Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Tarikh Peralihan Kuasa Lebih Awal? - Malaysiakini

Adakah mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno esok akan memutuskan tarikh peralihan kuasa lebih awal antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak atau membincangkan kaedah lebih berkesan untuk mengukuhkan parti?

Isu peralihan kuasa kini menjadi persoalan utama di kalangan ahli politik dan pemerhati politik dalam masa terdekat sebaik sahaja diumumkan bahawa Umno akan mengadakan mesyuarat MT pada pukul 10 pagi di ibu pejabat parti itu.

Dalam tempoh dua hari lepas, cakap-cakap politik jelas kedengaran, dengan spekulasi bahawa dua pemimpin tertinggi negara terlibat dalam "perbincangan" tarikh asal peralihan kuasa yang pada asalnya ditetapkan pada Jun 2010, yang dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati anggota Umno yang memihak pemimpin tertentu.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini bersetuju bahawa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada Jun 2010, tetapi ini dilihat oleh beberapa pihak di dalam Umno suatu tempoh yang terlalu lama, khususnya apabila parti politik terbesar itu mengadakan pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Tanda-tanda perbezaan pendapat semakin ketara setelah Abdullah pada 17 Sept mengumumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan peralihan kuasa akan berlaku lebih awal ekoran pertukaran portfolionya sebagai Menteri Kewangan kepada Najib dan beliau sendiri menjadi Menteri Pertahanan.

Pemerhati politik menterjemahkan pertukaran portfolio itu sebagai tanda penyerahan kuasa yang akan berlaku lebih awal sebelum 2010, dengan sebilangan mereka meramalkan ia mungkin berlaku seawal Disember tahun ini.

Spekulasi semakin hangat petang semalam apabila Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Najib telah membatalkan lawatannya ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mulai hari ini sehingga I Okt.

Ini diikuti dengan beberapa siri pertemuan "rahsia" antara kedua-dua pemimpin dan penyokong mereka, dan spekulasi tersebar luas bahawa satu persetujuan mengenai peralihan kuasa telah dicapai malam semalam dengan kedua-dua pihak bersetuju akan tarikh akhir bagi peralihan kuasa.

Pada tengah malam semalam, panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) banyak bertali arus meramalkan bahawa tarikh awal peralihan kuasa telah ditetapkan dan ia kemungkinannya berlaku setahun lebih awal dari tarikh asal Jun 2010.

Spekulasi semakin hangat apabila berita mengenai Abdullah dan Najib mengadakan perbincangan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini, yang tidak pun dinafikan atau disahkan oleh Najib apabila ditemui wartawan pada satu majlis pada sebelah petang, sebaliknya hanya menyatakan "saya selalu bertemu Perdana Menteri."

Terdapat juga spekulasi bahawa pemilihan parti akan ditunda sehingga Jun 2009 bagi melancarkan proses peralihan kuasa dan meminimumkan politik dalaman.
"Kami mengharapkan sesuatu yang positif daripada mesyuarat MT esok, kata sumber dalam parti itu kepada Bernama.

"Ia merupakan satu situasi yang menguntungkan semua pihak, kepada mereka yang mahukan peralihan kuasa segera diadakan dan mereka yang mahu kekal dengan tarikh asal (Jun 2010)," katanya.
Beliau turut mengutarakan bahawa kedua-dua pemimpin utama itu tidak mahu mengumumkan keputusan sebelum mereka mendapat persetujuan dan pengesahan daripada MT, badan tertinggi yang membuat keputusan parti itu.

Mereka tidak mahu mengulangi kesilapan sama... kali terakhir mereka mencapai persetujuan, timbul pula rungutan dan sepatutnya MT dan anggotanya yang memutuskan tarikh penyerahan kuasa dan bukannya kedua-dua pemimpin itu. Mereka hanya boleh mencadangkan tetapi MT mesti menyetujuinya dan para anggota mesti menerimanya," kata sumber parti itu.

Cadangan terbaru yang hangat diperkatakan ini, jika diterima oleh MT, akan mengelakkan perebutan kuasa di dalam parti, di mana Umno, yang menjadi tunjang parti pemerintah Barisan Nasional, tidak boleh memilikinya terutama selepas parti gabungan itu mencatatkan prestasi paling buruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Satu lagi petunjuk bahawa sesuatu "yang besar" sedang menjadi percaturan adalah keengganan Najib untuk menjawab sebarang soalan mengenai politik pada satu sidang akhbar di Kementerian Kewangan petang ini.

Beliau hanya mengesahkan bahawa satu mesyuarat khas MT Umno akan diadakan esok di Menara Dato' Onn.
"Apa-apa soalan politik hanya akan dijawab esok," katanya menjawab satu soalan mengenai cakap-cakap tentang pemilihan parti akan ditunda sehingga tahun depan.
Isu sedia ada jelas amat sensitif sehinggakan pemimpin utama Umno yang dihubungi Bernama enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai pelan peralihan kuasa terkini parti itu.

Sementara rakyat negara ini menanti jangkaan dengan penuh debaran dalam tempoh 24 jam ini, apa yang pasti adalah kedua-dua pemimpin tertinggi ini akan melakukan sesuatu yang betul demi Malaysia dan rakyatnya.

No comments: