Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 30, 2008

UMNO Bahagian Cheras ambil langkah pertama.? - Malaysiakini

UMNO Bahagian Cheras di Wilayah Persekutuan Ahad malam mengambil langkah pertama kearah peralihan kepimpinan yang ditetapkan pada bulan Mac tahun depan dengan mengistiharkan akan calonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat UMNO Bahagian itu pada 12 Oktober ini.

UMNO Bahagian Titiwangsa sejurus itu mengikut jejak UMNO Bahagian Cheras dengan mengumumkan keputusan yang sama.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Sulaimen Mohamad mengumumkan demikian dalam ucapan mereka di Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di dewan UMNO Bahagian Cheras di Jalan Peel Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu ialah Muhyiddin,Menteri Kebudayaan,Kesenian,Warisan dan Perpaduan Datuk Shafie Afdal,Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Yusof Hamid,Pemangku Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Zainal Nazeri serta sebilangan pemimpin berbagai peringkat beberapa UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan.

Syed Ali memberitahu UMNO bahagian itu berpendapat langkah Majlis Tertinggi UMNO pagi Jumaat lalu menunda pemilihan parti dari Disember ini ke bulan Mac tahun depan bererti peralihan kuasa pasti terjadi.

Maka katanya pada sebelah petang Ahad jawatankuasa UMNO bahagian itu telah mengadakan mesyuarat dan sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Najib dan Muhyiddin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Katanya UMNO bahagian Cheras merasa mereka tidak perlu lagi menunggu pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri menjelang 9 Oktober ini sebelum UMNO Bahagian di seluruh negara mula bermesyuarat untuk menyatakan siapa yang hendak dicalonkannya.
Ditemui selepas majlis itu Syed Ali berkata, “ dengan keputusan Majlis Tertinggi tunda lima bulan dari tarikh mesyuarat bahagian it goes without saying bahawa peralihan kuasa pasti berlaku.Keputusan kami ada selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi walaupun Pak Lah belum buat pengumuman beliau.

“Kami rasa tak perlu lagi nanti hingga pengumuman itu kerana senarionya sudah amat jelas,”katanya.

Ditanya tentang kemungkinan Abdullah membuat keputusan yang sebaliknya nak mempertahankan jawatan Presiden,Syed Ali kata beliau tidak fikir begitu.” Mana mungkin macam tu…tentu keadaan jadi rumit dan kecoh dalam UMNO,”ujarnya.


Beliau berpendapat jika Perdana Menteri nak mempertahankan jawatannya sudah pasti pemilihan jawatan Disember ini tidak akan ditunda. “ Soalnya nak tunda buat apa sampai lima bulan…saya tidak nampak kemungkinan itu langsung,”katanya.

Sulaiman dalam ucapannya memberitahu pendirian UMNO Bahagian Titiwangsa mahukan gandingan Najib dan Muhyiddin telah dirumuskan dalam mesyuarat jawatankuasanya baru-baru ini.

Beliau berharap soal ketuanan Melayu harus diperteguhkan oleh barisan yang mengambilalih kepimpinan nanti.

UMNO Bahagian Titiwangsa akan bermesyuarat pada 18 Oktober ini.

Sementara itu difahamkan bahagian UMNO yang pertama akan bermesyuarat ialah Besut pada 11 Oktober ini.

Pada 12 Oktober selain dari Cheras, bahagian-bahagian lain yang akan bermesyuarat pada hari itu ialah Machang,Pontian,Pagoh,Batu Pahat,Kuantan,Shah Alam,Subang dan Bukit Gelugor.

Pencalonan bahagian-bahagian yang awal mengadakan mesyuarat dijangka akan menarik perhatian ramai.

Sementara itu ketika bercakap kepada para wartawan Muhyiddin menjelaskan penangguhan mesyuarat dan Perhimpunan Agung UMNO ke Mac tahun depan tidak melanggar mana-mana peraturan perlembagaan parti.

Beliau berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menetapkan tarikh Perhimpunan Agung.
"Kalau ikut perlembagaan Umno, kuasa tertinggi adalah Majlis Tertinggi selain Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat-mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung dan yang terkini, Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menangguhkannya maka saya tidak nampak bagaimana ia melanggar perlembagaan," katanya.
Beliau berkata semua pihak perlu melihat penangguhan berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu untuk menyelesaikan masalah peralihan kepimpinan dan atas dasar persefahaman kepimpinan, MT memutuskan tarikh berkenaan dan dianggap sesuai dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden, beliau berkata hasrat Tengku Razaleigh sudah lama disuarakan dan bukan sesuatu yang baru.
"Itu hak dia, kita menghormati hasrat dia hendak bertanding bagi jawatan Presiden, terserah kepada ahli-ahli perwakilan di bahagian sama ada untuk mencalonkan beliau atau tidak," kata Muhyiddin.

No comments: