Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 14, 2008

Muhd Taib : Kita yakin pada kesetiaan anggota BN - Malaysiakini

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita sekeluarga sentiasa dalam rahmat Allah dan diberi kekuatan bagi menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadhan ini. Selepas keputusan di Permatang Pauh, politik tanahair penuh dengan warna-warni. Penasihat Parti Keadilan yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato Seri Anwar Ibrahim semakin ‘berani’ mengatakan bahawa selepas 16 September Pakatan Pembangkang akan membentuk kerajaan.

Kemungkinan ini dikaitkan dengan akan berlaku peristiwa ‘lompat’ sejumlah Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak.

Walaupun dalam politik ‘segalanya mungkin’ tetapi saya yakin dan percaya perkara tersebut tidak akan berlaku kerana masih yakin kepada kesetiaan Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional, terutama dari Sabah dan Sarawak yang kerap dikaitkan dengan peristiwa ‘lompat-melompat’ ini.

Bukan mudah untuk sekumpulan seramai itu bertindak ‘melompat’ sebagaimana di dakwa oleh Ketua Pembangkang di Parlimen sebaliknya ianya lebih kepada ‘retorik’ dalam mencapai cita-cita politik.

Bagi saya, kesetiaan semua Ahli Parlimen BN tidak boleh diperkotak-katik semudah itu. Amanah rakyat yang diwakili mereka dan kesanggupan rakyat mengundi mereka ketika pilihan raya umum lalu atas tikit BN tidak boleh dipermainkan begitu sahaja.

Setia bukan semestinya dizahirkan diatas kertas sebaliknya setia adalah maruah bagi seseorang. Rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak juga mempunyai maruah dan harga diri dan mereka tidak boleh diperdagangkan sebegitu murah dengan dakwaan yang sebegitu.

Sebagai rakan dalam BN, kita sentiasa memahami ‘susah’ dan ‘senang’ ketika bersama. Namun, jika ada sedikit ‘kesusahan’ tidak mudah bagi rakan-rakan BN bertindak keluar parti dan menukar kerajaan yang ada.

Pakatan BN bukan sebuah pakatan serapuh dan semurah pakatan pembangkang. BN dibentuk atas rasa persefahaman antara parti yang mempunyai asas yang kukuh dan terbukti terjalin sekelian lama. Nilai kesetiaan dan ketaatan yang ditunjuk oleh setiap anggota BN tidak boleh dijual beli dengan hanya ‘janji-janji manis’ dan retorik semata-mata.

BN di Sabah dan Sarawak dibentuk untuk kepentingan rakyat kedua negeri itu. Ianya bukan sekadar perjuangan satu dua individu sebagaimana berlaku dalam pakatan pembangkang. Oleh itu, saya cukup yakin kepada kesetiaan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak dalam menangani perkara ini.

No comments: