Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 28, 2008

SAH... pemilihan jawatan UMNO…‘ON’... SAYA SEDIA DICABAR - PAK LAH

27 Mac 2008
Walaupun ada suara-suara dikalangan Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri dan bahagian yang bimbang pada risiko berlaku perpecahan dalam parti…mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO petang Rabu sebulat suara mahu pemilihan jawatan UMNO yang dijadual diadakan tahun ini diteruskan.Jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dianggotai oleh ketiga-tiga Naib Presiden,Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan semua pemimpin sayap UMNO Pemuda,Wanita dan Puteri.

Keputusan muktamad mengenai pemilihan itu akan dibuat oleh mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermula pada jam 3 petang ini di PWTC. Bagaimanapun dengan keputusan oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO itu para pemerhati politik menjangka pemilihan jawatan itu pasti ‘ON’ .Keputusan jawatankuasa pengurusan berkenaan diberitahu oleh Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada para wartawan selepas satu majlis di Petaling Jaya pagi Khamis.Katanya pemilihan itu adalah satu proses demokrasi dan tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Muhyiddin menegaskan beliau sendiri akan menentang jika pemilihan jawatan itu hendak ditangguhkan.

Ditanya mengenai hasrat bekas Menteri Kewangan,Tengku Razaleigh Hamzah nak bertanding jawatan Presiden UMNO,beliau berkata hal itu terserah pada sokongan di peringkat akar umbi kerana UMNO berpegang kepada demokrasi. Selasa Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberitahu semasa pertemuan Badan-badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara berperingkat beberapa hari lalu ada yang meminta pemilihan UMNO itu ditangguhkan kerana bimbang ‘malapetaka’ akan berlaku jika ia diteruskan selepas keputusan pilihanraya 8 Mac yang mengejutkan.

Perlembagaan UMNO membenarkan pemilihan itu yang sepatutnya diadakan pada Perhimpunan Agong UMNO November lalu ditangguhkan selama 18 bulan.Ia perlu diadakan paling lewat Jun 2009

Pembinaan Masjid Jampul Khair Kg. Hj. Razali Tg. Karang Selangor


KAMPUNG Hj. Razali telah ditubuhkan sejak 27 tahun yang lalu. Dengan jumlah penduduk lebih dari 700 orang dan lebih 300 buah keluarga serta mempunyai organisasi pentadbiran kampung sendiri, maka sepatutnya sebuah masjid didirikan di kampung ini bagi memudahkan semua penduduk beramal dan beribadah mengikut syariat yang dituntut. Sehubungan dengan itu, seluruh penduduk kampung memohon derma/wakaf daripada para muslimin dan muslimat sekelian bagi menampung kekurangan kewangan yang masih belum mencukupi untuk dilaksanakan mengikut pelan yang dirancang.

Keluasan dan Kos
Keluasan : 11652.20 kaki persegi.
Kos : Tiga Juta Lima Ratus Ribu Sahaja (RM3,500,000.00).
Anggaran 1 kaki persegi : RM300.00.
Jangkaan Perlaksanaan : April 2008.

Kelulusan Pembinaan.
Keluasan tapak seluas 2 ekar telah diwakafkan oleh penduduk kampung. Pembinaan Masjid ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor dengan No. Rujukan (18) dlm.JAI.Sel.BPM/01/028 bertarikh 6 November 2006.

Selain itu, daripda wakaf tuan/puan juga boleh ditolak untuk cukai pendapatan dengan rujukan LHDN/01/35/42/51/179/6.6282 menurut seksyen 44(6) akta cukai pendapatan 1967. Resit resmi untuk pelepasan cukai akan diserahkan selepas menerima wakaf.

Keterangan lanjur sila hubungi :

Pengerusi,

Tabung Pembinaan Masjid Jami'ul Khair,

Pejabat JKK Kampung Haji Razali,

Lorong Haji Yadan, Jalan Hj. Jamian,

Kampung Hj. Razali, 45500 Tg. Karang, Selangor.

No. Tel : 012 2094737

Pendedahan Dari www.masterdedah.com

SERONOK BILA DAPAT KUASA

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaannya akan meneruskan usaha Khir Toyo membersihkan semua setinggan di Selangor.

Tan Sri Khalid juga berkata pengisytiharan harta exco Selangor tidak perlu kerana untuk menjaga hal peribadi keluarga.
Banyak harta tak nak dedah. Tan Sri Khalid sahaja bekas CEO Guthrie mempunyai berjuta-juta harta.

KHALID TAKUT ISYTIHARKAN HARTA

Khalid seorang Jutawan. Harta tidak boleh isytiharkan
sekarang nanti jumlah harta yang terkumpul dapat diketahui.
Mungkin Khalid hanya mahu isytiharkan 4 tahun akan datang
setelah semua harta dapat dikumpulkan dengan banyaknya

dan harta-harta itu diagihkan kepada proksi-proksinya.

Guna sistem undi pilih ketua kampung di Selangor

Utusan Malaysia Online 28 Mac 2008

PELABUHAN KLANG 27 Mac – Selangor berhasrat melaksanakan cadangan mewujudkan sistem pengundian bagi melantik ketua kampung bagi memperkemas lagi pentadbiran di peringkat akar umbi di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cadangan itu dilaksanakan selepas pihaknya mengadakan penelitian dan perbincangan terperinci mengenai perkara berkenaan.

Katanya, sistem pengundian tersebut merupakan salah satu alternatif yang difikirkan bagi menangani masalah pelantikan jawatan itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan pembangunan rakyat di kawasan kampung dan luar bandar.

Malah, beliau menyifatkan sistem yang akan diteliti oleh kerajaan negeri itu juga bertujuan mengasingkan politik dengan pentadbiran yang disekalikan sebelum ini.

‘‘Kita akan putuskan perkara ini dan mencari masa yang sesuai untuk melaksanakan sistem pengundian bagi melantik jawatan ketua kampung kerana tidak mahu timbulnya masalah.

‘‘Oleh itu, saya telah meminta Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu meneliti perkara ini supaya ia benar-benar dapat dilaksanakan pada masa depan,’’ katanya.

Khalid berkata demikian selepas melawat stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Simpang Lima dan Pulau Ketam di sini hari ini.

Saman calon Pas Sanglang terhadap SPR didengar 3 April

Utusan Malaysia Online 28 Mac 2008


KANGAR 27 Mac – Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan pada 3 April depan kes saman pemula calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Hashim Jasin, yang menuntut pengisytiharan kemenangan terhadap dirinya pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zamani A. Rahim membenarkan permohonan defendan untuk menangguhkan kes yang sepatutnya didengar hari ini di kamarnya bagi membolehkan pihak defendan mengemukakan bantahan awal.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 17 Mac lalu, plaintif yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Abdullah Hassan sebagai defendan pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Arau, Muhamad Daud Abdull Hamid defendan kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan ketiga.

Plaintif diwakili peguam Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin manakala defendan pertama diwakili peguam J. Karupiah dan defendan kedua diwakili Peguam Persekutuan Siti Salwa Musa.

Pada pilihan raya umum lalu, Abdullah yang juga calon Barisan Nasional (BN) diisytiharkan menang oleh SPR dengan majoriti 149 undi. Beliau memperoleh 3,384 undi manakala Hashim dapat 3,235 undi.

Mengikut tuntutan saman pemula itu, Hashim sepatutnya memenangi pilihan raya lalu berdasarkan borang penyata pengiraan undi atau borang 14 yang menunjukkan plaintif menang dengan majoriti 47 undi.

Berdasarkan borang 14 juga, plaintif mendakwa telah memperoleh 3,333 undi manakala defendan pertama hanya mendapat 3,286 undi.

Kedua-dua plaintif dan defendan hadir bersama penyokong masing-masing ke mahkamah.

Abdullah yang mengenakan baju putih berpetak dan berkopiah putih kelihatan tenang selepas keluar daripada mahkamah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menunggu keputusan mahkamah.

Analisa Isu Lompat Parti Di Malaysia

RSI 25 Mac 2008 : Isu wakil rakyat pindah atau lompat parti selepas pilihan raya umum Malaysia 8 Mac lalu, semakin hangat diperkatakan, dengan penasihat PKR Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai mengatakan sehingga 16 anggota parlimen yg memerintah, Barisan Nasional, telah bersedia untuk menyertai pembangkang. Mungkinkah sinario ini akan menjadi kenyataan? Apakah isu lompat-parti ini merupakan sesuatu yang baru dalam politik Malaysia?

ANALISA meninjau!

Isu lompat parti bukanlah suatu perkara baru dalam politik Malaysia. Ia berlaku dalam setiap pilihan raya di Malaysia.

Demikian menurut pandangan, pengamat politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Shamsul Amri.

Wawancara bersama Profesor Shamsul Amri

Pemimpin pembangkang Datuk Anwar Ibrahim berkata beliau sedang dalam proses membentuk sebuah kerajaan baru. Ini menyusuli dakwaannya bahwa sehingga 16 anggota parlimen parti yang memerintah yang kebanyakan mereka dari Sabah dan Sarawak sudah bersedia untuk menyertai pembangkang. Mungkinkah sinario ini akan menjadi kenyataan?

Zamil Kanan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Dr Farish Noor, memberikan pandangannya:

Wawancara bersama Dr Farish Noor

Parti yang memerintah BN memenangi 140 kerusi parlimen bagi membolehkannya menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah dan hanya kekurangan lapan kerusi untuk majoriti dua pertiga.

Namun Profesor Shamsul Amri berpendapat soal berpindah parti ini tidak dapat dielakkan kerana ia sudah menjadi perkara biasa dalam politik Malaysia.

Wawancara bersama Profesor Shamsul Amri

Menteri dijabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau mahu mengusulkan agar diwujudkan undang-undang bagi mengharamkan perbuatan melompat parti. Namun BN memerlukan majoriti dua pertiga untuk membolehkan undang-undang tersebut diluluskan.

Profesor Shamsul Amri sekali lagi.

Menurut pengamatan Dr Farish Noor isu melompat parti di Malaysia juga boleh melibatkan kedua-dua pihak iaitu parti yang memerintah atau pembangkang.

Wawancara bersama Dr Farish Noor

Meskipun adanya dakwaan ramai anggota parlimen BN akan akan berpindah parti, namun sejauh ini tiada seorang pun ahli politik yang tampil ke hadapan untuk mengaku sudah bertukar parti.

Bagaimanapun, menurut Dr Farish Noor , beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya sinario pembangkang mendapat majoriti dalam parlimen.

Wawancara bersama Dr Farish Noor

Sejak keputusan luar dugaan pilihanraya umum Malaysia diumumkan, kejutan demi kejutan dan tengkarah demi tengkarah berlaku termasuk laporan tentang "perbuatan berpindah parti".

Arena politik Malaysia, nampaknya semkain matang dan menarik untuk terus diamati.

Dengan ini sekian dulu ANALISA kali ini.

Khalid Harap Temui Ong Bagi Bincang Cadangan Mengenai PKZF

PELABUHAN KLANG, 27 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap dapat menemui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dalam tempoh seminggu bagi membincangkan cadangan kerajaan negeri itu dalam meningkatkan operasi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah.

Kerajaan negeri berminat menggunakan kemudahan di kawasan seluas 400 hektar itu yang meliputi 256 ha kawasan terbuka untuk pembinaan kilang, 512 unit kawasan industri ringan prapembinaan serta 4,628 kaki persegi ruang pejabat di kompleks perniagaan itu bagi meningkatkan aktiviti perniagaan di zon berkenaan, katanya pada sidang media di sini selepas meninjau zon berkenaan.

Menurutnya pelan cadangan itu akan memberi dorongan dalam meningkatkan ekonomi negeri.

Ditanya mengenai bentuk peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan Selangor di PKFZ, sama ada mengambil alih atau memantau kemudahan itu, beliau berkata: "Pemantauan merupakan tugas yang agak mudah, namun saya mahu lebih daripada itu."

Abdul Khalid berkata satu cara bagi meningkatkan operasi PKFZ ialah melantik operator bebas terutama operator antarabangsa, bagi mengurusnya.

Lebih-lebih lagi bekas pengerusi Kontena Nasional Bhd yang mengambil alih Pelabuhan Klang dan bejaya mengubahnya menjadi Pelabuhan Utara menerusi penswastaan, memiliki pengalaman dan hubungan dengan peserta pelabuhan antarabangsa bagi meningkatkan aktiviti perniagaan di sana.

Beberapa peserta pelabuhan antarabangsa sudah menyatakan minat untuk beroperasi di PKFZ jika terdapat pakej perjanjian yang sesuai untuk mereka, kata Abdul Khalid.

Menurutnya PKFZ yang diurus oleh Port Klang Free Zone Sdn Bhd (PKFZSB) wajar bertindak pantas untuk menarik pelabur memandangkan kos memulakan operasi adalah besar, lebih daripada RM4.0 bilion.

Zon bebas di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang iaitu terletak dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan diperbadankan.

MT Umno Sokong Pelantikan Ahmad Said Sebagai Menteri Besar Terengganu

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mencapai keputusan menyokong pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, sekaligus menyelesaikan kemelut dalam kepimpinan kerajaan di negeri itu yang telah berlarutan selama tiga minggu sejak pilihan raya umum 8 Mac.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat MT di Ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) telah membuat keputusan dan Barisan Nasional akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR untuk menjadi Menteri Besar Terengganu," kata Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama empat jam.

Perdana Menteri berkata MT membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad dengan mengambil kira kenyataan terbuka bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau akan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi Menteri Besar. "Yang penting, Terengganu perlu ada kerajaan," katanya.

Jawatan Menteri Besar Terengganu hanya diisi pada 23 Mac, dua minggu selepas pilihan raya umum apabila Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Pelantikan itu dipertikaikan oleh 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Terengganu dan mereka telah berikrar memberi sokongan padu kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, yang telah dipilih oleh Abdullah untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua.

Mereka juga telah mengambil pendirian akan meletak jawatan sebagai Adun, jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Malahan, Setiausaha Agung Umno yang baru Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut memberi amaran kepada Ahmad bahawa tindakan disiplin untuk menyingkir beliau daripada parti akan diambil jika beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar.

Ahmad bagaimanapun tidak mengangkat sumpah jawatan pada 23 Mac itu, sebaliknya hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR dan istiadat mengangkat sumpah akan ditetapkan pada suatu tarikh lain.

Menteri Besar baru itu memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar pada pukul 8 pagi Selasa lepas di Wisma Darul Iman, tetapi masih menggunakan pejabat lamanya sewaktu beliau anggota Exco.

Ahmad telah menyatakan bahawa beliau akan melantik barisan anggota Exco daripada kalangan Adun BN kerana beliau percaya ada di antara mereka yang menyokong beliau.

Sebahagian besar Adun BN dari Terengganu hari ini kelihatan berada di ibu pejabat parti semasa mesyuarat MT berlangsung, dipercayai untuk memberi sokongan kepada Idris.

Abdullah, yang ditanya mengenai kemungkinan Adun BN dari Terengganu akan meletak jawatan dengan keputusan MT menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar, berkata beliau percaya mereka tidak akan bertindak sedemikian.

"Saya percaya semua Adun BN taat setia kepada parti dan apa saja keputusan parti akan menjadi keputusan mereka," katanya.

Abdullah berkata MT telah melahirkan penghargaan kepada Idris atas kepimpinannya yang cemerlang semasa mentadbir Terengganu.

Sehingga berita ini ditulis, usaha mendapat reaksi daripada Ahmad belum berhasil manakala Idris pula masih mengadakan perjumpaan dengan kumpulan Adun yang menyokong beliau sebelum ini.

‘Saya tidak akan lari’ -- Pemilihan UMNO tetap diadakan Disember ini – Abdullah

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu,
Datuk Seri Idris Jusoh ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO
yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
di Tingkat 38, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
Kuala Lumpur, semalam.

Utusan Online 27 Mac 2008

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau ‘‘tidak akan lari’’ sekiranya dicabar bagi perebutan jawatan presiden pada pemilihan UMNO yang dijadual Disember ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan terus berhadapan dengan cabaran tersebut jika terdapat pemimpin tertentu menerima sokongan dari bahagian untuk berbuat demikian.

‘‘Sekiranya mereka mendapat sokongan dan mahu mencabar (bertanding jawatan presiden), sudah pasti saya harus menghadapinya dan saya tidak akan lari,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan kesediaan untuk menerajui dan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela.

Pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi.

Pada sidang akhbar yang sama, Abdullah mengumumkan, Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada 16 hingga 20 Disember yang akan menyaksikan pemilihan MT diadakan.

Justeru, kata Abdullah, calon-calon yang berhasrat untuk bertanding perlu melalui proses dan prosedur yang telah ditetapkan sebelum ini termasuk mengenai soal kuota.

Buat masa ini katanya, tiada cadangan baru pemilihan parti akan dilaksanakan.

Ditanya adakah semua jawatan akan dipertandingkan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, Abdullah berkata: ‘‘Tak tahulah (kena) tunggu dulu, apabila ada calon barulah kita tahu apa yang akan berlaku.’’

Abdullah juga memberitahu, mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan pada 17 Julai hingga 24 Ogos manakala bahagian (9 Oktober hingga 9 November).

Keputusan MT hari ini selari dengan hasrat pemimpin parti itu di semua peringkat yang mahu pemilihan tersebut tidak ditangguhkan.

Isu penangguhan pemilihan itu mula menjadi polemik berikutan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pada Selasa lalu berhubung perkara berkenaan.

Kenyataan Muhammad itu mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin-pemimpin UMNO, terbaru Pergerakan Puteri UMNO dan beberapa ahli MT menolak saranan berhubung penangguhan tersebut.

Peletakan jawatan Ghapur atas sebab peribadi

KUALA LUMPUR 27 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peletakan jawatan Datuk Abdul Ghapur Salleh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak ada kena-mengena dengan soal Ahli Parlimen Kalabakan, Sabah itu hilang kepercayaan terhadap beliau.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, keputusan berkenaan dibuat atas sebab peribadi.

‘‘Ia tiada kena-mengena dengan soal itu (hilang kepercayaan). Ini (peletakan jawatan itu) atas sebab yang cukup peribadi,’’ katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT parti itu di sini, hari ini.

Ghapur menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan semalam kepada Perdana Menteri di Putrajaya.

Sambil menjelaskan beliau sudah membaca surat berkenaan, Abdullah berkata, beliau tidak berkesempatan bertemu Ghapur.

“Saya tidak dapat bertemu beliau, sebab terlibat dalam banyak hal. Jadi, beliau tinggalkan surat untuk saya,’’ katanya.

Ghapur merupakan ahli Parlimen kedua dari Sabah dan orang ketiga yang melepaskan jawatan timbalan menteri Pusat setelah pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sejurus selepas Abdullah mengumumkan barisan Kabinet pada 18 Mac, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan manakala Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar menolak jawatan Timbalan Menteri Luar.

PENULIS, BLOG SATU JIWA

Penulis ialah makhluk yang hidup dan mempunyai rupa fizikal dan cukup sifatnya. Ia dicipta begitu sempurna yang dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang baik. Punyai otak untuk berfikiran rasional dan akal serta bisa menyimpan pelbagai maklumat. Punyai hati yang membolehkan perasaan yang pelbagai timbul seperti kasih dan sayang, benci, marah, suka, sedih dan macam-macam lagi. Dan anggota seperti tangan untuk menulis dan mencurahkan pelbagai idea yang terhasil dari otak dan seiring pula dengan perasaan yang terhasil dari hati.

Blog bukan makhluk hidup. Ianya dicipta oleh makhluk seperti penulis. Dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan yang dikenali sebagai bahasa web (web languanges) dan dilengkapi dengan stor data (database). Blog tidak akan hidup sendiri kerana ia tidak diberi nyawa, tidak dikurniakan hati dan tiada anggota badan.

Benar, blog tidak akan hidup jika tidak diberi jiwa oleh pemiliknya iaitu penulis blog! Gabungan antara akal, hati dan jiwa yang dimiliki penulis bisa membuatkan blog hidup. Penulis dan blog menjadi satu! Satu jiwa. Satu akal. Satu hati. Satu personaliti.

Penulis yang sebeginilah yang benar-benar menjadikan blog salah satu rutin dan budaya hidup. Penulisan mereka lebih kepada perihal peribadi atau apa yang mereka minati. Dan yang paling penting mereka tahu apa yang nak diluahkan serta apa yang mereka ingin kongsi. Tulisan mereka punyai jiwa dan hidup! Penulis sebeginilah yang mendapat tempat dihati pelawat blog mereka dan mereka mendapat tempat dihati peminat.

Penulis dan blog satu jiwa! Mereka menjadikan blog satu kehidupan. Mereka menggarap kisah kehidupan mereka di dalam blog. Mereka punyai bakat. Mereka ikhlas dan seringkali mendedahkan perihal peribadi di dalam blog. Mereka sering meluahkan apa yang mereka rasa di dalam blog. Sedih, marah, kecewa, putus cinta, geram. Tak kurang juga yang berkongsi pengalaman dan pendapat, idea dan ilmu. Mereka tak peduli apa yang orang lain anggap tentang budaya hidup mereka. Janji mereka tahu apa yang mereka lakukan dan punyai alasan mereka sendiri.

Dan aku mungkin belum sampai ke tahap seperti mereka. Tapi aku sudah merasai apa yang mereka rasa. Jika aku tidak dapat menulis aku gelisah. Seperti tidak sempurna hidup aku. Kerana disinilah ia bermula. Disini aku meluahkan kisah gembira, sedih, marah dan kecewa. Disini juga aku berkongsi pengalaman, ilmu dan pendapat. Disini juga aku punyai rakan-rakan yang sehati dan sejiwa.