Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, October 6, 2008

Sekarang boleh nampak, gelojohnya mereka - Malaysiakini

Ketika masing-masing membawa cerita perlu segerakan peralihan kuasa, kononnya atas kehendak ‘grassroot’ – rupa-rupanya mereka menunjukkan kegelojohan! Gelojoh untuk bertanding jawatan tinggi, iaitu jawatan nombor dua dalam parti, iaitu Timbalan Presiden Umno.

Tanpa menyebut nama-nama mereka, kerana saban hari akan bertambah calon-calon yang menunjukkan minat (baca: gelojoh), sebenarnya Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempunyai ’sahabat sejati’ dalam parti.

Apa tidaknya, ketika rancangan awal, mahu peralihan kuasa dilaksanakan Jun 2010, tidak Nampak sesiapa yang berebut-rebut mengeluarkan kenyataan supaya semua peringkat (baca: grassroot) akur dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan, tetapi apabila ada ‘ura-ura’ Presiden Umno tidak akan mempertahankan jawatannya, mereka ini… dengan gelojoh membuat kenyataan inginkan jawatan nombor dua dengan membuat telahan, Datuk Seri Mohd Najib akan menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Mereka ini, termasuk yang diramalkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, tidak pernah menyibukkan diri mereka menyusun program, turun ke bawah, berjumpa pelbagai peringkat pimpinan Umno, menerangkan betapa pentingnya masing-masing, merapatkan saf kepimpinan dengan menyokong Pelan Peralihan Kuasa 2010 itu.

Dengan jawatan kabinet masing-masing (baca: termasuk Ketua Menteri), mereka sebenarnya boleh bergerak ke mana sahaja mereka pergi, tanpa menggunakan sesen pun wang saku mereka, untuk mengadakan perjumpaan di semua peringkat kepimpinan Umno, memujuk mereka (baca: mendekati mereka dari hati ke hati) supaya akur dan sokong keputusan itu, demi memulihkan semula Umno yang dikatakan tergugat selepas keputusan PRU 12, 8 Mac 2008 yang lalu.

Malahan, jika masing-masing ikhlas… jika di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, mereka tidak menjamah kerusi Menteri, balaslah budi Pak Lah sekarang dengan ‘bekerja kuat untuk Pak Lah’ walaupun itu bukan kehendak Pak Lah.

Slogan yang Pak Lah perkenalkan ‘usah bekerja untuk saya tetapi bekerjalah bersama saya’ sebenarnya tidak diterjemahkan oleh mereka yang gelojoh ini. Mereka rupa-rupanya betul-betul tidak bekerja untuk Pak Lah, sebaliknya bekerja untuk ‘kepentingan diri sendiri’ sahaja. Bila sokongan terhadap BN merosot, mereka menyalahkan Pak Lah seorang, seolah-olah, mereka tidak langsung menyumbang ke arah kemerosotan itu.

Bukankah pasukan Umno (baca: Majlis Tertinggi) adalah merupakan satu pasukan? Bukankah kabinet adalah satu pasukan. Bukankah Umno dan kabinet merupakan ’satu pertanggungjawaban bersama’. Jika rakyat (baca: grassroot) tahu semua ini, mereka tidak perlu melayan ‘kehendak’ orang-orang ini, kononnya mahu menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, jawatan nombor dua yang lazimnya akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ada juga Timbalan Presiden Umno tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti dalam kes Tun Musa Hitam, sebelum tewas di tangan Tun Ghafar Baba dalam pemilihan parti 1987 dulu.

Pak Lah rugi mempunyai ‘pasukan’ yang sebegini rupa kerana ‘kejujuran’ Pak Lah diperlekehkan oleh orang-orang yang berjaya ‘menghitamkan’ segela kebaikkan yang Pak Lah ada. Pak Lah berjaya digambarkan oleh mereka ini, sebagai lemah dan tidak lagi berkemampuan sedangkan hakikatnya, Pak Lah mempunyai sikap keterbukaan dan bertolak ansur.

Malang bagi Pak Lah, sikap bertolak ansurnya itu, menyebabkan beliau ditolak ‘beransur-ansur’ oleh mereka yang gelojoh, dengan menggunakan alasan kononnya ‘grassroot’ tidak mahukan Pak Lah lagi. Ketika ‘grassroot’ meminta ’sistem quota’ dihapuskan, tidak pula mereka ini, bermati-matian mengusahakan supaya ’sistem quota’ yang disifatkan sebagai tidak demokratik dihapuskan.

Kerana apa?

Mungkin kerana mereka merasakan, jika mereka menjalankan kerja-kerja ini, ia tidak member apa-apa kedudukan kepada diri mereka. Tetapi, jika mengumumkan hasrat bertanding jawatan dalam Umno, ia akan ‘menguntungkan diri mereka’.

Itulah sebabnya, apabila berlaku kekosongan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sepatutnya orang nombor dua dalam Pergerakan itu yang patut membuat pengumuman dahulu sama ada mahu bertanding atau tidak.

Malangnya, jawatan itu, yang secara tradisinya memang diisi dari kalangan Pemuda juga (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein datangnya dari kedudukan Naib Ketua Pergerakan Pemuda. Begitu juga dengan Najib, adalah Naib Ketua Pemuda sebelum menang jawatan Ketua Pemuda) digilai oleh mereka yang tidak berada di kalangan Pemuda.

Dari empat calon yang menawarkan diri, kesemua mereka adalah bukan Ketua Pemuda Umno Bahagian kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Dan Khairy juga adalah Naib Ketua Pemuda, yang terbukti berkemampuan untuk menggantikan Hishammuddin, berdasarkan rekod dan pencapaiannya selama empat tahun sebagai Exco Pemuda dan empat tahun sebagai Naib Ketua Pemuda.

Bukankah elok jika bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang popular dengan cerita penyapu, mempertahankan kerusi MT yang dimenanginya dengan undi terbanyak (tahun 2004) atau, bertanding kerusi Naib Presiden?

Begitu juga dengan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir. Walaupun dia merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno, tetapi di peringkat bahagian, dia tidak berada di kalangan Pemuda. Mengapa tidak, tenaga dan kemampuan yang dia ada, digunakan untuk membawa ayahandanya kembali ke pangkuan Umno, sebelum dia mahu memimpin Pergerakan Pemuda?

Datuk Zahidi Zainol Abidin sebenarnya bukan ’saingan’ dalam pertandingan kali ini tetapi sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Besar yang digugurkan dari senarai calon dalam PRU 12, lebih wajar mencari tempat untuk dirinya dahulu, sebelum memasang cita-cita yang terlalu besar dalam politik peringkat nasional.

Apakah Zahidi tidak ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum mengeluarkan kenyataan mengatakan hasratnya mahu menawarkan diri? Sejarah membuktikan, tokoh-tokoh dari Perlis seperti Tan Sri Dr. Abd Hamid Pawanteh, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Azmi Khalid dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad cukup sukar mendapat ‘tempat’ dalam saingan di peringkat nasional.

Berbalik kisah kegelojohan beberapa pemimpin ini, jika Pak Lah mempunyai seorang dua ‘panglima jihad’ dalam Umno dan kabinet, hari ini, Pak Lah mungkin tidak menghadapi masalah untuk ‘mengembalikan kekuatan Umno’ kerana idea dan kehendak Pak Lah boleh diterjemahkan sehingga ke peringkat paling bawah.

Maaf cakap, apa yang Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri buat untuk ‘menterjemahkan’ hasrat Pak Lah di peringkat bawah? Repot kad (kad laporan) sepatutnya diteliti, apakah yang mereka lakukan selepas PRU 12, untuk mengembalikan semula kekuatan Umno yang tergugat ekoran putar belit pembangkang?

Jika jarum jam boleh dipusingkan ke belakang, Pak Lah sebenarnya boleh ‘menilai semula’ mereka ini tetapi mungkin masa sudah terlambat. Cuma, kekecewahan Pak Lah akan dibalas oleh ahli-ahli Umno yang akan ‘mengajar’ mereka yang gelojoh mahukan jawatan ini.

No comments: