Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 26, 2008

PM tidak halang ahli UMNO bertanding - Malaysiakini

TANJONG KARANG - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menghalang ahli UMNO daripada bertanding pada pemilihan parti tahun ini selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan parti itu.Bagaimanapun, pada masa yang sama, Presiden UMNO itu mengingatkan semua ahli yang menawarkan diri agar bertanding dalam semangat persaudaraan bagi memastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.

Menurutnya, walaupun amalan demokrasi membuka pintu untuk bertanding dan bersaing, semangat persaudaraan seharusnya perlu terus dipelihara.
“Jangan rosakkan parti kerana kalau bertanding kita berbalah dan berpisah, ini tanda kita akan menjadi bertambah lemah sedangkan kelemahan ini tidak memberi kebaikan.

“Kita perlu merancang untuk mengukuhkan perpaduan dengan meningkatkan kerjasama bagi menjayakan setiap pendekatan yang mendapat sokongan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama rakyat di Masjid Ar-Raudah di sini malam semalam.
Abdullah menyedari sememangnya akan berlaku pertandingan di peringkat bahagian dan semua ahli UMNO yang menawarkan diri sememangnya mahu memperoleh kemenangan selaras dengan amalan demokrasi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak boleh lemah, sebaliknya perlu menjadi sebuah parti yang kuat sebagai tunjang kepada kekukuhan Barisan Nasional (BN).
“Selama ini kekuatan kita datang daripada komitmen kita untuk bersama menjayakan kerajaan. Saya memahami, bagi Selangor waktu ini menyedihkan kerana negeri ini bukan diperintah kerajaan BN.

“Tetapi apa yang berlaku eloklah dijadikan pengajaran yang tidak boleh dilupakan. Ini memberikan kita peluang untuk membuat apa jua perubahan dari segi pendekatan supaya kita dapat mengemaskan lagi kerja dan khidmat kita kepada rakyat agar lebih baik,” katanya.
Abdullah berkata, semangat persaudaraan dalam UMNO tidak terhad kepada masa tertentu tetapi mesti sentiasa ada di kalangan ahli UMNO bagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, katanya, setiap ahli UMNO perlu meneguhkan persaudaraan dan perpaduan untuk menjadi sebuah parti yang kuat.
“Jangan habiskan masa dengan tindakan lain yang boleh memecahbelahkan sesama kita. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh melemahkan kita. Kita tidak boleh menghabiskan masa dengan bersaing sesama sendiri,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau terus mengulangi keyakinan yang BN akan kekal memerintah negara walaupun ada pihak terus menyebarkan dakyah akan berlaku peralihan kuasa.
“Ia tidak akan berlaku, sebaliknya kerajaan tetap kuat,” kata beliau.

No comments: