Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 11, 2008

ISKANDAR M'SIA TARIK PELABURAN $16.22B

Oleh : Suryani Omar
MALAYSIA telah menarik pelaburan berjumlah RM39.1 bilion ($16.22 bilion) bagi zon pembangunan ekonomi khas, Iskandar Malaysia, di Johor.

Sebanyak RM18.9 bilion adalah pelaburan dalam sektor pengilangan, dengan RM15.2 bilion atau 80.4 peratus daripadanya adalah pelaburan asing.

Bagi sektor perkhidmatan, Iskandar Malaysia telah menarik RM20.2 bilion, dengan RM5.2 bilion daripadanya merupakan pelaburan asing.

Membentangkan perangkaan tersebut di sesi dialog bersama Pengerusi Forbes Inc, Encik Steve Forbes, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau menjangkakan lebih banyak pelaburan akan mengalir masuk ke zon Iskandar Malaysia.
"Banyak pelabur menunjukkan hasrat melabur di Iskandar Malaysia,"Kata beliau tanpa memberikan penjelasan.
Tan Sri Muhyiddin, yang juga Naib Presiden Umno, turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan terus komited dalam memastikan keadaan di sana mesra niaga dan pelaburan asing terjaga di sebalik ketidaktentuan politik di negara itu.
"Kami sedang menstabilkan keadaan, tetapi ada orang yang tidak mahu keadaan stabil, dan ingin menggoyangkan kerajaan.

"Ketidaktentuan ini tidak disebabkan kerajaan tetapi faktor lain," ujar beliau, seolah- olah merujuk kepada ketua pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkata akan mengambil alih tampuk pemerintahan pada 16 September ini.
Ditanya jika harga minyak kelapa sawit yang telah merosot akan menjejas pendapatan negara, Tan Sri Muhyiddin berkata walaupun pendapatan merosot, permintaan bagi minyak kelapa sawit akan terus meningkat.
"Pada masa yang sama, harga minyak kelapa sawit yang lebih rendah akan mendorong minat dalam penghasilan bahan bakar bio kerana minyak kelapa sawit adalah bahan bagi menghasilkan bahan bakar bio," jelas beliau, yang yakin Malaysia dapat mencapai pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) antara 5 peratus dengan 6 peratus tahun ini.
Click here!

No comments: