Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 26, 2008

Jangan jadi Tun Perak tapi perangai macam Si Kitul - Malaysiakini

Lama sudah tidak kedengaran ungkapan nama-nama seperti Tun Perak atau Si Kitul dalam cerita-cerita politik tanah air. Munkin kerana situasi yang berlaku tidak boleh disamakan dengan watak-watak tersebut atau orang sudah mula lupa watak-watak tersebut sebenarnya hidup subur dalam politik kepartian negara ini.

Terbaru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad memberikan analogi tersebut bagi memberikan ingatan terhadap sesetengah pihak yang menurutnya mula menjalankan agenda mereka untuk pemilihan parti.

Beliau memberikan ingatan itu agar pihak-pihak tertentu yang kini bergerak aktif mengganggu UMNO Bahagian agar mengikuti ’skrip’ pemilihan yang kononnya telah ditetapkan dan mendapat restu.
“Dalam semangat Syawal, bulan kemenangan, biarlah ahli tentukan soal kepimpinan dan jangan ada pihak pula cuba ugut mereka. Berilah ahli peluang untuk melaksanakan hak mereka,“ katanya merujuk kepada tarikh pemulaan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Oktober depan bersamaan dengan 9 Syawal.
Beliau memberikan ulasan itu kerana mendapat rungutan dan maklumat daripada pimpinan UMNO Bahagian-Bahagian sudah ada pihak yang mengganggu mereka untuk mempengaruhi pencalonan Bahagian khususnya untuk pemilihan peringkat Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan parti.

Menurut beliau, tindakan kumpulan ini sebenarnya tidak sihat dan boleh menyebabkan parti menjadi lemah kerana ahli-ahli dinafikan hak mereka sesuai dengan Perlembagaan UMNO untuk memilih dan dipilih.
“Jika kita mahu parti kita kukuh dan terus relevan dan sesuai dengan asas UMNO sebagai parti akar umbi, suara mereka jangan cuba dinafikan,“ katanya.
Ditanya apa kena mengena watak Tun Perak dan Si Kitul dalam ingatan beliau itu, Dr. Abdul Latif berkata, Tun Perak adalah watak yang sering dikaitkan dengan soal penentuan kedudukan Raja.
“Watak ini akan sentiasa hidup tidak kira siapa jadi pemimpin tetapi malangnya kini watak itu perangainya macam Si Kitul yang akan buat sesuatu untuk kepentingan diri.

“Maknanya, watak ini akan berusaha untuk menjadi penentu kepada Raja tetapi pada masa yang sama menggunakan alasan demi kepentingan Raja, beliau akan mengaut keuntungan daripada itu. Sebab itu saya kata jangan jadi Tun Perak tapi perangai macam Si Kitul,“ ujar beliau.

No comments: