Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, April 1, 2008

GAMBAR BARISAN KABINET MALAYSIA

UMNO teliti pandangan ahli sebelum buat keputusan - Najib

KUALA LUMPUR (Bernama)- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO sedang meneliti pandangan ahli parti itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk bertanding pelbagai jawatan dalam parti termasuk jawatan Presiden dan timbalan presiden.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan muktamad sama ada untuk mengekalkan atau mengkaji semula sistem kuota itu akan dibuat Majlis Tertinggi UMNO.

“Saya sedang meneliti perkara ini. Saya melihat bahawa ada perbezaan pendapat tentang perkara ini.

“Biar kita meneliti dulu kesan daripada sistem yang kita guna pakai dan sama ada pendapat ahli merasakan nak membuat kajian semula dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan prospektus Dayang Enterprise Holdings Berhad di sini semalam.

Ditanya sama ada UMNO mengkaji semula perkara ini, beliau berkata, “Saya tidak kata ia sedang dikaji semula.

Saya hanya menyatakan bahawa sebagai sebuah parti kami perlu mendengar pendapat anggota.

“Tidak ada komitmen untuk menghapuskan sistem itu.

Ia hanya bagi kami untuk mendengar pandangan anggota parti.

Saya rasa kita perlu menghormati anggota parti untuk menyuarakan pandangan dan kemudian akan memutuskan a:pa yang terbaik bagi kepentingan parti,” katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata, pendapat peribadi beliau tidak penting buat masa ini.

Katanya, terdapat banyak hujah pro dan kontra mengenai sistem itu, yang diperkenalkan supaya tidak ada pencabar yang tidak mendapat sokongan secara menyeluruh dalam kalangan ahli UMNO untuk bertanding jawatan penting dalam parti dan tidak semata-mata untuk menentang pucuk pimpinan.

Beliau berkata, ia tidaklah bertujuan menyekat demokrasi dalam parti kerana walaupun ada sistem kuota berkenaan, sistem demokrasi masih berjalan dalam UMNO.

Ditanya sama ada dalam situasi sekarang mereka yang mahu bertanding tidak serius, Najib berkata, beliau tidak mengatakan bahawa mereka yang terbabit tidak serius tetapi tindakan mereka itu hendaklah berbalik kepada tujuan asal sistem itu diperkenalkan.

“Sama ada berlaku cabaran atau tidak ia bergantung kepada ahli parti. Jika ada yang mencabar, mereka perlu mematuhi perlembagaan parti,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, sistem kuota pencalonan untuk pertandingan pelbagai jawatan termasuk Presiden dan timbalan presiden masih boleh digunakan dan tidak perlu dimansuhkan.

Sistem kuota ini diperkenalkan UMNO pada 1988 semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden parti.

Sabtu lepas, Dr Mahathir berkata, UMNO seharusnya memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan Presiden parti.

Tengku Razaleigh Hamzah sudah secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan UMNO yang dijadualkan Disember ini.

Beri Peluang Kerajaan Negeri Laksanakan Sistem Tender Terbuka, Kata Guan Eng

PULAU PINANG, (Bernama) - Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan pusat seharusnya memberi peluang kepada kerajaan baru Pulau Pinang untuk melaksanakan sistem tender terbuka untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Katanya kerajaan negeri akan mengguna pakai sistem itu mengikut garis panduan prosedur kewangan yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

"Sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap cara ini tidak semestinya adil, beliau perlu pinda atur cara kewangan itu.

"Saya hairan kenapa ia dipertikaikan kerana apa yang dilaksanakan adalah mengikut prosedur yang sedia ada sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peringatan Perdana Menteri kepada kerajaan campuran di negeri ini bahawa perlaksanaan tender secara terbuka tidak semestinya akan memberi keadilan kepada semua kaum terutama golongan minoriti.

Lim berkata sistem tender terbuka yang dilaksanakan di negeri ini merupakan permintaan rakyat dan secara tidak langsung berupaya untuk meningkatkan kemampuan kontraktor melalui persaingan yang sihat.

"Sistem ini juga akan meningkatkan daya saing khususnya kontraktor Melayu. Rakyat perlu tahu dan dapat pendedahan bagaimana wang kerajaan dibelanjakan," katanya.

Kerajaan negeri telah menetapkan untuk melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua kontrak dan pemerolehan kerajaan bagi menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan juga ketidakteleusan.

"Apa yang penting adalah kepuasan hati rakyat dan orang awam. Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam hal ini,"katanya.

Khir Toyo jadi penulis blog

Setelah melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 19 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini turut terlibat dalam bidang penulisan untuk laman blognya sendiri.

Laman blog yang dilancarkan hari ini dibuat sebagai salah satu saluran kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk menyuarakan pandangannya terhadap pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohamad Khir ketika dihubungi di sini hari ini berkata, laman blog yang beralamat di www.drkhir.blogspot.com itu diwujudkan supaya setiap masalah rakyat diambil kira oleh kerajaan negeri termasuk melaksanakan semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

‘‘Saya kini ada banyak masa berbanding sebelum ini yang saya tumpukan terhadap tugas sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

‘‘Oleh itu, saya gunakan masa yang ada selain memberi tumpuan kepada rakyat di Sungai Panjang, saya turut menyuarakan pandangan dan pendapat melalui laman blog supaya ia dapat dikongsi oleh semua rakyat termasuk kerajaan negeri sendiri,’’ katanya.

Malah, katanya lagi, beliau turut mengalu-alukan sebarang komen daripada semua pihak khususnya jika ia membabitkan masalah rakyat.

Tambah Mohamad Khir, beliau juga akan memastikan PKR melaksanakan setiap janji mereka dan tidak akan membiarkan rakyat ditipu.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri pimpinan PKR mengenakan levi ke atas majikan yang menggaji pekerja asing sebagai terburu-buru dan hanya untuk meraih populariti.

Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan negeri perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kerajaan Pusat termasuk Kementerian Kewangan untuk mengenakan levi sebanyak RM100 setahun bagi setiap pekerja asing bagi disalurkan ke Dana Khas Belia Selangor.

Ini kerana, katanya, dasar pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat termasuklah peruntukan undang-undang, manakala tindakan mengenakan levi kepada majikan sudah pasti akan memberi implikasi kewangan kepada pekerja asing serta majikan itu sendiri.

Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan negeri perlu mengkaji keperluan dari segi perundangan selain mengambil kira pandangan setiap majikan sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.