Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, March 29, 2008

ANALISA - Kebangkitan Pemimpin Muda!

Pilihan Raya yang baru sudah... membuktikan bahawa Rakyat mahukan pembaharuan dalam tampuk kepimpinan negara.

Rakyat mahukan suara-suara muda yang bertenaga dan mampu bekerja dengan lebih lama bukan mereka yang sudah lama dan hanya mampu memberikan janji. Melihatkan kepada nama-nama calon dan juga mereka yang telah menang dalam pilihan raya kali ini membuktikan bahawa hanya Barisan Alternatif mengambil inisiatif untuk meremajakan demokrasi di Malaysia. Trend kali ini membuktikan bahawa rakyat bukan lagi mengundi kerana sesebuah parti. Mereka mengundi kerana kredibiliti calon, pembaharuan yang boleh mereka bawa.

Malah, isu-isu nasional seperti Hindraf, Bersih dan Kes Video V.K Lingam menjadi perangkap kepada kepimpinan Pak Lah. Memang isu-isu tersebut sudah reda di dalam media-media tempatan, tapi kesan reaksi rantaiannya masih lagi kuat diperkatakan di kalangan rakyat dan pihak pembangkang apatah lagi pucuk dicita ulam mendatang. Mereka menang kali ini kerana isu-isu nasional selain "spin" mengenai harga minyak, pendapatan isi rumah dan juga koridor-koridor di sana-sini.

Kebangkitan media-media alternatif yang menjadi saluran kepada isu-isu nasional dan juga pandangan berbeza mengenai suasana politik Malaysia juga memainkan peranan yang penting dalam menghala tujukan pilihan rakyat kali ini. Siapa lagi yang mempunyai akses kepada media-media alternatif ini jika bukan golongan muda. Semangat ingin meremajakan dan mendewasakan demokrasi ini menjadikan mereka begitu teruja inginkan pembaharuan.

Suara-suara para akademik dan juga pemikir memberikan satu gambaran kepada lanskap politik yang lebih dari sekadar berjanji. Mereka memberikan satu istilah yang baru kepada politik Malaysia. Mereka bertindak sebagai peneutral di sebalik cakap-cakap oleh BN dan BA. Mereka memberikan analisis yang membiarkan penonton menjadi juri kepada kenyataan kedua-dua belah pihak. Jelas, tanggapan mengatakan rakyat tidak pernah mengambil pusing mengenai suasana politik selama ini sudah jelas tersasar. Rakyat semakin matang memilih isu-isu untuk difikirkan dan menentukan ke mana lagi demokrasi ini harus bergerak.

Melihatkan kepada para pemimpin dan juga mantan pemimpin dari BN, mereka beranggapan bahawa demokrasi itu kuasa dan kuasa itu adalah demokrasi. Bagi mereka, jika mahukan pembaharuan atau pembangunan hanya jika melalui kuasa iaitu proses demokrasi. Jika kenyataan ini diterjemahkan ke bahasa yang lebih mudah adalah, jika mahukan pembangunan, hanya melalui BN. Ini terbukti, Kelantan yang sekian lama ditakluki oleh PAS yang mempunyai kadar pembangunan terendah, tiada sebarang perancangan besar-besaran untuk memajukan Kelantan oleh kerajaan Persekutuan. Jika adapun, ECER yang dikongsi oleh 2 buah negeri lain. Namun, seminggu sebelum Pilihan Raya lalu, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengeluarkan kenyataan bahawa Kelantan akan kehilangan sebanyak RM112 juta nilai pelaburan ECER jika Kelantan masih lagi ditakluki oleh PAS. Kenyataannya, sememangnya ECER ini akan dipolitikkan dan ketelusan kerajaan BN dalam memajukan Pantai Timur dan Kelantan khususnya diragui. Mungkin ECER ini hanyalah sekadar projek pra-pilihan raya oleh kerajaan BN.

Kini kesemua negeri di utara semenanjung ditakluki oleh BA kecuali Perlis. Persoalannya, masihkah ada projek NCER selepas ini dan mungkinkah NCER hanya untuk Perlis? Dan jika bertanya kepada kepimpinan baru di Pulau Pinang dengan Ketua Menteri barunya, Lim Guan Eng, ramai di kalangan pemimpin BN menyatakan bahawa Guan Eng tidak berpengalaman dan kurang arif di dalam menjana pelaburan ke Pulau Pinang. Pengalaman bukanlah kayu pengukur sebenar ke arah kepimpinan yang baik. Kini, rakyat melihatkan kepada kreativiti kepimpinan, iaitu cara dan solusi kepada sesuatu masalah. Sebelum ini pun, Pulau Pinang dihimpit dengan pelbagai masalah yang gagal dibendung oleh kerajaan BN. Guan Eng sudahpun mempunyai contoh yang tidak baik daripada kepimpinan kerajaan BN yang lepas, diharapakan melalui kreativiti kepimpinan yang akan dibawa oleh beliau, masalah-masalah yang sekian lama membelenggu negerinya itu akan di atasi dengan segera. Beliau ada sehingga 4 tahun lagi untuk membuktikannya.

Guan Eng: Ketua Menteri Pulau Pinang terbaru

Setelah Pilihan Raya ini, rakyat kini berpeluang menyediakan "kad laporan" bagi menilai prestasi wakil mereka. Jika sebelum ini, amat sukar melaksanakan tindakan tersebut kerana tiada contoh perbandingan disebabkan kepimpinan yang sama tidak berubah dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya. Kini perubahan yang ketara setelah sekian lama dilihat dan akan memberi ruang untuk rakyat memerhatikan prestasi wakil mereka dengan meletakkan "key perfomances index (KPI)" ke atas wakil mereka. Ini mungkin satu cara bagi membuatkan wakil-wakil rakyat bekerja lebih gigih lagi dalam memperjuangkan hak dan keperluan rakyat tidak kira mereka yang dari BN mahupun BA. Asas dan juga prestasi kepimpinan akan dijadikan penanda aras membezakan pemimpin yang baik ataupun tidak.

Apa-apa pun nama-nama muda seperti Lim Guan Eng, Yusmadi Yusof dan Nurul Izzah Anwar telah membuka satu lembaran baru kepada dunia politik Malaysia. Rakyat mahukan suara muda yang penuh visi dan kegigihan dalam merencanakan pembaharuan. Perdebatan mengenai suara pemimpin muda ini, ditinggalkan kepada anda untuk memikir dan memberikan pendapat agar kita dapat melihat sebuah kepimpinan yang matang berteraskan demokrasi.

Yusmadi Yusof; Ahli Parlimen Balik Pulau

Nurul Izzah Anwar menang di Lembah Pantai

Mungkin kerajaan BN harus memikirkan strategi yang lebih ampuh untuk memiliki semula negeri-negeri utara yang telah jatuh ke tangan BA mahupun menakluki Kelantan. Dek kerana kelalaian dan keselesaan, BN gagal menganalisis corak dan trend rakyat yang kini semakin matang dalam memilih. Rakyat Malaysia kini setanding rakyat Amerika dan Eropah yang yang memilih politik popular berbanding politik pembangunan. Ini seharusnya, sudah ada dalam kamus strategi BN sewaktu berkempen dahulu. Malangnya, tidak.

PS: Parlimen Jerlun disandang oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir, sedangkan Jerlun adalah kubu kuat PAS untuk sekian lamanya. Apakah ini petanda sokongan masih kuat terhadap Tun? Rakyat masih mahukan Tun? Dan persoalan mantan Menteri Besar Kedah yang ingin menjadi pembangkang yang kuat di Kedah menimbulkan lagi satu pertanyaan, adakah mereka selama ini bukan sebuah kerajaan memerintah yang kuat sehingga perlu mereka menjadi pembangkang untuk menentukan kekuatan mereka? Ingat, demokrasi itu bukannya kuasa dan kuasa itu bukannya demokrasi. Gunakanlah demokrasi yang diberi dengan kreativiti dan kegigihan.

Malaysia Kutuk Filem Arahan Geert Wilder

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia hari ini mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Belanda Geert Wilders yang menyiarkan filem bertajuk "Fitna" secara online.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata filem itu memaparkan Islam sebagai agama yang berkaitan dengan extremism dan keganasan, dan ia bukan sahaja terpesong dan salah, tetapi juga jelas tidak menghormati Islam serta tidak sensitif terhadap dunia Muslim.

"Jika rancangan beliau adalah untuk mendapat keuntungan politik di negaranya, beliau perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap penyiaran filem itu dan segala tindak balas terhadap tindakannya," menurut Rais dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra di sini hari ini.

Katanya Malaysia juga memohon kerajaan Belanda untuk mengambil langkah sewajarnya terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu dan berusaha ke arah menangani kesan daripada tindakan Wilders itu.

"Kebebasan boleh dihormati tetapi ia juga membawa tanggungjawab tertentu," katanya.

Filem sepanjang 15 minit yang disiarkan pada 27 Mac lepas yang jelas mengkritik Islam itu mendapat bantahan serta kutukan banyak pihak termasuk Kesatuan Eropah dan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Rais berkata semua langkah yang sudah diambil bagi mempromosi dialog dan persefahaman antara pelbagai agama serta kebudayaan, tidak akan membuahkan sebarang kejayaan sekiranya pihak-pihak tertentu seperti Wilders serta sekutunya memilih untuk menyebarkan pembohongan dan kecaman atas nama kebebasan.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 : Rakyat Mula Menilai Janji

Rakyat hari ini boleh membuat penilaian terbaik terhadap mana-mana wakil rakyat dipilih sama ada dari parti pembangkang mahu pun kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kepentingan mereka terbela.

Justeru kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Najmi Shamsudin, pengundi yang telah memberikan kepercayaan terhadap mana-mana parti perlu menuntut segala janji yang ditabur semasa tempoh berkempen baru-baru ini.

Sebagai contohnya menurut beliau lagi, soal kebajikan yang diwar-warkan oleh pemimpin pembangkang sehinga membolehkan mereka diberi kepercayaan untuk memerintah beberapa negeri dan mewakili 82 Parlimen perlu menunaikan segala janji mereka itu.

"Di sinilah rakyat perlu memainkan peranan mereka menuntut segala janji yang ditaburkan. Kepercayaan yang diberikan merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan bukannya berdolak dalih.

"Begitu juga dengan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasinal (BN). Apa pun kita menaruh keyakinan, BN akan melaksanakan segala janji terbabit berdasarkan 'track rekod' sebelum ini yang mana memenuhi segala manifesto yang dilontarkan kepada rakyat", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini politik tanah air selepas pilihan raya umum ke-12 yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam pilihan raya tersebut, UMNO/BN memenangi 140 Parlimen, manakala pembangkang menguasai 82 kerusi.

Malah pembangkang turut menguasai negeri Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Shamsul yang juga Ketua Pemuda Maran seterusnya berkata kuasa yang diberikan terhadap rakyat telah digunakan sebaik mungkin dan itu menunjukkan proses demokrasi di negara ni berjalan lancar tanpa kekangan tertentu.

"Kita tidak salah rakyat kerana itu adalah hak mereka dan kita menerima keputusan terbabit. Ada hikmah di sebalik keputusan pilihan raya baru-baru ini.

"Apa yang penting kita bermuhasabah dengan menilai kembali perjuangan parti untuk terus cemerlang pada masa akan datang", ujarnya.

Satu Suara, Satu Nada, Satu Barisan Yang Mantap


Tekad Baru……..Pemuda UMNO Bertekad Dengan Satu Suara, Satu Nada, Satu Barisan Yang Mantap Untuk Membantu Pucuk Pimpinan Membina Semula Parti Dan Merampas Semula Kawasan BN Yang Hilang Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) Baru-baru Ini. Demikian Dinyatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Setelah Mempengerusikan Mesyuarat Exco Pertamanya Selepas PRU-12. Mesyuarat Selama Hampir Tiga Jam Itu Turut Membincangkan Beberapa Perkara Termasuk Menubuhkan Satu Kumpulan Khas Untuk Mengkaji Perkembangan Di Lima Negeri Yang Jatuh Ke Tangan Pembangkang.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Perak Angkat Sumpah

KUALA KANGSAR 29 Mac — Tiga minggu selepas kemenangan di luar dugaan pada pilihan raya umum lepas dan pelbagai spekulasi serta kemelut, 10 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan campuran negeri Perak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Anggota Exco itu terdiri enam daripada DAP, tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada PAS mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini pagi ini.

Mereka ialah Ngeh Koo Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis), Su Keong Siong (Pasir Pinji), Chen Fook Chye (Keranji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar), A. Sivanesan (Sungkai), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Mohd Zainudin Mohd Yusof (Lubuk Merbau).

Akui silap abai kempen secara siber

KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui kesilapan besarnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah mengabaikan kempen secara siber dalam Internet yang telah digunakan sepenuhnya oleh parti- parti pembangkang.

‘‘Kita telah melakukan kesilapan serius kerana menganggapnya tidak penting dan kita ingat yang penting ialah akhbar dan televisyen.

‘‘Tetapi generasi muda membaca blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

‘‘Kita pastinya telah tewas dalam perang Internet, perang siber. Saya telah melihat keputusan pilihan raya dan wujud keperluan untuk berubah,’’ kata Abdullah semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah mencatat prestasi terburuk dalam sejarah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Parti pembangkang, yang tidak mendapat layanan di media arus perdana, menggunakan kempen secara dalam talian menerusi blog, laman web berita dan SMS menerusi telefon bimbit.

Dalam konteks ini, Abdullah berkata, kerajaan BN bersedia untuk melakukan perubahan dan memberi maklum balas secara berkesan serta memperkasa golongan muda di negara ini.

‘‘Ia adalah sesuatu yang memedihkan, namun ia berlaku tepat pada masanya, bukan sesuatu yang sudah terlambat,’’ kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang tidak jumud atau terkurung dalam dogmatisme.

‘‘BN adalah kerajaan yang praktikal, yang lebih daripada bersedia untuk mendengar suara rakyat. Paling utama, ia adalah kerajaan yang bersedia untuk berubah dan menangani kebimbangan serta aduan rakyat,’’ ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan BN bersedia berubah dan memiliki keupayaan untuk berubah serta yakin untuk berjaya, seterusnya mencapai wawasan sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dr. Mahathir Jelaskan Isu Suratnya Mengenai Perlantikan MB Terengganu

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa suratnya yang tersiar di beberapa akhbar hari Jumaat merupakan satu penjelasan terhadap senario politik yang berlaku terutamanya mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata penjelasan itu berdasarkan kefahaman beliau mengenai sistem perlembagaan negara.

"Saya ada pengetahuan tentang perlembagaan. Jadi saya fikir terdapat banyak kekeliruan dan kebimbangan berkenaan peranan yang dilakukan oleh Sultan. Saya rasa saya kena jelaskan apa yang saya tahu.

"Ini kerana, supaya orang yang berasa curiga dengan apa yang dilakukan oleh Sultan (Tuanku Mizan Zainal Abidin) akan faham tindakannya. Baginda tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan ada sebab," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) 2007 di sini malam Jumaat.

Surat tulisan Dr Mahathir itu disiarkan di dua akhbar berbahasa Inggeris yang menjelaskan kegusaran dan kekeliruan rakyat Malaysia mengenai peranan Sultan dalam pelantikan Menteri Besar.

Di dalam surat itu, Dr Mahathir berkata Perdana Menteri tiada peranan dalam pemilihan menteri besar atau ketua menteri. Tindakan Perdana Menteri menamakan calon yang sepatutnya menjadi menteri besar hanyalah atas hal ehwal parti semata-mata.


Mengenai sama ada perlu jawatan Presiden Umno dan Timbalannya dipertandingkan, beliau berkata jawatan itu boleh dipertandingkan sekiranya ahli-ahli parti mahukan perubahan.

"Jawatan itu boleh dipertandingkan. Kehendak ahli-ahli perlu dilayan dan tidak boleh ketepikan, jika ketepikan itu salah," katanya.

Pada majlis itu, sembilan orang menerima anugerah yang disampaikan oleh Dr Mahathir yang merupakan Yang Dipertua Perkim bagi tiga kategori iaitu Jasamu Dikenang, Kepimpinan Cemerlang dan Bakti Cemerlang.

Bagaimanapun satu lagi anugerah iaitu anugerah Ahli Kehormat tidak dapat disampaikan kerana penerimanya iaitu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak dapat hadir diri kerana berada di luar negara.

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.