Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 27, 2008

Penangguhan Tarikh Perhimpunan Agung Umno Boleh Merumitkan Keadaan, Khairy - Malaysiakini

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menunda tarikh Perhimpunan Agung parti itu ke bulan Mac tahun depan boleh merumitkan kempen' calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno berkata tempoh kempen yang sebelum ini hanya dua bulan akan menjadi lebih panjang iaitu selama enam bulan dan akan menyukarkan calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi seperti dirinya.
"Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad, ...bagi mereka yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian tak mengapa, tetapi untuk saya yang bertanding jawatan Ketua Pemuda ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen.

"Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihan raya dua minggu pun tidak mudah inikan pula enam bulan.

(Maknanya) dalam tempoh enam bulan itulah kita kena berkempen," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Menteri Besar Teregganu Datuk Ahmad Said di Kemaman semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno semalam menunda tarikh Perhimpunan Agung parti itu yang sepatutnya pada Disember depan, ke bulan Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Rembau itu berkata sebagai sayap parti, Pemuda Umno tetap menghormati dan menerima keputusan yang telah diambil itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi itu perlu dihormati kerana ia adalah antara langkah untuk melicinkan proses peralihan kuasa.
" Ini membuktikan proses peralihan kuasa Umno sebagai sebuah parti utama kaum Melayu berjalan dalam keadaan sempurna dan tertib," katanya.

No comments: