Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, October 9, 2008

Reaksi pemimpin komponen BN - Malaysiakini

Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno dan seterusnya berundur sebagai Perdana Menteri, Mac depan.

Pada masa sama, mereka turut melahirkan rasa terharu dengan komitmen Perdana Menteri untuk terus melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperbaiki daya saing negara, walaupun sudah mempunyai pelan peralihan kuasa.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menyifatkan perjumpaan Abdullah dengan pemimpin komponen BN hari ini sebagai sesuatu yang bersejarah kerana parti-parti komponen diberi peluang menyertai perbincangan dan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri mengumumkan keputusan dan pendiriannya itu semalam.
"Semua pemimpin parti komponen telah memberi pandangan bahawa Barisan Nasional akan membawa perubahan yang boleh meyakinkan rakyat.

"Kami juga memberi penghargaan kepada Perdana Menteri atas segala usaha beliau memimpin BN. Beliau akan bekerja sampai Mac," katanya.
Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata Perdana Menteri telah membuat satu keputusan yang baik.
"Beliau berkata ia demi kepentingan perpaduan Umno dan BN yang menyebabkan beliau tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang dan beliau bersedia menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa ia satu keputusan akhir yang sangat baik.

" Kami berharap kedua-dua mereka akan bekerjasama sehingga Mac tahun depan.

"Kita akan mendapat kelebihan untuk memperkukuhkan negara. Kita akan memberi sokongan penuh kepada kedua-dua pemimpin," katanya.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau terharu dan menghormati keputusan Abdullah dan menyifatkan ia sebagai satu penghargaan kepada BN dan parti komponen lain.
"Apa yang lebih penting lagi beliau juga membuat komitmen supaya dalam tempoh sebelum beliau bersara beliau akan melaksanakan pembaharuan yang telah dijanjikan iaitu dalam institusi kehakiman dengan mewujudkan satu suruhanjaya yang bebas untuk mencegah rasuah dan satu suruhanjaya lagi untuk memantau agensi-agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis.

"Semua ini amat penting untuk meletakkan institusi penting negara ke satu paras yang lebih kukuh dan berintegriti, oleh itu Gerakan memang menghormati keputusan beliau dan menghormati komitmen beliau dalam melaksanakan perubahan ini," katanya.

No comments: