Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, October 11, 2008

PM tidak faham parti komponen BN berlagak kalah - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dengan nada sinis berkata beliau tidak faham ada sesetengah parti komponen Barisan Nasional (BN) berlagak seolah-olah parti pemerintah ini kalah pada pilihan raya umum Mac lepas walaupun mendapat mandat daripada rakyat.
"Kadang-kadang saya rasa sedih, kadang-kadang lebih lucu dari sedih kerana parti yang kalah tidak dapat tubuh kerajaan berlagak macam dia menang, kita yang menang seolah-olah kalah.

"Kadang-kadang kita lupa bahawa kita menang dalam pilihan raya ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional di Menara PGRM, di Kuala Lumpur.
Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata walau apa jua yang berlaku, yang penting adalah kekalahan dua-pertiga BN pada pilihan raya lalu, menjadi peringatan kepada semua pemimpin parti komponen supaya memperbaiki keadaan demi kepentingan rakyat.
"Kalau saya dapat ingat semula, banyak komen dari pemimpin negara lain yang tanya apa pentingnya mengenai majoriti dua-pertiga...tetapi walau apa pun orang kata, yang penting adalah kekalahan itu menjadi satu peringatan sebab kita perlu perbaiki diri untuk elak daripada jadi kebencian rakyat," katanya.
Abdullah juga mengingatkan supaya semua parti komponen tidak angkuh dengan kuasa yang diberi serta tidak lupa dengan kebajikan rakyat.

Beliau berkata Manifesto BN pada pilihan raya umum 2004 bukan hanya untuk tempoh lima tahun tetapi ia merupakan fasa kedua bagi mencapai Wawasan 2020.
"Manifesto 2004 diterima baik, kita janji untuk membawa perubahan tetapi kita tidak dapat laksana semua. Kita tidak dapat laksanakan perubahan dalam masa singkat...apa saja perubahan berkaitan kehakiman, Badan Pencegah Rasuah, polis akan saya laksanakan untuk penuhi janji yang dibuat," katanya.
Katanya untuk mencapai pembaharuan, semua pihak perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas dan penuh kesungguhan demi masa depan negara dan parti.
"Saya bertanya adakah kita bersedia dalam fikiran, jiwa raga, adakah benar-benar ikhlas untuk bawa perubahan dan ikut perubahan yang dicadangkan.

"Adakah itu hanya cakap-cakap manis di bibir tetapi lain di hati. Ini kebimbangan kita, kita mesti sedia hayati dengan jiwa raga dan komitmen sepenuhnya untuk terima pembaharuan," katanya.
Beliau berkata negara juga menghadapi cabaran untuk melaksanakan segala pembaharuan dalam keadaan suasana politik dan ekonomi pada masa kini.
"Kita tidak mampu hadapi jika kita sendiri berada dalam keadaan terpaut dalam suasana yang ada hubungkait dengan isu berkaitan agama," katanya.

No comments: