Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, October 9, 2008

KEHADIRAN KHIR DALAM BARISAN CALON KETUA PEMUDA CACATKAN GAMBARAN SEBENAR - Malaysiakini

Oleh : Ainul Sabirin
Apa cerita Mohd Khir Toyo ni sibuk-sibuk nak campur anak-anak muda seperti Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Zahidi Zainul Abidin nak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO ni? Membariskan mereka berempat, memang jelas nampaknya Khir mungkin ada maksud lain daripada mahu berjuang dalam Pemuda rasanya.

Sepatutnya, sebelum Khir menawar diri untuk jadi Ketua Pemuda, dia harus susun gambar ke empat-empat calon yang tawar diri termasuk dirinya sendiri dan renung betul-betul. Khir nampak tak secerah wajah yang lain. Walaupun wajahnya sudah dimudakan dengan botok ala tempe, dia tetap tidak kelihatan seperti wajah Khairy, Mukhriz dan Zahidi.

Sungguhpun untuk mengetuai Pemuda tidak semestinya muda betul, tetapi rasanya satu kesilapan besar apabila Khir muncul dicelah yang berpotensi untuk memegang jawatan tersebut. Sudahlah berwajah tidak ori, nampaknya mewah sangat menabur umpan dengan cara yang bukan lagi menajdi rahsia. Khir harus ingat, umpan tu walaupun tidak berbukti, tetapi mulut tempayan boleh tutup, mulut orang payah nak tutup.

Kalau nak ikut demokrasi, memang la demokrasi. Siapa pun boleh bertanding. Memang tidak salah. Tapi melihatkan jawatan Ketua Pemuda yang Hishamuddin tinggalkan itu, tiba-tiba sahaja Khir menaruh minat dilihat tidak sepadan minat Mukhriz dan Zahidi selain Khairy yang kebetulan sudah duduk di kerusi Naib Ketua sekarang.

Rebutan jawatan Ketua Pemuda antara Khairy, Mukhriz dan Zahidi sudah cukup cantik. Tetapi apabila Khir yang telah gagal besar terlepasnya Negeri Selangor ke tangan PKR, pertandingan jawatan penting Ketua Pemuda itu menjadi cacat dengan kehadirannya. Khir seperti orang keciciran mengejar bas yang sudah penuh.

Kalaulah saya jadi Khir (selisih malaikat 44), setelah hilang jawatan Menteri Besar dan orang kutuk wajah botok yang membawa suwe kepada Negeri Selangor dan sumpah sial penyapu yang melanda dirinya itu, cukuplah setakat itu. Berehatlah dan buatlah amal jariah dari apa yang telah tersimpan kepada mana-mana orang miskin yang memerlukan bantuan.

Kalau malu nak balik ke klinik gigi sendiri, bukalah klinik biro pengaduan untuk orang Melayu yang bermasalah seperti orang Micheal Chong buat. Itu lebih baik. Gitu gini pun orang dah kenal Khir. Mahu terkenal sangat pun nak buat apa. Nanti ‘make-up’ tu luntur esok-esok, orang lagi kenal.

Saya bukanlah iri hati atau cemburu dengan cita-cita Khir untuk jadi Ketua Pemuda, tetapi saya pelik dengan nafsunya yang dahsyat nampaknya. Bukan sekadar saya seorang yang rasa pelik, kawan-kawan yang dari semua peringkat umur dan dari kalangan bukan Melayu pun tidak habis-habis menceritakan keadaan pelik itu.

Khir nampak macam orang takut hilang nama, takut hilang pengaruh untuk menghadapi hidup selepas tercampak keluar dari pintu Kerajaan Selangor. Memang kita semua faham betapa malunya beliau dengan kehilangan kuasa dengan secara tiba-tiba. Tak sewel pun dah mujur. Tetapi Khir sendiri pun perlu juga faham bahawa kuasa yang tuhan beri itu ada hadnya.

Bila dah lebur di Selangor, itulah hadnya. Cukuplah dari apa yang telah dipergunakan sebelum ini. Tidak perlulah toleh ke gelanggang orang yang lain pula mencuba nasib. Anak-anak muda sekarang ini bukan nak tengok muka-muka yang membawa bendera gagal menjadi pemimpin mereka. Mereka lebih suka mencuba pemimpin yang belum teruji lagi untuk kelainan. Benih kepimpinan Khir sudah lapuk.

Khir pemimpin lama. Pulak tu dah terlepas kapal namanya. Jadinya, cocoklah dengan muka Khairy, Mukhriz dan Zahidi tunjuk kehebatan mereka pula yang mungkin lebih hebat daripada pemikiran Khir yang sudah dikongkong dengan saki-baki ego bekas seorang Menteri Besar. Sudah banyak contoh bekas-bekas pemimpin yang hebat-hebat, apabila turun ke bawah masih terbawa-bawa tabiat dan amalannya semasa dia menjadi pemerintah.

Kalau ditakdirkan Khir jadilah juga Ketua Pemuda nanti, ramai yang bimbang bagaimana pemuda dari komponen BN mahu menerima Khir yang sudah diketahui umum bukan seorang yang begitu muhibbah tanpa kepentingan. Khir harus ingat bahawa walaupun yang memilih Ketua Pemuda adalah dari kalangan ahli pemuda, tetapi peranan Ketua Pemuda UMNO adalah lebih besar skopnya.

Ramai melihat Khir sesuai menjadi pemimpin satu kelompok kaum sahaja dan tidak menjangkau ke kaum-kaum lain yang turut sama melihat dan meneliti corak kepimpinan yang sudah mempunyai sejarah kekalahan yang memalukan seluruh anggota parti komponen BN dalam pilihan raya umum lalu.
Sebagai abang kepada pemuda, nasihat saya kepada Khir, biarkanlah jaguh yang lebih berhak untuk merebut kerusi Ketua Pemuda itu seperti Khairy, Mukhriz dan Zahidi. Mereka bertiga dilihat cukup padan dengan apa yang mereka rebut dengan keadaan dan kedudukan .

No comments: