Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Mesyuarat tergempar MT esok - Malaysiakini

najib abdullah umno 100408Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan jam 10 pagi esok, dipercayai untuk membincangkan penangguhan pemilihan parti, yang dijadual Disember ini, ke tahun depan.

Ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengesahkan pertemuan tersebut hari ini.

Beliau bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui agenda yang akan dibincangkan.

Mesyuarat di bangunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga dijangka membahaskan saranan untuk menyegerakan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya setahun lebih awal.

Pada asalnya, Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak merancang pelan peralihan kuasa itu akan berlangsung pada pertengahan 2010.

Menurut laporan media, ahli-ahli MT Umno dihubungi pagi ini untuk menghadiri mesyuarat mengejut itu selepas pertemuan dua tokoh tertinggi negara hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Kementerian Kewangan petang ini, Najib juga mengesahkan mesyuarat MT akan diadakan esok tetapi enggan menjawab sebarang soalan mengenai perkembangan politik.

Najib semalam membatalkan secara mengejut lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, yang sepatutnya bermula hari ini, untuk menghadiri sidang ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di PBB, New York, Ahad ini.

No comments: