Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 18, 2008

Pemilihan bahagian Gopeng sengit - Malaysiakini

Pemilihan pucuk pimpinan bagi bahagian Gopeng pada 26 Oktober depan bakal menyaksikan pertandingan bagi semua jawatan utamanya.

Bagi bahagian Gopeng, jawatan ketua menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Seorang daripada calonnya ialah timbalan ketua bahagian sekarang, Hamzah Mohd Kasim yang mendapat 32 pencalonan.

Dua lagi calon yang layak bertanding ialah mantan ketua bahagian, Mustapha Kamal Nawi dan ahli jawatankuasanya, Rustam Affendi Abd Aziz.

Mustapha Kamal mendapat 26 pencalonan manakala Rustam Affendi pula memperolehi 20 calon.

Menurut sumber, penyandang jawatan ketua bahagian, Datuk Abd Aziz Shamsuddin tidak mempertahankan jawatannya untuk memberi laluan kepada muka baru.

Semua 83 cawangan dalam bahagian Gopeng telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing sebelum bulan Ramadhan.

Pertandingan bagi jawatan timbalan ketua pula akan menyaksikan perebutan tiga penjuru.

Pertembungan sengit

Tiga calonnya ialah ahli jawatankuasa bahagian, Mejar (B) Roslan Zakaria, setiausaha bahagian, Ahmad Zairun Yang Razali dan ketua pemuda, Hang Tuah Din.

Roslan mendapat 31 pencalonan, Ahmad Zairun (26) dan Hang Tuah Din pula memperolehi 25 pencalonan.

Menurut sumber itu lagi, Hang Tuah tidak mempertahankan jawatan ketua pemuda kerana melepasi had umur.

Perebutan bagi jawatan naib ketua pula akan menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru.

Mereka ialah bekas naib ketua, Mukhti Abdul Rahman; bekas ketua pemuda, Anuar Baharuddin dan ahli jawatan kuasa bahagian, Salehuddin Abdul Hamid.

Mukhti memperolehi 39 pencalonan, Anuar (17) dan Salehuddin mendapat 16 pencalonan.

Menurut sumber itu lagi, ketiga-tiga calon layak untuk bertanding setelah melepasi kelayakan minimum lapan pencalonan.

Pertandingan bagi jawatan ketua pemuda pula akan turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu, antara naib ketua pemudanya, Aflizan Abdul Rahman dan Adli Tahiruddin yang juga ahli jawatankuasa bahagian.

No comments: