Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 11, 2008

Muhyiddin mahu Abdullah undur awal sebelum 2010

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu membuat pertimbangan meletak jawatan lebih awal, iaitu sebelum 2010.
"2010 terlalu lewat, PM harus memikirkan semula jika tarikh itu dapat dipertahankan," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ditemui wartawan di Sidang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forbes di Hotel Shangri-La, di sini semalam.
Tan Sri Muhyiddin, yang juga Naib Presiden Umno, berpendapat ia adalah satu isu kritikal.
"Saya telah bertanya (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak), Adakah anda mahu menunggu sekian lama sebelum anda perlu menguruskan parti dan memimpinnya ke pilihan raya, bolehkah anda pastikan kemenangan.

"Terdapat banyak isu untuk disentuh, adakah anda akan mempunyai masa yang cukup?" jelasnya.
Julai lalu, Datuk Seri Abdullah berkata beliau akan menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas kemasukan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Umno, Tan Sri Muhyiddin berkata ia adalah langkah yang baik dan dialu-alukan ramai anggota dan ketua Umno.
"Saya rasa beliau masih boleh menyumbang dan ia akan memberi panduan kepada mereka yang prihatin terhadap pandangan dan tidak terlalu khuatir jika beliau kritikal terhadap kerajaan dan pentadbiran.

"Kita perlu terbuka kepada usaha baiknya untuk membantu," tambah Tan Sri Muhyiddin, yang turut menepis spekulasi bahawa beliau akan menyokong Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dr Mahathir telah menyuarakan sokongan kepada Tengku Razaleigh untuk bertanding bagi jawatan Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno Disember ini.

Jawatan tersebut dipegang Datuk Seri Abdullah.

No comments: