Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 14, 2008

Zaid Ibrahim sanggup letak jawatan jika kerajaan terus guna ISA - Malaysiakini

zaid ibrahim and isa internal security act 150908Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Zaid Ibrahim yang menjaga hal-ehwal perundangan, sanggup meletak jawatan jika kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.

Ahli politik BN yang lantang bersuara itu juga mendesak supaya ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA dibebaskan segera.

Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah ISA tetapi telah dibebaskan semalam.
"Kita mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan, kita tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan.

"Kita ada undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

"Saya sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi) minggu ini untuk menyatakan pendirian saya itu kepada beliau.

"Jika (beliau menganggap) pendirian saya itu tidak dapat dipertahankan, saya akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini dari Kota Baru hari ini.
Beliau telah mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu hari ini di mana beliau becakap mengenai perkara yang sama.

Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.
"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.
Zaid berkata negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu seperti ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.
"Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA.

"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya.
Zaid berkata, banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbezaan kaum atau isu perkauman termasuk melalui sesi dialog dan perbincangan secara aman.

Mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Zaid berkata beliau kesal dengan tindakan bahagian yang membatalkan mesyuarat peringkat cawangan yang mencalonkan dirinya.
"Tapi ianya sudah menjadi syarat jadi saya perlu patuh kepada keputusan bahagian. Saya tidak akan merayu. Sehingga kini saya sudah mendapat 20 pencalonan," katanya.
Jawatan ketua Umno bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd Fatmi Salleh dengan Zaid yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Januari 2007.

No comments: