Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 3, 2008

MB Selangor Perjelas 362 ketua kampung menyokong BN

Ketika Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta mengulas tentang 362 ketua kampung yang dilantik oleh UMNO dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semalam beliau menjawab.

"Saya tidak fikir ketua kampung tersebut diambil kerja oleh UMNO kerana jika begitu, gaji mereka seharusnya dibayar oleh UMNO.

Jika gaji mereka dibayar oleh kerajaan persekutuan, ia bukan duit UMNO tetapi pada dasarnya wang pembayar cukai," katanya.

Ditanya sama ada langkah ketua kampung itu akan menjejaskan hubungan mereka dengan kerajaan negeri PKR-DAP-PAS, beliau berkata: "Tidak, saya fikir tidak begitu. Mereka boleh menjamin kesetiaan mereka kepada Umno.

Mereka kemudian boleh juga berbuat demikian kepada PKR, PAS dan DAP.

Katanya ketua-ketua kampung boleh menemui Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kerana ia adalah tugas mereka tetapi untuk mengatakan mereka bekerja untuk Umno sahaja adalah salah.

'Jika itu sikap mereka, mereka tidak sepatutnya menerima lagi sebarang bayaran dari kerajaan pusat kerana wang kerajaan pusat adalah wang pembayar cukai dan Selangor adalah antara negeri terbesar memberikan cukai itu," katanya.

Abdul Khalid berkata walaupun mempunyai pandangan berbeza dalam politik, beliau masih menyambut menteri-menteri dari kerajaan pusat kerana mereka masih merupakan pemimpin rakyat Malaysia yang mempunyai tujuan sama -- bekerja untuk memajukan semua masyarakat di negara ini.

Katanya sebagai menteri besar, beliau bertanggungjawab kepada semua rakyat di negeri itu tanpa mengira sama ada mereka merupakan ahli mana-mana parti politik atau tidak bersekutu dengan mana-mana badan politik.

Pembayar cukai di Selangor membayar gaji saya sebagai menteri besar, katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel pengurusan sukan bagi Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2008.

Mukhriz sewajar berada dalam pembangkang

TINDAKAN Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menulis surat yang disifatkannya sebagai 'peribadi' meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan bolehlah dianggap sebagai 'ingin menjadi hero' ketika Umno menghadapi saat-saat genting.

Mukhriz sebenarnya boleh menjadi hero, seperti bapanya dahulu, yang mencadangkan kepada Tunku Abdul Rahman Putra melepaskan jawatan ekoran tragedi 13 Mei 1969, tetapi suasana sekarang, tidak sama dengan apa yang berlaku ketika itu.

Langkah pertama yang Mukhriz harus ambil ialah, membuktikan dia hebat apabila duduk di Parlimen, berdepan dengan pembangkang yang ramai dengan mempertahankan kerajaan dan parti yang diwakilinya! Tunjukkan kehebatan ketika berdepan dengan pembangkang bukan sesama sendiri.

Menulis surat menyeru Perdana Menteri meletakkan jawatan boleh sahaja dibuat oleh 'budak-budak lulusan SRP' kerana mereka tidak menjadi Ahli Parlimen dan tidak memegang jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno. Orang yang terpelajar dan anak kepada bekas Perdana Menteri sepatutnya tidak berfikiran seperti budak-budak lulusan SRP!

Dr. Mahathir tewas dalam tahun 1969 di tangan Ustaz Yusof Rawa. Dia bertindak menyerang kepimpinan waktu itu kerana dia tewas. Berbeza dengan Mukhriz, dia menang dan rusuhan kaum tidak berlaku di negeri-negeri yang dimenangi parti pembangkang. Mengapa dia 'mencelah' ketika ini untuk tampil menonjolkan diri?

Tidak silap sebenarnya Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu menolaknya dalam pemilihan tiga tahun dahulu. Walaupun dia menang dalam usahanya menjadi perwakilan tujuh (G 7) tetapi sikapnya ini tidak perlu ada di kalangan pelapis dalam Umno.

Jika pencapaian BN tidak mencapai 2/3 di Parlimen mahu diletakkan di bahu Perdana Menteri, mengapakah suara yang sama Mukhriz tidak tujukan kepada kepimpinan di peringkat negeri-negeri yang tewas?

Sepatutnya boleh sahaja Mukhriz, sama ada atas sifat peribadi atau kedudukannya sebagai Exco Pergerakan Pemuda, menulis surat atau membuat kenyataan terbuka meminta Pengerusi-Pengerusi BN Negeri-negeri yang tewas, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan (menang tanpa 2/3) dan Perak meletakkan jawatan kerana harus bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut.
Kenapa Mukhriz tidak berfikiran sedemikian?

Beberapa pemimpin Umno peringkat negeri, termasuk Pulau Pinang tampil mencadangkan Mukhriz dipecat tetapi Perdana Menteri, ketika mengulas surat Mukhriz itu, dengan penuh kesabaran menyerahkan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil tindakan.

Mukhriz sebenarnya tidak tahu tugasnya selepas dia memenangi kerusi Parlimen Jerlun. Dia belum pun mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Yang DiPertua Dewan Rakyat. Inilah masalahnya, apabila kepimpinan Umno memilih calon-calon dari kalangan bangsawan.

Mukhriz sebenarnya sudah acap kali mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan kepimpinan Pemuda. Mungkin dia merasakan dia jauh lebih hebat dari rakan-rakan dalam Exco Pemuda. Mungkin juga dia tidak mahu dikenali sebagai Mukhriz anak Tun Dr. Mahathir yang tidak berjiwa 'hero'. Maka, inilah ketika dan saat yang dia kira paling sesuai untuk menonjolkan diri.

Sebenarnya, semangat dan jiwa Melayu sudah semakin berkurangan dalam diri anak-anak bangsawan. Mereka tidak ada darah perjuangan membela parti, bangsa dan agamanya. Perjuangannya ialah menyerang pemimpin mereka sendiri, sedangkan dia sepatutnya berjuang menentang dan menyerang pembangkang.

Mengapa Mukhriz tidak mahu berada di dalam Pas, KeADILan atau DAP? Suaranya itu cukup sesuai jika dia berada di sebelah sana. Silap parti dia sebenarnya.

Ketika semua pihak di dalam gabungan tidak rasmi pembangkang menyerang kepimpinan BN, Mukhriz boleh bingkas bangun mempertahankan. Inilah perjuangan sebenarnya.

Bersama dalam semua ketika. Susah atau senang.

Tidakkah Mukhriz terfikir bahawa apa yang berlaku sekarang ini, ada kaitan dengan 'legasi' peninggalan Dr. Mahathir yang kesannya terpaksa ditanggung kepimpinan sekarang.

(Artikel dari Kelab Penyokong UMNO)

'Orang itu terlalu kebal'

Tindakan disiplin ke atas ahli termasuk bekas pemimpin utama UMNO yang mengeluarkan kenyataan memburukkan kepimpinan parti agak sukar dilakukan kerana mereka sudah dianggap terlalu 'kebal'.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tiada siapa berani mencadangkan bekas pemimpin UMNO itu dikenakan tindakan disiplin meskipun pada zaman bekas Perdana Menteri itu memimpin banyak ahli dan pemimpin dihukum termasuk disingkir daripada parti.

''Zaman pemimpin kita dulu tindakan dibuat, ramai orang yang kena, orang yang melanggar (disiplin parti) yang dianggap menentang parti dan sesiapa yang menyokong pembangkang.

''Tetapi oleh kerana orang itu kebal, kalau sesiapa cadang dia diambil tindakan, mana boleh kerana ini orang kebal," katanya.

Beliau mungkin merujuk 'orang kebal' itu sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di Putrajaya semalam.

Beliau ditanya adakah UMNO akan mengambil tindakan disiplin ke atas ahli parti termasuk bekas pemimpinnya yang bertindak memburukkan kepimpinan parti termasuk secara terbuka meminta Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Muhammad berkata, mereka yang boleh diambil tindakan disiplin hanya ahli parti di peringkat bawahan sebaliknya mereka yang 'kebal' tidak wajar dikenakan hukuman.

"Inilah keadilan politik yang ada sekarang," katanya sinis sambil menambah keadaan itu berbeza ketika zaman 70-an dan 80-an apabila terdapat ahli dan pemimpin UMNO disingkir dan dibuang parti.

Bagaimanapun sekarang, katanya, meskipun bekas pemimpin utama UMNO itu melakukan perbuatan yang sama iaitu secara jelas menyokong pembangkang, tiada siapa berani cadang beliau dikenakan tindakan disiplin.

"Yang menjadi mangsa ialah Pak Lah (Abdullah). Soal perubahan pemimpin ia dipilih dalam parti, biarlah proses parti berjalan macam biasa mengapa nak paksa beliau meletakkan jawatan," katanya.

Mengenai cadangan pemansuhan kuota pencalonan bagi pemilihan Presiden parti, Muhammad berkata, langkah itu diibaratkan seperti meminta pengadil mengubah peraturan ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

"Ini tidak adil kerana sebenarnya pemilihan sudah bermula. Kita tidak boleh meminta pengadil memberhentikan permainan untuk kita menukar peraturan seperti perlu besarkan pintu gol," katanya.

Katanya, selama 22 tahun sistem kuota dilaksanakan di bawah kepimpinan Dr. Mahathir dan sistem yang sama diteruskan oleh kepimpinan Abdullah.

''Saya fikir yang lebih sesuai, kita selesaikan dahulu pemilihan. Selepas itu pasukan baru boleh terima pembaharuan bahawa sistem kuota itu tidak adil.

''Zaman kita jadi pemimpin kita kena adil dan zaman orang lain memimpin juga kena adil. Jangan zaman kita buat cara begini, bila kita dah tak ada, mahu diubah kerana dikatakan tidak adil," katanya.

Muhammad Muhd Taib Komen Tindakan Tun M.

Mengimbau pengalaman sebagai orang yang pernah duduk dibawah pentabiran Tun Dr Mahathir Mohamad selama 11 tahun, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau tidak nampak sebarang rasional dan keadilan dalam, tindak tanduk bekas Perdana Menteri itu yang terus-menerus menyerang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi termasuk memintanya letak jawatan.

Beliau mengambil contoh ketika Barisan Nasional kehilangan Terengganu masa pilihanraya tahun 1999.Katanya waktu itu tiada siapa yang meminta Dr Mahathir letak jawatan. Bahkan, bila PAS kalah di Terengganu pada tahun 2004 kenapa tiada siapa yang meminta Nik Aziz Nik Mat letak jawatan?

Merujuk kepada pandangan Dr Mahathir bahawa sistem kuota pencalonan bagi mereka yang nak bertanding jawatan dalam UMNO perlu dimansuhkan. Muhammad menjelaskan selama 22 tahun sistem kuota dilaksanakan di bawah kepimpinan Dr. Mahathir dan sistem yang sama diteruskan oleh kepimpinan Abdullah.

Jelaslah apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir terhadap Abdullah tidak adil samasekali dan sesiapapun tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pemimpin terhadap prestasi BN dalam pilihanraya baru-baru ini kerana ia melibatkan berbagai faktor. Ini, termasuk peranan yang dimainkan oleh laman blog,internet dan SMS yang tidak digunapakai oleh BN sepenuhnya.

Ditanya tentang kemungkinan UMNO mengambil tindakan disiplin ke atas ahli parti yang memburukkan kepimpinan serta meminta Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan, Muhammad mengeluh pada apa yang disifatkanya sebagai ."inilah keadilan politik yang ada sekarang."

Beliau berkata sekalipun bekas Perdana Menteri itu melakukan perbuatan yang secara tidak langsung menyokong pembangkang, tiada siapa berani untuk mencadangkan beliau dikenakan tindakan disiplin. Kerana pengaruh beliau selama 22 tahun memegang jawatan PM masih segar dihati rakyat.

“Yang menjadi mangsa ialah Pak Lah. Soal perubahan pemimpin ia dipilih dalam parti, biarlah proses parti berjalan macam biasa mengapa nak paksa beliau meletakkan jawatan," katanya.

''Zaman pemimpin kita dulu tindakan dibuat, ramai orang yang kena, orang yang melanggar (disiplin parti) yang dianggap menentang parti dan sesiapa yang menyokong pembangkang. tetapi oleh kerana orang itu kebal, kalau sesiapa cadang dia diambil tindakan, siapa yang berani kerana ini orang kebal pengaruh politiknya," katanya.

PM Tidak Perlu Berundur

PERDANA Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta tidak mengundurkan diri dari semua jawatan yang disandangnya kerana kepimpinannya masih diperlukan ketika ini walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memenangi pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2/3. Dari tinjauan rambang yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Alor Star, Johor Bahru dan Kuala Lumpur, beberapa peniaga yang ditemui mengatakan bukan semua kesalahan boleh diletakkan atas bahu PM.

Sambil menyokong langkah yang diambil bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN Negeri Selangor kerana mengambil sikap bertanggungjawab atas kekalahan BN di Selangor dalam PRU 12 yang lalu, Hassan Abdul, 46 dari Jalan Skudai, Johor Bahru berpendapat;

“BN masih menang. Walaupun satu kerusi lebih, menang tetap menang. Kenapa nak desak Perdana Menteri berundur?”

Ditanya pendapatnya mengenai kenyataan bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Datuk Seri Abdullah perlu bertanggungjawab di atas keputusan PRU 12 yang lalu, Hassan berkata; “Dr. Mahathir dulu ketika menang jawatan Presiden Umno hanya dengan 43 undi masih mahu terus kekal sebagai Presiden Umno walaupun didesak untuk berundur.”

Haji Ismail Abdul Hakim, 70 dari Alor Star turut menyokong pendapat yang mengatakan Perdana Menteri tidak perlu berundur kerana prestasi BN kurang cemerlang dalam PRU 12 yang lalu.

Menurutnya, ada pelbagai isu yang melanda negara. Bukan PM sahaja yang boleh dipersalahkan tetapi para menteri Kabinet juga seharusnya bertanggungjawab di atas kemerosotan prestasi BN.

Sambil menyebut isu Datuk Seri Rafidah Aziz yang digambarkan menjadi penyebab kepada kebanjiran kereta-kereta import hingga melemahkan industri Proton di negara ini, Haji Ismail berkata, Rafidah jangan cuba melarikan diri dari tanggungjawab kemerosotan pencapaian BN dalam PRU 12 yang lalu.

Sementara itu, Fadzil Che Din, 58 dari Pulau Pinang yang ditemui di Kuala Lumpur menyalahkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Afdal yang disifatkannya gagal memberi penjelasan yang menyakinkan kepada rakyat ekoran kenaikan harga barang-barang keperluan termasuk harga minyak.

“Jika Perdana Menteri cepat memindahkan Mohd Shafie dari kementerian itu tempohari, saya penuh yakin BN tidak akan mengalami nasib teruk seperti ini,” sambung Fadzil.

Katanya lagi, nak salahkan PM memang mudah tetapi hakikatnya sebenarnya orang-orang di keliling PM termasuk menteri-menteri Kabinet yang cuba melepaskan diri dari menerima tanggungjawab ini.

Fadzil seterusnya meminta rakyat bertenang dan memberi peluang kepada PM untuk terus memperbaiki parti dan pasukannya untuk membawa era kegemilangan Malaysia.

(Artikel dari Kelab Penyokong Maya UMNO)

Mukhriz perlu dipecat dari jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia

Sekarang ini Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir begitu lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Paling terbaru semalam dalam satu forum di Petaling Jaya di mana beliau secara terbuka menghentam Pak Lah.

Yang saya hairan bagaimana Ketua Pemuda, Datuk Hishamudin Tun Hussein boleh senyap sahaja? Sepatutnya beliau menyelar Mukhriz kerana memalukan Presiden UMNO di khalayak ramai. Pemuda UMNO perlu bertindak tegas dengan memecat Mukhriz dari jawatan Exco Pemuda.

(artikel dari Kelab Penyokong Maya UMNO)

Mentaliti generasi muda percaya maklumat blog ubah senario politik negara

"MEREKA suka baca blog dan menjadi masyarakat Starbucks dan apabila balik kampung golongan muda ini menyebarkan cerita apa yang diperoleh di laman web itu kepada rakan sekampung. Mereka percaya bulat-bulat apa yang dibaca tanpa tapisan termasuk cerita mengenai pilihan raya umum."

Itu antara kata-kata Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Malah, katanya, golongan muda ini juga terlalu emosional dan akan terus bertindak mengikut perasaan dan tidak mustahil ada antara mereka yang mahu ‘cuba-cuba’ mengundi.

“Bagaimanapun, gara-gara ‘cuba-cuba’ itu akhirnya membawa padah sehingga menyebabkan kekalahan besar kepada calon Barisan Nasional (BN),” katanya.

Kenyataan Noraini itu menggambarkan senario serta mentaliti masyarakat sekarang, termasuk generasi muda yang kerap mendapatkan maklumat daripada blog mengenai perkembangan terkini suasana politik negara.

Malah, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mengakui serangan siber oleh pihak tertentu yang menyebelahi pembangkang pada pilihan raya lalu menambah kemerosotan jumlah undi dan sokongan rakyat terhadap BN.

Perang siber menerusi internet berleluasa sepanjang kempen pilihan raya, sekali gus memberi imej buruk kepada BN.

Justeru, Puteri Umno yang memenangi enam daripada 10 calonnya sedang melakukan ‘post-mortem’ terhadap keseluruhan prestasi pada pilihan raya lalu itu.

Noraini berkata, apa pun yang berlaku Puteri Umno akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN dan sayap paling muda Umno itu bertekad untuk memperkukuhkan lagi kedudukan parti.

Sejajar dengan misi itu, Puteri mahu membuka tirai baru dengan memastikan pergerakan itu mampu berganding hebat bersama sayap BN yang lain untuk memperkuatkan parti supaya terus mendapat kepercayaan rakyat pelbagai kaum.

Serentak itu, perkara yang akan dilakukan adalah untuk menubuhkan jawatankuasa khas serta memberi latihan penulisan kepada ahlinya, terutama di kalangan Exco supaya mampu memberikan maklumat tepat bagi menangkis serangan siber daripada pihak tertentu.

“Kita bangga enam daripada 10 calon Puteri menang dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Selain Noraini, lima calon Puteri yang menang ialah Rosnah Abdul Rashid yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Papar, manakala empat lagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah); Datuk Shahaniza Shamsuddin (Kuala Sentul); Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Dr Wan Norashikin Wan Nordin (Kampung Gajah).

“Cuma kita melihat ada serangan siber menerusi internet. Kita akan buat perbincangan berkaitan perkara itu. Orang muda lebih cepat mendapatkan maklumat dan menerima saja bulat-bulat tanpa tapisan.

“Puteri juga akan memantau blog kerana percaya golongan muda tidak suka membaca surat khabar dan sebilangannya tidak menonton berita di televisyen. Mereka suka melepak di pusat internet. Kebanyakan orang muda ini tidak fikir apa kesannya jika terlalu mempercayai cerita ditulis dalam blog. Malah, mereka juga suka bertanya mengapa tidak boleh buat sesuatu benda. Mereka tiada jati diri yang kuat,” katanya.

Ledakan dunia komunikasi tanpa sempadan itu menjadikan semua maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Malah, internet boleh dianggap sebagai medium pemujukan yang tersembunyi.

Menerusi internet serta blog, sesiapa saja boleh memujuk orang ramai untuk keluar mengundi dan mempengaruhi mereka untuk memilih pemimpin tertentu. Paling mengharukan ia dijadikan laman menghentam dan menyerang seseorang individu secara peribadi tanpa rasa belas kasihan.
Semua gejala itu sedikit sebanyak turut menyumbang ke arah kurangnya sokongan rakyat terhadap BN.

Oleh itu, jawatankuasa khas yang ditubuhkan nanti akan melihat keseluruhan senario itu dan memikirkan strategi bagaimana untuk mendidik golongan muda lebih peka terhadap kepentingan negara.

Pada masa sama, Puteri juga akan menyediakan program khusus untuk mendekatkan golongan muda kerana pendekatan menerusi ceramah, terutama berkaitan politik atau perjuangan politik, gagal meraih minat di kalangan mereka dan tidak suka untuk mendengarnya serta membosankan.

Puteri akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan yakin Umno akan lebih kukuh selepas ini kerana mempunyai sayap dan jentera yang ramai. Oleh itu, Noraini mahu disediakan maklumat yang cekap dan tepat.

Ketika ini, Puteri yang mempunyai keahlian seramai 400,000 di seluruh negara menjadi tulang belakang kepada BN untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Umno. Matlamat Puteri sekarang adalah untuk menambah keahlian sekurang-kurangnya 10 peratus dengan mensasarkan anak muda lepasan sekolah.

Jika sebelum ini, mereka yang berminat menjadi ahli mendaftar di pejabat, kini Puteri akan bergerak aktif ke seluruh negara terutama di tempat tumpuan orang ramai untuk menambah keahlian. Ini akan memudah serta menggalakkan remaja muda menyertai Puteri .

Pada masa sama, selain menambah keahlian, perancangan Puteri adalah untuk memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan kebajikan ahlinya.

Puteri akan memberi penekanan kepada aspek ekonomi dan keusahawanan serta tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada kerajaan, sebaliknya mahu mereka menjadi usahawan.

“Ramai golongan muda termasuk lepasan sekolah masih terkapai-kapai mencari arah tujuan. Justeru, tumpuan terus diberikan kepada mereka bagi memastikan generasi muda lebih dinamik dan berkualiti,” katanya.

Abdullah minta Guan Eng hati-hati buat kenyataan

PUTRAJAYA (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana pemimpin DAP itu kini adalah ketua sebuah kerajaan negeri.

“Beliau tak seharusnya cuba meraih populariti,” kata Perdana Menteri kepada Bernama selepas pertemuan selama 30 minit dengan Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, di pejabatnya di sini.

Abdullah berkata: “Saya memberitahu beliau yang kita sedang mengawasi dengan teliti apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang. Saya nasihatkan beliau bahawa beliau kini menerajui sebuah kerajaan negeri dan beliau seharusnya berhati-hati ketika membuat kenyataan.”

Merujuk kepada kenyataan Lim baru-baru ini mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), Perdana Menteri berkata, Lim tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang mengaitkan dasar itu dengan rasuah.

Abdullah berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan liar seperti itu kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan salah faham yang sukar dibendung

Henti spekulasi PM letak jawatan, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR (Bernama) — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pihak menghentikan spekulasi kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meletak jawatan kerana ia tidak membawa sebarang faedah kepada negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ini kerana sebarang spekulasi berhubung kedudukan kepimpinan negara akan memberikan kesan negatif kepada kemasukan pelabur asing dan situasi itu juga tidak akan menguntungkan rakyat.

“Ya (hentikan spekulasi). Kalau lihat kepentingan negara memang kita hendak supaya tiada spekulasi. Lebih-lebih lagi yang menyentuh soal kedudukan kepimpinan tertinggi negara.

“Ketidaktentuan dalam suasana politik mana-mana negara disebabkan spekulasi seperti itu tidak akan membawa keuntungan malah kerugian kerana orang bimbang dan takut... Itu yang kita nak elakkan,” katanya ketika ditanya pemberita apakah spekulasi seperti itu perlu dihentikan selepas melawat syarikat Malaysian Industrial Development Finance Berhad di Jalan Raja Chulan di sini hari ini.

Najib ketuai `turun padang’ mulai 10 April

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai program turun padang bagi menemui ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk memberi penjelasan berhubung keadaan semasa dalam parti.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Timbalan Presiden parti akan memulakan kempen itu pada 10 April ini di Kedah dan Pulau Pinang diikuti ke Perak dan Selangor pada 14 April ini sebelum ke Wilayah Persekutuan.

"Kita telah bersedia sekarang untuk mengatur dan menyusun semula inisiatif kita menemui ahli-ahli di akar umbi."katanya.

Najib akan bertemu dengan ahli-ahli akar umbi membabitkan tiga sayap; Wanita, Pemuda, Puteri dan juga di peringkat bahagian,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menutup Seminar Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Matrade, semalam.

Teka Teki Terjawab : Hishammuddin Tidak Pertahankan Jawatan Ketua Pemuda

Teka teki tentang kedudukan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi pemilihan UMNO Disember ini terjawab apabila beliau mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Dalam sidang medianya selepas mengumumkan hasil laporan kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) di sini, hari ini, beliau berkata selepas 10 tahun memimpin Pemuda telah sampai masanya untuk memberi laluan kepada muka baru.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jawatan yang akan ditandingi kerana menyerahkan kepada anggota parti untuk menentukan.

"Perkara ini saya telah bincang dan fikirkan telah lama dah, pada masa dan ketika itu kita rasa tidak sesuai untuk saya umumkan, tetapi hari ini masanya telah tiba untuk saya menyatakan pendirian saya.

"Malah Pemuda UMNO kini dalam keadaan padu dan baik berbanding keadaan yang berpecah ketika saya mula menerajuinya 10 tahun lepas", katanya.

Beliau seterusnya berkata akan terus memimpin Pemuda dan pastikan pergerakan itu terus kuat sehingga pemilihan parti Disember ini.