Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, March 24, 2008

BN Gagal Guna Media Baru - Dr. Mariah

BANDAR KINRARA - Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan sepenuhnya media baru sebagai medium untuk mendampingi rakyat merupakan antara penyebab BN mengalami kekalahan teruk dalam sejarah politik negera.
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA UiTM, Dr. Mariah Muda berkata, BN sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada media konvesional seperti akhbar dan televisyen yang mempunyai pelbagai kekangan dan tidak lagi mempunyai kesan kuat kepada rakyat seperti pada tahun 1970-an dan 1980-an.
"BN tidak mengambil kira dengan baik ke atas kehadiran dan perkembangan media baru yang dibawa oleh teknologi komunikasi dan maklumat seperti blog, mel elektronik, akhbar atas talian dan juga khidmat pesanan ringkas (sms) yang dilihat lebih bebas, serta berupaya mempengaruhi orang ramai secara individu dan kkolektif."
"Berdasarkan kajian yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, didapati sebanyak 98 peratus sms yang terkumpul adalah daripada pembangkang dengan pelbagai maklumat untuk kepentingan parti terbabit."
"Ia menunjukkan BN langsung tidak memberikan tumpuan kepada keupayaan dan kekuatan sms yang merupakan salah satu kaedah pemujukan terbaik untuk seseorang individu atau kumpulan kecil berbanding akhbar dan televisyen yang ditumpukan oleh BN," Katanya ketika ditemu bual.
Katanya, rakyat ketika ini sudah bijak menilai sesuatu perkara dan beralih kepada media baru. Ini adalah hasil daripada kematangan sistem pendidikan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan pemimpin BN itu sendiri.
"Bagaimanapun setelah berjaya melahirkan rakyat yang celik teknologi maklumat, BN sendiri gagal mengawal keupayaan rakyat dalam menggunakan media baru sebagai wadah penyampaian maklumat yang paling berkesan berbanding media konvesional yang lebih dicop milik parti tertentu."
Justeru katanya, BN seharusnya melakukan sesuatu bagi memenangi semula hati dan fikiran rakyat yang sebelum ini cukup dibebankan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan peningkatan kadar jenayah yang dikatakan masih ditahap kurang memuaskan.
"Masyarakat ketika ini sudah bijak menilai sesuatu isu sama ada ia rasional ataupun sengaja direka semata-mata bagi memancing undi dalam usaha memengangi persaingan dalam pilihan raya." Ujarnya.

Artikel ini dipetik dari Akhbar Sinar Harian Terbitan 11 Mac 2008