Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, October 8, 2008

Sudah semakin ramai yang gila sekarang ni - Malaysiakini

Oleh : Zainal Yusof
Ketika semua orang tertunggu-tunggu apakah pengumuman yang bakal dibuat Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan nasional (BN), Datukl Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam tempoh terdekat, cukup ramai yang mendoakan supaya Umno dapat diselamatkan dari mereka yang gila kuasa dan gila bayang.Menggunakan perkataan ‘gila’, dipinjam dari kata-kata Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, kerana ramai juga yang percaya, kerisauan yang dirasai Menteri Besar Pahang itu, turut dikongsi oleh ramai orang.

Tentunya mereka yang ingin menggantikan Pak lah dan ‘naik pangkat’ mengharapkan Pak Lah berundur tetapi apakah mereka merasakan bahawa ‘hanya mereka sahaja’ yang mampu menguatkan kembali Umno dan BN?

Apakah ketika mereka bercakap dalam era Pak Lah Negeri Selangor terlepas ke tangan pembangkang, mereka lupa bahawa Negeri Johor kekal di tangan BN juga dalam era Pak Lah?

Masing-masing marahklan Pak Lah kerana Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP, tetapi mereka tidak nampak pula Sabah masih dalam BN? Kenapa hanya mahu menceritakan negeri-negeri yang kalah tetapi menyembunyikan negeri-negeri yang menang? Kalau kalah kerana Pak Lah, apakah yang menang kerana ’si anu si anu’ yang kepingin hendak jadi Presiden Umno dan kepingin nak jadi Timbalan Presiden Umno?

Selepas Umno mencapai usia 62 tahun, para pemimpin mereka nampaknya bercakaran. Bila mereka kalah sedikit, mereka salah menyalah. Mereka menuding jari, menyalahkan Pak Lah. Mereka tidak pula mahu mengatakan ‘ini adalah tanggungjawab bersama’ sebagai satu pasukan yang menang besar dalam tahun 2004.

Bila ramai yang mengumumkan hasrat mahu menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, mereka sebenarnya menggunakan alasan demokrasi masih segar dalam Umno, padahal, semua lakonan dan adegan itu menjadi bahan tertawa orang lain, termasuk orang Melayu yang sudah semakin meluat dengan tingkah laku para pemimpin Umno yang sedemikian rupa.

Dalam Pergerakan Pemuda Umno sendiri, apabila ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan hasratnya meninggalkan kerusi itu, ada beberapa nama secara gelojoh mengumumkan hasrat mereka untuk turut bertanding. Kenapa mereka tidak ‘tahu menghormati’ Naib Ketua yang masih ada?

Apakah apabila ia dikenali sebagai demokrasi, kita boleh melanggar segala tradisi? Di mana letaknya adat dan adap? Kita tentunya suka orang menghormati kita, tetapi kenapa kita tidak tahu menghormati orang?

Tentunya, bila tulisan ini berbentuk begini, akan ada pembaca yang mengatakan penulis ingin membela Khairy Jamaluddin (KJ) yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno. Hakikatnya, ia secara kebetulan. Jika Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di situ, tulisan ini juga begini bentuknya.

KJ sebenarnya tidak perlu dibela. Kebolehannya, sudah dibuktikan dalam banyak kegiatan. Pilihan raya kecil adalah tempat di mana gerakerjanya menjadi kebanggaan pucuk pimpinan parti, khususnya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang selalunya merupakan pengarah pilihan raya kecil BN.

Ada suara-suara budak-budak PKR yang ‘benci sangat’ dengan KJ. Sebenarnya mereka benci bukan kerana KJ buat tidak betul kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi disebabkan mereka gagal mengalahkan KJ dalam PRU 12 yang lalu di Parlimen Rembau, walaupun pelbagai tindakan agresif dan fitnah dilakukan.

Malahan, sanggup mereka menipu wartawan kononnya ada pengiraan semula undi di Rembau kerana ‘mereka sedaya upaya mahu memberi gambaran’ kononnya KJ tidak menang kecuali dengan undi pos atau ‘undi tipu’.

Masih ingat sebuah laman web yang terkenal, memohon maaf kepada KJ walaupun berita permohonan maaf itu hanya disiarkan seketika.

Dr. Mohamad Khir Toyo, terpaksa meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor kerana kekalahan BN di Selangor. Dalam masa yang sama, sepatutnya dia tidaklah membuat keputusan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda kerana ‘jika gagal di Selangor’ macama mana dia hendak ‘memimpin Pemuda’ seluruh negara?

Begitu juga dengan Datuk Mukhriz anak kepada bekas Perdana Menteri yang sibuk memperjuangkan ‘jambatan bengkok’. Ketika dia mahu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno di Bahagian Kubang Pasu, pemuda-pemuda di cawangan menolaknya. Apakah ketika Pemuda Kubang Pasu sendiri tidak mahukan Mukhriz, Pemuda-Pemuda dari seluruh Malaysia patut menerimanya?

Seorang lagi calon, Datuk Zahidi Zainol Abidin. Cuba sesiapa bertanya kepada calon yang seorang ini, apakah dia mempunyai visi? Dari mulutnya penuh dengan fitnah dan kata-kata memburuk-burukkan KJ dan Pak Lah. Padahal, dia pernah dilantik menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (JJ), tetapi selepas berhenti, dia maki hamun JJ.

Dia juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. Malah, pernah juga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Perlis ketika Shahidan menjadi MB Perlis, malangnya, dari mulutnya, seolah-olah Shahidan tidak ‘berguna langsung’ kepada dirinya, negeri Perlis dan orang-orang Melayu.

Umno perlu diselamatkan. Diselamatkan dari mereka yang gila kuasa. Ketika BN menang besar dalam tahun 2004, Pak Lah dianggap ’saudara mereka sendiri’ tetapi ketika BN menghadapi zaman gelap dalam PRU 12 yang lalu, mereka mengatakan Pak Lah punca semua kekalahan ini. Betullah kata MB Pahang, sudah semakin ramai yang gila kini.

No comments: