Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Samakan habuan seks dengan sedekah: Zul Hassan disaran bertaubat - Malaysiakini

Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disaran supaya bertaubat.

Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.

Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

No comments: