa mertuanya kerana pertandingan ini tidak lagi di pengaruhi oleh pengaruh bapa mertuanya.

Kehadiran Mukhriz dalam pertandingan ini hanya untuk membuktikan bahawa beliau juga yang berpayungkan ayahnya mempunyai pengaruh yang kuat untuk membuat perubahan yang diperjuangkan oleh mereka selama ini dan jika kemenangan berpihak kepada beliau bererti pengaruh bapanya masih kuat . Ramai yang berpendapat bahawa kehadiran Mukhriz hanya untuk mengaibkan Khairy dan Pak lah dan jawatan Ketua Pemuda sebenarnya bukanlah matlamat beliau sebenarnya. Kerana Mukhriz bercita-cita lebih tinggi dari itu.

Kita tunggu akan perkembangan selanjutnya.

Kenapa Tak Boleh Pecat Orang Kebal

Oleh : Zulkarnian Al Hadi - Macang Terengganu

Saya ingin mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang mengatakan bahawa ada orang yang terlalu kebal dalam UMNO. Semua orang tahu bahawa Muhammad menujukan kenyataan itu kepada Dr Mahathir yang bebas mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seperti kata bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainudin Maidin atau Zam, Dr Mahathir yang patut bertanggungjawab dengan kekalahan BN di lima negeri kerana banyak kenyataan Dr Mahathir telah menyebabkan orang UMNO mengundi pembangkang.

Sejak Dr Mahathir mengkritik pembatalan jambatan indah, rakyat keliru kerana Dr Mahathir sebagai ahli UMNO bebas mengkritik kerajaan sedangkan kalau orang lain kritik sudah lama dipecat dari UMNO. Malah baru-baru ini Datuk Ahmad Said menerima watikah dari Pemangku Raja Terengganu pun mahu dipecat dari UMNO kerana tidak mematuhi arahan Presiden UMNO yang mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dikekalkan serbagai Menteri Besar Terengganu.

Kalaulah menerima watikah boleh diambil tindakan dipecat dari parti, bagaimana pula orang kebal yang begitu bebas mengkritik dan mempersendakan Pak Lah dibiarkan begitu sahaja?

Sepatutnya UMNO kena ambil pendirian tegas. Jika mahu UMNO dihormati, Dr. Mahathir perlu dipecat dari UMNO kerana kenyataan beliau yang banyak menyebabkan rakyat keliru dan menyokong parti pembangkang. Dr. Mahathir pernah menuduh Tunku Abdul Rahman nyanyuk. Sekarang peringkat dia pula nyanyuk. Dulu dia kata bagus ada undi bonus, sekarang ini dia kata tak bagus pula undi bonus. Bukankah itu tanda orang-orang yang nyanyuk?

Wahai Pak Lah, tegaslah sikit. Selamatkanlah UMNO dari terus dipersenda oleh Dr Mahathir sehingga tergamak dia mengatakan bahawa Malaysia kini diperintah oleh Sultan Abdullah Shah. Kalaulah benar Pak Lah adalah Sultan Abdullah Shah, sudah lama Dr Mahathir kena sula. Nasib baik Pak Lah masih bersabar.

(Artikel ini dipetik dari laman Kelab Penyokong Maya UMNO)

Saya Mahu Kembalikan Sokongan Generasi Muda, Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berkata tujuan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno adalah untuk mengembalikan sokongan generasi muda kepada pergerakan itu.

Beliau berkata pada masa sama beliau mahu beberapa perkara termasuk sindrom takut bercakap dan tidak memberi tumpuan kepada perkara yang penting yang dibentangkan di dalam mesyuarat exco diatasi.

"Apa yang dibuat Pemuda selama ini dilihat tidak menepati aspirasi golongan muda dan masalah ini kita kena beri perhatian.

Sebelum ini sifat takut bercakap dalam mesyuarat exco, perkara penting dianggap remeh dan perkara remeh diberi perhatian penting juga masalah kita.

"Kita patut bermuhasabah mengenai perkara ini.

Ini kita dapat lihat bukti semasa pilihan raya umum bahawa undi golongan muda berkurangan untuk Barisan Nasional dan juga Umno," katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai punca beliau menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan pergerakan itu berkata sindrom takut bercakap itu ada hubungkait dengan kenyataannya pada Perhimpunan Agung Umno pada 2006 di mana beliau dibidas oleh barisan Pemuda sendiri disebabkan perkara itu.

Anak bekas Perdana Menteri dan presiden Umno itu dipetik berkata bahawa ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengandungi idea baru dan ia menimbulkan kemarahan barisan kepimpinan Pemuda Umno kerana ia dianggap memperlekehkan Abdullah.

Setakat ini, Mukhriz dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menyatakan kesediaan untuk bertanding manakala Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Azimi Daim menyatakan minat tetapi mahu menunggu respons pucuk pimpinan sebelum membuat sebarang keputusan.

Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding, hari ini berkata beliau belum mahu membuat sebarang keputusan mengenainya.

Ditanya mengenai ramai yang bakal menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Mukhriz berkata ia tidak menjadi masalah kerana ia menunjukkan amalan demokrasi yang subur dalam parti.

"Pernah ada pertandingan enam hingga tujuh penjuru dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda. Ia memberi pilihan kepada anggota pemuda membuat pilihan," katanya.

Mukhriz juga tidak setuju dengan andaian bahawa pertandingan menyebabkan perpecahan dalam pergerakan itu.

Katanya, apa yang menyebabkan perpecahan ialah amalan berkempen yang tidak berhemah.

Wakil Rakyat BN Sarawak Sokong Kepimpinan Abdullah

KUCHING, (Bernama) - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan mereka akan terus berkhidmat di kawasan masing-masing atas tiket BN.

Perdana Menteri berkata wakil rakyat berkenaan, termasuk 30 anggota Parlimen BN di Sarawak, telah menyatakan pendirian mereka itu.

Katanya mereka rasa terhina dengan spekulasi baru-baru ini yang menyatakan sesetengah daripada mereka berhasrat untuk menyertai pembangkang ekoran kecewa kerana tidak disenaraikan dalam pentadbiran persekutuan.

"Ya, saya percaya parti-parti komponen BN Sarawak amat kuat dan mereka (wakil rakyat) amat berbangga dengan pencapaian mereka dan mahu berkhidmat di kawasan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin BN Sarawak untuk membincangkan keadaan politik semasa di negeri itu. Abdullah, yang juga pengerusi BN, mengadakan perjumpaan berasingan dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan dan presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Seri Dr James Masing.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, BN negeri kekal sebagai kubu kuat BN, memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen.

Mengenai permintaan bagi lebih banyak anggota Parlimen Sarawak dalam Kabinet persekutuan berikutan prestasi cemerlang empat parti komponen BN negeri, Abdullah berkata beliau telah mengambil perhatian perkara itu.

"Kita akan lihat apa yang kita boleh buat. Jawatan-jawatan telah dipenuhi," katanya dan menambah beberapa parti komponen BN negeri telah diperuntukkan jawatan tambahan berbanding dalam barisan Kabinet terdahulu.

Dua menteri dari Sarawak yang dilantik dalam Kabinet persekutuan ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas dari PBB dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin dari SUPP.

Daripada sembilan timbalan menteri dari negeri ini, tiga adalah dari PBB, masing-masing dua dari SUPP, SPDP dan PRS. Abdullah, bagaimanapun berkata calon akan diambil dari Umno bagi tiga jawatan timbalan menteri yang kosong ekoran peletakan jawatan seorang timbalan menteri dari Sabah.

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar baru-baru ini.

Anggota Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman dan anggota Parlimen Jerantut Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menolak jawatan timbalan menteri , menyatakan mereka "cukup kanan" untuk dilantik menteri penuh kerana telah berkhidmat sebagai timbalan menteri selama dua penggal.

"Saya tidak mahu nyatakan siapa mereka tetapi mereka dari parti yang sama (Umno) dan upacara angkat sumpah jawatan akan diadakan minggu depan," katanya.

Mengenai jawatan speaker Dewan Rakyat, beliau berkata calon dari Sabah dan Sarawak mungkin dilantik memegang jawatan itu.

"Kami telah mengenal pasti beberapa orang dan sedang dalam proses menghubungi mereka dan bertanyakan pendapat mereka," katanya.

Mengenai gesaan, termasuk daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bagi memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum lepas, beliau berkata mandat BN masih utuh.

"Mandat masih utuh jika dibandingkan mengikut standard negara-negara lain. Kerajaan kita boleh menjadi kerajaan yang kuat. Kami telah gariskan pelan pembangunan, mengenal pasti projek dan memastikan ia dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan jayanya," katanya.

Kerajaan BN akan pastikan rakyat mendapat faedah daripada ekonomi dan pelaburan yang dibawa masuk, katanya.

Khairy Tidak Mahu Buat Keputusan Terburu-buru

REMBAU (Bernama) - Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada anggota akar umbi untuk menentukan sama ada beliau bertanding atau tidak jawatan ketua pergerakan itu keputusan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak akan mempertahankannya pada pemilihan parti Disember ini.

"Sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, saya mewakili sebuah institusi dan sebab itu saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan secara terburu-buru mengikut kehendak peribadi saya.

"Saya diajar oleh Datuk Seri Hishammuddin untuk menjaga institusi, maka saya kena kembali kepada institusi iaitu kepada akar umbi (ahli Pemuda Umno cawangan dan bahagian) dan mendapatkan pandangan mereka dahulu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat khidmat masyarakat Anggota Parlimen Rembau di sini hari ini.

Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, berkata kehendak peribadi dalam konteks institusi bukanlah satu perkara yang penting.

"Yang penting dan perlu kita beri keutamaan adalah kepada institusi kita, yang sama-sama kita jaga. Oleh sebab itu, saya rasa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang yang mewakili institusi untuk mendengar pendapat dan pandangan akar umbi sebelum apa-apa keputusan dibuat," katanya.

Mengenai keputusan Hishammuddin itu, Khairy berkata beliau menghormati keputusan ketuanya itu.

"Secara peribadi saya dan bagi pihak semua warga Pergerakan Pemuda Umno mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana selama 10 tahun, daripada satu ketika dahulu Pemuda Umno begitu bermasalah selepas krisis politik pada tahun 1998, beliau telah berjaya untuk membina semula kekuatan kita dan ini adalah pencapaian beliau yang akan terpahat dalam sejarah parti kita," katanya.

Ditanya sama ada keputusan Hishammuddin itu akan merugikan Pemuda Umno, Khairy berkata beliau merasakan ia boleh merugikan Pemuda Umno kerana selama 10 tahun memimpin Pemuda Umno, Hishammuddin telah berjaya untuk memulih semula Pemuda Umno dan juga telah memperkukuhkan lagi pergerakan itu sebagai sebuah institusi.

"Sebagai penyokong kuat Datuk Seri Hishammuddin, saya akan menyokong beliau untuk bertanding apa juga jawatan yang beliau rasa sesuai pada pemilihan parti Disember depan," katanya.

Mengenai hasrat bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk bertanding mengisi Ketua Pemuda Umno, Khairy berkata beliau menghormati keputusan mana-mana pihak untuk bertanding.

"Yang penting adalah demokrasi itu dihormati dan diamalkan dalam parti kita kerana melalui proses demokrasi, kita, Insyaallah akan dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang terbaik untuk memimpin Umno.

"Saya harap siapa saja yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam pergerakan Pemuda, calon-calon ini akan dapat menyatupadukan dan meletakkan soal perpaduan parti sebagai agenda utama," katanya.

Ditanya adakah pemilihan Disember depan boleh mengakibatkan perpecahan, beliau berkata: "Saya rasa tidak kerana ahli Pemuda Umno sudah matang".

"Yang penting hari ini ialah kita menghadapi lawan kita yang sebenar iaitu pihak pembangkang dan tumpuan kita harus diberi kepada usaha tersebut.

"Saya harap pemilihan Pemuda Umno yang sihat dan terbuka ini akan dapat memperkukuhkan lagi Pemuda Umno dalam konteks parti," katanya.

BN Selangor Tubuh Exco Bayangan Pastikan Kerajaan Baru Laksana Tugas

SHAH ALAM, (Bernama) - Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengumumkan pembentukan 'barisan Exco bayangan' yang diketuai bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, khusus untuk memastikan exco dari kerajaan campuran -- Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS -- melaksanakan tugas dengan baik.

'Barisan Exco bayangan' ini terdiri daripada 16 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik ke dalam Jawatankuasa Pembangkang Selangor dan diketuai oleh Mohamad Khir sendiri selaku Ketua Pembangkang.

"Kami telah setuju untuk menjaga semua exco yang ada hari ini supaya menjalankan tugas dengan baik. Selain Ketua Pembangkang, kami turut melantik Timbalan Ketua Pembangkang, Setiausaha dan Bendahari.

"Exco bayangan ini juga mempunyai timbalan masing-masing dan dikehendaki mengemukakan soalan mengikut tugas dan portfolio mereka pada setiap persidangan Dewan Undangan Negeri," kata Dr Mohamad Khir kepada pemberita selepas perjumpaan dengan wakil rakyat BN Selangor di sini hari ini.

Mengikut senarai, Mohamad Khir yang juga wakil rakyat Sungai Panjang dengan dibantu timbalannya Datuk Marsom Paing (Adun Dengkil) akan memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi negeri serta Belia dan Sukan.

Timbalan Ketua Pembangkang Datuk Satim Diman yang juga wakil rakyat Seri Serdang memegang portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan dengan dibantu oleh Adun Semenyih Johan Abdul Aziz yang juga dilantik sebagai Bendahari.

Adun Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin Lias pula dilantik sebagai Setiausaha dan turut memegang portfolio Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar dengan dibantu Adun Sabak Datuk Warno Dogol.

Portfolio lain ialah Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam (Adun Sementa Datuk Abdul Rahman Palil dan timbalannya Adun Paya Jaras Datuk Ir Mohamad Busro Mat Johor); Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber dan Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar (Adun Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad dan timbalannya Adun Morib Hasiman Sidom);

Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan (Adun Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar dan timbalannya Adun Taman Templer Datuk Subahan Kamal); Kesihatan, Kerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin (Adun Tanjung Sepat Datuk Dr Abdul Karim Mansor dan timbalannya Adun Permatang Sulaiman Razak); Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan (Adun Jeram Datuk Amiruddin Setro dan timbalannya Adun Batang Kali Mohd Isa Abu Kassim);

Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram (Adun Sungai Pelek Yap Ee Wah dan timbalannya Adun Dusun Tua Ismail Sani) dan portfolio Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Teknologi dan Inovasi (Adun Kuang Abdul Shukor Idrus dan timbalannya Adun Kuala Kubu Baharu Wong Koon Mun).

Segmen Khas Untuk Penulis Blog Setiap Ahad

Kementerian Penerangan akan mewujudkan satu segmen khas berita setiap Ahad bagi membolehkan penulis-penulis blog atau 'bloggers' memberikan pendapat mengenai pelbagai isu secara langsung menerusi televisyen.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata program itu yang akan berlangsung selama 20 minit bermula 20 April ini akan disiarkan di RTM 1 pada setiap hari Ahad sebagai salah satu segmen dalam Warta Perdana.

Beliau berkata keputusan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada golongan itu meluahkan pandangan masing-masing, bahkan turut membuktikan keterbukaan kerajaan dalam berurusan dengan media alternatif.

"Seperti yang dimaklumkan bahawa kementerian akan lebih terbuka dengan media alternatif, kami akan adakan slot khas ini, yang bertujuan membincangkan sebarang isu semasa atau yang ditimbulkan oleh 'bloggers'.

"Saya percaya ini langkah ke hadapan yang sentiasa ditunggu dan dialu-alukan oleh rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Angkasapuri semalam.

Ahmad Shabery berkata keputusan itu adalah petanda bahawa kerajaan sentiasa yakin dengan mandat yang diberi oleh rakyat sebelum ini, sekaligus menggambarkan kekuatan kerajaan yang tidak perlu bimbang dan berselindung dalam apa jua keadaan.

Mengulas mengenai pemilihan 'bloggers' untuk ditemuramah, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh panel pemilih RTM dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu yang dibincangkan.

"Kita tengok pada isu, bukan personaliti. Selain 'bloggers' yang sudah terkenal, mungkin kita akan cungkil bakat baru yang boleh kita ketengahkan. Ini kita serahkan pada kebijaksanaan RTM untuk membuat keputusan. Bukan pihak menteri yang tentukan," katanya.

Mengenai kemungkinan tetamu bersikap di luar kawalan atau bercakap tanpa batasan, Ahmad Shabery berkata beliau positif semua tetamu undangan itu akan mengikut tata tertib yang ditentukan.

Keterbukaan itu katanya, secara tidak langsung akan mendorong para 'bloggers' yang ditemuramah untuk bersikap lebih bertanggungjawab.

"Ini proses mendidik bahawa keterbukaan ini perlu dilihat dari sudut yang positif. Ini ruang untuk mereka menyampaikan suara hati dan pendapat masing-masing dengan cara yang sopan. Saya yakin mereka akan menghormati keterbukaan ini," katanya.

Ahmad Shabery turut mengumumkan keputusan Kabinet untuk menyiarkan secara langsung sesi soal jawab di Parlimen pada setiap hari persidangan bermula 30 April ini.

Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan jemaah menteri yang lain semasa mesyuarat, kelmarin.

"Sesi soal jawab itu akan disiar selama 30 minit bermula pada pukul 10 pagi setiap hari semasa persidangan.

"Kita menganggap kesediaan Kabinet untuk membenarkan siaran langsung menggambarkan betapa kerajaan sekarang lebih yakin, lebih terbuka dan lebih telus seperti yang kita janjikan kepada rakyat," katanya.

Program itu yang akan disiarkan di RTM 1 dan radio Klasik Nasional turut melibatkan sesi temubual bersama anggota Parlimen, termasuk daripada parti pembangkang.

"Sesi soal jawab selama 30 minit itu dibuat dalam segmen kedua. Segmen pertama, juga dalam program yang sama melibatkan temuramah dengan ahli-ahli Parlimen," katanya.

PM percaya wakil rakyat BN tidak keluar parti

KUCHING - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya wakil rakyat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak akan keluar parti untuk menjadi pembangkang.

Perdana Menteri berkata, semua wakil rakyat BN di Sarawak telah telah menyatakan pendirian mereka untuk tetap menyokong parti itu.

Kerja Dengan Hati, Shabery Ingatkan Warga Kementerian Penerangan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek menasihati kakitangan jabatan dan agensi kementerian itu supaya bekerja bersungguh-sungguh dan dengan hati yang tulus bagi memastikan kementerian sentiasa relevan dan kekal sebagai ejen perubahan masyarakat.

Beliau berkata mereka perlu menggalas tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin, malah mesti peka dengan keadaan sekeliling termasuk media alternatif dan juga laman blog bagi memastikan kementerian berjalan seiring dengan keadaan semasa.

"Ini adalah tanggungjawab kita. Jangan nanti orang melihat orang lain sudah berubah tetapi yang masih tidak berubah ialah kita. Kita yang menyekat perubahan. Semalam kita umum sidang Dewan Rakyat akan disiarkan secara langsung selama setengah jam di RTM.

"Ini adalah pendekatan sejajar dengan keterbukaan. Ini adalah kekuatan. Berani menunjukkan keterbukaan itu bermakna kita sihat, menarik, relevan," katanya dalam ucapan sulung pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata anggota kementerian juga perlu menyahut cabaran baru daripada media alternatif yang semakin lama semakin penting dalam masyarakat bagi memastikan terus relevan selama-lamanya.

Ahmad Shabery juga mengingatkan kakitangan betapa kerajaan sudah banyak berjasa membina negara ini dan dengan itu semua perlu bersama-sama untuk meneruskan agenda yang sudah dimulakan sejak kepimpinan Perdana Menteri pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

"Ahli politik tidak kekal dan boleh datang dan pergi tetapi sebagai anggota kementerian, saudara kekal dalam kementerian dan InsyaAllah kita akan fikirkan yang terbaik dalam melaksanakan tugas ini," katanya.

Beliau turut mengumumkan Angkasapuri akan mendapat kemudahan perhubungan internet tanpa wayar (Wifi) dalam sedikit masa lagi. Pada masa ini terdapat beberapa kawasan di Angkasapuri yang sudah dilengkapkan dengan kemudahan itu termasuk di lobi. Katanya, kemudahan kenderaan bagi pengunjung ke Angkasapuri yang menggunakan pengangkutan awam juga akan disediakan dalam masa terdekat.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, beliau berkata langkah keterbukaan yang paling hampir pada masa ini ialah dengan menjemput dua orang penulis blog menjadi tetamu untuk Berita Perdana seminggu sekali bermula 20 April ini.

"Tampil di tv ini langkah meluas dan menunjukkan keikhlasan kami yang menganggap golongan blogger ada peranan dalam membangunkan bangsa.

Kita mahu mereka berkongsi dengan media arus perdana," katanya.

Ditanya sama ada selepas ini masyarakat akan lebih percaya kepada apa yang dipaparkan dalam laman web daripada media arus perdana, beliau berkata: " Tidak juga.. Sesetengah (perkara dalam blog) ada yang substantial, ada juga yang tidak berapa tepat. Ini ledakan baru (di mana ada orang percaya bahawa) apa yang dipapar di komputer itu betul dan tidak salah. Ini perkara biasa," katanya.

Mengenai cadangan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya Umno mewujudkan blog bagi menangkis tohmahan terhadap parti itu, Ahmad Shabery yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu berkata ada sesetengah pihak seperti sayap Pemuda dan mereka yang proUmno sudah mewujudkan blog masing-masing.

Katanya, langkah mengadakan blog mungkin tidak dapat menjawab semua perkara tetapi dapat menerang dan menyampaikan perkara-perkara asas.

Respon Pada Media Konvensional Dan Alternatif, Perkhidmatan Awam Digesa

Perkhidmatan awam hendaklah respon bukan hanya pada media konvensional tetapi juga yang alternatif, supaya penyampaian perkhidmatan lebih berkesan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Masa sudah berlalu apabila pegawai awam boleh memilih untuk mengabaikan media, aduan, telefon berbunyi atau surat kepada editor," katanya pada majlis ucapan makan tengah hari bertajuk "Cabaran Perniagaan Kompetitif Malaysia Dalam Ekonomi Global" di Kuala Lumpur semalam.

Beliau menambah anggapan bahawa media alternatif dikaitkan dengan "orang muda yang tidak berguna" bukan lagi sesuai sekarang kerana umur bukan lagi menjadi faktor.

Sidek berkata kecepatan maklumat di negara dan syarikat hari ini memerlukan pelan pengurusan krisis berdasarkan web bagi menangani kesan negatif penulis blog pada masa krisis.

"Perdana Menteri sendiri telah mewujudkan satu laman di mana orang ramai boleh menulis terus kepada beliau mengenai sebarang isu. Jika Perdana Menteri melakukan semua usaha untuk menggunakan orang awam secara individu dan terus, sudah pasti mewujudkan standard perkhidmatan untuk sektor awam dan swasta," kata beliau.

Laman web "warkahuntukpm.com.my" yang dilancarkan pada 1 Mac dan membolehkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berinteraksi terus dengan orang ramai secara keseluruhannya.

"Sebelum ini, terdapat berbezaan kepada pembekal perkhidmatan awam dan akibat kesediaan untuk menerima atau enggan, apapun mereka tawarkan. Ia tidak lagi menjadi kebenaran dalam iklim sekarang," kata beliau.

"Pelanggan kita meminta bukan hanya perkhidmatan, tetapi perkhidmatann dengan konsisten. Mereka tidak menerima dengan bulat-bulat," tambah beliau.

PM Tiba Di Sarawak Untuk Pertemuan Dengan Pemimpin BN Negeri

KUCHING, (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di Sarawak hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.


Ketibaan perdana menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 9.20 pagi disambut oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan dan Tan Sri Alfred Jabu, para jemaah menteri negeri serta kira-kira 2,000 rakyat pelbagai kaum.

Abdullah akan menghadiri mesyuarat tertutup bersama pemimpin BN negeri yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di sebelah pagi.

Pada tengah hari, beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Petra Jaya di sini sebelum menghadiri majlis jamuan yang dianjurkan oleh pemimpin BN Sarawak.

Satu lagi pertemuan akan diadakan pada sebelah petang dengan para pemimpin tersebut sebelum beliau berlepas pulang kira-kira pukul 4 petang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan
solat Jumaat di Masjid Jamek di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional itu berada di Sarawak
untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan
pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Bukan Usaha Untuk Rebut Jawatan - Hishammuddin

PUTRAJAYA, (Bernama) - Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Disember ini bukan untuk meletakkan dirinya dalam kedudukan bagi bertanding jawatan lebih tinggi.

"Mereka yang mengenali saya tidak akan melihatnya sebagai usaha untuk merebut jawatan kerana itu bukan cara saya dan itu bukan satu perkara yang merupakan keutamaan saya dalam berpolitik.

"Yang menggembirakan saya ialah kenyataan saya memberi semangat kepada anak-anak buah kita untuk bersama memulihkan bukan sahaja parti tetapi semangat ahli-ahli kita sehingga ke peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menteri Pelajaran itu semalam mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Disember ini tetapi tidak menyatakan jawatan yang akan ditandingi kerana menyerahkan kepada anggota parti untuk menentukan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata soal berkaitan jawatan, kebendaan dan perkara-perkara material tidak seharusnya dibangkitkan dalam usaha membina semula dan memulihkan semangat parti.

Beliau sebaliknya menyeru ahli Umno untuk belajar daripada pengalaman pilihan raya lalu, dan keluar daripadanya dalam keadaan yang lebih kuat, mantap dan kukuh.

"Ini merupakan cara kita daripada dulu lagi. Cabaran-cabaran perpecahan, dugaan, ujian kepada parti Umno ini bukan satu perkara yang baru tetapi setiap kali kita melaluinya, kita keluar daripada kemelut ini dalam keadaan yang lebih kuat. Ini tugas kita bersama," katanya.

Hishammuddin berkata maklumat balas yang diterima berhubung keputusannya itu adalah positif, malah ramai yang memberikan semangat kepadanya dan sedar mengenai tujuannya iaitu untuk kepentingan parti.

"Ini kerana mereka mahu melihat perubahan, bukan kerana mereka gembira melihat saya pergi," katanya.

Umno Dalam Darurat, Kata Tengku Razaleigh

GUA MUSANG, (Bernama) - Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata parti itu kini dalam keadaan "darurat" sokongan dan keyakinan rakyat terhadapnya terjejas.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata tindakan segera perlu diambil sebelum kerosakan yang berlaku di dalam parti merebak sehingga menjejaskan asas tamadun dan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang telah dibina sejak 1946.

"Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan Umno yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup Umno selama 60 tahun," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini yang dihadiri 2,000 pemimpin, ahli Umno dan pemerhati politik.

Seramai anggota 423 perwakilan daripada 191 cawangan Umno bahagian itu hadir pada mesyuarat itu bagi meluluskan usul untuk mendesak Majlis Tertinggi Umno supaya mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan punca prestasi teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Tengku Razaleigh berkata muhasabah itu bertujuan membincangkan kelemahan dan kesalahan Umno selama ini dan memikirkan visi baru Umno untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

"Rakyat hari ini tidak sabar lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas (dan) harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka.

"Umno perlu terus relevan dengan cita- cita, harapan dan tuntutan mereka," katanya.

Beliau menggariskan beberapa perkara yang menjadi punca kelemahan Umno mulai tahun 1980an sehingga pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Antara kelemahan itu adalah musnahnya demokrasi dalam Umno apabila perlembagaannya dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak bertanding jawatan presiden hendaklah mendapatkan pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian Umno, kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata langkah itu bermaksud calon yang ingin bertanding untuk jawatan presiden memerlukan pencalonan daripada 58 bahagian Umno.

"Tujuan kononnya untuk mengelak supaya tidak sebarang anggota parti sesuka hati mengemukakan dirinya sebagai calon presiden atau jawatan lain. Saya tidak fikir anggota Umno yang tahu diri dan berbudaya sesuka hati saja mencabar presiden Umno," katanya.

Tengku Razaleigh berkata bahawa sebelum kuota itu diperkenalkan, Umno pernah mengadakan peraturan iaitu calon perlulah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja dan peraturan itu disifatkan sebagai munasabah.

"Untuk menyelamatkan Umno dan menjadikan parti itu terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan di dalam Umno," katanya.