Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 26, 2008

DUBS Miri Minta Kerajaan Tamatkan Pembekuan Pengeluaran Lesen Kontraktor F

MIRI 25 MAC (Bernama) : Dewan Usahawan Bumiputera Serawak (DUBS) Cawangan Miri meminta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Dato' Noh Omar supayan menamatkan dasar membekukan pengeluaran lesen untuk kontraktor kelas F, yang telah berkuatkuasa sejak hampir tiga tahun.

Setiausahanya, Abdul Razak Joni berkata sudah tiba masanya kementerian itu menerusi agensinya, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), untuk membuka semula peluang, khasnya di kalangan usahawan Bumiputera baru untuk terlibat aktif khususnya dalam program pembangunan koridor kerajaan.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata beliau memahami langkah kerajaan membekukan pengeluaran lesen Kelas F sejak 8 April 2005 memandangkan bilangan kontraktor kelas berkenaan terlalu ramai berbanding dengan bilangan projek yang ditawarkan oleh kerajaan pada waktu itu.

Selain itu, katanya pembekuan pengeluaran lesen itu terpaksa dibuat kerajaan berikutan ketika itu terlalu banyak aduan mengenai banyak projek yang ditawarkan oleh kerajaan kepada kontraktor kelas itu telah dialibabakan.

"Kita merasakan bilangan projek kerajaan yang bersesuaian untuk kontraktor kelas F telah bertambah berlipat kali ganda sekarang dan isu projek ali baba boleh ditangani sekiranya para pegawai kementerian turun padang dan memantau projek," katanya.

Beliau berkata DUBS Miri juga bimbang kadar peningkatan penawaran projek kecil kerajaan yang lebih tinggi berbanding dengan jumlah kontraktor yang layak mendapat projek berkenaan yang tidak bertambah akan menyebabkan kelewatan pelaksanaan sesuatu projek.

Katanya keadaan ini amat ketara bagi projek kecil kerajaan yang hendak dilaksanakan di kawasan luar bandar yang tidak dapat dilaksanakan berikutan ketiadaan kontraktor tempatan yang berkelayakan.

Pembekuan pengeluaran lesen kelas F itu selama ini juga, katanya telah menyebabkan situasi di mana para usahawan baru terpaksa "melompat" terus untuk menjadi kontraktor kelas D dan E biarpun mempunyai pengalaman keusahawanan yang terbatas.

"Pada masa sekarang, tidak begitu banyak projek kerajaan yang sesuai untuk dijalankan oleh kontraktor kelas D dan E dan ini telah menyebabkan peluang penglibatan mereka amat terhad," katanya.

Blog? Apa Itu Blog?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera…

Blog, apa itu blog? Blog merupakan ringkasan bagi weblog. Ia boleh dikatakan sebagai diari online dimana seseorang itu berkongsi kisah hidupnya dengan masyarakat umum. Ia juga digunakan sebagai jurnal untuk menyatakan pendapat peribadi atau menceritakan sesuatu perkara seperti hobi dan pekerjaan harian.

Apa beza blog dan laman web biasa?

Pada dasarnya blog dan laman web biasa tiada bezanya, blog juga merupakan sejenis laman web. Tetapi yang membezakan blog dan laman web ialah blog mudah dikemaskini. Di mana setiap kali blog dikemaskini, artikel terbaru akan berada di atas, manakala artikel yang lama akan turun ke bawah.

Berbanding dengan laman web ia biasanya susah untuk dikemaskini dimana ia perlu dikemaskini didalam programnya sendiri sama ada frontpage atau dreamviewer atau sebagainya.

Kemudiannya laman web tersebut perlu diuploadkan semula ke hosting.

Jadi untuk mengemaskini website ia memerlukan masa yang lama. Manakala untuk mengemaskini blog hanya perlu masuk ke ruangan admin sahaja. Jadi kesimpulanya untuk mengemaskini blog tidak memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi.

Kenapa kita perlu memiliki Blog?Soalan ini tentu sedang bermain di minda anda jika anda belum miliki blog. Sebenarnya banyak sebab mengapa kita perlu memiliki blog. Tidak kisah siapa kita, walaupun seorang tukang masak, penulis buku, peguam, ustaz, guru, pemandu teksi, ahli perniagaan, CEO, usahawan internet, pelajar, pesara, doktor, petani atau sesiapa sahaja, blog kini merupakan satu medium penyampaian maklumat yang amat berkesan, dapat menambah kenalan, berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan yang pasti, ia adalah satu teknologi di internet yang begitu ampuh sekali untuk digunakan bagi pelbagai tujuan dan matlamat.

Dengan hanya menulis, segenap lapisan masyarakat seluruh dunia akan membaca dan tahu apa yang kita tulis tersebut atau mengenali diri kita! Jika kita seorang usahawan, sudah pasti produk atau servis kita akan diketahui akan kewujudannya!

Ramai yang telah berjaya membina nama dan menghasilkan pendapatan dengan hanya menggunakan blog. Jika kita perhatikan, begitu ramai usahawan internet memiliki blog mereka sendiri bagi berkongsi apakah yang mereka lakukan dan menyatakan apakah produk keluaran mereka yang terkini.

Blog adalah satu ‘tools’ (teknologi) yang amat berkuasa di dalam menjana pendapatan atau mendapatkan trafik ke laman web perniagaan internet mereka. Kita juga boleh melakukan seperti mereka jika kita tahu caranya..

- Jadi sebagai kesimpulannya dengan memiliki blog;
- Anda dapat membina kredibiliti bagi kepakaran anda
- Mendapatkan trafik ‘percuma’ ke laman web perniagaan anda
- Dapat menyertai program Google Adsense dan program affiliate
- Berkomunikasi dengan bakal dan pelanggan anda
- Mempromosikan perniagaan konvensional anda dengan berkesan
- Menambah rangkaian perniagaan melalui internet
- dan banyak lagi faedah blog!
- Sekian sahaja untuk kali ini.Wassalam

Jadikan blog pengantara rakyat dan kerajaan

Pendapat

HUBUNGAN penulis blog tempatan dan kerajaan tahun lalu bermula dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Penulis blog dikecam sebagai penyampai maklumat yang tidak berwibawa dan berunsur fitnah.

Memfitnah kerajaan, cuba memecahbelahkan kaum dan mencetuskan pergaduhan adalah label-label popular yang diberikan kepada penulis blog sebelum pilihan raya umum 2008.

Pembaca blog pula disifatkan sebagai mudah terdedah dan percaya kepada hasutan.

Keadaan ini mendorong bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin bercadang untuk mengklasifikasikan penulis blog kepada kumpulan profesional dan tidak profesional bagi tujuan kawalan.

Idea ini tidak diperjelaskan dan tergantung kerana cadangan bersifat abstrak itu tidak memungkinkan ia diterjemah kepada tindakan praktikal.

Bagi penulis-penulis blog, permulaan ini menjadikan mereka kurang senang kerana intelek mereka dipersoalkan dan pelayar blog berasakan kebijaksanaan membuat keputusan seolah-olah direndah-rendahkan oleh golongan tertentu.

Penulis-penulis blog juga berada di bawah jangkaan pihak tertentu bahawa mereka tidak dapat membawa apa-apa perubahan melalui penulisan.

Tuduhan rambang menyatakan mereka dibayar oleh pihak-pihak tertentu menjadikan hubungan antara penulis blog dan kerajaan melebar. Tidak ada kepercayaan antara dua kumpulan dibentuk.

Para penganalisis politik tempatan mengandaikan kemunculan penulis blog banyak membantu kepada kemenangan calon-calon parti pembangkang di kawasan utama.

Kemenangan ini menjadikan peranan penulis blog dilihat semula dan dinilai sama ada blog menjadi medium yang relevan bagi memahami sudut pandang rakyat.

Kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek agar blog sebagai media alternatif yang perlu dikaji semula menunjukkan satu tindakan proaktif bagi memperbaiki persepsi ini.

Cadangan beliau bagi bertemu dengan penulis-penulis blog memberi satu harapan baru agar peranan, dasar, prinsip dan pemikiran penulis blog dapat difahami oleh kerajaan.

Tindakan seumpama itu telah dilakukan oleh Indonesia. Ia bermula apabila kerajaan Indonesia mengiktiraf kepentingan penulis blog yang memberi kesan kepada turun naik negara.

Melalui pengisytiharan Hari Blogger Nasional pada 27 Oktober oleh Menteri Komunikasi dan Informatika, Mohamad Nuh, penulis blog menjadi sayap kedua bagi kerajaan Indonesia mendapat maklum balas yang membantu usaha mentadbir negara.

Peranan blog dilihat penting oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Juwono Sudarsono bagi mendapatkan respons rakyat dalam hal-hal berkaitan polisi yang diperkenalkan.

Juwono menjadikan blog sebagai ruang personal yang dikongsi bersama rakyat bagi memahami kedudukan beliau bukan sahaja sebagai menteri, tetapi sebagai seorang yang mempunyai hobi dan minat tersendiri.

Malaysia kini beranjak kepada amalan politik moden yang memerlukan hubungan yang akrab dengan rakyat melalui ruang siber.

Anggota Kabinet pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memikirkan blog sebagai alternatif bagi menangani permasalahan dan mendapat respons segera daripada rakyat.

Budaya kerja politik diam yang menenggelamkan prestasi terbaik menteri daripada pengetahuan massa kini dapat dibuka seluas-luasnya melalui blog.

Pengurusan blog para menteri Kabinet mungkin memerlukan individu-individu yang dapat menjalankan kerja-kerja merekod segala khidmat, maklum balas daripada menteri atau pelayar sendiri bagi memastikan sistem blog efisien.

Kecepatan menangani persoalan, isu berbangkit terhadap amalan kementerian dan keputusan kerajaan dapat dijawab secara personal melalui blog para menteri.

Meskipun tidaklah bermakna menteri perlu seratus peratus menjawab semuanya, blog masih relevan sebagai sumber segera bagi rakyat menyampaikan suara dan mengetahui keadaan sebenar.

Jangan pandang sebelah mata medium blog

ISTILAH globalisasi merujuk kepada fenomena yang menjadikan dunia kelihatan seperti mengecil dari segi perhubungan manusia kerana kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Dewasa ini, Internet merupakan alat globalisasi yang tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam menyebarkan maklumat.

Blog pula ialah salah satu media alternatif yang menggunakan jaringan Internet dan semakin popular digunakan, khasnya oleh golongan muda kerana masa dan ruangannya yang tidak terhad seperti media-media lain.

Baru-baru ini, iaitu pada 11 Mac 2008, satu diskusi berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’ telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam diskusi tersebut, panelis-panelis telah mendedahkan bahawa sehingga Februari lalu, terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.

Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa blog merupakan medium yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat bagi menyalurkan maklumat antaranya agama, pendidikan, undang-undang, politik dan bisnes.

Malah ia turut menyuarakan pandangan mereka menerusi catatan-catatan atau diari dalam talian, keluh-kesah, artikel dan komen berkenaan pelbagai perkara, lazimnya dalam isu melibatkan masyarakat dan pemerintahan negara.

Sehubungan itu, hasrat Menteri Penerangan yang baru, iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek, untuk mendekati para penulis blog adalah sangat wajar dan harus dipuji.

Beliau berpendapat bahawa pandangan penulis blog tidak boleh diketepikan, dan menyatakan keinginannya untuk membuat pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas sebagai usaha membantu pembangunan negara.

Ini adalah kerana, pandangan-pandangan yang dimuatkan ke dalam blog lazimnya merupakan ‘suara hati’ yang sebenarnya kerana tidak melalui sebarang ‘penapisan’. Jadi, ketulenan pandangan tersebut adalah lebih tinggi dan perlu diambil kira dalam menilai hasrat dan keinginan masyarakat terhadap negara khususnya.

Kesimpulannya, blog merupakan medium yang tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ seperti pada awal penggunaan Internet di negara kita.

Masyarakat hari ini semakin peka dan bijak menggunakan teknologi dalam menyalurkan sebarang idea, pandangan dan ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara.

Justeru, usaha yang ingin dilakukan oleh beliau bagi mendekati penulis blog adalah wajar disokong.

Menteri Penerangan mahu temui penulis blog

AHMAD Shabery Cheek memegang senarai nama-nama pemberita yang hadir pada sidang medianya di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir timbalan menteri Datuk Tan Lian Hoe (kanan). - Bernama
KUALA LUMPUR 21 Mac – Kementerian Penerangan akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog dalam masa terdekat bagi mendekati dan memahami golongan penggerak media alternatif itu.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah tidak wajar bagi pihaknya untuk mengenepikan penulis blog kerana mereka juga mempunyai peranan tersendiri dalam membina negara.
Katanya, blog telah dijadikan medium oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan secara terus kepada kerajaan walaupun ada kalanya boleh menimbulkan perkara negatif.
“Amat perlu untuk (Kementerian Penerangan) memahami mereka dengan lebih dekat, ini prinsip keterbukaan yang saya rasakan tidak boleh kita hindari.
“Walaupun ada kalanya cara penyampaian mereka boleh menimbulkan perkara negatif, saya percaya banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada penulis blog,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Penerangan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe.
Ditanya adakah pertemuan itu merupakan usaha awal kerajaan untuk mengawal penulis blog, Ahmad Shabery berkata, isu itu sama sekali tidak timbul.
“Saya mahu bertemu mereka dahulu, kita boleh membawa kuda ke tempat air tetapi tidak boleh memaksa kuda minum air.
“Saya rasa adalah lebih baik untuk saya menjadi pendengar yang baik sebelum mereka mendengar cakap saya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penulis blog tidak semestinya dianggap sebagai pembangkang apabila mereka menyatakan pandangan alternatif.
Katanya, ada kalanya penulis blog yang dilihat menjadi penyokong pembangkang turut mengkritik dasar parti-parti pembangkang.
Mengenai peranan blog dalam pilihan raya umum lalu, beliau berkata, mesej yang disampaikan rakyat melalui keputusan pilihan raya itu banyak dibuat oleh pengundi kelas pertengahan.
Katanya, golongan itu mempunyai akses Internet yang membolehkan mereka mendapat maklumat alternatif selain akhbar dan televisyen.
“Sudah tentu saya rasakan peranan yang dimainkan mereka perlu difahami,” tegasnya.

Penangguhan pemilihan stabilkan kembali UMNO

Oleh ZULKIFLI JALIL

JIKA Majlis Tertinggi (MT) UMNO meluluskan penangguhan pemilihan parti pada mesyuaratnya esok (Khamis), bermakna ini merupakan kali ketiga ia dilakukan sejak 1999.

Berbeza dengan dua penangguhan sebelum ini yang disebabkan persiapan dan tumpuan parti yang menunjangi Barisan Nasional (BN) itu untuk menghadapi pilihan raya umum, penangguhan kali ini berkait rapat dengan usaha untuk mengukuhkan dulu kepercayaan dan perasaan ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi.

Masyarakat umum khususnya orang Melayu maklum betapa parti yang memperjuangkan nasib dan masa depan Melayu itu terluka dengan pencapaian teruk BN pada Pilihan Umum Ke-12 8 Mac lalu.

Pengalaman pahit BN akibat kehilangan Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang selain gagal menawan semula Kelantan hakikatnya lebih dirasai oleh UMNO.

Kehilangan majoriti dua pertiga, yakni hanya kurang lapan kerusi daripada 148 yang diperlukan, juga dirasai pahitnya oleh 3.2 juta ahli UMNO.

Ketika MCA menderita kekalahan terburuk sejak 1969 apabila hanya memperoleh 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi, MIC pula cuma menang tiga kerusi manakala Gerakan hanya meraih dua daripada 12 kerusi, kerusi-kerusi Parlimen UMNO masih teguh dipertahankan. UMNO memperoleh 78 daripada 117 kerusi Parlimen yang ditandingi.

''Apa yang penting sekarang ialah kita harus bermuhasabah dari segi kepentingan dan kekuatan parti. Sekarang bukan masanya untuk cabar-mencabar berebut jawatan. Boleh cabar (jawatan) tetapi apa yang penting kita teguhkan parti kita," kata Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Menurut Husainay, kesemua perwakilan badan perhubungan UMNO termasuk dari Johor yang menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama empat hari sejak Jumaat lalu di kediaman beliau di Seri Perdana, Putrajaya mahu pemilihan parti yang dijadualkan sekitar Ogos atau September ini ditangguhkan ke satu tarikh lain - selewat-lewatnya sebelum Jun 2009.

Katanya, tidak timbul soal cadangan itu melanggar sistem demokrasi dalam parti kerana peruntukan mengenai penangguhan itu disebut dalam Perlembagaan UMNO.

Fasal 10.17 menyebut MT mempunyai kuasa dan berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan. Penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

''Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari esok (hari ini).

''Setelah diputuskan, ia kemudian akan dikemukakan kepada MT untuk dimuktamadkan," katanya.

Menurut Husainay, Abdullah dan Najib dijangka turun ke Sabah - negeri yang mempunyai jumlah bahagian UMNO terbesar - dalam waktu terdekat untuk mendapatkan gambaran mengenai perkara itu.

''Dalam politik, kita tidak boleh tutup mulut orang (untuk mencabar bertanding jawatan parti) tetapi apa yang pucuk pimpinan buat ketika ini ialah jika penangguhan pemilihan parti direalisasikan, ia hanyalah semata-mata untuk menstabilkan kembali UMNO. Kita patut lihat kehendak rakyat yang mahu kita (UMNO) hidup untuk rakyat," katanya.

Analisis: Antara kelemahan media utama, konflik Umno

Oleh Redhuan D Oon

SELEPAS impak kejutan berikutan keputusan yang memihak kepada pembangkang di beberapa negeri mula reda, muncul pula pelbagai teori yang cuba menjelaskan punca perubahan besar dalam corak pengundian.

Satu teori yang agak popular menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai media alternatif amat berkesan dalam menentukan arah tuju keputusan pengundian.

Pilihan Raya Umum Ke-12 bukanlah julung-julung kalinya internet digunakan sebagai landasan berkempen calon. Walaupun internet mula digunakan sebagai satu media alternatif sejak Pilihan Raya Umum 1999, keberkesanannya tidak diberi perhatian yang sewajarnya, lantaran keputusan pemilihan yang memihak kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Tetapi dalam pilihan raya umum kali ini, berikutan kekalahan di luar dugaan yang menimpa BN hingga kecundang empat kerajaan negeri (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) selain Kelantan – ramai terpinga-pinga dan tercari-cari punca kepincangan yang melanda BN.

Ia sekali gus, mengaitkan peranan internet sebagai media alternatif dan seterusnya salah satu punca utama fenomena 'taufan politik yang menggegarkan BN'.

Sekali imbas, penulis tidaklah berapa terpengaruh dengan pendapat berhubung peri kuatnya media alternatif kerana ada juga teori lain yang menyatakan media utama yang dikawal kerajaan BN turut memainkan peranan besar dalam usaha menjana keyakinan pengundi terhadap parti pemerintah – walaupun berat memihak kepada BN sehingga menyebabkan pengundi mengutarakan bantahan dengan memangkah parti pembangkang dalam kertas undi mereka.

Di dada akhbar atau menerusi kaca televisyen, penonton dikatakan sudah jemu dengan paparan iklan mahupun sisipan bahan berita yang pro-BN. Berdasarkan hujah ini, bolehlah disimpulkan bahawa seandainya media utama bertindak dengan adil, ia masih berpeluang menyisihkan media alternatif.

Dalam perkataan lain, kedua-dua media utama dan media alternatif sama-sama berpeluang menggugat kedudukan masing-masing.

Teori baru yang menyebut media alternatif sebagai senjata utama parti pembangkang, samalah sifat dengan pendapat yang sering diluahkan penganalisis selepas setiap pergerakan dalam naik turun indeks pasaran saham.

Sekiranya BN tidak hilang empat negeri tambahan (selain Kelantan), maka teori sedemikian tidak akan wujud, malah dipersalahkan sebagai kelemahan pembangkang.

Walaupun internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah satu kuasa baru dalam saluran maklumat, ia tidaklah menjadi saluran alternatif yang berkesan berbanding saluran lain. Teori keberkesanan saluran internet sudah lama diperbincangkan banyak pihak berwibawa seluruh dunia.

Pendapat oleh ramai pakar ialah saluran fizikal seperti papan iklan, media cetak dan bentuk iklan biasa yang lain masih amat berkesan dan berkuasa untuk menentukan pemikiran pengguna atau pemilih.

Yang menjadi persoalan bukanlah kehebatan media alternatif, tetapi kelemahan dalam penggunaan media utama. Sekiranya kita teliti dengan terperinci cara media massa seperti televisyen, papan iklan dan kain pemidang digunakan, kita akan mendapati mereka tidaklah digunakan dengan kreatifnya dari segi bahan, isi kandungan atau mesej yang ingin disampaikan.

Kandungan media hendaklah menjurus kepada isu utama, trend pemilih dan kaedah menangani sesuatu isu masyarakat yang dapat meyakinkan pengundi lantaran disokong oleh maklumat dan hasil analisa berasas.

Kita mengambil contoh bahan lain seperti lagu yang diminati pendengar. Apakah pendengar akan suka sekiranya kita masih memainkan lagu zaman 60-an? Begitu juga dengan isu yang tidak menyentuh hati nurani mereka seperti kenaikan harga barang, keprihatinan pemimpin kepada rakyat dan pendidikan tinggi golongan muda.

Isu dan kandungan media hendaklah sentiasa relevan dan menarik serta penting dan menjawab pelbagai persoalan pembaca.

Jadi apakah punca sebenarnya pula yang menyebabkan kekalahan teruk BN kali ini, yang lebih teruk daripada 1969? Pendapat penulis mengenai punca kekalahan kali ini ada kaitan dengan unsur dalaman parti Umno itu sendiri.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa apabila ada persengketaan pihak yang tidak sehaluan di dalam Umno, maka ketidakpuasan hati akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya umum nanti.

Contohnya, perpecahan dalam Umno yang membawa kepada pembentukan Semangat 46 menyebabkan Pas dapat merampas Kelantan pada 1990. Perpecahan seterusnya berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 pula menyaksikan kejatuhan Terengganu tahun itu.

Persengketaan dalaman Umno akan mempengaruhi keputusan undi apabila jenteranya hilang daya usaha untuk mempengaruhi pemikiran pengundi atau sekadar memastikan kenderaan yang secukupnya disediakan untuk mengangkut pengundi ke pusat pembuangan undi.

Tetapi apabila keadaan dalaman Umno reda semula, parti itu dapat merampas kembali Terengganu dan hampir merampas kembali Kelantan.

Kini, Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadi saksi era perpecahan yang terbaru berikutan kritikan yang dilemparkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Pak Lah. Sedikit-sebanyak, ini memberi petanda awal kewujudan satu perpecahan 'senyap' sedang menular pada peringkat cawangan dan bahagian dalam Umno.

Campur tangan saat terakhir oleh pihak pemerintah di Perlis menyaksikan nasib yang berlainan di sana. Ini adalah analisis berdasarkan data dan statistik keputusan pemilihan yang turut mengambil kira pecahan kaum.

Jika sekiranya ada yang menuding jari ke arah pengaruh Hindraf yang menarik kaum berbangsa India supaya tidak mengundi BN, ada banyak data yang menentang pendapat itu. Di kawasan yang masyarakat bangsa Melayu adalah 90 peratus dan kaum India hanya tiga peratus, Umno tetap mengalami kemerosotan undi yang ketara.

Ada yang menyalahkan kenaikan harga barang seperti minyak, daging ayam, tepung dan gula sebagai punca. Tetapi mengapa ada negeri tertentu tidak mengalami perubahan undi yang ketara?

Apakah negeri itu lebih kaya dan mampu bertahan dengan kenaikan harga barang terbabit? Ada yang menyifatkan secara liar bahawa 'semua faktor yang di atas' menjurus kepada kekalahan apabila dicampurkan.

Hakikat ini juga tidak boleh diterima sebegitu saja tanpa penelitian lebih terperinci. Sebaiknya, analisis secara rasional wajar dilakukan kerana corak pengundian adalah agak rasional.

Berikutan pengumuman Pak Lah supaya dilaksanakan satu kajian bebas terhadap punca sebenar kekalahan BN, maka adalah diharapkan analisis yang lebih tepat serta disokong oleh data yang menyeluruh dan mengambil kira semua teori akan menjawab persoalan besar yang sedang berlegar dalam kepala semua pihak, setidak-tidaknya sebagai ramalan kepada trend pemilihan yang akan datang.

Penulis ialah pakar internet yang mengetuai Adempiere – sebuah projek sumber terbuka (Open Source) antarabangsa

BN silap besar abaikan Internet



25 Mac : Perdana Menteri akui BN mengalami kegagalan teruk dalam pilihanraya umum lalu, antaranya, akibat kecuaian parti itu memanfaatkan kempen di alam siber.

"Kita tewas dalam perang (maklumat) di Internet, perang siber," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucaptamanya di seminar pelaburan Invest Malaysia 2008 hari ini.

"Ia benar-benar satu perhitungan yang salah. Kita lakukan kesilapan paling besar apabila menganggapnya tidak penting."

Pemimpin-pemimpin BN melihat sudah memadai berharapkan liputan akhbar dan televisyen, tambahnya, "tetapi orang muda bergantung pada (maklumat) SMS dan blog."

Walaupun memberikan ruang kebebasan di Internet, kerajaan selama ini sering menganggap blog dan laman web menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan penulis-penulis di alam siber tidak bertanggungjawab.

Beberapa menteri juga sering memberi tanggapan orang ramai tidak membaca blog politik kerana beberapa peratus sahaja melayarinya berbanding blog bukan politik dan kebanyakan mereka bergantung kepada media arus perdana sebagai sumber berita.

Pilihanraya 8 Mac menyaksikan perubahan tanggapan tentang perkara ini apabila penganalisis-penganalisis melihat kejayaan luar biasa pembangkang - digelar "tsunami politik" - menewaskan BN di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga parti itu, antaranya, akibat saluran maklumat alternatif.

Saluran-saluran mengundi generasi muda memihak kepada pembangkang seperti diakui sendiri oleh ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz baru-baru ini.

Abdullah berkata, kerajaan akan memberikan "perhatian sewajarnya" dalam perkara ini dan mengambil langkah memperkuatkan suara generasi muda.

"Ia (keputusan 8 Mac) memang menyakitkan ... tetapi ia terjadi tepat masanya, masih tidak terlambat," katanya.

Sementara itu, menteri penerangan yang baru Datuk Ahmad Shabery Cheek bersedia menemui syarikat-syarikat media tempatan untuk memahami perkembangan mereka.

Beliau berkata lawatannya itu tidak bertujuan menyekat kebebasan media tetapi "mencari yang terbaik bagi rakyat dan negara". lapor agensi berita Bernama.

Bercakap di majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua pengarang media, Shabery berkata beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pembaca beralih kepada media alternatif akibat sikap berat sebelah media perdana.

Di negara-negara maju yang dianggap mempunyai kebebasan media, tambahnya, orang ramai tetap memilih media alternatif.

Beliau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertemu penulis-penulis blog untuk mendengar pandangan mereka dan juga mengiktiraf sumbangan mereka.

Masalah pemandu teksi dikaji: Noh

Dialog bantu tingkat sistem pengangkutan awam.

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, memberi jaminan akan berusaha meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan awam termasuk mengkaji masalah pemandu teksi terutama yang tidak mempunyai permit individu.

Noh yang mengaku pernah menjadi pemandu teksi dan teksi sapu berkata, beliau memahami masalah pemandu teksi dan bersedia mengadakan dialog dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan yang boleh digunakan untuk membantu meningkatkan sistem pengangkutan awam.

"Kita tidak boleh buat keputusan dasar syok sendiri...mungkin kita rasa perlu tetapi kumpulan sasar yang berkaitan beranggapan tidak perlu dan ini akan kita lihat secara teliti," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tugas oleh Datuk Seri Mohd Khaled Nordin di kementerian itu di sini, semalam.

Hadir sama, timbalan menteri yang baru dilantik, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Musa Mohamad. Noh yang juga anak pemandu teksi berkata, beliau bertekad menjadikan sistem pengangkutan awam seperti bas dan teksi sebagai pilihan utama rakyat dan setanding negara maju.

"Saya akan cuba mempertingkatkan sistem perkhidmatan awam. Walaupun bukan mudah, kita akan berusaha dan kaji perkara ini kerana kalau ia boleh dibuat di luar negara, mengapa tidak di sini," katanya.

Noh berkata, beliau juga akan mengadakan lebih banyak dialog dengan setiap jabatan, agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan kementerian itu bagi mendapatkan maklum balas dan mengetahui permasalahan yang mereka hadapi.

Beliau berkata, kementerian juga akan berusaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dan sistem penyampaian seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kementerian menyediakan dasar yang baik dan peruntukan kewangan tetapi sejauh mana ia mencapai matlamat dan sasaran kumpulan sasar serta bagaimana rakyat akar umbi dapat menikmatinya," katanya.

"Adalah penting bagi pegawai dan kakitangan kementerian yang menjadi pelaksana memberi maklum balas tepat kepada saya dan timbalan. Mengapa kita perlu terus melaksanakan sesuatu dasar jika ia kurang memberi faedah kepada rakyat kerana hasrat kita ialah membela dan memberi faedah kepada rakyat," katanya.

Noh berkata, kementeriannya akan memberi perhatian kepada pembangunan modal insan untuk melahirkan usahawan berjaya serta mempunyai nilai etika dan profesionalisme tinggi.

200 ketua Umno bahagian mahu kerja keras

HADIR MESYUARAT: Kenderaan yang membawa Abdullah
hadir ke Sri Perdana untuk mempengerusikan
Mesyuarat Ketua Bahagian Umno
empat negeri di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Kira-kira 200 ketua Umno bahagian dari empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, semalam memberi jaminan akan bekerja keras bagi mengembalikan keyakinan pengundi, terutama golongan muda terhadap parti.
Kumpulan pemimpin Umno itu juga berjanji terus membantu Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan semua strategi bagi memulih dan mengukuhkan parti.
Jaminan itu disuarakan mereka selepas bertemu Abdullah dan Najib di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam.
Pada pertemuan tertutup selama kira-kira dua jam itu, mereka turut mendengar amanat Abdullah dan Najib.
Turut hadir pada pertemuan itu adalah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Hadir sama, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz; Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Umno Tanjung Karang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.
Difahamkan, pada pertemuan itu, beberapa pemimpin Umno turut mengambil peluang menjelaskan laporan bedah siasat dan prestasi kawasan masing-masing membabitkan keputusan pilihan raya umum lalu.
Seorang Ketua Umno bahagian yang enggan dikenali berkata, pada pertemuan itu, Abdullah menegaskan pentingnya ketua Umno bahagian dan ahli jawatankuasa masing-masing mengenal pasti rungutan pengundi dalam soal inflasi, jenayah, isu perkauman serta pelbagai tuduhan terhadap kerajaan yang disiarkan di internet dan laman blog.
"Presiden Umno juga meminta kami mengenal pasti pendekatan dan idea baru bagi menarik minat golongan muda terutama yang pertama kali mengundi menyertai Umno," katanya yang menghadiri pertemuan itu.

Ku Li perlu pulihkan Umno Kelantan terlebih dahulu

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah hari ini dinasihatkan supaya memulihkan keadaan Umno di Kelantan terlebih dahulu sebelum bercita-cita merebut jawatan presiden parti. Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar berkata adalah lebih wajar jika anggota Parlimen Gua Musang itu menumpukan membantu memperkasakan semula Umno di Kelantan.

“Saya tak nampak mengapa Tengku Razaleigh nak tawarkan diri sebagai presiden parti sebab kalau betul beliau hebat, Kelantan sepatutnya kena bantu dulu.

“Ini di Kelantan banyak bantuan kita (kerajaan Barisan Nasional) beri tapi Umno di Kelantan kalah lebih teruk lagi (pada pilihan raya umum 8 Mac lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun jubli emas Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar Tengku Razaleigh tidak menangguk di air keruh berikutan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini.

Katanya sekiranya benar bekas Menteri Kewangan itu berhasrat ingin memulihkan Umno, beliau seharusnya melaksanakan matlamat itu dengan memberi tumpuan penuh kepada Kelantan.