Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, March 27, 2008

Dekati kecenderungan pengundi muda

Utusan Malaysia Online 27 Mac 2008

Pendapat
BANYAK pihak yang membangkitkan kemungkinan pilihan raya ini menjadi medan parti politik ‘memikat generasi muda’. Mengikut data, kohort orang muda ini nampak sangat besar dan berpengaruh.

Bagaimanapun, sebesar mana sekalipun kumpulan yang ada – tetapi jika kumpulan yang ‘sedar dan menghargai undi’ masih kecil; ia tidak akan mampu diterjemahkan dalam bentuk yang diharapkan.

Tidak banyak kajian yang dilakukan untuk mengkaji dan menyelidik ‘kecenderungan’ generasi muda. Kalau pun ada, ia dilakukan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada Ogos/September 2007 yang lalu. Seramai 1,508 responden belia (antara 20 - 35 tahun) ditemu bual. Apa yang dikatakan ‘Kaji Selidik Golongan Muda 2007: Perspektif Terhadap Penglibatan Sosial, Politik dan Isu-Isu Semasa’ bolehlah dijadikan asas kepada ‘rentak undi belia’ dalam pilihan raya kali ini.

Kaji selidik ini mengatakan 67 peratus daripada responden cukup ‘terikat’ dengan televisyen sebagai saluran utama mendapatkan maklumat. 57 peratus beranggapan surat khabar sebagai sumber kedua terbesar – dan hanya 12 peratus daripada responden yang melihat Internet sebagai sumber maklumat utama.

Peratusan kalangan generasi muda yang punya blog tersendiri juga masih kecil – sekitar lima peratus. Itu pun lebih tertumpu kepada isu peribadi pemilik blog itu sendiri.

Dengan angka yang sedemikian rupa - kita masih boleh beranggapan bahawa peranan laman web/blog dan sebagainya tidak akan memberikan impak yang terlalu besar kepada kecenderungan pengundi muda. Sebarang maklumat daripada web tidak akan diterima bulat-bulat, kecuali akan dituras semula dengan pandangan media utama lain.

Ini tidak bermakna parti politik boleh meminggirkan terus media alternatif. Usaha mesti dilakukan untuk melakukan neutralisasi berita yang tidak benar.

Hasil kaji selidik yang dilaksanakan, tiga isu peribadi paling utama yang melingkari pemikiran generasi muda adalah: Kerjaya yang lebih baik, pelajaran dan pendidikan dan penambahan pendapatan. Inilah trend pemikiran generasi muda. Inilah harapan dan idealisme mereka.

Jentera parti mesti mendekati generasi muda dengan harapan dan idealisme ini. Kegagalan untuk membuka ruang pemikiran generasi muda untuk memenuhi cita dan aspirasi ini akan membuatkan mereka jelak dengan janji kosong dan pemikiran politik kecewa.

Di sini ternampak jelas kelebihan yang dipunyai oleh kerajaan hari ini. Fokus yang jelas kepada pemerkasaan modal insan dan pembangunan koridor baru pembangunan menjawab langsung idealisme orang muda. Parti pembangkang gagal teruk dari sudut ini.

Hanya mampu mengeluarkan manifesto – tetapi gagal dijelmakan dalam pengurusan negeri yang boleh diangkat sebagai model pembangunan belia yang lebih jelas. Kegagalan ini akan pastinya dihukum oleh pengundi muda dalam pilihan raya kali ini.

Kajian yang sama turut cuba mendapatkan pandangan generasi muda mengenai isu nasional yang dekat di hati mereka. Tiga isu bersifat ‘nasional’ yang dekat di hati generasi muda: Jenayah dan keselamatan awam, inflasi dan masalah sosial.

Sekali imbas, tiga isu utama ini bersifat ‘rentas umur, kaum dan geografi’. Inilah sebenar-benarnya isu utama yang bakal menjadi teras di pilihan raya kali ini.

Kajian sama mencatatkan keinginan generasi muda mempunyai ‘imbangan suara’ di Parlimen (56 peratus mahukan penambahan pembangkang di Parlimen). Imbangan suara ini sebenarnya boleh dilaksanakan dalam dua kaedah. Sama ada menambah jumlah wakil daripada pembangkang – ataupun mempunyai ‘suara dan gaya baru’ dari dalam struktur sedia ada. Di sinilah wujudnya kemungkinan keperluan Parlimen mempunyai ‘suara dan gaya baru’. Ini tidak berkaitan dengan umur.

Ada juga kalangan warga Parlimen berpengalaman yang mampu menyampaikan ‘suara generasi muda’ dengan berkesan.

Pilihan raya adalah hak dan milik rakyat. Apa sahaja yang ingin dibawa, diusul dan diangkat sebagai ‘manifesto parti’ mestilah melalui proses timbang tara yang teliti. Jangan gemar menabur janji kosong yang menjadi sesuatu yang terlampau melangit dan sukar untuk dicapai.

Pengundi muda secara khususnya; dan pengundi secara keseluruhannya – akan pastinya mengangkat ‘tanda aras’ khidmat wakil rakyat di pilihan raya ini.

Parti yang berani membuat perubahan, mengubah ‘wajah’ bukan hanya kerana keperluan berbuat demikian – tetapi khusus dalam menentukan khidmat terbaik buat rakyat akan pastinya beroleh kemenangan.

– KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN,

Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

SUARA BLOG

Sebagai salah seorang penulis blog yang masih baru, hati ini sering kali tertanya-tanya. Untungnya penulis blog adalah dapat menyediakan ruang sendiri untuk menulis dan dipersembahkan kepada dunia tanpa sempadan (internet) tanpa keluarkan modal yang besar! Apakah kepentingan blog? Adakah kita bebas ber’suara’ di dalam blog?

Kepentingan menulis blog bergantung kepada apa tujuan penulis menulis. Ada yang punyai mesej tertentu. Ada yang menulis perihal peribadi dan pengalaman. Ada yang menulis berkenaan teknologi. Ada yang menulis tentang isu semasa dan politik. Kesimpulannya, anda boleh menulis apa sahaja yang anda suka di dalam blog!

Apa yang hendak dibincangkan adalah kebebasan menulis. Ya, anda bebas menyuarakan (menulis) tentang apa sahaja. Banyak isu-isu yang anda boleh komen secara sihat dan bijak! Komen yang sihat dapat menjaga hati semua pembaca. Komen yang bijak dapat memikat pembaca dan penerimaan pembaca secara positif!

Sekarang, kebebasan menulis dicemari dengan pelbagai unsur-unsur yang tidak sihat dan boleh terjadi satu ancaman. Mungkin pelik tapi itulah kebenarannya! Komen mengenai isu-isu semasa yang buruk, kekecohan politik dan fitnah menjadi punca kecacatan ’suara’ blog dan menjadi medan tempur dan bertikam lidah. Malah ada yang memberi komen secara melulu dan terlalu terbuka. Budaya yang tidak sihat dan negatif!

Sebagai seorang islam yang dididik dengan nilai-nilai murni, fikirkanlah kembali apa yang anda cuba ’suara’kan!

Drp,
S/U UMNO Caw. Taman Wawasan,
Tanjong Karang.

Mahathir, Khir ulas ketewasan BN

Mac 27, 08 - Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo bertemu atas satu pentas umum - sejak beberapa tahun - bagi mengulas kekalahan teruk Umno dan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bersama ketua penerangan Umno Johor Datuk Dr. Mohamad Fuad Zarkashi, mereka akan bercakap di forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian' minggu depan.

Turut serta dalam perdebatan yang dijangka hangat itu, sebagai permulaan kempen menjelang pemilihan agung Umno tahun ini, exco Pemuda Umno yang lantang Datuk Mukhriz Mahathir.

Acara anjuran sekumpulan penyokong Umno itu akan diadakan jam 9 pagi di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April.

Menurut penganjurnya MyKmu.net, forum itu akan dipengerusikan bekas editor kanan kumpulan NST, Datuk Ahmad Talib.

Dr Mahathir dan anaknya itu mendesak presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sejurus selepas tamatnya pilihanraya itu.

Sementara Mohd Khir, yang baru melepaskan jawatannya sebagai ketua badan perhubungan Umno Selangor, belum menyatakan pendirian terbuka tentang isu ini.

Beliau, yang tidak pernah dikaitkan dengan kumpulan Abdullah atau menantunya Khairy Jamaluddin, dijangka menjelaskan pendiriannya yang sebenar di forum ini.-Malaysiakini.com

Ada apa di White House Malaysia hari ini?

Khamis, 27 Mac 2008

KECOH, ramai yang hendak tahu majlis apa yang diadakan di banglo besar berwarna putih di Jalan Langgak Golf, Jalan Ampang tempat kediaman rasmi anak raja dari Kelantan.

Pagi-pagi KLpos.com diberitahu bahawa tenggahhari ini ada perjumpaan Ketua-Ketua Bahagian Umno di rumah Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut maklumat tersebut, pertemuan tidak rasmi itu dianjurkan oleh Ku Li atas permintaan Ketua-Ketua Bahagian Umno terbabit.

Bagaimanapun, KLpos yang menghubungi orang kanan Ku Li diberitahu bahawa pertemuan terbabit memang diadakan.

"Ia antara ahli Umno dengan Ku Li, mungkin ada di antara mereka Ketua Bahagian, tetapi mereka hadir atas kapasiti ahli Umno, bukan atas jawatan masing-masing," kata orang kanan Ku Li terbabit.-KLpos

"Dengar suara akar umbi" Ketua UMNO Cheras

Oleh Bernama


SEMUA pemimpin Umno perlu turun ke bawah untuk mendengar pendapat anggota parti di peringkat akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan menangguhkan pemilihan parti ke tahun hadapan.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee berkata ini perlu kerana pemimpin Umno harus menyerahkan kepada lebih dua juta anggota parti untuk membuat keputusan mengenai masa depan serta hala tuju Umno terutama bagi mengembalikan semula kekuatan parti yang agak terjejas selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Justeru semua ketua bahagian hendaklah turun ke bawah untuk mendapatkan maklum balas daripada anggota parti di peringkat akar umbi dan kemudian melaporkannya kepada Majlis Tertinggi.

"Ketua bahagian tidak seharusnya membuat keputusan mengikut kehendak sendiri atau untuk kepentingan peribadi dengan menidakkan hak anggota parti untuk bersuara dan menyatakan pendapat kerana ini akan hanya menghancurkan perpaduan serta melemahkan parti," katanya kepada Bernama di sini.

Syed Ali mengulas sikap sesetengah pemimpin Umno terutamanya di peringkat bahagian yang menyatakan pendapat sendiri dengan menyetujui cadangan menangguhkan pemilihan parti ke tahun hadapan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada anggota parti di peringkat akar umbi.

Beliau berkata bagi Umno Cheras sendiri, mesyuarat empat peringkat telah diadakan beberapa hari lepas di mana sebanyak 12 resolusi telah diluluskan untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Syed Ali berkata antaranya termasuk mengesyorkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan serta sistem kuota dimansuhkan pada pemilihan parti akan datang. "Mereka (anggota parti) berpendapat kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu dan tidak boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Persiden di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata apa yang dikesalkan sejak akhir-akhir ini banyak pemimpin Umno terutamanya di peringkat bahagian yang dijangkiti sindrom "bodek-membodek" bagi kepentingan peribadi dan membuat keputusan sendiri tanpa mencerminkan kehendak anggota parti di peringkat akar umbi.

"Selama ini anggota parti di peringkat akar umbi seolah-olah dipaksa akur dengan kehendak pemimpin sedangkan pemimpinlah yang sepatutnya akur dengan kehendak anggota parti," katanya.

Pemimpin parti anggap tangguh persidangan lari daripada kenyataan

TAN Sri Muhammad Muhamad Taib (kiri) menerima tugas sebagai
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
daripada Datuk Seri Aziz Samsuddin di kementerian itu, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 27 MAC
-- Beberapa pemimpin Umno semalam mahu pemilihan parti itu diadakan mengikut jadual Ogos ini kerana penangguhan mungkin mengundang masalah lain sehingga mengusutkan lagi keadaan serta menjejaskan kestabilan dan perpaduan parti.

Ahli MT Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Umno tidak harus bimbang untuk mengadakan pemilihan pada Perhimpunan Agungnya tahun ini kerana semua ahlinya sudah cukup matang menilai dan membuat keputusan terbaik demi manfaat parti dan negara.

"Jangan lari daripada masalah. Kita kena balik kepada asas perjuangan, mana satu lebih penting antara agenda peribadi atau perjuangan. Kalau orang Umno sayangkan parti dan masih ingat Umno adalah asas perjuangan mempertahan dan menaikkan darjat serta maruah orang Melayu, dia kena sayangkan parti.

"Tak payah tangguh hingga 2009 atau 2010 kerana kalau agenda peribadi mengatasi perjuangan, tangguh lima tahun lagi pun macam itu juga perangainya sebab agenda peribadi mengatasi hasrat bersatu padu dan perpaduan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, dilaporkan sebagai berkata, semua Badan Perhubungan Umno negeri bersetuju menangguhkan pemilihan parti sehingga Jun tahun depan bagi mengelakkan perpecahan. Muhammad dilaporkan berkata, persetujuan itu dinyatakan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan di Putrajaya, Jumaat lalu tetapi keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan dalam mesyuarat MT Umno di ibu negara, petang ini.

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan pada Perhimpunan Agung Umno pada November tahun lalu, tetapi ditangguhkan sehingga Ogos ini bagi membolehkan jentera parti membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12 yang berlangsung 8 Mac lalu.

Mohamad yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, meminta semua ahli parti supaya berfikir secara rasional dan jangan cuba lari daripada menghadapi kenyataan.

"Kalau orang Umno, orang Melayu sayangkan perpaduan, buatlah sesuatu tetapi kalau dah muak dengan perpaduan, sampai bila-bila macam itu juga perangai mereka. Kalau tangguh (pemilihan), masalah akan tetap ada, malah saya khuatir ia bertambah," katanya.

Pergerakan Puteri Umno juga tidak bersetuju pemilihan parti itu ditangguhkan, sebaliknya menyarankan supaya ia diadakan tahun ini, kerana dapat membantu menyelesaikan masalah perpecahan.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, Puteri Umno berpendirian bahawa pemilihan parti wajar diadakan tahun ini dan seandainya tidak dapat dibuat pada Ogos seperti dibayangkan, pemilihan perlu dibuat selewat-lewatnya pada Disember.

"Walaupun secara dasar dan perundangannya, Umno mempunyai tempoh 18 bulan yang berakhir Jun tahun depan, Puteri berpendapat bahawa pemilihan parti wajar diadakan tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Pemangku Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat, Faizal Azumu, juga tidak bersetuju pemilihan parti tahun ini ditangguhkan kerana ia mungkin memberi imej yang tidak baik kepada parti seolah-olah Umno takut membuat pembaharuan.

"Inilah masa terbaik membuat pemilihan dan muhasabah diri. Saya merayu kepada kepimpinan Umno supaya tidak menunda pemilihan yang dijadualkan tahun ini kerana ia sudah ditangguhkan sejak tahun lalu," katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Idham Yasser berkata penangguhan pemilihan itu seolah-olah usaha untuk melindungi atau mengekalkan individu tertentu dan bukannya untuk mengembalikan kekuatan parti.

"Kita tak mahu orang kata Umno tak relevan ataupun ahli Umno hanya tahu angguk saja. Kita sepatutnya betulkan keadaan dengan mengadakan pemilihan parti ini," katanya.

Bagi Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Seputeh, Alawi Dahalin, cadangan penangguhan itu akan menyebabkan pemimpin Pemuda yang berpotensi hilang kelayakan untuk bertanding ke jawatan lebih tinggi dalam pergerakan itu ekoran had umur 40 tahun mengikut perlembagaan parti.

"Pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini untuk beri peluang kepada ahli menilai kembali siapa yang layak jadi pemimpin dalam Umno seperti mana rakyat menilai Umno dalam pilihan raya umum lepas," katanya.

Beliau berkata pucuk pimpinan tidak boleh menafikan realiti di akar umbi ekoran kehilangan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menunjanginya dengan menangguhkan pemilihan parti yang sememangnya medan kepada ahli untuk memberikan pandangan dan pendirian mereka.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Aminuddin Muhammad, pula berkata Umno akan kesuntukan masa untuk menghadapi pilihan raya akan datang sekiranya menangguhkan pemilihan parti.

"Kalau tak buat (pemilihan parti) maka ia bukan untuk pilihan raya tapi kepentingan individu tertentu. Lebih baik kita bergaduh dalam pemilihan untuk kebaikan parti daripada menangis lagi di kemudian hari (pilihan raya akan datang)," katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Nornekman Osman berkata penangguhan pemilihan parti dalam jangka panjang itu akan mewujudkan kelompok yang melemahkan Umno serta lari daripada fokus utama kepimpinan parti untuk memulihkan Umno.

Beliau berkata, pertembungan dalam suasana hangat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran keputusan pilihan raya lalu yang menuntut kepimpinan memfokuskan usaha menguatkan parti melebihi kepentingan lain.

Katanya, pemilihan itu akan membuktikan kepada ahli khasnya dan rakyat amnya akan ketelusan dan sifat bertanggungjawab parti dalam mengembalikan keyakinan mereka kepada Umno.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata jika pemilihan Umno diadakan pada tahun ini, ia mungkin menyebabkan berlaku penurunan dari segi semangat ahli parti di semua peringkat.

Beliau juga juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata, penangguhan pemilihan itu akan memberi ruang kepada ahli di peringkat akar umbi merapatkan barisan parti semula selepas berlaku perpecahan dalam pilihan raya umum lalu.

"Jika pemilihan peringkat cawangan diteruskan, ia akan menyebabkan berlakunya jarak antara kelompok yang kalah dan menang manakala dan begitu juga seterusnya jika wujud pertandingan di peringkat Bahagian, MT atau pucuk pimpinan," katanya.

Berhenti menuding jari

Muhammad Muhd. Taib kini diberi tanggungjawab sebagai
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional negeri Selangor
selepas Mohamad Khir Toyo meletakkan semua jawatan dalam parti

DATUK Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjadi pemimpin pertama melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri, ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, yang tidak pernah dijangka sebelum ini.

Bukan mahu menjadikan keputusannya itu sebagai contoh kepada pemimpin lain kesan tsunami politik itu, namun Mohamad Khir tegas menyatakan sebagai pemimpin, beliau bertanggungjawab atas pencapaian buruk BN di Selangor.

Walaupun menafikan menerima tekanan untuk berbuat demikian, namun ada kata-kata yang diluahkan pada sidang akhbar ketika mengumumkan peletakan jawatan itu yang menimbulkan tanda tanya dan memberikan pelbagai tanggapan.

“Saya lihat ekoran prestasi buruk ini, telah ada sikap salah-menyalah antara satu sama lain,” katanya yang enggan mengulas ketika ditanya lanjut mengenai kenyataannya itu sebaliknya beliau meminta persoalan itu tidak perlu ditimbulkan buat masa ini.

Sebaliknya beliau berpendapat keputusan itu perlu disegerakan kerana dikhuatiri jika terus memegangnya, akan timbul pelbagai masalah yang menyebabkan UMNO Selangor berpecah dan menjejaskan tumpuan untuk merampas semula kerajaan negeri.

Ekoran peletakan jawatannya itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang berpengalaman mengetuai UMNO dan BN Selangor ketika memegang jawatan Menteri Besar suatu ketika dahulu, dipertanggungjawabkan untuk menerajuinya semula.

Mohamad Khir, 43, mula memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Selangor pada 24 Januari 2002, daripada Muhammad yang menggantikannya sebagai timbalan.

Bagaimanapun cakap-cakap politik tetap berpendapat, Mohamad Khir menerima tekanan untuk melepaskan jawatan itu, ekoran keputusan pilihan raya umum lepas yang di mana BN hanya mampu mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lima sahaja kerusi Parlimen.

Sebaliknya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendominasi apabila menang 15 kerusi DUN dan sembilan Parlimen, sekali gus menyaksikan Setiausaha Agung parti, Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.

Dua lagi sekutu PKR, DAP dan Pas juga tidak kurang hebatnya. DAP menang 13 kerusi DUN dan empat Parlimen manakala Pas lapan kerusi DUN dan juga empat Parlimen.

Beberapa Ketua UMNO Bahagian menafikan wujud tekanan terhadap Mohamad Khir dari bahagian-bahagian, sebaliknya berpendapat tindakan itu dibuat secara sukarela atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Ketua UMNO Bahagian Pandan, Datuk Mad Aris Mad Yusuf memuji tindakan gentleman Mohamad Khir itu atas alasan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kemerosotan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

“Kita harap dengan tindakan ini, dapat kita mewujudkan jentera baru bagi memastikan kita mampu merampas semula pentadbiran Selangor daripada pembangkang, tidak ada tekanan daripada kita (bahagian-bahagian),” katanya.

Dikongsi

Pendapat yang sama turut dikongsi Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Ahmad Bujang yang menurutnya tradisi UMNO membuktikan Badan Perhubungan UMNO negeri perlu diterajui seorang Menteri Besar.

“Bila tidak lagi menjadi Menteri Besar, serahkan kepada orang lain sebagai satu langkah yang wajar, dalam hal ini Tan Sri Muhammad Muhd. Taib paling layak kerana selain sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, beliau juga memegang jawatan di pusat sebagai Ketua Penerangan UMNO dan menteri Kabinet.

“Kita yakin dengan pengalamannya yang luas termasuk pernah memegang kedua-dua jawatan itu sebelum ini, Tan Sri Muhammad mampu mengembalikan keyakinan rakyat Selangor kepada UMNO dan BN,” katanya.

Bagaimanapun bagi Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman, kehebatan seseorang pemimpin diukur daripada kejayaannya dan tindakan Mohamad Khir melepaskan kedua-dua jawatan itu sebagai tepat.

Sambil menyuarakan terima kasih kepada usaha-usaha Mohamad Khir memajukan Selangor selama lapan tahun, katanya, suasana politik masa kini menuntut kaedah baru bagi pemimpin UMNO untuk berdepan dengan rakyat bagi memastikan keyakian kepada UMNO tidak terus menurun.

“Dalam keadaan sekarang, sewajarnya ahli-ahli UMNO dan pemimpin melihat kepada kaedah memperkukuhkan kepimpinan parti, menyusun parti untuk menarikan keyakinan rakyat, bukan perebutan jawatan dalam parti,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Noh Omar meminta semua pihak tidak menuding jari kepada Mohamad Khir seorang ekoran prestasi buruk UMNO dan BN pada pilihan raya umum lalu.

“Kita tidak boleh salahkan Dr. Mohamad Khir seorang sahaja, sedangkan apa yang berlaku ialah tsunami politik melanda seluruh negara,” ujarnya.

Sememangnya kemampuan Muhammad yang baru dilantik menteri Kabinet, Rabu lalu dalam menerajui UMNO dan BN Selangor tidak boleh dipersoalkan lagi.

Berdasarkan pengalamannya dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada UMNO walaupun sebelum ini tidak memegang sebarang jawatan, beliau mampu mengetuai UMNO Selangor, dalam usaha merampas semula negeri yang menjadi nadi pembangunan negara, daripada pembangkang.

Oleh itu, suka atau tidak, tiba masa bagi ahli-ahli UMNO kembali bersatupadu dan berhenti daripada menyalahkan individu sahaja ekoran keputusan merudum pada pilihan raya lalu.

Apa Menyebabkan Pengundi Mengubah Haluan Kali Ini

Pilihan raya umum ke-12 sudah berlalu, kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan telah mengangkat sumpah kecuali di Terengganu, tetapi apa yang masih berlegar di benak hampir setiap orang ialah apa yang mendorong pengundi menafikan majoriti dua pertiga untuk Barisan Nasional (BN), yang telah memerintah negara ini selama lebih 50 tahun.

Datuk Professor Syed Arabi Idid, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ketua Unit Kajian Pilihan Rayanya, mengakui bahawa keputusan itu, yang turut mengejutkan beliau, mungkin sebahagian dari trend baru pengundian.

"Mereka tidak mengundi Pembangkang, mereka mengundi menentang BN," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Dr Syed Arabi, yang melakukan kajian ekstensif mengenai corak pengundian di negara ini, memperkongsikan pandangannya dengan Bernama tentang apa yang sebenarnya mungkin terlintas di fikiran pengundi dan apa yang harus dijangkakan dalam suasana baru politik ini.

Soalan: Mengapa berlaku peralihan undi yang begitu besar kepada Pembangkang kali ini?

Jawapan: Pengundi secara individu mahu menunjukkan rasa tidak senang dengan BN tetapi mereka tidak menyedari bahawa secara kolektif tindakan mereka telah menafikan BN majoriti dua pertiga. Bagaimanapun, sekalipun wujud status quo (semasa), setiap orang bersikap tenang, menunggu apa yang akan berlaku. Ini berbeza sekali dengan waktu pasca pilihan raya pada 1969 bila Perikatan (kemudiannya BN) berada dalam keadaan serba salah.


S: Apa yang menyebabkan mereka rasa kurang senang?

J: Banyak telah diperkatakan tentang ini, dan kenaikan sara hidup khusus disebut sebagai yang paling utama. Tetapi tentu ada banyak lagi hal lain. Saya melihat gabungan pelbagai faktor. Orang Cina tidak senang dengan keadaan ekonomi oleh kerana mereka berpendapat ia sepatutnya lebih baik. Orang India kecewa kerana mereka dipinggirkan dalam setiap bidang. Jadi, kerajaan memutuskan untuk membuat beberapa konsesi untuk bukan Melayu, dan ini menyebabkan orang Melayu marah.

Jadi, tiga kaum berlainan bertindak habisan menentang BN atas sebab-sebab yang berbeza. Ini menjelaskan tentang keputusan itu. Jika sara hidup merupakan faktor tunggal, maka kita sepatutya melihat impak yang sama di Sabah dan Sarawak. Satu lagi faktor, saya percaya, yang menyakiti hati pengundi Melayu ialah perhimpunan Hindu Rights Action Force (Hindraf) November lepas.

S: Tapi, apakah anda fikir setakat isu-isu semasa boleh mengubah imbangan?

J: Pemerhatian saya ialah sejak pilihan raya umum 1995, isu-isu banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya. Pilihan raya umum 1999 menyaksikan kes Anwar Ibrahim dan krisis kewangan mengalih undi kepada Pembangkang dan pada 2004 undi itu berbalik kepada BN selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan imej "Mr Clean" mengambil alih teraju pentadbiran. Perkara lain yang turut menyumbang ialah perbezaan pendapat dalam parti-parti komponen BN.

S: Apakah keputusan itu menandakan kematangan politik pengundi kita; bahawa mereka kini sedia mengundi merentasi garis perkauman?

J: Tidak semestinya begitu. Tapi yang jelas pengundi telah berubah. Andaian umum bahawa "undi saya untuk BN" tidak lagi benar. Dan lebih ramai menyedari bahawa undi mereka penting. Hubungan akrab dengan BN kini menurun dengan munculnya kelas menengah. Ini khususnya jelas di kalangan orang Melayu di mana ikatan mereka dengan Umno tidak lagi sekukuh pada zaman ibu bapa mereka.

Tetapi ini tidak bererti mereka tidak mengundi BN. Peralihan undi kepada BN pada 2004 sebagai bukti. Pengundi semakin tidak dipengaruhi politik, tetapi mengundi berasaskan isu. Secara ringkas, pengundi kini lebih bijak menimbang dan membuat tuntutan.

S: Orang Melayu sudah mengambil langkah berani mengundi Pembangkang, ketika menyedari bahawa kebanyakan hak dan keistimewaan mereka dipertaruhkan. Ini membuktikan apa?

J: Ya, mereka telah mengundi untuk Pembangkang, tetapi ini tidak bererti mereka mengundi menentang hak dan keistimewaan mereka. Kedua-duanya amat dekat di hati orang Melayu seperti mana yang kita lihat daripada reaksi mereka di Pulau Pinang bila Ketua Menteri membuat kenyataan berhubung Dasar Ekonomi Baru.

Saya yakin sebarang percubaan untuk menghapus atau menyekat hal tersebut akan menyaksikan orang Melayu menentangnya dengan lantang. Tapi sekarang, bila ancaman sebegini muncul, orang Melayu (mungkin) menyesal mengapa mereka harus merosakkan keadaan pada awalnya.

S: Apakah anda melihat personaliti Anwar dan Abdullah membawa sebarang kesan terhadap keputusan pilihan raya?

J: Anda menjadikannya kelihatan terlalu mudah. Anwar mempunyai karismanya sendiri tetapi Abdullah adalah seorang pemimpin dari ‘setup’ yang lebih besar dengan pengaruhnya berkembang ke seluruh negara. Tentunya, Abdullah punya beban lebih besar untuk dipikul.

Selain itu, Abdullah dan kerajaan (secara relatif) dipandang negatif berhubung banyak masalah seperti konsesi tol, yang sebenarnya adalah masalah yang diwarisi dari kepimpinan sebelumnya. Saya tidak fikir personaliti mereka membawa perbezaan tetapi saya lihat BN gagal menjawab kebanyakan tuduhan dalam bahasa yang boleh difahami rakyat.

S: Sejarah menunjukkan bahawa parti Kongres di India yang memperjuangkan kemerdekaan menyaksikan sokongan yang merosot selepas beberapa tahun. Apakah nasib yang serupa kini menghampiri BN?

J: Tidak, saya tak fikir begitu. Kongres adalah dinasti keluarga, tidak seperti BN, yang merupakan parti yang dinamik dengan pemimpin yang silih berganti dan bersifat penuh tolak ansur. Umno, selaku parti dominan, telah menyaksikan perubahan dalam stail kepimpinan dan pengisian bila pemimpin bertukar. Hal yang sama berlaku pada parti-parti komponen. Apapun, pengisian teras dan prinsip yang diterima tetap tidak berubah dan ini menjanjikan kesinambungan untuk negara.

S: Setelah rakyat memilih pakatan longgar PKR-DAP-PAS untuk memerintah Selangor, Perak, dan Pulau Pinang, apakah anda melihat ini sebagai alternatif yang 'viable' kepada BN?

J: Adalah sukar bagi saya melihat mereka sebagai viable pada ketika ini oleh kerana ketiga-tiga berada di persimpangan. PAS, dengan ideologi Islam, tidak seia sekata dengan anutan sekular DAP, sementara PKR mempertahankan kubu dengan menjaga hati kedua-duanya.

Dan PKR tidak pula menjadi anggota dominan seperti UMNO untuk membimbing mereka atas platform bersama. Oleh kerana masih tidak ada platform alternatif yang viable, maka untuk meninggalkan BN dan berkata kita memilih alternatif adalah berbahaya.

S: Apakah anda fikir pakatan ini akan dapat mentadbir negeri-negeri berkenaan tanpa bantuan kerajaan persekutuan?

J: Sejarah telah membuktikan bahawa Pulau Pinang diketuai Tun Dr Lim Chong Eu di bawah platfrom Pembangkang tidak pun ke mana sehingga ia menyertai gabungan BN. Begitu juga Terengganu di bawah PAS. Jadi, kerjasama kerajaan persekutuan adalah penting untuk survival mereka. Hanya Kelantan kekal sebagai satu pengecualian. Nasib negeri miskin seperti Kedah (kini diperintah oleh PAS), yang amat bergantung pada bantuan persekutuan, sekarang tidak menentu.

Dan negeri-negeri seperti Perak boleh berakhir dengan kecelaruan politik kerana Menteri Besar dilantik dari parti yang mempunyai bilangan kerusi paling sedikit dalam gabungan itu. Namun, yang menarik minat ialah Selangor. Bolehkah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, dengan kredential yang baik, membuktikan bahawa gabungan itu boleh memerintah dengan berjaya sebuah dari negeri paling kaya di negara ini. Jika mereka berjaya, maka kita boleh menjangkakan satu perubahan kekal dalam suasana politik negara. Hanya masa akan menentukan.

S: Oleh kerana kerajaan persekutuan tidak lagi mendapat majoriti dua pertiga (di Dewan Rakyat), apa yang akan berlaku sekarang?

J: Ketiadaan majoriti dua pertiga boleh menjejas setiap orang. Status quo ini tentu tidak selesa, terutama bila kita tidak biasa mengalami senario sedemikian. Sebuah negara berbilang kaum memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Majoriti mudah adalah memadai bagi mentadbir negara asalkan tidak berlaku gelodak politik.

S: Apakah bentuk masa depan buat BN?

J: Kebetulan perubahan signifikan ini berlaku semasa negara menyambut ulang tahunnya yang ke 50, dan banyak pengajaran yang diperolehi. Dengan (pengumuman) kabinet baru, fasa pertama proses pemulihan sudah bermula. BN perlu bekerja lebih kuat berbanding Pembangkang demi menarik pengundi. Tidak ada ruang untuk merasa puas hati dan BN tidak lagi harus terlalu bergantung pada undi anggota parti.

Saya tidak nampak sebarang masalah bagi BN menawan kembali kawasan-kawasan yang ia tewas jika ia tetap fokus, dengan mengambil kira bahawa pengundi mungkin tidak lagi mengundi mengikut garis parti. Pilihan raya akan datang mungkin diadakan lebih awal, segalanya bergantung pada betapa cepatnya proses pemulihan.

Kemunculan Era Demokrasi Digital

Pilihanraya Umum Malaysia tahun 2008 telah menyaksikan kebangkitan satu era baru yang semakin signifikan hari ini iaitu era demokrasi digital. SMS dan media digital internet seperti e-mel, blog dan halaman web dilihat sebagai satu kuasa baru yang sangat efektif serta dapat menyuarakan pandangan rakyat dengan lebih cepat dan terbuka.

Realitinya, informasi yang diterima adalah yang terkini dan mampu menghasilkan ledakan perubahan fikiran para pembacanya. Malah, respons kepada segala persoalan yang diutarakan pula begitu cepat tanpa perlu melalui protokol-protokol ketat dan berlapis-lapis seperti yang sedia ada. Konsep ini telah pun digunakan di negara-negara maju dengan jayanya

Inilah yang dinamakan kemajuan, hasil daripada pelaburan wang rakyat yang berjumlah berbilion-bilion ringgit ke arah mewujudkan generasi yang lebih berpelajaran dan intelek.

Ianya telah menghasilkan rakyat yang lebih berilmu dan kritis. Dalam masa yang sama, kita juga terdedah kepada pelbagai bentuk ideologi politik, samada dari dalam mahu pun luar negeri.

Kemunculan era digital di dalam proses memajukan fikiran dan ilmu rakyat ini dipandang sebagai pemangkin kepada kewujudan koridor baru tanpa sempadan dan tanpa sekatan.

Pokoknya, para pemimpin BN perlu akui bahawa internet dan bahan-bahan didalamnya kini merupakan salah satu daripada santapan utama kerangka pemikiran dan persepsi golongan yang celik IT dan golongan muda hari ini.

Memang benar bahawa golongan muda hari ini kurang berpengalaman, sama juga seperti golongan-golongan muda tahun 60-an atau pun 70-an. Akan tetapi mereka itu secara realitifnya lebih berpelajaran dan hidup di dalam era yang lebih moden.

Golongan muda ini juga merupakan golongan yang aktif mempersoalkan pelbagai bentuk isu serta sangat bertenaga untuk mencari jawapan kepada semua persoalan yang terlintas di benak fikiran mereka.

Keinginan untuk mengetahui ini menjadi lebih mudah dengan kewujudan internet dan sms, yang sememangnya sangat diminati oleh golongan muda ini.
Ledakan informasi tanpa sempadan ini menjadi satu masaalah apabila parti BN tidak seiring atau pun lambat menggunapakai kemajuan tersebut. Realitinya, parti BN kurang mempunyai sebarang saluran maklumat yang signifikan dan terkini di alam maya ini.

Disebabkan itu, golongan-golongan celik IT dan golongan muda ini akan mencari maklumat-maklumat yang dikehendaki daripada sumber-sumber lain di dalam internet.

Sumber-sumber itu pula biasanya lebih bercorak anti-kerajaan, tidak tepat dan diolah sedemikian rupa hingga berjaya merubah persepsi golongan itu tentang kerajaan yang sedia ada.

Golongan muda ini pula berkemungkinan besar merantau jauh daripada kampung masing-masing dan bekerja di bandar-bandar besar di mana jaringan informasi internet dan sms adalah yang terpadat dan sangat aktif.

Dan apabila mereka balik bercuti dan sebagai seseorang yang berpelajaran, segala informasi yang mereka terima itu akan menjadi bahan bualan serta mampu mempengaruhi keluarga mereka di kampung halaman masing-masing.

Mungkin yang menimbulkan sedikit masaalah ialah kepakaran di dalam bidang komputer dan IT ini turut dimonopoli oleh generasi muda tersebut. Persoalannya,
  • Apakah pemimpin-pemimpin yang sedia ada mahu mendapat pandangan ilmiah daripada generasi yang lebih muda usianya?
  • Apakah pemimpin-pemimpin itu juga bersedia untuk diajar mendalami satu ilmu asas yang tidak wujud semasa mereka di peringkat persekolahan dahulu?
Di dalam konteks prestasi parti BN yang tidak memberangsangkan semasa pilihanraya umum yang lepas, pemimpin-pemimpin BN tidak mempunyai alternatif lain.

Mereka mesti bersedia untuk belajar dan diajar agar frekuensi serta kerangka pemikiran mereka dapat memahami citarasa golongan-golongan tersebut.

Hapuskan Tol : Pemuda Gesa Kerajaan Baru Pulau Pinang Segera Tunaikan Janji

Butterworth 25 MAC-- Kerajaan baru Pulau Pinang pimpinan DAP dan rakan mereka yang lain disaran menunaikan segala janji yang ditabur sebelum pilihan raya umum ke-12 yang lalu termasuk pemansuhan bayaran tol di negeri berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Bagan, Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan terus mendesak sehingga kerajaan negeri menunaikan janji sebelum ini untuk memastikan rakyat mendapat hak mereka seperti yang dilaung-laungkan ketika musim berkempen baru-baru ini.

Menurut beliau selepas DAP mengambil kepimpinan kerajaan negeri, seluruh penduduk di negeri itu masih ternanti-nanti pengumuman segala manifesto terutama penghapusan kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang dan Tol Sungai Nyior.

"Mereka pandai berjanji walaupun kita yakin kerajaan negeri tidak mampu mengubah semua perjanjian dengan pemegang konsesi kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak untuk membayar pampasan.

"Kita sebenarnya percaya kerajaan negeri sebenarnya tidak mampu menunaikan semua janji mereka malah untuk memansuhkan bayaran tol belum pasti dilaksanakan," katanya di sini, hari ini.

Selian daripada penghapusakan kutipan tol, DAP turut berjanji untuk memberikan bonus sebanyak RM6,000 setahun kepada keluarga berpendapatan RM6,000 ke bawah dan penurunan harga minyak serta pelbagai janji lain.

Marzuki yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata, Pemuda akan terus memainkan peranan mereka sebagai pendesak agar kerajaan negeri tidak lupa akan janji-janji mereka kepada rakyat.

"Alangkah malangnya jika rakyat tertipu dengan segala helah pembangkang ketika berkempen kerana kita tahu untuk mengubah semua perjanjian adalah sukar lebih-lebih lagi melibatkan kos pampasan yang tinggi," ujarnya.

(Sumber artikel ini dari laman Pemuda UMNO Malaysia)

Pemuda Hormati Keputusan Rakyat, Bersatu Jana Semula Kekuatan Parti

Kuala Lumpur 13 MAC--- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima dengan hati yang terbuka keputusan pilihanraya ke 12 yang lalu dan akan memperkasakan semula parti untuk berdepan cabaran masa depan.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan pilihanraya umum lalu adalah satu isyarat yang jelas kepada UMNO untuk bermuhasabah diri secara jujur dan mencari pendekatan baru bagi mendapat keyakinan rakyat pada masa yang akan datang.

Malah katanya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mendapat banyak respon dari kepimpinan pemuda negeri-negeri dan ahli pemuda di peringkat akar umbi dari seluruh negara yang menyatakan kesungguhan mereka untuk membina semula kekuatan sayap pemuda dan UMNO sendiri.

"Rata-rata mereka masih bersemangat tinggi dan tenang berdepan dengan kenyataan ini.

"Mereka bersetuju untuk memperkasakan semula parti dan menganggap prestasi menurun UMNO dalam pilihanraya baru-baru ini sebagai mempunyai hikmahnya tersendiri", katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Pemuda UMNO tambah beliau lagi mahu semua lapisan pemimpin UMNO supaya tidak menafikan realiti bahawa rakyat telah membuat keputusan dan keputusan itu perlu dihormati.

Sehubungan dengan itu kata beliau Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat Exconya pada hujung minggu ini bagi membincangkan isu-isu terkini.

(Sumber Artikel dari Laman Pemuda UMNO Malaysia)

Menteri Besar Selangor Persoal Perjanjian Air Kerajaan Negeri Sebelum Ini

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Meskipun Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menyatakan sebagai sah, perjanjian air yang dimeterai oleh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dan Puncak Niaga Holdings Bhd -- sehari sebelum pilihan raya umum 8 Mac lepas -- Menteri Besar mahu tahu jika perjanjian itu adil kepada rakyat Selangor.

Pada hari Selasa, menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata perjanjian itu terpakai kecuali Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sebagai badan pengawal, memutuskan untuk membatalkannya.

Pada 7 Mac, perjanjian itu dimeterai oleh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dan Puncak Niaga Holdings Bhd bagi operasi dan pengurusan pengumpulan air mentah dan loji rawatan di Sungai Sireh, Tanjung Karang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata: "Ia boleh kekal, tetapi saya fikir pengguna juga mahukan jaminan daripada Datuk Shaziman bahawa ia perjanjian yang adil kepada rakyat.

"Jika perjanjian itu tidak adil kepada rakyat Selangor, saya akan minta rakyat Selangor menulis surat kepada Datuk Shaziman bahawa perjanjian itu melanggar kepentingan rakyat.

"Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri selepas kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP mengambil alih Selangor daripada Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyemak perjanjian itu.

Ditanya apakah tindakan beliau berhubung perjanjian itu, beliau berkata:"Daripada pengalaman saya dalam dunia korporat, perjanjian itu perlu distruktur semula."

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana ia melibatkan rundingan tetapi menjelaskan walaupun perjanjian itu dimeterai oleh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (negeri) sekarang untuk menyemaknya.

Ahli Majlis BN digesa ikhlas bantu rakyat

JOHOR BAHRU 23 Mac - Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya ikhlas melaksanakan sesuatu kerja atau membuat kebajikan membantu rakyat dan tidak hanya berfikir untuk kepentingan individu dan parti sahaja. Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, semua ahli majlis PBT BN memainkan peranan besar dalam memantapkan lagi sesuatu parti supaya semua rakyat yakin dengan pentadbiran yang digerakkan oleh kerajaan. "Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat sebaik mungkin kerana setiap tugasan itu merupakan kepercayaan yang dipertaruhkan oleh masyarakat untuk kita. "Kerana kepercayaan rakyat itulah kita masih lagi kekal mentadbir kerajaan walaupun kita hilang suara dua pertiga di Dewan Rakyat. Jadi jangan mempersia-siakan kepercayaan itu," katanya. Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Makan Malam Kesyukuran BN Johor Bahru di sini malam semalam. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru dan ADUN Stulang, Mok Chek Hou. Majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang itu menurut Shahrir sebagai sambutan dan tanda terima kasih kepada semua jentera BN yang bertungkus-lumus berusaha bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Menurutnya, bagi memantapkan lagi BN di Johor Bahru, mesyuarat bahagian akan dijalankan sekerap yang mungkin bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul dan merancang aktiviti di peringkat akar umbi. "Mesyuarat itu nanti akan membantu semua ahli untuk membentuk suatu parti yang mantap dan mampu memenuhi segala keperluan rakyat," ujarnya.

Jangan cabul hak Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR 26 Mac – Parti Islam SeMalaysia (Pas), semalam menyelar tindakan pihak yang menggunakan campur tangan politik ke atas Kuasa Raja-Raja Melayu dan Eksekutif. Menurut Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, selain mencabar Institusi Kesultanan, perkara ini juga menunjukkan betapa rapuhnya pegangan Kerajaan Pusat terhadap proses pendemokrasian yang diguna pakai selama ini.

Dalam sidang media semalam, Pemuda Pas menggesa polis menyiasat kain rentang yang dipamerkan berdekatan kediaman Datuk Seri Idris Jusoh kerana dianggap menghina Institusi Raja.

Kain rentang itu berbunyi ‘Kami nak Idris, natang’, yang bermaksud 'kami mahukan Idris, binatang' dalam loghat Terengganu.

Salahuddin Ayub berkata, tulisan di kain rentang ini bersifat hasutan dan tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya sudah pun meminta Pemuda Pas dan Keadilan setiap daerah di Terengganu untuk membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang akan diambil dan tiada kekecohan yang akan berlaku hasil hasutan tersebut,” kata Salahuddin yang tidak mahu menuduh mana-mana pihak terlibat menjadi dalang dalam perkara ini.

Menjawab soalan media, beliau menyatakan bahawa Barisan Nasional perlu juga menghormati sistem Kuasa Raja-Raja dan Eksekutif seperti mana Pas menerima sistem yang sedia ada pada hari ini.

“Abdullah perlu faham situasi jika Sultan mana-mana negeri tidak menerima Menteri Besar yang disarankan oleh beliau. Mereka juga ada Penasihat Undang-Undang sendiri dan mempunyai hak untuk menentukan siapa yang layak untuk memimpin rakyat di negeri naungan mereka,” kata beliau lagi.

Ketua Pemuda Pas ini turut menyatakan keraguannya mengapa Pengerusi Barisan Nasional itu tidak mencadangkan nama calon yang lain selain Datuk Seri Idris Jusoh walhal Kerajaan Campuran di Perak mampu mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar.

Beliau turut tidak menyangkal bahawa kurangnya keyakinan terhadap Idris Jusoh bermakna refleksi kepada hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

(Sumber Artikel ini dari Sinar Harian)

Jangan tangguh lagi -- Puteri, pemimpin UMNO mahu pemilihan parti diteruskan

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac – Pergerakan Puteri UMNO dan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu menolak saranan supaya pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan MT ditangguhkan lagi.

Sebaliknya, mereka berpendapat, pemilihan tersebut tetap perlu diadakan tahun ini setelah ia ditangguhkan pada tahun lalu bagi memberi laluan kepada parti itu bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, dari segi peraturan, pemilihan UMNO memang boleh ditunda selama 18 bulan yang hanya akan berakhir pada Jun tahun depan.

Namun, katanya, Puteri UMNO berpendapat ia tetap perlu dilangsungkan tahun ini.

“Seandainya pemilihan tidak dapat dibuat pada bulan Ogos sebagaimana dibayangkan sebelum ini, pemilihan tetap perlu diadakan selewat-lewatnya Disember 2008,’’ kata Noraini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib semalam berkata, para pemimpin badan perhubungan UMNO negeri yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mencadangkan supaya pemilihan parti itu ditunda ke Jun tahun depan bagi mengelakkan berlaku ‘malapetaka’ politik negara.

Pemilihan MT UMNO sepatutnya diadakan pada November tahun lalu sebelum ia ditangguhkan ke pertengahan tahun 2008. Kali terakhir UMNO menjalankan pemilihan parti ialah pada September 2004.

Mesyuarat MT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok dijangka membuat keputusan mengenai isu itu.

Di SEREMBAN, ahli MT UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mahu pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini diteruskan demi masa depan parti.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun, masalahnya akan ada juga.

“Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini memberi pengajaran yang amat mahal. Kita kena rasional. Kalau kita sayangkan UMNO, tidak payah kita tangguhkan lagi pemilihan.

“Kalau agenda peribadi mengatasi perjuangan, tangguhkan sampai bila pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah,’’ jelas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, cadangan menunda pemilihan UMNO ke tahun depan tidak membawa sebarang makna kerana akhirnya pemilihan itu akan tetap dijalankan.

“Tidak ada bezanya jika pemilihan ditangguhkan ke tahun depan. Pemilihan sepatutnya diteruskan seperti yang dirancang,” katanya ketika dihubungi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, UMNO patut mencontohi MCA yang tetap meneruskan pemilihan parti itu walaupun MCA memperoleh keputusan pilihan raya yang lebih buruk pada pilihan raya umum lepas.

MCA hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mohamad Khir turut mencadangkan pucuk pimpinan UMNO mendapatkan pandangan ahli-ahli peringkat bawahan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Berdasarkan amalan parti, katanya, banyak keputusan yang diputuskan di peringkat atasan dibuat tanpa mendapatkan maklum balas ahli-ahli akar umbi.

“Kita tanya ahli-ahli, adakah mereka mahukan pemilihan diadakan lebih cepat? Dari situ baru kita putuskan sama ada perlu teruskan pemilihan tahun ini atau menangguhkannya ke tahun depan,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, ahli-ahli UMNO di peringkat mana sekalipun telah mempunyai kematangan dalam politik.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya pertandingan akan mengundang perpecahan hanyalah satu andaian.

“Pemilihan parti adalah peluang untuk ahli-ahli UMNO mencari pemimpin yang terbaik untuk memimpin parti. Jika ia terus dilewatkan, kita akan terus berhadapan dengan masalah terutama dari segi persepsi rakyat,’’ katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd. Idham Yasser berkata, ramai pemimpin UMNO tidak bersetuju pemilihan parti ditangguhkan.

“Pemuda UMNO sendiri berhadapan dengan sekatan had umur jika pemilihan ditunda. Akan ada ramai yang terlepas peluang memimpin pergerakan Pemuda kerana melewati had umur,” jelasnya.

(Sumber artikel ini dari Utusan Online)

Raja Petra, akhbar PKR diperintah bayar RM7j kepada Naib Canselor UUM

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH'ARI

ALOR STAR 26 Mac – Seorang penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin dan tiga defendan hari ini diarah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi saman fitnah sebanyak RM7 juta kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan universiti berkenaan.

Keputusan tersebut dibuat oleh mahkamah itu dalam saman berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah pada Disember 2006 melibatkan Raja Petra sebagai defendan pertama dan tiga defendan lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), ketua pengarang akhbar Suara Keadilan dan editor akhbar Suara Keadilan.

Dalam tuntutan ganti rugi tersebut, Raja Petra, 57, diarahkan membayar RM2 juta kepada plaintif pertama, Dr. Nordin, dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua, UUM, berhubung penyiaran artikel bertajuk Dato Dr. Nordin Kardi Ciplak Karya Saya? Mohon Penjelasan dalam laman webnya, www.malaysia-today.net.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Priscilla Gengadaran yang membuat keputusan itu turut menetapkan ketua pengarang akhbar Suara Keadilan dan editor akhbar itu membayar ganti rugi kepada Dr. Nordin dan UUM.

Perintah itu dibuat berikutan penyiaran satu artikel fitnah bertajuk NC UUM Penciplak di muka surat 26 akhbar Suara Keadilan bilangan 098 bertarikh 27 Disember 2006-10 Januari 2007.

Ketua pengarang akhbar Suara Keadilan diperintahkan membayar ganti rugi RM1 juta kepada Dr. Nordin dan RM500,000 kepada UUM manakala editor akhbar berkenaan juga diperintahkan membayar ganti rugi dalam jumlah yang sama kepada Dr. Nordin dan universiti tersebut. PKR ialah penerbit akhbar Suara Keadilan.

Dr. Nordin dan UUM diwakili peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz manakala Raja Petra, ketua pengarang Suara Keadilan dan editornya tidak mengemukakan pembelaan.

Menurut Mohd. Khairul, Dr. Nordin mendakwa Raja Petra membenarkan artikel berkenaan disiarkan di laman web www.malaysia-today.net selama dua minggu dan dengan sengaja menyebabkan beliau dan UUM berada dalam suatu skandal dan kontroversi umum.

Menurutnya, blog Raja Petra adalah media alternatif yang menerima kunjungan jutaan pelayar Internet dari seluruh dunia setiap hari.

Akhbar Suara Keadilan pula menyiarkan artikel tulisan seorang bekas pemimpin mahasiswa yang mendakwa Dr. Nordin sebagai menciplak karya beliau.

Akhbar tersebut memetik Muhtar Suhaili, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), memberitahu bahawa artikel beliau bertajuk Mahasiswa dan Tanggungjawab Menguruskan Kejayaan telah diciplak oleh Dr. Nordin tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya di sini, Dr. Nordin berkata, sepanjang proses pengadilan mahkamah, beliau dapat menahan diri dan berdisiplin supaya tidak terlibat dalam perbahasan menerusi blog walaupun ada masanya beliau tergoda untuk mempertahankan diri daripada fitnah ke atasnya yang begitu meluas.

“Saya merasakan kejayaan ini adalah kejayaan golongan intelektual di dalam negara yang mahu blog-blog dan pihak yang menyalahgunakannya tidak mempermain-mainkan kebenaran dan integriti intelektual untuk tujuan mereka.

“Oleh kerana mahkamah yang adil membuat keputusan memihak kepada saya dan UUM yang dianiaya melalui tulisan-tulisan longgar dan tidak bertanggungjawab, saya berharap keputusan seumpama ini akan menjadi teladan kepada mana-mana pihak supaya tidak mudah membuat sesuatu tohmahan,” tambah beliau.

Dr. Nordin percaya masyarakat pengajian tinggi akan bangkit mencari proses keadilan terhadap sebarang usaha memperkecil dan mempermain-mainkan kesucian dan integriti institusi pengajian tinggi.

“Mungkin kes ini boleh dianggap sebagai ‘kes contoh’ dalam aspek salah laku siber di negara ini,” katanya.

(Artikel ini dipetik dati Utusan Online)

UMNO Perak mahu Abdullah, Najib kekal

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMZI


IPOH 26 Mac – UMNO Perak mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kekal sebagai Presiden dan Timbalan presiden UMNO demi perpaduan parti.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memikirkan soal jawatan tetapi apa yang lebih penting ialah untuk mencari kaedah terbaik bagi mengukuhkan semula kedudukan parti.
Katanya, dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang ‘sakit’ ini, pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalaman dan parti juga boleh hilang punca sehingga hilang fokus kepada usaha menstabilkan semula UMNO.
‘‘Dalam keadaan tidak berapa baik sekarang, struktur parti sewajibnya tidak fikirkan soal jawatan kerana apa yang lebih penting ialah buat ‘post mortem’ dan bincangkan satu modus operandi yang selaras bagi mengukuhkan semula UMNO dan BN di seluruh negara.
‘‘Lebih baik bertanding atas jawatan bila dah pulih, itu pun kalau perlu, kalau tidak, tidak perlu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan UMNO Cheras agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan serta sistem kuota dimansuhkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee semalam mengesyorkan kedua-dua jawatan itu dipertandingkan bagi membolehkan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi menterjemahkan pendirian secara jelas mengenai kehendak dan aspirasi mereka terhadap pucuk pimpinan.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan berkata, pihaknya mengambil pendirian sama dengan Badan Perhubungan UMNO negeri yang mahukan Abdullah dan Najib kekal dengan jawatan masing-masing demi perpaduan parti.

‘‘Dalam keadaan politik tidak menentu sekarang ini, saya rasa eloklah kita fikirkan perpaduan parti dulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dalam keadaan sekarang apa yang lebih penting kepada semua peringkat pimpinan UMNO ialah memikirkan dengan semasak-masaknya apakah keutamaan yang lebih penting bagi menyelamatkan parti, orang Melayu dan rakyat negara ini amnya.
‘‘UMNO jangan lupa kerana ia sebagai parti mewakili rakyat bukannya mewakili kelompok-kelompok kecil di kalangan tertentu.

‘‘Masa depan UMNO dan orang Melayu tidak boleh ditentukan oleh segelintir kelompok sahaja tetapi perlu ditentukan oleh lebih daripada tiga juta ahli UMNO di seluruh negara,” katanya.
(Artikel ini dipetik dari Utusan Online)

876 ketua kampung letak jawatan 1 Mei

Oleh ABDUL RAZAK DIN

IPOH 26 Mac – Seramai 876 ketua kampung di Perak akan meletakkan jawatan beramai-ramai berkuatkuasa 1 Mei ini kerana tidak sehaluan dengan kerajaan campuran Perak pimpinan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Seramai 13,140 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga akan turut berbuat demikian atas alasan yang sama.

Presiden Pertubuhan Ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP), Zukiman Jalil berkata, notis meminta mereka meletakkan jawatan telah diedar dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak yang baru pada 1 Mei ini.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang memilih untuk meletakkan jawatan belum diketahui tetapi mereka perlu berbuat demikian kerana sebelum ini dipilih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Watikah pemilihan diberikan oleh Menteri Besar Perak yang dahulu dan tidak adil untuk kami memberikan kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR sekarang.

“Adalah lebih baik kami meletakkan jawatan secara terhormat daripada diarahkan berbuat demikian dan perbincangan juga telah dibuat dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Shaarani Mohamad.

“Jika pun kami memegang jawatan itu, kami menjadi ketua kampung pembangkang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Kinta di sini hari ini.

Seramai 60 ketua kampung hadir pada majlis perjumpaan tersebut.

Zukiman berkata, notis peletakan jawatan berkenaan telah diedarkan kepada beberapa daerah di negeri ini seperti Parit, Kampung Gajah dan Manjong.

“Jumlah sebenar yang akan meletakkan jawatan akan diketahui pada 29 April ini setelah kami mengumpul kesemua notis berkenaan,” katanya.

Ketua-ketua kampung di Perak menerima elaun bulanan sebanyak RM600 dengan RM400 diberi oleh kerajaan Persekutuan dan RM200 lagi oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Zukiman menasihatkan ketua-ketua kampung supaya tidak lagi menggunakan dewan orang ramai untuk sebarang urusan.

“Ketua kampung perlu tinggalkan dewan orang ramai secara profesional dan tidak mengambil sebarang harta benda di dewan tersebut kerana ia milik kerajaan negeri,” katanya.

Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan semula sistem pengundian dalam kalangan penduduk untuk memilih ketua kampung.

Ini kerana katanya, sistem pelantikan yang diamalkan kini telah menimbulkan krisis di peringkat akar umbi apabila calon yang dikehendaki penduduk tidak terpilih.

Kerajaan negeri merancang memperkenalkan kaedah baru itu selepas tempoh jawatan ketua-ketua kampung sedia ada tamat pada 31 Disember depan atau apabila ada ketua kampung meletakkan jawatan.

(Sumber artikel ini dipetik dari Utusan Online)