Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, March 31, 2008

Mat Taib, Noraini, Noh Omar, Khir Toyo tak setuju

UMNO tidak bercadang untuk menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk pertandingan pelbagai jawatan dalam parti itu termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.

Ketua Penerangan parti, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, sistem tersebut tidak mempunyai sebarang masalah sejak diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Presiden parti.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan calon yang bertanding benar-benar mereka yang serius untuk memikul tanggungjawab selain mendapat sokongan padu daripada setiap ahli parti.

“Sekiranya sistem kuota ini dihapuskan, sesiapa sahaja boleh bertanding walaupun tidak mendapat sokongan daripada majoriti ahli parti di peringkat bahagian.

“Sebaliknya, kita tidak mahu mereka yang bertanding dalam mana-mana jawatan dalam UMNO ini terdiri daripada yang tidak serius, main-main serta kurang memiliki kewibawaan sebagai seorang pemimpin.

“Oleh yang demikian, tidak perlu untuk kita menghapuskan sistem ini kerana ia mampu memastikan UMNO mempunyai pemimpin yang benar-benar layak untuk membawa parti dan orang Melayu ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 392 ketua kampung seluruh Selangor yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi membincangkan masalah-masalah di peringkat tempatan.

Muhammad diminta mengulas gesaan Dr. Mahathir supaya UMNO menghapuskan segera sistem kuota pertandingan jawatan dalam parti itu bagi mewujudkan persaingan yang sihat.

Katanya, sistem itu telah disalahgunakan untuk menyekat peluang kepada pemimpin UMNO lain untuk bertanding secara bebas dalam pemilihan untuk mengisi jawatan parti politik orang Melayu itu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan sistem kuota mampu memastikan tiada individu yang tidak memiliki sokongan kuat di akar umbi cuba menentang presiden.

“Jika seseorang itu mampu melepasi kuota yang ditetapkan, maka barulah dia seorang yang memiliki kredibiliti tinggi dan layak untuk mencabar presiden,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, jawatan Presiden UMNO perlu dilihat dalam perspektif yang luas iaitu individu yang memegang jawatan itu akan turut menjadi Perdana Menteri.

Situasi itu kata beliau menjadikan jawatan Presiden UMNO hanya boleh dipegang oleh seseorang yang benar-benar berwibawa dan mendapat sokongan secara menyeluruh.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, sistem kuota sebenarnya mencerminkan demokrasi yang lebih telus dan keadilan dalam parti.

Jelas beliau, jika seseorang pemimpin berjaya melepasi kuota, ia mencerminkan bahawa akar umbi parti mahukan perubahan dan pertandingan diadakan atas dasar keperluan serta bukannya untuk tujuan lain.

Keadaan itu kata beliau memberikan keadilan bukan hanya kepada yang mahu bertanding tetapi juga untuk ahli dan presiden parti.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat isu itu berdasarkan situasi semasa menegaskan, sistem kuota tidak perlu dimansuhkan.

Katanya, jika tidak ada pencabar yang serius, maka sistem itu tidak perlu dimansuhkan.

“Setakat ini saya lihat cuma Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan keinginan tetapi saya lihat beliau seperti tidak terlalu serius, jika tidak ada pencabar serius, maka tidak perlulah ia dimansuhkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mencadangkan agar hak membuat keputusan sama ada sistem kouta itu dikekalkan atau sebaliknya diserahkan kepada ahli yang akan bermesyuarat para peringkat cawangan tidak lama lagi.

KHIR JAWAB SOAL KEHILANGAN FAIL KERAJAAN NEGERI

Sdr Mahaguru dan sahabat2 bloggers,

Saya ingin menjelaskan bahawa soal kehilangan fail penting kerajaan negeri tidak sepatutnya timbul.

Untuk makluman semua fail mesyuarat exco kerajaaan negeri selangor adalah dokumen rahsia kerajaan dan ia disimpan oleh setiausaha dewan undangan negeri dan tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari bilik mesyuarat exco. sekiranya ada sebarang perkara penting yang diputuskan oleh mesyuarat untuk diambil tindakan, seseorang exco akan membuat catatan saja. saya sendiri tidak membawa keluar fail exco dari bilik mesyuarat exco.

mengenai fail kewangan, ia disimpan oleh pegawai kewangan negeri dan bendahari negeri. setiap tiga bulan sekali, jabatan audit akan membuat audit pentadbiran bagi menentukan ia dilaksanakan dengan baik.

untuk selama tujuh tahun berturut2, kerajaan negeri mendapat sijil bersih dari jabatan audir negara, membuktikan bahawa urusan pentadbiran dan kewangan dilaksanakan dengan baik.

saya tidak nampak sebarang masalah utk kerajaan mendapatkan fail dan dokumen kerajaan termasuklah dokumen mesyuarat exco dari pegawai dan jabatan yang disebutkan di atas.

saya juga telah mengadakan penyerahan tugas secara rasmi kepada menteri besar selangor yang baru dengan disaksikan oleh setiausaha kerajaan negeri. di situ dinyatakan secara jelas kerja2 yang belum diselesaikan untuk perhatian menteri besar baru.

terima kasih.

Mohon Cadangan Sahabat Bloggers - Khir Toyo

Dr. Mohamad Khir Toyo


Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan bloggers sekelian. Saya telah membaca semua komen yang telah diberikan. Memanglah sebahagiannya melukakan hati saya tetapi saya tabah menerima pandangan tersebut. Saya juga menerima kata-kata galakan untuk terus berjuang menghadapi cabaran masa depan. Saya akan teruskan perjuangan ini selagi agama, bangsa dan negara saya belum mencapai tahap kemajuan seperti yang kita cita-citakan bersama.

Jatuh bangun dalam politik adalah perkara biasa. Saya telah melengkapkan sebuah kitaran hidup. Pengalaman dari seorang anak desa yang tidak punya apa-apa; kemudiannya memimpin negeri dan membuat sedikit jasa. Dan hari ini saya kembali seperti dulu. Pengalaman ini pasti akan mematangkan saya menjadi orang yang lebih berfikiran terbuka dan memahami kehendak rakyat.

Sekarang kita berada dalam keadaan tidak menentu (uncertainty). Menyalahkan atau menuding jari tidak memberi sebarang makna. Yang saya perlukan sekarang ialah cadangan-cadangan bagaimana untuk kita menggariskan haluan masa depan yang lebih konkrit untuk memastikan negara ini tidak terjerumus dalam kancah yang akan menghancurkan Wawasan 2020.

Pandangan sahabat-sahabat dan bloggers amat saya perlukan. Apa yang sebenarnya kita boleh lakukan dalam jangka waktu yang pendek dan jangka waktu yang panjang dalam menangani tuntutan-tuntutan semua kaum dalam negara kita? Saya mohon pandangan saudara-saudari.

ANGIN PERUBAHAN POLITIK MALAYSIA…

Oleh : AzmiRahman.


Jam 5 petang, pada 8 Mac 2008 (Sabtu), tamatlah tempoh membuang undi rakyat Malaysia. Meskipun iklim pilihan raya kali ini, nampak dingin dengan kempen dan ceramah umum, di lokasi terbuka, namun setiap calon dan parti tetap melaksanakan agenda politik masing-masing secara tertutup atau bergerak dari rumah ke rumah berkempen. Perayu-perayu undi juga tururt sibuk memancing undi. Masing-masing mahu menang dan berada di puncak kekuasaan negara. Namun, suara rakyat adalah penentu.


Malam 8 Mac sampailah pagi 9 Mac, berdebar-debarlah menunggu pangkahan hikmat suara sakti rakyat. Satu demi satu keputusan diumumkan, dan diselangselikan dengan analisis politik oleh penganalisis poltik negara, dengan pelbagai debat, ramalan dan keputusan yang di luar jangkaan.Ada yang mengatakan bahawa politik adalah suatu seni manusia. Dalam politik ada warna suka, duka, dan lakonan manusia pemain politik.


Keputusan demi keputusan diterima. Namun, gelombang politik Negara ke-12 ini seolah-olah tsunami yang melanda kepimpinan pihak kerajaan. Inilah yang dinamakan angin perubahan yang melanda beberapa negeri yang dikatakan sudah selesa, namun dalam kelekaan dan kemewahan itu, mereka lupa bahawa suarat hikmat rakyat bias menumbangkan pohon kuasa yang dikatakan kukuh. Ada pula ahli politik yang rasa sudah lama dan selesa, yang tumbang dan menjunam ke bumi. Mereka pun tidak menyangka jadi begitu. Segalanya pangkahan hikmat rakyat jadi mereka begitu. Suara rakyat sukar dibaca dengan jelas, tapi suara itu memberi mesej yang jelas akan apa yang mereka inginkan dan impikan. Mereka juga sudah bijak, dan mereka memprotes terhadap apa yang mereka fikir tidak berpuas hati terhadap kerajaan yang memerintah.


Jika diteliti keputusan pilihan raya ke-12, suara rakyat menggambarkan apa sebenarnya? Suara rakyat adalah suara yang inginkan perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Suara yang inginkan negara bersih dari segala kronisme, nepotisme, korupsi, dan salah guna kuasa. Suara yang inginkan keadaan yang tidak menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Suara yang ingin melihat para pemimpin yang jujur berkhidmat sebagai wakil rakyat; bukan wakil rakyat yang menjauh diri dari rakyat, bukan yang kerjanya mengumpul harta kekayaan rakyat, dan memeras hak rakyat. Rakyat tidak suka melihat pemimpin rakyat yang terlampau kekayaan dan kemewahannya, sedangkan baharu dua tiga tahun menjadi wakil rakyat. Suara yang inginkan segala-galanya untuk rakyat tanpa meminggirkan agama, nilai, bahasa, dan budaya bangsa-bangsa di negara ini.


Apa-apapun selama sepenggal lagi, yang menjadi wakil rakyat, benar-benar menyuarakan hak rakyat. Jangan bila musim pilihan raya baharulah nampak muka, dan berdamping dengan rakyat. Yang menang dengan pelbagai manifesto dan janji-janji yang mengasyikkan, tunaikanlah janji segera. Buktikan bahawa pemimpin sentiasa bersama rakyat demi negara tercinta.

Orang Melayu Akan Diperalat Jika Pilih Anwar Jadi PM, Kata Dr M

PULAU PINANG, (Bernama) - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata orang Melayu akan diperalatkan oleh bangsa asing jika memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Anwar, adalah seorang yang pandai berkata-kata dan boleh menarik ramai orang daripada pelbagai golongan dan latar belakang.

"Kalau cakap berkenaan agama Islam, semua orang Islam anggap dia sebagai jaguh agama. Bila dia bercakap dengan orang kampung bagus juga, bila dia bercakap dengan orang buat kuil pun bagus juga.

"Kita tahu orang Barat dan Eropah percaya bahawa Anwar tak lama lagi akan jadi Perdana Menteri. Tak lama lagi bolehlah cucuk hidung nak heret ke mana-mana," katanya pada sesi soal jawab selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Melayu Tanjong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh salah seorang peserta di mesyuarat itu mengenai laporan media asing yang mendakwa Anwar bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi.

"Kalau orang Melayu nak diheret ke sana sini oleh orang asing, sila pilih orang itu (Anwar). Saya minta maaflah, dia buat bagi nama saya cukup buruk di seluruh dunia kononnya saya tangkap dia, buang dia masuk penjara," katanya.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata sistem kuota pencalonan bagi melayakkan seseorang layak bertanding jawatan tertinggi Umno yang dikekalkan semasa menjadi Presiden Umno adalah untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja boleh bertanding dan bukan bagi kepentingan peribadi.

Di bawah sistem kuota itu, perlembagaan Umno mensyaratkan seseorang calon perlu memperoleh pencalonan sekurang-kurangnya daripada 60 bahagian bagi membolehkan beliau bertanding jawatan presiden diperkenalkan selepas Dr Mahathir sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan mengekalkan jawatan presiden itu dengan kelebihan hanya 43 undi.

Sejak itu, amalan tidak mencabar jawatan tertinggi parti menjadi tradisi.

Dr Mahathir berkata: "Apa ada kepentingan saya. Saya menang bukan banyak tu aja. Saya menang tanpa bertanding banyak kali."

"Ini kita buat semua tu sebab kalau tidak, akan jadi macam Sulaiman Palestin. Dia bukan ada sokongan sangat tapi bertanding," katanya.

Dr Mahathir berkata pada masa beliau memimpin Umno untuk mendapatkan 60 pencalonan daripada bahagian tidak menjadi masalah.

Ini terbukti semasa Anwar mencabar jawatan Timbalan Presiden parti daripada Tun Ghafar Baba, katanya di mana "Dia (Anwar) dapat bukan main banyak...lebih 30 peratus pencalonan tapi dia dapat banyak (pencalonan) kerana pada masa saya tidak ada kawalan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar hari ini bahawa beliau sebagai seorang anggota Jawatankuasa Perlembagaan parti telah mengemukakan kepada Dr Mahathir cadangan anggota parti akar umbi untuk menarik balik kuota 30 peratus.

Bagaimanapun Dr Mahathir memintanya membiarkan sahaja, dan ini kata Muhyiddin kebanyakkan disebabkan pada hakikatnya Dr Mahathir ialah presiden Umno pada ketika itu dan peraturan ini akan melemahkan sebarang cabaran kepada presiden.

Dr Mahathir menjelaskan langkah Umno berkenaan meneruskan sistem tersebut pada ketika itu bagi memastikan pemilihan parti dilaksanakan secara serius kerana "orang yang dicalonkan bukan secara serius dan kita nak adakan pemilihan makan masa."