Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, September 29, 2008

PERUTUSAN KETUA PEMUDA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PEMUDA UMNO BAHAGIAN - Malaysiakini

Bismilahi Rahmani Rahim,

Assalammu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT, sesungguhnya dengan izin, limpah dan kurnia Nya, kita dapat terus mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran berkat kesatuan dan semangat perpaduan di kalangan kita.

Saya amat bersyukur kerana sepanjang diberikan amanah besar menerajui Pergerakan Pemuda, Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk, hidayah, keberanian dan kekuatan kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan di dalam melalui pasang surut, pahit getir dan cabaran perjuangan.

Walaupun ada ketikanya kita diuji hingga ke satu sudut, diejek, dimaki, diperlekehkan dan diminta membuat pilihan, namun dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT, kita kembali pada landasan perjuangan sebenar dan berpegang teguh dengannya, tanpa meletakkan kepentingan-kepentingan lain.

Hanya demi masa depan anak bangsa; demi kemakmuran negara; dan demi kesucian syiar agama. Alhamdulillah Pergerakan Pemuda terus kukuh dan kuat berkat kesepakatan dan sokongan di akar umbi.

Kita berjaya menempuhi cabaran dan tidak mudah dirapuhkan oleh sebarang kegoyahan atau leka.

Terima kasih, atas segala sokongan padu, kematangan dan kerjasama setiap peringkat Pemuda, dari akar umbi hingga kepimpinan bahagian dan negeri, banyak agenda bangsa dapat diperjuangkan, banyak sejarah telah dicipta oleh Pemuda sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Kini Pemuda sudah berada pada tahap yang cukup mantap. Justeru saya telah umumkan, bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan ini.

Saya berharap kepimpinan baru dengan kepimpinan yang lebih muda akan lebih memahami golongan muda dan terus membuat perubahan. Sesungguhnya usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO begitu penting.

Semangat setia kawan, Pemuda berani dan sifat berani berubah akan menjadi elemen dan pemangkin dalam gerakan memperkukuh Pemuda pada masa hadapan.

Insya Allah selagi kita berpegang kepada asas dan prinsip perjuangan; memahami realiti di akar umbi; meletakkan kepentingan Parti lebih utama dari segala-galanya; maka saya akan berbangga untuk melihat Pemuda akan lebih kuat dari zaman saya.

Pemuda yang bakal menjadi pemacu kepada kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang, insya Allah.

Akhirnya, saya dan seluruh Barisan Kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh warga Pemuda. Semoga perjalanan mesyuarat saudara berjalan dengan lancar dan Parti kita akan terus kuat dan relevan.

Salam Perjuangan dan Selamat Bersidang.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walilahilhamd.

BERSATU – BERSETIA – BERKHIDMAT

DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

No comments: