Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Muhyiddin tak pasti perhimpunan agung akan ditunda - Malaysiakini

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak pasti sama ada Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.
"Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu, tapi yang jelasnya, ini satu perkara penting. Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini," katanya selepas melancarkan Forum CEO Malaysia-India 2008 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya pucuk pimpinan Umno bercadang menunda Perhimpunan Agung itu ke Jun tahun depan.

Perhimpunan agung kali ini membabitkan pemilihan jawatan peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Muhyiddin menafikan bahawa terdapat perebutan kuasa dalam Umno sehingga melemahkan parti itu.

Katanya pelan peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada Jun 2010 dijangka berjalan lancar.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan tarikh peralihan kuasa itu.

Mengenai pertandingan yang dijangka berlaku bagi merebut jawatan tertinggi Umno, Muhyiddin berkata sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi, semua jawatan dalam parti boleh ditandingi.
Ketika ditanya sama beliau sedia bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden jika dicalonkan, beliau berkata : "Bila sampai masanya saya akan umumkan. Adalah terlalu awal untuk menyebut saya akan bertanding untuk jawatan apa."
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden.

No comments: