Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Selangor sokong peralihan kuasa jika MT sepakat - Malaysiakini

Ketua-ketua bahagian Umno di Selangor telah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu perjumpaan malam tadi, bahawa mereka boleh menyokong pelan peralihan 2010 dengan syarat ia juga diterima sebulat suara oleh kesemua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Perjumpaan tersebut berlangsung selama lebih sejam di pejabat Umno bahagian Tanjung Karang selepas majllis berbuka puasa dan sembahyang Terawih malam tadi.

Menurut sumber yang layak dipercayai, ketua-ketua bahagian mengambil peluang tersebut untuk mendapat penjelasan mengenai pelan peralihan parti dari Abdullah kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, dalam penjelasannya, Abdullah meminta ketua-ketua bahagian menyokong pelan peralihan tersebut "dalam menghadapi cabaran besar yang dihadapi oleh Umno sekarang".

Abdullah juga, katanya, berkata semua ahli Umno perlu bersatu dalam satu pasukan dan kerana itu mereka perlu menyokong formula peralihan kuasa 2010.

Bagaimanapun, katanya, ketua-ketua yang bangun bercakap memberitahu Abdullah bahawa mereka boleh menerimanya dengan syarat, ia dibuat secara ikhlas dan disokong sebulat suara oleh ahli MT.

Sebelum itu, Abdullah menghadiri majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di di Masjid Al-Raudah, Tanjung Karang, anjuran badan perhubungan Umno Selangor.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, perdana menteri mengingatkan ahli Umno yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti peringkat bahagian bulan depan agar bertanding dengan semangat persaudaraan.

"Dalam mesyuarat peringkat bahagian nanti tentu ada ramai yang hendak bertanding jawatan, bertandinglah dengan semangat persaudaraan," katanya.

Turut hadir ialah pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar yang juga ahli parlimen Tanjung Karang.

Mesyuarat Umno peringkat bahagian akan bermula dari 9 Oktober hingga 9 November.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata semangat persaudaraan itu perlu dijaga dan jangan dirosakkan bagi mengelakkan perpecahan pada parti.

"Kalau kerana bertanding, kita berbalah dan berpisah, itu tanda-tanda kita akan jadi lemah dan ini tidak akan beri kebaikan kepada kita," katanya.

BERITA KERKAITAN
Selangor: Shah Alam, PJU calon Najib-Muhyiddin
Shafie sokong semua jawatan dipertandingkan
Bahagian di T'ganu berbelah bagi

No comments: