Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 14, 2008

Ketua UMNO Bahagian Cheras Mahu Pelan Peralihan kuasa Disegerakan.? - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi perlu lebih memahami gesaan supaya pelan peralihan kuasa disegerakan demi untuk kepentingan UMNO, Melayu dan masa depan negara.
“Jika Abdullah sayangkan UMNO, maka beliau perlu menyenggerakan proses peralihan kuasa sebaik mungkin,” tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Menurutnya, desakan ahli-ahli parti yang mahukan peralihan kuasa disegerakan bukan bermakna mereka menolak kepimpinan Abdullah, tetapi perlu dilaksanakan berikutan perkembangan politik terkini yang semakin menghakis keyakinan umat Melayu.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO mempunyai kebebasan dan tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian dan pandangan mereka berhubung pelan peralihan kuasa.

Menurut Syed Ali, Presiden UMNO juga harus melihat pandangan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sebagai satu suara perubahan yang perlu disegerakan dalam kepimpinan parti.

Melihat kepada perkembangan sekarang kata Syed Ali, pelan peralihan kuasa perlu disegerakan, walaupun Abdullah menjanjikan akan berlaku pada pertengahan tahun 2010.
“Ahli-ahli UMNO di semua peringkat sewajarnya diberikan sepenuh kebebasan untuk mengemukakan apa jua cadangan, pandangan serta kritikan berhubung pelan peralihan kuasa seperti yang dijanjikan presiden parti,” tegasnya.
Syed Ali berkata, ahli-ahli UMNO mempunyai kebebasan untuk bersuara dan mengeluarkan pandangan termasuk meminta pelan peralihan kuasa kepada dipercepatkan.

Katanya, senario politik masa kini terutama selepas pilihan raya umum dan pilihanraya kecil Permatang Pauh memaksa UMNO melakukan perubahan secara drastik bukan sahaja dari segi perancangan tetapi pucuk pimpinan tertinggi.

Beliau berkata, banyak isu timbul sejak kebelakangan ini membabitkan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional (BN) yang seolah-olah menguji kredibiliti dan mencabar maruah UMNO sebagai teras kepada kerajaan yang memerintah,” jelasnya.
“Hari ini suara Melayu di dalam UMNO seperti disekat daripada bercakap dengan pelbagai alasan walaupun kadangkala maruah mereka dicabar dan sengaja diprovokasikan untuk kepentingan politik,” tambahnya.
Malah kata Syed Ali, parti pembangkang juga turut menggunakan isu peralihan kuasa itu sebagai senjata mengecam kepemimpin UMNO yang menurut mereka ahli-ahli UMNO hanya mengikut telunjuk presiden.

Kenyataan Syed Ali turut disokong oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Tuan Syed Mehdhar Syed Abdullah, yang berpendapat peralihan kuasa sewajarnya disegerakan demi kebaikan parti.
“Saya turut bersetuju dengan pandangan Ketua Bahagian yang memikirkan cara terbaik mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti dan kerajaan adalah melalui dipercepatkan proses peralihan kuasa,” tegasnya.
Katanya, desakan dipercepatkan pelan peralihan kuasa tidak sesekali membawa maksud kita menidakkan keberkesanan kepimpinan Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
“Yang pentingnya ialah ahli-ahli UMNO bebas untuk bercakap dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan yang boleh melemah dan memundurkan perjuangan parti,” tegasnya.
Menurut Syed Mehdhar lagi, perubahan sikap pengundi yang ketara berlaku sekarang ini perlu ditangani segera secara bersepadu dan berhemah bagi memastikan generasi muda tidak meminggirkan diri daripada perjuangan UMNO.
“Hari ini golongan muda secara terbuka mempertikaikan sejauhmana ketelusan UMNO dalam memperjuangkan agenda rakyat dan mereka juga mempersoalkan kewibawaan pucuk pimpinan,” tegasnya.

No comments: