Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 16, 2008

Muktamad: Zaid letak jawatan - Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tetap dengan keputusannya untuk meletak jawatan selepas gagal meyakinkan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem undang-undang.

zaid ibrahim and isa internal security act 150908

Tetapi, katanya, keputusan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tiga individu Jumaat lalu, merupakan tindakan yang tidak boleh diterimanya langsung.

“Saya tidak letih. Saya hanya kecewa. Keputusan saya kekal. Saya akan letak jawatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya pagi tadi.

Zaid berkata, beliau gagal untuk meyakinkan mereka yang berkuasa untuk melaksanakan perubahan tentang bagaimana kerajaan perlu melangkah ke hadapan.

Menurutnya lagi, beliau tidak membuat sebarang keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zaid berkata, beliau mahu bersikap terbuka mengenainya.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya semalam, sehari selepas beliau membidas kerajaan kerana menahan tiga individu di bawah ISA.

Mereka ialah ahli Parlimen DAP, Teresa Kok; pemblog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, semalam, Perdana Menteri, Datu Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta Zaid supaya bercuti dua minggu dan memikirkan semula keputusannya itu.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu telah dilantik sebagai senator dan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal undang-undang dalam rombakan kabinet selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Pelantikan beliau disambut baik oleh banyak pihak yang melihatnya sebagai satu usaha perdana menteri untuk melaksanakan pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Bagaimanapun, Zaid kesal kerana penahanan di bawah ISA itu telah memberi tamparan kepada usaha-usahanya sejak enam bulan lalu untuk memulihkan bidang kehakiman.

Beliau juga mengakui bahawa pandangannya mengenai perkara-perkara tertentu tidak dapat diterima oleh rakan-rakannya dalam kabinet.