Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 16, 2008

PM minta Anwar tunjuk senarai MP - Malaysiakini

Perdana menteri berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menunjukkan jika beliau benar-benar mempunyai senarai 31 ahli parlimen Barisan Nasional yang menyertai Pakatan Rakyat.
"Kalau dia (Anwar) ada (senarai 31 ahli Parlimen), dia boleh beritahu, biar semua rakyat tahu, biar semua pengundi tahu apa yang telah dia lakukan kepada calon-calon mereka (pengundi)," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk berbincang kerana "kalau dia jumpa saya pun nanti, mungkin dia buat cerita yang lain."

"Nanti dia kata, saya telah setuju tentang itu, tentang ini. Itu adalah tujuan dia mempopularkan diri dia.

"Saya tidak perlu jumpa dia," kata dalam sidang akhbar di majlis penyampaian dermasiswa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kepala Batas hari ini.


Menurut perdana menteri, surat yang diterimanya dari Anwar yang juga ketua pembangkang semalam, bukannya berhubung peralihan kuasa, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya, surat itu berkaitan dengan situasi dalam negara dan perkara-perkara umum.
"Tidak ada satu surat pun yang dihantar yang berkaitan dengan pemindahan kuasa. Dia (Anwar) hantar surat tentang hal-hal umum yang berkaitan dengan situasi dalam negara," katanya.
Di Kuala Lumpur, Anwar hari ini mendakwa telah menghantar surat kepada perdana menteri semalam untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan proses peralihan kuasa secara aman setelah Pakatan Rakyat mempunyai cukup bilangan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Abdullah meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara yang berkaitan dengan urusan dan tanggungjawab seharian, dan bukannya sibuk dengan urusan yang memperlihatkan ketidakstabilan politik negara.
"Lebih baik beri perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan dan tanggungjawab kita yang dilaksanakan sama ada di sektor awam mahupun swasta," katanya.
Anwar ketika ditanya pemberita mengenai rancangannya untuk mengambil alih pentadbiran negara hari ini (16 September) seperti yang digembar-gemburkannya, beliau mendakwa kelewatan itu kerana beliau mahu berbincang dengan perdana menteri terlebih dahulu.

No comments: