Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, March 25, 2008

Jangan Perkecil Kepimpinan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Para pemimpin UMNO di semua peringkat dinasihatkan supaya mengutamakan kepentingan parti dan bukannya mengambil tindakan yang cuba memperkecil-kecilkan kewibawaan pucuk pimpinan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam keadaan sekarang, sokongan semua pihak amat diperlukan bukan sahaja untuk memastikan kestabilan di peringkat Pusat bahkan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Sehubungan itu, beliau merayu semua pihak memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

''Parti perlu sentiasa diutamakan. Kita juga perlu sokong Pak Lah, jangan perkecilkan kemampuan beliau.

''Apa juga masalah akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat. Setiap perkara yang terjadi tentu ada hikmahnya yang tersendiri," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang kemampuan UMNO menyelesaikan kemelut politik di Terengganu selepas perkembangan terbaru yang menyaksikan Datuk Ahmad Said menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam satu majlis tertutup di Istana Tetamu, Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad, 51, menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tawaran individu yang mendakwa boleh membetulkan semula UMNO pada waktu ini juga tidak sesuai pada masanya.

''Ada yang tawar diri hendak meremajakan UMNO. Mengapa membuat tindakan tidak sesuai seolah-olah hendak meluncur di arah yang berbeza dengan parti?

''Hari ini kita perlu fikir cara untuk mantapkan parti dan ambil alih semula negeri yang kalah pada pilihan raya akan datang," tegasnya.

Beliau juga meminta pemimpin UMNO supaya menolak pujukan individu tertentu atau kelompok kecil yang mahu mereka berpaling daripada parti.

Ditanya kemungkinan pemimpin UMNO di negeri yang kalah mengikut langkah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meletak jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional negeri, Ahmad Zahid berkata: ''Kita jangan beri warna agak gelap kepada pemimpin yang kalah. Itu (kekalahan) tanggungjawab semua.

''Jangan salahkan individu. Kelemahan akar umbi perlu diperbaiki selain keyakinan pemimpin boleh menyuntik semangat setiap ahli UMNO sendiri," katanya.

Sumber artikal dipetik dari Utusan Malaysia Online.

Khir letak jawatan dalam BN, Umno

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Rafidah Mat Ruzki

Bekas MB minta maaf prestasi buruk di Selangor, Muhammad ambil alih tugas parti.


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (gambar) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, berkuat kuasa semalam.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya di sini malam tadi, beliau berkata keputusan itu diambil atas rasa tanggungjawabnya berikutan kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum di Selangor pada 8 Mac lalu.

Bagaimanapun beliau terus sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang.

Pada pilihan raya umum itu, Dr Mohamad Khir mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang selepas menewaskan calon Pas, Mohd Fadzin Taslimin dengan majoriti 5,828.

Berikutan keputusan Dr Mohamad Khir, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib diberi tanggungjawab memegang kedua-dua jawatan itu.

"Saya mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu dan akan terus berusaha tingkatkan keupayaan kita pada masa akan datang," katanya sejurus sebelum mempengerusikan buat kali terakhir mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di Bangunan Umno Selangor di sini.

Dr Mohamad Khir yang sebak sepanjang sidang akhbar kira-kira 15 minit itu berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keputusannya beberapa hari lalu dan Presiden parti bersetuju melantik Muhammad untuk memegang kedua-dua jawatan berkenaan.

Bagi jawatan lain dalam parti, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Muhammad bagi menentukannya dalam usaha merampas semula negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau bimbang akan timbul perpecahan jika beliau lambat melepaskan kedua-dua jawatan itu, seterusnya menjejaskan matlamat parti untuk merebut kembali Selangor.

"Saya berharap ahli Umno memberi sokongan padu kepada kepemimpinan baru dan memastikan usaha mendapatkan semula Selangor dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Ditanya reaksi Presiden dan Timbalan Presiden parti mengenai peletakan jawatan itu, beliau berkata:

"Presiden dan Timbalan Presiden kata jika ini (meletak jawatan) keputusan terbaik untuk Selangor... saya rasa inilah cara yang terbaik," katanya sambil menambah tindakan itu diambil bukan kerana tekanan mana-mana pihak.

Beliau berkata, tindakan itu bukan dibuat secara terburu-buru tetapi kerana tidak mahu ada sikap saling salah menyalah antara satu sama lain yang didapati sudah pun mula berlaku.

Artikal ini dipetik dari www.bharian.com.my

Laman Blog Dekati Belia

Internet jadi medium popular dekati generasi muda

BERA: Kementerian Belia dan Sukan akan mewujudkan laman blog sendiri sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan golongan belia di negara ini, kata Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata, blog kini menjadi medium maklumat yang semakin popular di kalangan generasi belia dan kewujudannya tidak boleh dipandang ringan kerana peranannya didapati cukup berkesan.

"Jika kita terus memperlekehkan kewujudan blog, saya bimbang suatu hari nanti ia akan mengambil alih peranan akhbar arus perdana," katanya selepas menghadiri majlis meraikan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda di sini semalam.


Beliau berkata, blog yang akan diwujudkan itu nanti akan disesuaikan dengan kehendak belia iaitu berbentuk ringan dan santai.

Ismail Sabri juga berkata, kementerian akan meneliti program membabitkan belia yang dirangka kerajaan bagi mencari kaedah terbaik memperkasakan golongan belia di negara ini.

Beliau berkata, perkara pertama yang beliau akan lakukan ialah mengadakan pertemuan dengan persatuan belia untuk mendapatkan maklum balas mengenai masalah yang dihadapi mereka.

"Pertemuan ini akan diadakan pada petang Selasa ini dan akan disusuli pertemuan dengan pemimpin belia peringkat negeri.

"Tumpuan utama saya ialah untuk memastikan pembangunan belia diberi keutamaan dan usaha ini memerlukan kerjasama daripada persatuan belia," katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, banyak persatuan belia di negara ini berada dalam keadaan lesu dan sesetengahnya kemungkinan dibatalkan pendaftarannya kerana gagal memenuhi kehendak Pendaftar Pertubuhan.

Beliau berkata, masih ramai belia yang tidak menjadi ahli mana-mana persatuan.

Katanya, beliau tidak mempunyai angka yang tepat tetapi dianggarkan lebih 60 peratus belia di negara ini tidak berpersatuan.

Sehubungan itu, katanya, matlamat utama kementerian ialah untuk memastikan semua belia terbabit dalam persatuan belia yang aktif.

Ismail Sabri berkata, kemungkinan pihaknya menggunakan pendekatan berbeza bagi mendekati golongan belia.

"Mungkin pendekatan yang kita perkenalkan dulu sudah tidak sesuai dengan belia hari ini dan modulnya juga perlu dikaji semula," katanya.