Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 16, 2008

Mahkamah tolak petisyen pilihan raya kawasan Api-Api - Malaysiakini

KOTA KINABALU - Mahkamah Pilihan Raya semalam menolak dengan kos, petisyen yang mencabar pemilihan Menteri Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Api-Api pada pilihan raya umum lalu.

Ketika menolak petisyen itu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim berkata tiada bukti menunjukkan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Dr Yee telah mencetak, menerbitkan atau mengedar risalah seperti yang didakwa dalam petisyen berkenaan.

Kata beliau lagi, bukti yang menyokong dakwaan itu kononnya risalah berkenaan berasal dari Airport View Hotel - yang dikatakan digunakan oleh PBS dan Dr Yee sebagai bilik opersi mini - hanya merupakan keterangan dengar cakap.
"Apa yang dimaklumkan kepada saksi ialah risalah itu berasal dari Airport View Hotel. Ia tidak mempunyai sebarang nilai sebagai bukti bahawa risalah itu memang berasal dari Airport View Hotel," kata beliau dalam penghakiman setebal 65 muka surat.
Abdul Aziz berkata selain itu, pempetisyen Audrey Karen Barry, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Api-Api, telah gagal membuktikan bahawa melalui risalah berkenaan, Dr Yee telah mengenakan pengaruh yang tidak sewajarnya dalam pilihan raya di kawasan itu bagi memberi kesan terhadap keputusannya.
"Tidak terdapat bukti tentang wujudnya laporan atau tercetusnya pergaduhan kaum sebelum, semasa dan selepas pilihan raya di kawasan itu.

"Oleh itu, saya mengisytiharkan bahawa Datuk Yee Moh Chai dikekalkan sebagai calon yang dipilih bagi kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Api-Api," katanya.
Audrey, yang diwakili peguam Ansari Abdullah dan Christina Liew, memfailkan petisyen itu pada 29 April dan menamakan Dr Yee, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, pada 3 Julai, Mahkamah Pilihan Raya mengetepikan pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga atas persetujuan kedua-dua pihak.

Abdul Aziz berkata pempetisyen memberi beberapa alasan bagi mengetepikan keputusan pilihan raya berkenaan.

No comments: