Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 11, 2008

Keputusan Dr. M kukuhkan UMNO

Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai semula UMNO akan memperkukuhkan parti berkenaan.

Pelbagai pihak hari ini berpendapat, keputusan itu juga membuktikan Dr. Mahathir tidak sanggup melihat parti utama yang menaungi orang Melayu menjadi lemah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kepulangan Dr. Mahathir ke pangkuan UMNO akan meningkatkan perpaduan ahli parti.

Beliau yang mengalu-alukan keputusan tersebut turut menjelaskan UMNO tidak mempunyai masalah untuk menerima semula negarawan itu.
"Langkah yang diambil Dr. Mahathir juga akan memperkuatkan UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan hasrat Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO yang dibuat dalam satu pertemuan Sabtu lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti supaya tidak memandang sinis atau memperlekehkan keputusan itu.

Katanya, apa yang berlaku sebelum ini umpama 'merajuk pada yang sayang' iaitu merajuk yang tidak berpanjangan.
"Sepedas mana pun pandangan beliau kepada UMNO sebelum ini, ia sebenarnya pandangan yang ikhlas.

"Pendapat Dr. Mahathir sebagai bekas presiden parti tentu lebih bernilai dan mempunyai kredibiliti jika beliau berada dalam UMNO," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyatakan komitmennya untuk mencadangkan kepada MT UMNO supaya menerima semula Dr. Mahathir.

Beliau juga bersedia menawarkan jawatan Ketua UMNO Cawangan Rantau yang disandangnya kepada Dr. Mahathir jika tiada cawangan lain mahu menerima bekas Perdana Menteri itu.
"Kalau tidak ada orang yang menerimanya dalam mesyuarat MT nanti, saya sebagai ahli MT akan cadangkan kita terima.

"Kalau tidak ada cawangan mahu terima beliau sebagai ahli, saya mempelawa Tun masuk ke cawangan saya, boleh jadi ketua cawangan saya... tak apa," katanya.
Sementara itu, Mohamad mahu kemasukan Dr. Mahathir ke dalam UMNO dibuat dengan telus tanpa mengenakan sebarang syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Dr. Mahathir.

Katanya, sebagai orang lama dalam parti, Dr. Mahathir sarat dengan pelbagai idea yang relevan.
"Elok (Dr. Mahathir) masuk semula. Kita akan menyokong, UMNO Pahang menyokong kuat kemasukan semula beliau," katanya.
Keputusan Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO turut disambut baik oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berharap langkah Dr. Mahathir itu akan membantu mengukuhkan UMNO.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin Melayu terbilang, Dr. Mahathir sebenarnya amat sayangkan kaumnya dan tidak sanggup melihat mereka menjadi lemah.
"Walaupun pandangannya selama ini agak pedas tetapi sebenarnya itu tidak menjadi masalah dan kita harus terima. Apa yang penting, kita sekarang sudah kembali ke landasan betul.

"Penyertaan semula itu juga dapat mengelakkan tindakan pembangkang yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai 'peluru' untuk menyerang UMNO dan kerajaan," katanya.

No comments: