Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, October 6, 2008

Adakan debat terbuka bagi calon jawatan Timbalan Presiden UMNO - Malaysiakini

Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini mencadangkan supaya satu debat terbuka di adakan membabitkan calon-calon yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, pada pemilihan parti Mac ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras berkata, langkah tersebut bertujuan memberi peluang kepada ahli-ahli parti menilai sejauhmana kewibawaan, ketokohan dan wawasan calon berkenaan.

Menurutnya, debat terbuka elok diadakan kerana banyak calon yang semakin ghairah menawarkan diri merebut jawatan nombor dua terpenting dalam kepimpinan UMNO.
“Bagi menjayakan debat terbuka sepertimana yang diamalkan di antara calon Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat, maka saya cadangkan Datuk Johon Jaafar dan Datuk Anuar Zaini sebagai moderatornya,” tambah beliau.

“Banyak calon berminat memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan Mac ini, maka wajarlah calon-calon berkenaan tonjolkan kehebatan mereka untuk diadili oleh ahli-ahli parti khususnya para perwakilan,” tegasnya.
Syed Ali bagaimanapun mengingatkan, pertandingan beberapa jawatan penting di dalam UMNO bukan gelanggang untuk memberi kesempatan kepada mana-mana calon menguji populariti dan mencari pengaruh.

Sebaliknya kata beliau, seseorang calon itu perlu menilai kemampuan diri dari segi tanggungjawab untuk memperkasakan halatuju perjuangan UMNO.
“Kita sebagai ahli-ahli UMNO sebenarnya memikul tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkalibar, berwawasan, berani, berkarisma dan ikhlas memartabatkan bangsa Melayu dan membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang,” tegasnya.
Beliau berpendapat, apabila terlalu ramai yang berhasrat untuk bertanding jawatan penting di dalam UMNO, ianya akan turut memberi kesan kepada masa depan parti.
“Saya bimbang kelak rakyat akan melihat UMNO semakin tidak relevan bilamana terlalu ramai yang berebut-rebut mengejar jawatan penting di dalam parti,” jelasnya.
Sehubungan itu kata Syed Ali, mana-mana calon yang berhasrat menawarkan diri bertanding beberapa jawatan pernting menjelang Mac ini supaya bermuhasabah diri dan tidak terlalu ghairah.
“Apabila terlalu ghairah untuk bertanding jawatan penting sama ada Timbalan Presiden atau Majlis Tertinggi, kita mungkin menjadi lupa kepada tanggungjawabn kepada parti,” tegasnya.
Beliau mengingatkan pertandingan jawatan dalam parti adalah perkara serius kerana ia adalah penyambung perjuangan yang diamanahkan oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

No comments: