Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 28, 2008

Umno Kelantan Sifatkan Langkah Percepat Peralihan Sebagai Tepat - Malaysiakini

Keputusan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempercepatkan peralihan kuasa dilihat amat tepat bagi membolehkan parti itu membuat persediaan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan keadaan sekarang, banyak perkara perlu dilakukan oleh Umno bagi mendapatkan semula kepercayaan daripada rakyat.

Beliau berkata peralihan kuasa lebih awal akan memberikan masa yang mencukupi kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak membuat persediaan memimpin jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita lihat banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Umno sebab itu kita mahu Najib mendapat sokongan yang padu dan walaupun berundur, kita berharap Pak Lah akan terus memberi sokongan. Kita mahu semua tenaga Umno digemblengkan baik Pak Lah, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun Musa Hitam," katanya di Kota Baharu, semalam.
Pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno kelmarin, Abdullah yang juga Presiden Umno mengumumkan MT membuat keputusan menunda tarikh perhimpunan agung parti itu yang sebelum ini dijadualkan Disember ini ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Annuar berkata semua anggota MT sebulat suara menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan bagaimana serta bila penyerahan kuasa itu dilakukan mengikut keselesaan mereka.

Katanya pada mesyuarat kelmarin, MT hanya membincangkan mengenai penjadualan peralihan kuasa sahaja supaya ia berlaku dengan keadaan yang lebih teratur dan licin.

Di Pasir Puteh, Pengerusi Persatuan Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Ishak berkata keputusan itu menunjukkan Abdullah lebih mengutamakan perjuangan daripada diri sendiri apabila mengambil kira pandangan orang ramai, sayap Puteri dan Umno bahagian.
"Pak Lah lebih sensitif dengan pandangan ahli parti dan ini satu pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh seseorang pemimpin," katanya.
Rozali bagaimanapun berharap selepas ini tidak ada lagi pihak yang mendesak Perdana Menteri mengundurkan diri kerana tempoh yang diambil sudah cukup untuk melakukan peralihan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Cawangan Kelantan (Mubarak) Datuk Jailani Jaafar berkata keputusan itu dianggap bijak bagi mengelakkan kekecohan dalaman daripada berterusan.
"Eloklah tu, kalau cepat sangat jadi gelabah juga, kalau 2010 saya rasa berat sangat sebab kuasa kita (Umno) semakin hari semakin terhakis," katanya.
Beliau berharap dengan pengumuman itu semua pihak akur dan menerima dengan baik cadangan bijak yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi menentukan peralihan kuasa berjalan dalam suasana harmoni.

Di Kota Tinggi, Anggota MT Umno Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan keputusan MT menangguhkan Perhimpunan Agung parti sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.

Katanya pelbagai peringkat di bahagian telah membuat banyak persiapan bukan sahaja berkaitan pemilihan di bahagian tetapi juga yang melibatkan pencalonan anggota ke Perhimpunan Agung parti.

Bagaimanapun Menteri Pelancongan itu berkata keputusan yang diambil itu merupakan satu keputusan yang meletakkan kepentingan parti dan orang Melayu di atas.
"Apa objektif mengenai keputusan penangguhan kelmarin itu adalah di antara Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Keputusan akhirnya adalah di antara mereka berdua. Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka" katanya.
Di Jitra, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom berpendapat keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu adalah langkah yang terbaik demi kepentingan parti.
"Kami yakin keputusan beliau tidak didesak oleh mana-mana pihak dan kalau dilihat pada sejarah Datuk Seri Abdullah, beliau memang amat setia dengan parti sejak dulu," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke wad Hospital Jitra, beliau berkata keputusan itu tidak perlu dipertikaikan lagi dan tumpuan seharusnya diberi kepada isu lain yang lebih penting seperti membanteras masalah kemiskinan.

No comments: