Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 27, 2008

Saya tetap serah jawatan kepada Shahrizat - Malaysiakini

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau mampu meneruskan khidmatnya sebagai ketua pergerakan itu sepenggal lagi namun dengan ikhlas hati mahu menyerahkan

jawatannya kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

Menurutnya, beliau menerima desakan ramai ahli Wanita UMNO yang mempersoalkan tindakannya menyerahkan jawatan itu walaupun masih lagi mampu menjalankan tugasnya itu.
“Saya kata tak payahlah…sungguhpun saya mampu teruskan lagi satu penggal, tapi saya rasa eloklah saya bagi pada Shahrizat saja Jun ini.

“Sebab ramai yang kata pada saya, buat apa Tan Sri nak serah Jun ini… macam bodoh pula sudah elok-elok menang lepas itu nak serahkan pada Shahrizat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Wanita UMNO kelmarin.
Menurut Rafidah, tindakan itu dilakukan kerana tidak mahu ada pertandingan yang boleh memecah-belahkan Wanita UMNO.
“Ada juga yang kecewa Shahrizat tidak bertanding, itu satu cerita tapi yang marah pada saya sebab nak bagi bulat-bulat jawatan “berdulang perak” ini tanpa sebab, itupun satu sebab.

“Saya terangkan nak tunggu sampai bila saya ini. Saya bersedia serahkan. Kenapa tidak Disember ini? Sebab kalau Disember ini, bertandinglah. Tidak, tidak, saya tidak mahu itu,” katanya.
Beliau yakin Shahrizat mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemangku ketua pergerakan itu walaupun tidak akan mempunyai naib ketua selepas peralihan jawatan dilaksanakan Jun 2009 nanti.
“Tak payah… dalam Wanita UMNO bukannya berat sangat macam jawatan Timbalan Perdana Menteri. Shahrizat akan menunjukkan kekuatannya. Kita ini berfungsi sendiri sebagai satu pasukan.

“Kecuali kalau dia (Shahrizat) tidak larat nak kerja. Tapi dia larat, dia mampu ada ramai yang akan bantu. Tak ada masalah tak ada Naib Ketua dalam Wanita UMNO ini,” katanya.
Beliau berkata, keputusan yang dicapai pada hari ini juga merupakan satu pakatan yang sudah sebulat suara mahukan kestabilan dalam pergerakan itu seterusnya kepada parti.

Menurutnya, apa yang akan dilakukan selepas ini adalah menasihatkan bahagian-bahagian dan akar umbi supaya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Terimalah ini dan buatlah keputusan dengan bijak untuk kekalkan perpaduan kita supaya kita boleh jalankan proses ini dengan baik dan insya-Allah saya akan serahkan pada Shahrizat Jun ini seperti yang saya katakan.

“Ini bukan pula kita nak arah-arahkan bahagian, kita beri panduan dan nasihat demi parti dan saya harap tak adalah orang luar yang datang mengkucar-kacirkan pakatan yang ada ini. Kita dah pakat elok dah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Faridah Hassan berkata, semua Exco sebulat suara menerima keputusan yang dicapai pada mesyuarat itu.
“Kita semua bersetuju tiada pertandingan untuk dua jawatan tersebut bagi menstabilkan pergerakan dan untuk terus menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting kepada parti dan negara selepas ini,” katanya.
Exco Pergerakan itu, Datuk Maznah Mazlan berkata, semua pihak berpuas hati dengan kata sepakat yang telah dicapai berhubung peralihan jawatan antara Rafidah dan Shahrizat itu.
“Kita puas hati sudah selesai dan bersyukur. Kita tahu kalau ada pertandingan Wanita UMNO sudah tentu akan berpecah dan menambah kepada kekeruhan atau masalah dalam parti,” katanya.

No comments: