Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 27, 2008

UMNO Selangor nafi ketua bahagian tetapkan syarat - Malaysiakini

UMNO Selangor menafikan ketua-ketua bahagian negeri ini menetapkan syarat bahawa pelan peralihan kuasa perlu diterima sebulat suara ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara itu tidak pernah timbul.

Sebaliknya, ketua-ketua bahagian UMNO hanya bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu tadi, bagi membincangkan perkara-perkara umum mengenai parti dan sedikit sebanyak mengenai peralihan kuasa 2010.

Bagaimanapun katanya, perbincangan berkenaan tidak melibatkan penetapan syarat kepada Abdullah tentang pelan peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh timbul kerana kita (UMNO Selangor) secara umumnya menyokong pelan peralihan ini.

“Saya tidak tahu dari mana atau bagaimana dakwaan ini wujud,” katanya, kelmarin.
Beliau mengulas laporan laman Malaysiakini yang menyatakan ketua-ketua bahagian UMNO Selangor dan Abdullah dalam satu perjumpaan malam kelmarin menyokong pelan peralihan 2010 tetapi dengan syarat peralihan itu diterima sebulat suara oleh ahli MT.

Menurut laporan berkenaan, ketua-ketua UMNO bahagian negeri itu mengambil peluang dalam perjumpaan tersebut untuk mendapat penjelasan mengenai pelan peralihan kuasa itu.

Sementara itu Muhammad turut menafikan UMNO Bahagian Shah Alam mencalonkan Najib sebagai Presiden, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

Kata beliau, laporan yang disiarkan oleh laman web yang memetik Bendahari UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Abdul Manan Said adalah tidak benar.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Salamon Selamat ketika dihubungi turut mengesahkan laporan tersebut tidak benar.

Katanya, ia merupakan pandangan peribadi Abdul Manan dan bukannya mewakili bahagian kerana dia bukan lagi bendahari UMNO bahagian berkenaan.

No comments: