Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, September 17, 2008

Raja Petra mohon dibebaskan daripada ISA - Malaysiakini

Penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam agar beliau dibebaskan daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Notis usul itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pada kira-kira jam 3.45 petang semalam melalui Tetuan Mathews Hun Kandiah.

Peguam Asok Kandiah yang mewakili Raja Petra berkata sijil kesegeraan juga difailkan sebagai sokongan agar permohonan itu didengar dengan segera.

Dalam permohonannya, Raja Petra mendakwa penahanan beliau menyalahi undang undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit sokongannya, isteri beliau Mable @ Marina Lee pula berkata penahanan suami beliau tidak mematuhi lunas undang-undang dan penangkapannya pula dilakukan dengan niat jahat.

Marina mendakwa tindakan polis menahan Raja Petra mengikut ISA semata-mata bertujuan untuk menutup mulut suaminya dan bagi mendapatkan maklumat tentang pihak yang menjadi sumber bagi rencana tulisan Raja Petra dalam blog Malaysia Today.

Katanya Raja Petra dituduh melakukan beberapa kesalahan dan kes ini masih belum diselesaikan oleh mahkamah dan setakat ini, suaminya tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan.

“Jadi, Raja Petra tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata sebelum penahanan Raja Petra, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Syed Albar dilaporkan pernah berkata bahawa penulis itu akan hanya ditahan mengikut ISA sebagai langkah terakhir.

“Perbicaraan bagi semua kesnya (Raja Petra) masih berjalan dan langkah lain masih ada,” katanya.

Raja Petra ditangkap Jumaat lalu di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor sebelum wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim turut ditahan mengikut akta yang sama.

Teresa memfailkan permohonan serupa di Mahkamah Tinggi kelmarin, manakala Tan dibebaskan setelah ditahan selama 18 jam.

Sementara itu Marina dibenarkan melawat suaminya yang ditahan di ibu pejabat Polis Bukit Aman semalam.

Marina diiringi dua anak perempuannya Sarah, 19, dan Suraya, 34, bersama beberapa penyokong tiba di Bukit Aman pada jam 10.30 pagi semalam.

Mereka membawa bersama ubat-ubatan, cokelat dan minuman untuk diserahkan kepada editor blog Malaysia Today itu, namun hanya Marina dan dua anaknya dibenarkan menemui Raja Petra.

Pertemuan berlangsung selama kira-kira satu setengah jam, dan Marina berkata sebelum meninggalkan Raja Petra, beliau memberitahu suaminya itu bahawa beliau akan kembali dalam empat hari lagi.

Beliau berkata peguam-peguam Raja Petra akan menemui suaminya itu untuk berbincang mengenai penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada hari Khamis ini.

No comments: