Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 26, 2008

Peralihan kuasa dalam UMNO perlukan masa - Malaysiakini

Para pemimpin UMNO perlu memahami bahawa peralihan kepimpinan yang akan berlaku dalam UMNO perlu mengambil masa dan bukannya mendadak. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perubahan yang berlaku terlalu mendadak dalam UMNO boleh membawa kesan negatif.
"Perubahan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara mendadak tidak akan menjamin kekuatan UMNO.

"Apa yang patut berlaku ialah Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri ketika UMNO bersatu dan kukuh seperti mana Abdullah mewarisi kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dulu," katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan iklan Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) di Jalan Ampang, semalam.

Beliau berkata, isu yang ditimbulkan oleh segelintir pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini agak keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.
"Senario ini adalah biasa setiap kali musim pemilihan parti. Ia berlaku dari zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah Tun Mahathir.

"Tindakan ini seolah-olah membeli insurans sebelum menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang," katanya.
Jelas Azalina, biarpun apa yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dikatakan suara akar umbi, namun ia akan terima jika perkara berkenaan dibincangkan dengan baik. Beliau turut menyelar tindakan ahli MT yang membocorkan maklumat dalam mana-mana mesyuarat.
"Tindakan ini dilakukan dengan agenda tertentu dan niat mengeruhkan keadaan dalam UMNO.

"Mereka sebenarnya pembangkang yang bertopengkan UMNO atau musuh dalam selimut," jelas beliau.
Azalina menambah, pemimpin UMNO harus berhati-hati dalam mengejar jawatan dalam parti supaya rakyat tidak terabai dan UMNO tidak hilang pengaruh di kalangan generasi muda.
"Ahli UMNO cuma tiga juta, tetapi rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat pemimpin lebih daripada 20 juta.

"Setiap tahun, terdapat dua juta pengundi baru yang merupakan generasi muda dan mereka ini tidak mempunyai semangat nasionalisme terhadap UMNO," katanya sambil menambah tindakan yang negatif itu boleh membuatkan golongan berkenaan menjauhi UMNO.

No comments: