Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, October 11, 2008

Laporan Media Massa Jahanamkan UMNO - Malaysiakini

nobisha | Dalam persidangan UMNO bahagian yang sedang berlangsung sekarang, pemimpin akar umbi parti banyak bercakap soal-soal yang menyentuh agama, bangsa dan negara. Isu ekonomi, pendidikan, agama dan parti menjadi perkara yang dibahaskan. Walaupun ada yang terkeluar anak tekak berbahas soal ini, namun media massa tidak menunjukkan minat untuk memaparkan pandangan mereka. Ah, itu pandangan akar umbi, bukan suara pemimpin!

Kebimbangan saya ialah apabila media massa hanya melaporkan mengenai pencalonan dan pemilihan kepimpinan, rakyat yang tidak menjadi ahli UMNO akan menjadi muak kepada parti. Mereka akan mendapat gambaran UMNO ialah tempat berebut jawatan. Mesyuarat UMNO bahagian tidak membincangkan soal rakyat, tetapi berbalah mengenai jawatan dalam parti. Akhirnya, rakyat akan membuat tanggapan bahawa UMNO hanyalah untuk orang UMNO; bukan lagi UMNO untuk rakyat. Lebih malang, sekiranya rakyat berfikiran UMNO sudah tidak lagi prihatin terhadap agama, bangsa dan negara.

Media massa lebih berminat melaporkan bahagian mana calonkan siapa untuk jawatan apa. Tentunya tidak salah untuk media massa melaporkan begitu. Bagaimanapun, kita harus dapat membezakan yang mana kuah, yang mana isi; yang mana sudu, yang mana pinggan.

Sehingga sekarang saya masih tertunggu-tunggu apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat Pemuda di Machang (yang pertama mencalonkan Khairy Jamaluddin), Kimanis (yang pertama mencalonkan Dato' Mukhriz Mahathir) dan Tumpat (yang pertama mencalonkan Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo). Adakah agenda mesyuarat hanyalah pencalonan? Apa lagi yang dibincangkan? Apakah suara anak muda dalam isu ekonomi? Bagaimanakah mereka peka terhadap isu pendidikan? Adakah mereka prihatin isu Islam dan sosial yang beragam?

Maaf cakap, sekiranya media massa berterusan memberikan tumpuan kepada pencalonan dan tidak melaporkan tentang perbahasan dalam mesyuarat bahagian, biar saya katakan bahawa laporan sebegini menjahamkan UMNO!

sumber dari - nobisha.blogspot.com

No comments: