Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, April 2, 2008

Cartoon Corner
siapa menang.??

Perkasa Parti : Pemuda Mahu Dengar Suara Akar Umbi, Golongan Profesional Muda

Pemuda UMNO hari ini mengambil tindakan pro aktif untuk segera turun ke akar umbi bagi memberi semangat dan memperkasa parti dengan bertemu dan mendengar suara ahli dan golongan muda termasuk professional.

Tindakan ini diambil hasil dari maklum balas dan pandangan yang diterima dari setiap Setiausaha Pemuda UMNO Negeri yang hadir dalam satu pertemuan yang diadakan di sini, hari ini.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan pilihanraya umum lalu menuntut UMNO agar segera mencari punca bagi mengembalikan semula kekuatan parti.

Jelas beliau UMNO perlu segera kembali ke akar umbi untuk mendengar luahan isi hati mereka dan perubahan yang perlu dilakukan terhadap parti.

"Pemuda adalah golongan yang pertama menerima dan menghormati keputusan yang dibuat rakyat menerusi pilihanraya umum lalu.

"Kita telah mendengar pelbagai alasan dan faktor berhubung keputusan pilihanraya tersebut dan kini adalah masa untuk kita kembali ke akar umbi untuk memperkasakan semula parti.

"Apa yang mereka mahukan. Apakah mereka mahu tukar cara pentadbiran kita, dasar kita malah jika mereka mahu perubahan kepimpinan sekalipun kita mesti akur dan terima", katanya.

Pertemuan yang diadakan selama lebih dua jam itu dihadiri seluruh Setiausaha Pemuda UMNO negeri kecuali Perlis, Kedah dan Perak.

Jelas beliau lagi selain turun menemui ahli di peringkat akar umbi, Pemuda juga akan mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan golongan muda professional Melayu bagi memahami citarasa dan asiprasi mereka terhadap UMNO.

Tambah beliau golongan ini merupakan golongan penting yang menjadi pemangkin kepada pendapat rakyat di bawah.

"Kita mahu adakan pertemuan dengan golongan ini bagi mendapat pandangan mereka secara jujur. Kita mahu mendengar pendapat mereka. Apa bentuk dan cara kepimpinan yang mereka inginkan", ujarnya.

Mengenai bentuk pertemuan yang ingin diadakan, beliau berkata ia akan diadakan dalam satu kumpulan kecil tidak lebih dari 50 orang.

Katanya, "Pertemuan dalam kumpulan kecil ini lebih effisien dan kita akan mulakan menerusi pertemuan di Kuala Lumpur dan mungkin selepas ini di negeri-negeri lain".

Beliau turut memberitahu pertemuan ini juga turut membincangkan soal sistem kuota dalam pemilihan parti.

"Ada pelbagai pandangan yang diberikan. Ada yang minta sistem itu dikekalkan, dihapuskan, dikurangkan peratus kuotanya dan pelbagai lagi.

"Setiap pandangan ini akan kita rekodkan dan serahkan kepada kepimpinan kita Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin untuk dibawa ke peringkat tertinggi parti", ujarnya.

Pastikan Kepentingan Kontraktor Kelas F Terjamin - PERKOBF-KL

Persatuan Kontraktor Bumiputra Kelas F Kuala Lumpur (PERKOBF-KL) bimbang pelaksanaan sistem tender terbuka bagi projek bernilai RM50,000 ke atas oleh Kerajaan Pulau Pinang akan turut dibuka kepada kontraktor kelas lain.

Yang Dipertua PERKOBF-KL, Ahmad Awang berkata menerusi peruntukan sedia ada, setiap kontrak bernilai RM200,000 ribu dan ke bawah akan diberi kepada kontraktor kelas F dan dibuat melalui dua kaedah iaitu secara undi kepada kontrak RM100,000 ribu ke bawah manakala sebut harga bagi kontrak RM100,000 ribu ke atas dan berharap jika sistem itu (tender terbuka) dilaksanakan, kepentingan kontraktor Kelas F akan tetap terjamin.

Ahmad berkata peruntukan sedia ada oleh Kementerian Kewangan yang menetapkan kontrak bernilai RM200,000 ke bawah diberi kepada Kontraktor Kelas F, terus digunapakai.

Pada 19 Mac lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan sistem tender terbuka terhadap semua kontrak bernilai RM50,000 ke atas deangan cara cabutan undi bergilir-gilir.

Orang Ramai Boleh Dapatkan Maklumat Melalui E-Press

Pengamal media dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti dan kenyataan rasmi pemimpin negara, kementerian dan jabatan kerajaan melalui perkhidmatan e-press Jabatan Penerangan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pengguna dan Pengangkutan Melaka, R.Perumal berkata perkhidmatan secara on-line itu boleh dicapai melalui laman web di alamat www.penerangan.gov.my dan klik hiperangkai e-press.

"Pengisian data dan maklumat e-press akan dilaksanakan oleh Penyelaras Media Negeri setiap hari secara on-line melalui aplikasi e-press bagi memastikan ianya sentiasa dikemaskini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan negeri Melaka di sini hari Rabu.

Perumal berkata pengguna boleh melayari e-press itu secara percuma tanpa perlu mengisi nama pengguna atau kata laluan.

Beliau berkata e-press juga memberi peluang kepada agensi kerajaan dan swasta yang ingin membuat liputan akhbar mengenai sesuatu aktiviti yang dianjurkan mereka dengan memberi maklumat tersebut kepada Jabatan Penerangan Melaka.

Ketua Menteri Tidak Terkecuali Dipanggil Beri Keterangan Berhubung DEB

PULAU PINANG, (Bernama) - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak akan terkecuali daripada dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan mengenai kenyataannya berkaitan sistem tender terbuka yang akan mengantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kata Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata perkara itu adalah prosedur biasa yang dilakukan oleh polis semasa menjalankan siasatan.

"Sesiapa sahaja boleh dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, termasuk juga Ketua Menteri (Lim Guan Eng). Itu perkara biasa dalam menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena sambutan Hari Polis ke-201 di Pengkalan Marin Wilayah Utara, Batu Uban di sini hari Selasa.

Siasatan itu diadakan berikutan laporan polis yang dibuat seorang peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zain pada 14 Mac lepas yang meminta pihak berkuasa menyiasat Lim yang beliau dakwa telah mengeluarkan kenyataan cukup sensitif kepada orang Melayu.

Ditanya bila polis akan memanggil Lim untuk memberi keterangan, Salleh berkata ia bergantung kepada tahap dan proses siasatan kes itu.

Beliau berkata polis juga akan mengambil keterangan daripada wartawan yang menghadiri sidang akhbar Lim mengenai sistem terbuka yang bakal dilaksanakan kerajaan campuran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengantikan DEB sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri baru-baru ini.

"Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, itu prosedur biasa. Bila ada laporan yang dibuat, kita akan siasat kes dan ambil keterangan untuk memastikan sama ada kes itu kukuh atau sebaliknya.

"Kalau ada keterangan yang kukuh, kita akan dakwa dan sebaliknya," kata Salleh.

Sementara itu, Salleh turut mengumumkan kenaikan pangkat Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Wan Abdullah Tunku Said yang akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri mengantikan Datuk Abu Samah Mat.

"Abu Samah yang turut dinaikkan pangkat akan bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur. Majlis penyerahan tugas akan berlangsung pada hari Jumaat ini di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang," katanya.

Ahli Majlis PBT Dan JKKK Dari Umno Kedah Diarah Letak Jawatan

ALOR STAR, (Bernama) - Semua 1,938 anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya daripada Umno diarah meletak jawatan berkuatkuasa semalam ekoran kekalahan Barisan Nasional di negeri itu dalam pilihan raya 8 Mac lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat badan itu yang dipengerusikannya di pejabat Umno Kedah di sini malam tadi.

Katanya semua anggota JKKK yang dilantik oleh kerajaan BN pada 2006 dan tahun lepas untuk tempoh dua tahun yang hadir pada mesyuarat itu mencapai persetujuan bersama untuk meletak jawatan.

"Bagaimanapun mulai semalam juga semua JKKK tersebut akan dilantik sebagai JKKK Persekutuan dan mereka akan ditauliahkan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Mahdzir, yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah, berkata peranan dan tugas JKKK Persekutuan adalah sama seperti tugas JKKK negeri .

Sebelum ini semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari parti komponen BN yang lain telahpun melepaskan jawatan mereka selepas BN tumbang pada pilihan raya umum itu.

Mahdzir berkata sebahagian ahli majlis PBT dari Umno menghantar surat peletakan jawatan mulai semalam dan selebihnya akan berbuat demikian hari ini.

UMNO Perlu Segera Tawan Ruang Siber, Fahami Selera Pengundi Muda

Oleh : Wadisu77

Dunia Internet merupakan satu sumber maklumat yang tiada sempadan. Rakyat hari ini lebih banyak menghabiskan banyak masa di depan komputer untuk mengikuti perkembangan negara dan dunia. Sumber ini merupakan tarikan utama di mana media elektronik (TV & Radio) telah menjadi pilihan kedua.

Sewajarnya hal ini tidak harus dipandang remeh kerana para intelektual menggunakan saluran ini untuk mencari maklumat dan berforum.

Golongan intelektual ini pula akan mengkhabarkan apa-apa berita kepada golongan yang buta Internet. Secara tidak lansung maklumat disalurkan pula melalui lisan.

Perbincangan hari ini banyak berlandaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU12) dan sifat kekurangan pada kerajaan yang memerintah.

Ini merupakan nukilan daripada perasaan keseluruhan rakyat amnya dan masyarakat Melayu khususnya.

Setiap hari apa yang dibangkitkan adalah sikap tidak berpuas hati terhadap pembelaan kerajaan kepada masyarakat Melayu. Hanya segelintir yang mendapat manfaat daripada semua yang dirancangkan oleh kerajaan.

Banyak kepincangan yang berlaku terhadap perlaksanaan dasar dan agenda kerajaan.

Semua pelaksanaan ini hanya dikawal oleh sesetengah individu yang berkepentingan dalam kerajaan. Inilah apa yang rata-rata diperkatakan oleh rakyat apabila penulis mendengar bicara rakyat.

Apakah benar ini semua berlaku? Kebenaran inilah yang telah diforumkan di blog-blog. Ini akan menyebabkan Kerajaan BN diserang tanpa disedari kerana ini adalah sumber maklumat nombor satu negara.

Kerajaan harus kembali ke asas perjuangan dengan mengenepikan agenda yang berbentuk peribadi.

Ramai pengundi muda cenderung ke arah pembankang dan mereka ini adalah pengundi yang akan menentukan jatuh bangun kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang. Ini kerana jumlah mereka semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Oleh yang demikian kerajaan harus lebih terbuka dalam media elektronik seperti televisyen dan radio sekiranya mahu menarik golongan ini.

Muhasabah diri dan mesra rakyat harus ditunjukkan kepada masyarakat dan praktikkan ia sebagai budaya dalam kepimpinan.

Pegundi muda tidak lagi memandang tinggi pada mereka yang kaya, berharta, berjawatan tinggi atau ugutan.

Ini kerana mereka ini berfikiran intelektual dan mampu bertindak secara senyap atau agresif dengan ikhlas tanpa perasaan takut. Itulah hasil PRU12, secara senyap-senyap golongan ini melakukan perang saraf untuk parti pembangkang sehingga berjaya menawan lima negeri.

Apa yang dilakukan oleh mereka adalah penuh keikhlasan disebabkan perasaan tertindas yang mereka hadapi.

Jentera inilah yang diperlukan oleh BN khususnya UMNO sendiri. Banyak kepincangan telah berlaku dalam kebajikan kepada pekerja parti kerajaan dalam PRU12 sehingga mereka ini merasa tertipu dengan pemimpin mereka di semua peringkat.

Oleh itu semua kepincangan yang berlaku di peringkat cawangan, bahagian dan negeri telah membawa padah kepada BN dan UMNO pada PRU12. Telah hilang sifat amanah, kejujuran, kemesraan dan ketelusan pada pemimpin hingga menyebabkan UMNO dilihat sebagai parti berkepentingan sendiri oleh rakyat.

Seharusnya kerajaan bertindak cepat menjalankan agenda mendekati rakyat dan mendengar suara akar umbi untuk menarik kembali semua rakyat bernaung di bawah BN.

Kesilapan UMNO harus diperbetulkan secepat mungkin agar rakyat khususnya orang Melayu akan berpadu di bawah payung parti keramat ini.

Ingatilah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu demi agama, bangsa dan negara.

Agenda perubahan perlu dilakukan secepat mungkin tanpa berlengah-lengah kerana semua ini akan dinilai oleh rakyat keseluruhannya.