Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, October 11, 2008

Khairy sedia rapatkan Pemuda BN - Malaysiakini

Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berjanji akan menyatupadukan serta mengeratkan hubungan di antara semua sayap Pemuda dalam parti komponen Barisan Nasional (BN), jika beliau menang pada pemilihan Mac depan. Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, berkata mereka yang memegang jawatan Ketua Pemuda Umno akan menjadi Ketua Pemuda BN dan perkara pertama yang perlu dilakukan pemimpin itu ialah untuk mencari jalan merapatkan semula barisan dalam BN menjadi satu parti yang sentiasa bergerak bersama.
“Kita perlu mengutamakan perpaduan dalam BN kerana selaku parti komponen, kestabilan parti amat penting untuk meyakinkan rakyat dan membuktikan BN serius dalam membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan yang dirasmikan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, semalam.
Sementara itu, mengulas ucapan perasmian Dr Koh yang mencadangkan supaya semua parti komponen BN digabungkan dan menjadi sebuah entiti, Khairy berkata, pandangan seperti itu tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana Umno terbuka terhadap sebarang pandangan demi kepentingan bersama.
“Perkara utama ialah kita mesti berfikiran terbuka kerana kita bercakap mengenai masa depan dan landskap politik yang baru. Kita mahu menunjukkan kepada orang ramai kita serius dalam menerima perubahan.

“Semua parti komponen BN boleh berbincang mengenai cadangan itu dan mekanisme yang akan digunakan pada Konvensyen BN pada 2 Februari tahun depan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Beliau berkata, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) boleh menjadi model bagi identiti parti pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pemuda PPP, Senator T Murugiah, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan tetapi ia akan mengambil masa lama sebelum menjadi kenyataan.

No comments: