Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Teresa Kok Cuba Raih Simpati, Kata Noraini - Malaysiakini

Isu makanan ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok bertujuan untuk menyalahkan kerajaan dan meraih simpati masyarakat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad.

Ketua Puteri Umno itu berkata sebenarnya perkara remeh itu tidak perlu dibangkitkan dan Teresa perlu insaf di samping berhenti memainkan isu berkenaan.

Katanya kekuatan dan kesejahteraan serta perpaduan antara kaum adalah perkara yang lebih penting yang perlu dipelihara, daripada membuat kenyataan sedemikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di Masjid Salahuddin Al Ayubi Taman Melati.

Penerima sumbangan itu terdiri daripada 200 orang kalangan mahasiswa dan saudara baru Muslim, dan majlis itu merupakan anjuran PERKIM dengan kerjasama EON Cap Islamic Bank Berhad.

Sementara itu Pergerakan Pemuda UMNO Seputeh yang menganggap Teresa seperti sengaja memperbesarkan isu berkenaan, membuat laporan polis berhubung kenyataan Aggota Parlimen Seputeh itu.

Naib Ketuanya Alawi Dahalin berkata kenyataan Teresa berhubung perkara itu boleh dianggap sebagai sebagai satu penghinaan yang terbuka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain golongan berpendapatan rendah.
"Makanan seperti telur yang dihidangkan kepada beliau sudah memadai dan sama seperti pesalah yang lain, malah makanan seperti itu jugalah yang menjadi ruji harian kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

"Kami menyeru pihak berkuasa agar memandang serius dan mengambil tindakan, supaya pada masa akan datang tiada lagi pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai perkara itu. Sebagai Yang Berhormat dan dipilih rakyat, isu sedemikian tidak sepatutnya diperbesarkan," tambahnya.

No comments: