Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 28, 2008

Siapa Kuda Hitam.? - Malaysiakini

Calon-calon 'kuda hitam' atau nama-nama yang tidak disangka akan muncul menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kemunculan calon 'kuda hitam' itu akan bergantung kepada keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahankan jawatannya atau tidak.

Beliau menegaskan, andainya Abdullah tidak mempertahankan jawatan tersebut, maka kemunculan calon 'kuda hitam' adalah bagi jawatan kedua iaitu Timbalan Presiden UMNO.
"Jawatan nombor satu mungkin tidak (ditandingi) kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dilihat sebagai pengganti jawatan berkenaan," katanya semalam.
Namun kata beliau, dalam senario politik hari ini, belum ada sesiapa yang boleh dikatakan secara pasti akan menduduki jawatan kedua tertinggi parti jika berlaku kekosongan.

Tambah beliau, dalam konteks kemunculan calon 'kuda hitam' itu, bermakna jawatan nombor dua parti iaitu Timbalan Presiden UMNO tidak semestinya ditandingi secara solo oleh Naib Presiden yang menjadi sebutan untuk jawatan itu kini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Selepas hari raya ini, dua atau tiga nama baru dijangka timbul untuk berada dalam persaingan, nama-nama ini akan memeranjatkan masyarakat umum," katanya.
Malah kata beliau, tidak semestinya calon yang tampil untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO itu datangnya daripada kalangan Naib Presiden parti sedia ada.

Menerangkan lebih lanjut konsep 'kuda hitam', beliau berkata, dalam pertandingan lumba kuda, umumnya penonton akan memandang kepada kuda-kuda yang cerah kerana lebih cantik dan senang dilihat.
"Namun ketika perlumbaan berlangsung, di hujung persaingan, kuda hitam akan muncul dan menarik perhatian penonton," katanya.
Justeru kata beliau, dalam konteks pertandingan dalam UMNO, calon 'kuda hitam' mampu mewujudkan pertandingan yang sengit kerana keputusan akan terletak di tangan akar umbi untuk menentukan pemimpin pilihan mereka.

Beliau berkata, teori 'kuda hitam' itu kukuh pada pemilihan kali ini kerana selepas satu tempoh yang lama, wujud kemungkinan jawatan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan.

Katanya, kemunculan calon jenis itu sama ada secara sukarela menawarkan diri atau mungkin keadaan akan membawanya ke tengah pertandingan.

Namun katanya, tidak ada jaminan 'kuda hitam' berkenaan boleh menang tetapi mungkin mampu mewujudkan persaingan yang sengit.

Katanya, kemunculan calon 'kuda hitam' dalam pemilihan UMNO selepas hari raya mungkin tidak ramai bilangannya tetapi pasti akan memeranjatkan.

No comments: